Siri Soal Jawab Nordin Kardi

n1

Penyusakti  Apa yang membezakan seseorang yang hidup dengan falsafah dan seorang lagi tidak hidup dengan falsafah?
Nordin Kardi  Menarik soalan ini. Namun, saya sendiri berpendapat bahawa tiada timbul keadaan yang dikatakan adanya orang hidup berfalsafah dengan yang tidak berfalsafah. Saya cenderung berpendapat bahawa setiap orang hidup berfalsafah. Jika hendak dilihat perbezaan antara yang hidup berfalsafah dengan yang tidak berfalsafah saya tidak berkeupayaan melaksanakan sesuatu yang saya sendiri tidak percaya. Sebaliknya, perbezaan ada di antara suatu falsafah dengan suatu falsafah lain yang dipegang oleh setiap individu. Tidak semua orang menggunakan perkataan ‘falsafah’ untuk menghuraikan dirinya sedangkan pengguna-pengguna perkataan itu dapat melihat dia yang ‘kelu’ itu sedang mengamalkan sesuatu pegangan falsafah. Penjawab-penjawab kepada soalan ini juga tentulah dipandu oleh falsafah yang mereka pegang yang nanti akan saya cuba fahami.
Saya berkata begini kerana, walau pun perkataan falsafah tidak digunakan, setiap orang mempunyai caranya tersendiri melihat kewujudannya (ada yang membanding dengan orang atau elemen lain dan ada yang melihat dirinya sebagai dirinya sahaja nyah perbandingan), melihat apa itu realiti, melihat apa itu pengetahuan (jumlah perkara, hal atau fenomena yang dia tahu), meletakkan harga atau nilai kepada sesuatu (juga setiap perkara, hal, fenomena dan sebagainya), menggubah alasan bagi sesuatu pendirian dan keputusan, meletakkan kedudukan fikiran dan menggunakan bahasa (yang biasanya sarat dengan himpunan tindakan, fikiran dan perasaan yang telah ditempuh sepanjang kehidupannya yang dikatakan sebagai ‘budaya’).
Ya mungkin banyak orang lain melihat bahawa orang yang hidup berfalsafah ialah orang yang dapat menghurai hal, perkara dan fenomena yang berkaitan dengan dirinya sedangkan yang ‘kelu’ daripada melakukan hal sedemikian dianggap sebagai tidak mempunyai falsafah. Saya katakan, mereka yang dapat atau rajin menghurai, menilai, memperkembangkan dan macam-macam lagi itu adalah mereka yang cenderung ‘berurusniaga’ dengan falsafah. Saya katakan ‘berurusniaga’ kerana mereka itu mendapat ganjaran hasil daripada berbuat sedemikian. Ganjaran itu boleh saja berbentuk wang atau ganjaran-ganjaran lain seperti kepuasan psikologi, kepuasan sosial dan apa saja lagi yang menjadi tujuan mereka secara sedar atau separa sedar. Ini berlainan sekali dengan golongan ‘kelu’ yang hanya melalui kehidupannya (mungkin menikmati atau menderitainya) tanpa huraian. ‘Pengurusniaga’ falsafah akan segera melabelkan orang ‘kelu’ itu mungkin sebagai existentialist. Sememangnya ada orang yang mengatakan dirinya ‘mengalir’ tanpa diganggu oleh rasionalisasi fikiran kerana mereka adalah penganut falsafah existentialist. Namun, saya berpendapat, sebaik dia menamakan dirinya sebagai penganut ‘existentialist’ maka gugurlah dia daripada anutannya itu kerana label adalah permainan bahasa dan rasionalisasi fikiran. Jika falsafah itu disepakati oleh banyak orang sebagai ‘kecintaan kepada kebijaksanaan’ atau ”love of wisdom”, maka adakah semestinya seorang bisu yang hidup bebas tidak dikurung, tetapi tidak pula mempelajari bahasa isyarat secara formal, yang dikesan oleh pengamal perubatan bahawa dia bisu kerana pendengarannya cacat semenjak dilahirkan lalu dia tidak kenal bahasa, sedangkan pancainderanya yang lain berfungsi dengan berkesan itu tiada kecintaan kepada kebijaksanaan? Dia mungkin hanya tidak dapat menangkap stimulus bunyi, namun matanya, lidahnya, fikirannya, perasaannya kekal sensitif dan dapat menangkap stimulus-stimulus lain yang ditemuinya.
Penganut-penganut rasionalisme menjadikan falsafah itu eksklusif kepada pengguna-pengguna, peniaga atau ‘pemain-pemain’ ‘mind’ sedangkan kepada orang yang menganggap fafsafah itu ‘love of wisdom’ menjadikan falsafah itu luas dan inklusif. Penganut aliran ke-dua dapat memasuki dunia yang di luar daerah ‘mind’ yang secara duniawinya masih terlalu banyak untuk diterokai oleh mereka yang berani. Penerokaan kebenaran sama ada setiap objek persepsi itu semata-mata rekaan ‘mind’ atau wujud dalam bentuk realiti tersendiri ternyah daripada ‘mind’ (seperti cerita matrix) kekal sebagai sesuatu yang ‘unresolved’ kepada yang masih skeptik tentang realiti, tetapi para skeptik ini akan dianggap sebagai pengembara yang melata oleh golongan ‘definitif’.
Rumusannya, dari awal saya telah meletakkan pendirian saya yang dengannya tidak akan berupaya membezakan antara orang hidup berfalsafah dengan yang tiada. Yang dapat dibezakan ialah anutan setiap orang yang setiap saat mencari dan menggunakan kebijaksanaan yang ditemuinya dalam menghadapi kehidupan.
Penyusakti  Bagaimana kaitan ini dalam hidup bermasyarakat dan negara?
Nordin Kardi  Berkaitan dengan masyarakat dan negara? Ha ha ha… ‘hukuna mata ta’ – terserah masing-masing menggunakan kebijaksanaan dalam berurusan dengan dua perkara yang hanya wujud pada konsep itu namun tertakluk kepada kekuatan sesuatu kuasa seperti kekuatan bilangan, kekuatan material dan macam-macam kekuatan yang lain. Termasuk kekuatan tarikan ‘cinta’. Ha ha ha.

—————————————————————————————————————

zaaba5
I.
Penyusakti  Pada pandangan tuan sejauh mana masyarakat hari ini menghargai sumbangan Za’ba?
Nordin Kardi  Dalam masyarakat Malaysia penghargaan terhadap seseorang tokoh nampaknya tidak sempurna jika dia tidak dilakukan oleh pemerintah. Berlawanan dengan masyarakat sivil yang menghargai tokoh mereka melalui inisiatif badan-badan sivil. Dalam hal ini (hal ini sahaja sekurang-kurangnya) masyarakat Malaysia seperti lebih mundur berbanding semasa api dan semarak kemerdekaan baharu dicapai. Za’ba dikurniakan dengan gelaran ‘pendeta’ bukan oleh kerajaan sebaliknya oleh organisasi sivil. Penganugerahan ini diiktiraf oleh masyarakat dengan begitu selesa sekali dan panggilan berdasarkan gelaran itu kekal hingga ke hari ini. Sedangkan, pada hari ini jika penghargaan atau pengiktirafan itu tidak datang daripada kerajaan, penghargaan itu akan tenggelam sebaik berakhirnya majlis-majlis yang dianjurkan itu. Hal seperti ini nampaknya sudah sampai ke kemuncak paling tinggi dalam dunia pengajian tinggi juga. Contohnya, anugerah Profesor Negara mesti dilaksanakan oleh kementerian, disertai dengan skim gaji dan mesti disampaikan oleh Perdana Menteri. Apa-apa bentuk yang lain yang dilaksanakan oleh organisasi sivil yang tidak melibatkan perdana menteri seperti tidak akan dapat diterima sebagai bertaraf negara. Jika dilakukan juga orang pengajian tinggi sendiri tidak akan mengiktirafnya dan perdebatan panjang akan mengiringinya selepas itu. Perkataan negara atau perdana telah berubah tafsirannya menjadi eksklusif yang melibatkan perdana menteri sahaja. Yang lainnya tidak akan bertaraf perdana. Ahli masyarakat yang nampaknya memilih kehidupan dan cara berfikir feudal yang benar-benar tunduk dan patuh  (istilah Za’ba ‘bertaklid’) tanpa perlu mencari maklumat dan berfikir sendiri. Mereka menjadi ‘intelektual hamba’ yang berpegang penuh yakin kepada perkara-perkara ‘separa-benar’ atau hanya ‘kelihatan benar’.
Berbalik kepada soal penghargaan kepada sumbangan Za’ba, saya berpendapat penghargaan itu hanya setakat perbualan atau seminar-seminar yang timbul sekali sekala sahaja. Ini terjadi kerana tidak banyak orang yang berminat untuk menelaah tulisan-tulisan Za’ba. Tambahan pula di universiti juga sudah tercipta kotak-kotak beku yang memenjarakan ahli-ahlinya daripada keluar daripada kotak-kotak yang telah mereka cipta sendiri. Mereka akan berani bercakap di dalam kotak itu sahaja. Jika mereka bercakap di luar kotak mereka atau menyeberangi kotak-kotak lain, maka orang di kotak yang lain akan mempersoalkan apa kelayakan mereka bercakap dalam kotak orang lain. Kerana itu ada pemimpin universiti yang mengingatkan anak buahnya supaya duduk sahaja dalam kotak masing-masing dan jika menulis hanya menulis dalam ruang lingkup kotak mereka yang mereka jenamakan sebagai ‘jurnal’. Tulisan di dalam akhbar misalnya, yang keluar ke tengah-tengah masyarakat akan dipandang sinis dan diletakkan tanda harga ‘tidak akademik’. Ini berlawanan dengan tradisi ilmu asal usul universiti atau ‘studia generale’ yang mewajibkan seseorang calon ijazah menghadapi masyarakat terbuka dalam suatu ujian yang jawapannya hendaklah difahami oleh orang tepi jalan. Maksudnya orang itu dapat memudahkan dapatannya yang begitu kompleks melalui pengembaraan akademiknya yang panjang dan tekun sehingga dia benar-benar menguasainya dan dapat memudahkan huraiannya kepada orang biasa yang mundar-mandir di jalanan. Jika Za’ba hidup sekarang dia juga tidak akan dianggap pendeta kerana dia sangat banyak menulis di akhbar-akhbar dengan penuh keberanian menghadapi ahli masyarakat yang sangat pelbagai dalam segala segi, bukan anggota kepada sesuatu disiplin yang hidup dalam sesebuah kotak yang terjaga dan terpelihara. Maksudnya, Za’ba berani memasuki belukar dan mandi di dalam tasik-tasiknya yang dalam berbanding ahli akademik zaman sekarang yang selesa mempamerkan otot masing-masing di kolam-kolam renang yang airnya jernih dan lantai dasarnya ada jubin bukan seperti dasar tasik yang mungkin ada haiwan pemangsa dan tunggul-tungul yang tajam dan boleh mencederakan.
Daripada suasana masyarakat yang saya persembahkan ini, maka saya lihat ahli masyarakat tidak tahu apa yang telah disumbang oleh Za’ba. Terkecuali beberapa orang yang benar-benar mengetahui, jika mereka menghargainya ia hanya ikut-ikutan daripada orang terdahulu yang telah melakukannya. Mereka hanya ingin menggambarkan bahawa mereka tidak ketinggalan daripada turut berbual mengenai Za’ba.
II. 
Ciku   Za’ba lebih dikenali sebagai pejuang bahasa Melayu, sedangkan tulisan beliau berkenaan pemikiran agama kurang dikenali. Komen tuan?
Nordin Kardi   Saya berpendapat bagi soalan ini rakan saya Adnan Nawang (2007) telah menjawabnya dengan begitu bagus. Dalam buku “Za’ba dan Melayu” Adnan memetik beberapa pendapat orang lain juga tentang luasnya pemikiran Za’ba berbanding yang hanya dilihat sebagai ahli ilmu bahasa Melayu. Antara pengulas yang telah dipetik oleh Adnan ialah:
1.  Najib Rahman (hal xii)
“The grand oldman (merujuk Za’ba) of malay letters played a major role in moulding the language into an efficient and modern one and is also celebrated for his progressive writtings on education, economy, religion, culture and philosophy”.
2. Syed Muhammad Naguib al-Attas (hal xii)
“Ketahuilah bahawa lama sebelum pakar-pakar ekonomi muncul melaungkan peri kemiskinan Melayu, lama sebelum golongan-golongan sosialis memukul gendang anti-feudalisme, Zainal Abidin bin Ahmad yang bukan pakar ekonomi atau sosialis telah dengan beraninya mengulas, membidas dan melaberak punca-punca dan akar umbi masalah ini”.
3.  Hamka (hal xii)
“Di Malaysia beruntunglah perkembangan bahasa melayu modern dengan timbulnya Pendeta Za’ba (1895-1973). Pendidikan agamanya yang mendalam sejak waktu kecilnya, bimbingan pengetahuan Islam dan Arab dari guru-guru ahli, di antara Syaikh Mohamad Thahir Jalaludin, ditambah lagi dengan pelajarannya yang tinggi dalam bahasa Inggeris, menyebabkan sebagai seeorang muslim sejati dia dapat menghadapi kehidupan modern yang diselubungi oleh penjajahan barat”.
4.  Ali Haji Ahmad (hal xiii)
“Bahawa sebelum terlibat dalam bidang bahasa Za’ba telah terlebih dahulu menjadi pemerhati yang tajam mengenai masyarakatnya”.
5.  Hamdan Hasan (hal xiv)
“Konsepsi politik Za’ba adalah konsepsi politik kebangsaan Melayu dan bangsa yang diperjuangkannya adalah bangsa Melayu di kawasan semenanjung Malaya. Cita-cita ini sangat berlainan dengan gurunya dan kaum muda aliran Mesir lainnya, yang konsep politiknya meliputi wilayah Malaya, Sumatera, Borneo dan Jawa”.
Daripada himpunan ulasan yang dikutipnya Adnan (hal xvi) membuat pendiriannya sendiri yang berbunyi:
“Za’ba terlibat secara langsung dalam perjuangan Islam. Za’ba adalah satu mata rantai yang menjadi tali penyambung kepada suatu gerakan Islam antarabangsa yang aktif menghadapi kolonialisme dan imperialisme dewasa itu, tetapi tumpuan Za’ba lebih banyak kepada masyarakatnya, Melayu dan muslim di Tanah Melayu”.
Semua perkara yang dinyatakan di atas merupakan ulasan terhadap pendapat dan pendirian Za’ba yang simpulkan oleh pengulas-pengulas tersebut berdasarkan tulisan-tulisannya. Jika demikian dapatlah dikatakan bahawa penulisan Za’ba merentasi pelbagai perkara dan bukan semata-mata mengenai bahasa Melayu.
Tentang mengapa tulisan-tulisan beliau dalam bidang yang lain tidak dikenali, jawapannya juga pelbagai mengikut perspektif. Dari perspektif  disiplin ilmu, saya telah huraikan dalam jawapan saya terdahulu bahawa para sarjana di Malaysia agak terikat dalam bidang masing-masing. Bahkan, dalam suatu ekstrem, peneliti dan pengamal ilmu yang membebaskan dirinya daripada ikatan disiplin bidang dianggap sebagai tidak akademik, tidak ilmiah dan lemah kesarjanaannya. Walaupun kalangan sarjana Melayu Islam selalu melaungkan kesyumulan ilmu namun mereka tidak cukup berani dengan birokrasi ilmu yang memagari mereka. Hasilnya mereka menjaga sempadan masing-masing dan sangat bersopan-santun pula dengan sempadan rakan-rakan lain.
Jika Za’ba dilihat dalam sempadan disiplin yang terpencil maka jumlah sumbangan Za’ba tentulah tidak besar kerana orang di dalam disiplin itu tidak mengetahui apa lagi yang telah diperkatakan oleh Za’ba secara jumlah yang menyeluruh. Yang dilihatnya hanyalah umpama serpihan tahi bintang yang jatuh ke bumi. Sedangkan, untuk memahami Za’ba hanya segelintir orang seperti Adnan Nawang sahaja yang melihat Za’ba secara keseluruhan. Dalam konteks bahasa, Za’ba tampil mengemukakan sistem dalam bahasa Melayu. Oleh kerana bahasa Melayu itu ialah medium yang dipakai sebagai pengucap kepada pelbagai disiplin ilmu maka tidak dapat tidak semua orang menggunakan apa yang telah dikemukakan oleh Za’ba. Maksudnya sumbangan sistem Za’ba merupakan teknologi bahasa Melayu yang kegunaannya merentasi kotak-kotak disiplin ilmu. Sebab itulah Za’ba lebih dikenali sebagai pendeta bahasa. Sarjana daripada pelbagai disiplin ilmu mengiktiraf apa yang mereka telah gunakan sebagai hasil sumbangan Za’ba.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.