Umno, Pendidikan dan Dong Zhong

DONG ZHONG atau Persatuan Pengelola-Pengola Sekolah Cina diberitakan mengumpul kurang lebih 6,000 kaum Cina di  sekitar Dataran Petaling Jaya pada 25 November 2012, dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO, untuk mendesak dan membantah Pelan Pembangunan dan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang mereka dakwa sistem pendidikan negara ini tidak adil kepada sekolah vernakular Cina.
Perkara seperti ini hampir jarang berlaku kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan mirip UMNO atau oleh pertubuhan itu sendiri, mungkin wakilnya yang sekarang ini dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang jika ada usul mengenai pendidikan akan dimasukkan dalam Perhimpunan Agung UMNO.  Apakah orang Melayu sudah berpuas hati dengan sistem pendidikan Malaysia yang ada sekarang?  Atau adakah kebanyakan kehendak kaum yang ditakdirkan Melayu itu sudah dipenuhi oleh Kementerian Pelajaran?
Hujah Dong Zhong khususnya setiap kali tiba pilihan raya adalah kerajaan yang ditunjangi UMNO bercita-cita melaksanakan aliran tunggal atau dengan sengaja mahu menyisihkan sekolah rendah vernakular.  Hujah itu tidak pernah basi.  Ianya dimain-mainkan hampir setiap hari melalui akhbar-akhbar berbahasa Cina termasuk Sin Chew Jit Poh, China Press atau Nanyang Siang Pau.  Sentimen itu biarpun dibara-barakan, tidak pernah berani kerajaan mengambil tindakan.
Menariknya, baik perhimpunan yang dihadiri oleh hampir semua kaum Cina dan sekolah-sekolah berkenaan dihimpuni oleh satu kaum sahaja, mereka tidak pernah menganggap mereka rasis.  Yang selalu dituduh ialah kerajaan mengamalkan sikap rasis dengan mengabaikan sekolah Cina.  Penuduh dapat membersihkan tangan.
Dari segi politik, Dong Zhong kelihatan ditakuti dan dihormati oleh kesemua parti berasaskan kaum Cina seperti DAP, Gerakan dan MCA.  Akhir-akhir ini kelihatan dengan sengaja taktik pertubuhan itu bertukar dengan meburuk-burukkan MCA, walaupun parti berkenaanlah sejak merdeka sehingga kini berjuang dan berjaya memenuhi kehendak komuniti Cina di negara ini.
Seorang rakan memberitahu kali ini, kempen mereka ‘no single vote to MCA’.
Adakah Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menghunuskan keris untuk isu ini dan kemudian meminta maaf atau mengemukakan idea lain yang lebih membina untuk negara bangsa?  Pilihan kemudian ini nampak menarik untuk diteruskan kerana pilihan pertama itu pernah dicuba Oleh Hishamuddin Tun Hussin tetapi kemudiannya memohon ampun.
Kempen memperkasakan sekolah kebangsaan selalunya dilihat oleh kumpulan Cina ini sebagai langkah untuk memperkenalkan aliran tunggal dan seterusnya menghapuskan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina (SRJKC), walaupun jaminin telah dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996 oleh Najib Tun Razak, yang kini Perdana Menteri.
Penjelasan serasional manapun seperti tidak lagi boleh diterima oleh mereka selagi benih ketidakpercayaan itu dibara-barakan setiap masa sejak beberapa generasi sehingga kini.
Pendekatan paksaan juga tidak berjaya dalam konteks matriks parti-parti politik sekarang kerana masing-masing berusaha untuk mendapatkan kepercayaan kaum Cina dan sekali gus untuk memenangi pilihan raya kerana pendidikan telah dianggap sebagai Tuhan kedua kepada komuniti berkenaan.
Namun begitu, fakta nyata tidak kira Melayu, Cina atau India turun bergerak kerana dorongan ekonomi.  Andainya sekolah menggunakan medium bahasa Melayu kelihatan mampu mengangkat ekonomi seseorang tidak mustahil pendidikan sekolah kebangsaanlah akan menjadi pilihan pertama setiap ibu bapa.
Dalam keadaan sekarang ekonomi dikuasai hampir sepenuhnya oleh kaum Cina dan menguasai bahasa Cina seakan-akan prasyarat kepada sesiapa yang ingin berjaya dan kaya, maka bahasa Cina khususnya Mandarin menjadi tarikan yang kedua selepas bahasa Inggeris bagi mereka yang mahu membabitkan dalam dunia korporat peringkat global dan bahasa Mandarin untuk terlibat dalam  transaksi perniagaan domestik.
Inilah sebab sebilangan keluarga Melayu pun memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke SJKC.  Seandainya bahasa Mandarin tidak ada nilai ekonomi tentu sekali tidak ada kaum lain untuk memasuki SJKC, kecuali atas sebab lokasi sekolah kebangsaan yang jauh dari tempat tinggal.
Mahathir Mohamad ketika tahun-tahun terakhir sebagai Perdana Menteri telah memberikan formula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002, dengan harapan setiap kaum kembali kepada sekolah kebangsaan untuk perpaduan.
Mahathir yang telah melalui dan melaksanakan Penyata Razak dalam tahun 70-an hingga 80-an menggubal formula berkenaan selepas melihat berlaku segregasi kaum sejak di peringkat sekolah rendah akan menyukarkan wujudnya perpaduan bangsa Malaysia.  Dasar berkenaan bagaimanapun telah dimatikan oleh Muhyiddin Yassin atas permintaan sebahagian orang Melayu juga.  Mahathir memperkenalkan PPSMI selepas mendapati idea Sekolah Wawasan iaitu sekolah yang mengumpulkan tiga aliran dalam satu kawasan, gagal dilaksanakan kerana ditolak oleh Dong Zhong.
Adakah Pelan Pembangunan Pendidikan yang dicetuskan oleh Muhyiddin mempunyai formula untuk mengembalikan kaum lain untuk memupuk perpaduan nasional atau membiarkan segregasi semakin berleluasa.
Justeru, kaedah yang diperlukan sekarang ialah bagaimana untuk memastikan pendidikan di sekolah kebangsaan mempunyai tarikan ekonomi.  Contohnya, Kementerian Pelajaran memastikan setiap pelajar Sekolah Berasrama Penuh menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam asrama, jika tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium dalam pengajaran dan pembelajaran.
Idealnya, semua sekolah sama ada rendah dan menengah kembali kepada bahasa Inggeris sebagai medium berkenaan, tetapi langkah itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan ahli-ahli bahasa yang akhirnya mengagalkan hasrat murni berkenaan.
Sekolah swasta dan sekolah antarabangsa termasuk Tunku Jaafar College, Halim Saad College, Garden International School menjadi tarikan kepada golongan elit di negara ini kerana mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran, guru-guru berkualiti dan pencapaian keputusan yang cemerlang dalam SPM.
Mungkin pendekatan awal boleh dilaksanakan di semua SBP seluruh negara dengan memastikan setiap pelajar dapat sekurang-kurang berkomunikasi dengan agak lancar sebaik sahaja melepasi tingkatan lima.  Langkah berkenaan kemudiannya diperluaskan sedikit demi sedikit di Sekolah Berprestasi Tinggi, dan akhirnya di semua sekolah.
UMNO tidak perlu untuk berlawan dengan Dong Zhong dalam hal pendidikan, tetapi UMNO melalui Biro Pendidikannya atau cawangan Puteri yang rata-ratanya terdiri dari profesional dapat turut terbabit dalam memperkasakan pendidikan Bumiputera melalui penglibatannya dengan pelajar-pelajar berkenaan seperti tuisyen dan sebagainya.
Melalui kaedah yang tidak berperang seperti ini akan dapat memulihkan imej pendidikan anak-anak Bumiputera dan akhirnya dengan sendiri sekolah aliran kebangsaan akan menjadi tarikan kepada semua kaum di negara ini.

3 thoughts on “Umno, Pendidikan dan Dong Zhong

  1. Pendidikan aliran Cina halang perpaduan

    Teo Kok Seong
    rencanabh@bharian.com.my
    2012/12/01

    Pendidikan aliran Cina di Malaysia, yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, mempunyai warisan cemerlang yang sudah berusia dua abad. Ia sering dipuji kerana mutu pendidikannya yang tinggi. Ini hasil daripada pengurusan yang cekap serta pembabitan komuniti yang aktif. Kini terdapat 1,280 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan 60 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

    Walau bagaimanapun, ia selalu dipersepikan sebagai antinasional pada julat yang paling ekstrem dan sebagai isu perkauman saja pada julat yang kurang ekstrem. Hal ini disebabkan, antaranya oleh perjuangan dan tuntutan sesetengah persatuan Cina. Antaranya adalah Dong Zong, iaitu Persatuan Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Jiao Zong, iaitu Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia. Perjuangan dan tuntutan dua persatuan ini sering didapati keterlaluan. Ini kerana mereka tidak mahu mengambil kira Malaysia sebagai masyarakat majmuk, dengan kaum Melayu selaku penduduk asal dan dominan. Sehubungan ini, dalam banyak tindakan mereka, resam di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, sengaja dikesampingkan.

    Usaha parti politik Cina, seperti MCA dan GERAKAN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah Cina, seperti kesesakan pelajar dan kekurangan guru, bukan saja diperlekeh. Malah, ia ditolak sebagai tidak sesuai untuk pelestarian pendidikan aliran Cina di Malaysia oleh dua persatuan ini.

    Persepsi umum masyarakat Malaysia, khususnya daripada kaum Melayu dan juga sebilangan orang Cina sendiri, mengenai pendidikan aliran Cina adalah penghalang kepada perpaduan yang cuba dipupuk, melalui sistem pendidikan kebangsaan. Hal ini didapati benar apabila diteliti beberapa tuntutan dan syarat yang pernah dan sedang dihantar sebagai memorandum oleh dua persatuan ini kepada kerajaan.

    Pertama ialah keengganan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk Malaysia Negaraku, mata pelajaran kerakyatan yang sepatutnya mula diajar pada 2011 melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ia yang hanya mengambil masa 30 minit seminggu dan ingin disampaikan dalam bahasa Melayu, sebagai lambang negara, untuk membentuk jati diri kebangsaan dalam kalangan golongan muda kita, ditolak atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

    Kedua ialah syarat penempatan guru. Semua guru yang berkhidmat di sekolah jenis kebangsaan Cina, dikehendaki memiliki kepujian dalam bahasa Mandarin pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia, walaupun sesetengahnya tidak pun mengajar mata pelajaran yang menggunakan bahasa itu. Dengan pelaksanaan syarat ini, boleh dikatakan semua guru di sekolah Cina, akan terdiri daripada kaum Cina saja. Peraturan begini sudah tentu boleh menjejaskan pemupukan perpaduan di sekolah.

    Guru hanya kaum Cina

    Ketiga ialah keengganan menambah masa pendidikan bahasa Melayu untuk kedua-dua tahap satu dan dua, serta menyelaraskan sukatan pelajaran bahasa Melayu untuk tahap dua agar sama dengan yang digunakan di sekolah kebangsaan. Tujuannya adalah untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan pelajar Cina agar menjadi lebih baik lagi.

    Sesungguhnya tiga tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai perbuatan keterlaluan untuk melindungi bahasa Mandarin selaku bahasa etnik Cina. Malang sekali, ia dilakukan dengan mengetepikan bahasa Melayu, yakni bahasa negara yang diberi peranan untuk menyatukan rakyat dan membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda.

    Akibat keadaan yang tidak mesra kepada bahasa Melayu ini, lepasan sekolah Cina rata-ratanya didapati bukan saja tidak cekap berbahasa Melayu. Tetapi lebih malang lagi mereka tidak mempunyai sikap integratif terhadap bahasa Melayu dan juga orang Melayu selaku penutur jatinya. Sehubungan ini, mereka didapati tidak mampu mempamerkan jati diri kebangsaan, khususnya dalam konteks kecekapan berbahasa Melayu.

    Oleh sebab keengganan kaum Cina untuk ikut membantu memupuk perpaduan dan membentuk jati diri, melalui bahasa Melayu, tujuan murni kerajaan untuk membina negara bangsa yang bersatu padu dan rakyat yang berjaya mempamerkan jati diri kebangsaan dengan menggunakan lambang dan proses sosiobudaya Melayu, tidak kesampaian.

    Sesungguhnya, bahasa Melayu mampu menyatupadukan rakyat kita yang berbilang kaum, serta mampu membentuk jati diri kebangsaan yang utuh dalam kalangan kita semua. Hanya kita sendiri yang menghalangnya atas kejahilan bahawa pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik itu, boleh menggugat etnisiti tertentu.

    Penulis Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

    Like

  2. SWASTAKAN SEKOLAH CINA DAN TAMIL

    ADA beberapa model untuk digunakan bagi menyelesaikan kemelut adanya sekolah cina dan tamil di negara ini, kerana dengan adanya SRJKC/SRJKT impian perpaduan Malaysia adalah palsu.

    1Malaysia – satu impian sia-sia jika anak-anak kecil diasingkan sejak mereka mengenali erti persahabatan. Persahabatan kepada anak-anak Cina ialah orang Cina di sekolahnya. Begitu juga Tamil dan Melayu.

    Sedangkan, ada satu sekolah yang bukan bermatlamatkan kaum, tetapi untuk seluruh anak-anak bangsa, iaitu sekolah kebangsaan, tidak dimanfaatkan. Untuk penyatuan anak-anak kita.

    Jadi apa erti perpaduan 1Malaysia – satu harapan palsu.

    Rakan aku pernah mencadangkan jika kita mahukan satu perubahan kepada usaha mewujudkan perpaduan negara, maka sekolah-sekolah berasaskan kaum perlu dihapuskan.

    Jika tidak mahu hapuskan kerana politik, maka pendekatan lain boleh digunakan seperti mengswastakan semua SRJKC dan SRJKT sebagai institusi swasta – seperti berlaku kepada 60 sekolah menengah persendirian Cina – yang dikatakan wujud sebelum merdeka dan menggunakan kurikulum dari negara Cina atau Taiwan.

    SRJKC/T masih dalam kerangka berbantuan modal atau dibiayai oleh negara atau Kementerian Pendidikan tetapi kementerian tidak boleh menentukan guru besar, perpindahan guru-guru kerana mereka ditentukan oleh Lembega Pengelola masing-masing.

    Jika mereka mempunyai Lembaga Pengelola seperti board syarikat korporat lain, maka sewajarnya mereka wujud sebagai entiti swasta.

    Dengan cara ini, wujud sebagai entiti swasta, maka mereka perlu menjadikan sekolah mereka menarik, iaitu dengan memasukkan kaum lain juga di sekolah berkenaan dan/atau menggunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia, bukan lagi bahasa yang berteraskan kaum.

    Mana ada dalam dunia hari ini yang membenarkan bahasa sendiri digunakan sebagai medium of instruction, melainkan bahasa negara berkenaan?

    Like

  3. Maklumat tambahan, dalam buku Politik Dong Jiao Zhong tulisan Dr Tan Yao Sua, mencatatkan beberapa desakan berterusan antaranya:

    1. Mempertahankan penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.
    2. Mengekalkan ciri2 tradisi sekolah vernalular Cina.
    3. Dikatakan kuasa Melayu mahu menghapuskan SRJKC, seperti mana berlaku kpd sekolah menengah. Kini, ada kira-kira 60 sekolah persendirian Cina yg masih menggunakan bahasa Mandarin sebgai bahasa pengantar. Dan, mereka mengambil peperiksaan sendiri yg dinamakan UEC, dikatakan setaraf dengan STPM.
    4. Bahasa Cina perlu diiktiraf sebagai satu daripada bahasa rasmi negara.
    5. Penubuhan Universiti beraliran Cina. Dulu dinamakan Universiti Merdeka.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.