Pikiran Tidak Tinggi

POLITIK ialah suatu lapangan yang menguja. Tentunya tidak untuk semua orang. Untuk mereka yang setiap hari tidak boleh untuk tidak bercakap tentang politik berkemungkinan besar menganggap orang lain akan sentiasa teruja bila mereka mula membuka cerita politik mereka. Mereka ini dari satu sudut layak dikasihani.
Mungkin anda pernah mengalami situasi seperti ini: ketika anda sedang melepak, bersembang dengan teman-teman sambil menikmati kopi dan teh tarik masing-masing; entah dari mana tiba-tiba datang seorang kenalan dengan penampilan yang sentiasa sibuk 24 jam terus duduk di meja untuk join minum bersama. Dan tanpa bertanyakan apa cerita anda dan teman-teman lain sedang bersembang ketika itu, dia terus mengambil kedudukan sebagai pengerusi dan mula membuka topiknya. Tidak lain topik itu ialah politik. Dari mulutnya keluar nada dan frasa yang sangat jelas berpihak kepada kumpulan yang disokongnya.
Anda pula mungkin dalam keadaan tidak ada mood untuk melontar pandangan berbeza, atau mungkin untuk menjaga hati kenalan yang sentiasa sibuk 24 jam itu – jadi pendekatan yang anda ambil ialah sekadar senyum dan menganggukkan kepala sahaja.
Saya berani mengatakan bahawa anda ialah seorang ahli sufi jika anda tidak merasa terganggu walau pun sedikit dengan sikap kenalan tadi. Pertama diri beliau ialah seorang yang tidak tahu menghormati rakan-rakan bila beliau datang dan terus memotong perkara yang sedang disembang oleh rakan-rakannya. Kedua beliau seorang yang berperibadi tidak sensitif bila kata-kata yang keluar dari mulutnya hanya mengiyakan pihak yang disokongnya sahaja dan menyalahkan pihak yang tidak disokong. Walhal di depannya waktu itu ialah diri anda dan teman-teman lain yang mungkin ada perspektif sendiri atau bersimpati dengan pihak yang dikatakan semuanya salah itu.
Hari ini sangat berbeza. Situasinya tidak lagi terhad di tempat minum. Ia bertambah pesat di laman sosial, medium online. Mungkin faktor tidak berdepan secara fizikal menjadikan pihak yang obses dengan politik semakin sukar menguruskan diri mereka. Sebahagiannya sudah membuang maksud sensitif dalam hubungan sesama rakan. Kata-kata kesat untuk memburuk dan menghina pihak yang tidak disokong menjadi satu kebiasaan. Yang pelik ia turut juga berlaku kepada muslim yang sangat menjaga solat lima waktunya tanpa tercicir.
Menurut seorang kenalan (bukan berwatak sibuk 24 jam) bila saya ajukan hal ini, beliau mengaitkannya dengan budaya hidup di sini yang belum lagi sampai ke tahap budaya hidup berfikiran tinggi. Di sini katanya, perasaan untuk tidak menyakiti (sensitif) dalam perhubungan hanya bersandar pada ‘supaya diri masing-masing itu diterima dalam kumpulan’ – seperti yang ketara dalam sampel kehidupan di kampung. Sandaran ini bukanlah satu justifikasi yang kuat, dan dengan serius katanya, sikap untuk mengelak dari menyakiti orang lain itu masih belum beranjak menjadi suatu pegangan hidup (prinsip).
Bila saya bertanya adakah mereka berpolitik semata-mata untuk politik, dia berpendapat kumpulan ini pun bukan boleh membezakan sama ada mereka berpolitik semata-mata untuk politik atau untuk perkara lain. Ia lebih kepada mengikut arus popular, lebih kepada faktor rasa yang melulu, dan jauh sekali daripada membuat pertimbangan dengan tahap pemikiran yang tinggi kerana budaya hidup mereka belum sampai ke situ.
Saya juga cuba mendapat kepastian darinya sama ada adakah ada jalan penyelesaian segera yang boleh diambil. Dia mengiyakan – katanya mungkin ada jalan penyelesaian yang boleh mengambil masa relatif singkat dan itu tidak mustahil. Dia memberi contoh misal kata orang politik baik yang menerajui kerajaan semasa dan orang politik yang berpengaruh di luar kerajaan; jika kedua pihak benar-benar serius mahukan perkara ini selesai maka idea-idea dan usaha ke arahnya dapat digembeleng bersama. Cuma usaha bersama ini menurutnya nampak seperti sukar untuk berlaku memandangkan orang politik di sini juga turut bergantung kepada pekerja parti dan penyokongnya yang mengambil sikap tidak sensitif seperti itu untuk meluaskan lagi pengaruh politik mereka.
Pada kelompok yang agak rimas dengan situasi seperti ini nampaknya tidak ada pilihan. Mereka perlu terus menghadapinya untuk beberapa waktu lagi, mungkin sedekad mungkin juga lebih, sehinggalah budaya hidup di sini telah beranjak ke tahap budaya hidup berfikiran tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.