Berhantunya Lagu Anak Kecil Main Api

imagesEE230
SEORANG kawan lama menghantar sms. Tulisnya: lagu Warisan Pakdin memang berhantu. Saya membalas sms kepada beliau. Ringkas, dengan maksud menyetujui pandangannya.
Saya termenung seketika sebelum menulis artikel dengan tajuk ini. Bermacam-macam hal bermain di kepala. Banyak angle yang boleh disorot. Akhirnya saya membuat keputusan yang agak mudah. Biarlah saya tulis mengenai apa yang saya tahu dan ‘rasa’ mengenai  lagu ini.
Tajuknya jika digoogle sebagai ‘lagu Warisan’ akan dibayangi lagu Allahyarham Sudirman dengan judul yang sama. Namun peminatnya akan lebih mengenali dengan julukan ‘Anak Kecil Main Api’. Hasil carian di internet mengejutkan dari segi jumlah carian dan jumlah pengunjungnya, mencapai puluh ribuan.
Pelbagai versi keluar, dari versi asal nyanyian Shagul, versi asal secara koir serta versi RTM yang telah dimodenkan dengan susunan muzik yang baru. Itu pun tak mengapa. Yang tak sedapnya disusun lirik yang baru, yang pada pandangan saya sungguh merosakkan semangat asal lagu berkenaan. Ada juga versi anak-anak nakal yang tak perlu dicatatkan di sini. Hal itu barangkali menyebabkan kawan saya menyebutnya berhantu.
Kepada yang melalui pengalaman menyanyikannya, mereka akan kenali lagu ini dengan rentak, lirik dan susunan muzik asal. Dahulu pelajar dari MRSM telah didedahkan dengan lagu berkenaan. Begitu juga dengan para peserta kursus kenegaraan. Mereka menyanyikannya sebagai penghayatan untuk mencintai tanah air mereka.
Sebagai sebuah lagu evergreen dalam kategorinya yang tersendiri, ia sering melalui salah tafsir. Suatu ketika ia ditafsir oleh sekumpulan orang Melayu sebagai penyemarak api perkauman. Fahaman saya yang mungkin tidak tepat; lagu ini pada saya bersifat sejagat – sekalipun mengambil tema Melayu sebagai cara ia diwakili.
Mengapa hendak dinafikan sifat kebangsaan sesuatu kaum yang tidak mungkin boleh dihilangkan? Itulah kesejagatannya. Bukankah di mana-mana saja kita pergi ke dunia ini, kita akan dihidangkan dengan tradisi kaum di Negara berkenaan.
Salah tafsir yang lain sering kedengaran dikaitkan dengan perkataan ‘main api’, ‘terbakar’  dan ‘air mata darah’ yang cuba dibawa kepada makna punca pencetus keganasan. Sedangkan ayat penuhnya ‘anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi’. Api dimainkan anak kecil, dan yang terbakar adalah hati — itu metafora yang sangat baik menggambarkan realiti menjaga tanah air. Dengan memahami keseluruhan lagu itu, ia akan membawa makna bahawa tanah air ini perlu dijaga oleh semua ‘kaum’.
Perkataan kaum di atas sengaja diletakkan pengikat kata kerana sekalipun penulis liriknya meletakkan perkataan Melayu dalam liriknya, Melayu mewakili seluruh kaum di tanah air ini. Pada kefahaman saya terhadap penulisnya, Melayu itu adalah semua yang bernaung dan bersumpah taat setia di sini. Hal ini sukar difahami kerana kerangka warga semasa masih dikotakkan ke dalam kaum A, B dan C.
Sepanjang mengenali penulis lirik ‘Anak Kecil Main Api’, tidak mungkin beliau meletakkan asas kefahaman perkauman sempit sebagai tujuan penciptaan lirik lagu ini. Sekurang-kurangnya beliau berorientasikan Melayu yang maju – Melayu kan Gagah di Nusantara – yang jelas orientasi kebaikannya untuk semua warga Malaysia, malahan warga dunia.
Kefahaman ini tidak berbeza dengan perjuangan kewarganegaraan besar beberapa tokoh awal seperti Dato Onn, atau memberi nama kebangsaan (Melayu) kepada semua warganegara sebagai prinsip Kesatuan Melayu Muda. Namun hal itu sukar dikotakan akibat daripada realpolitik semasa dan segmentasi kaum.
Entah bagaimana saya merasakan lagu ini sentiasa mengekori kembang kuncup parti utama orang Melayu. Ia melalui zaman pahit manisnya; ia hampir tidak dinyanyikan di masa senang, namun diingati di masa susah.
Jadi apabila lagu ini dinyanyikan saudara Ariff Yassir di perhimpunan agung UMNO, yang menyebabkan Presiden parti, dan hampir kesemua perwakilan berdiri menyanyikannya, kepada saya ia menandakan suatu signal yang penting  kepada parti itu yang memerlukan perubahan drastik. Lagu ini semacam mewakili psyche politik terdalam orang Melayu.
Hal ini boleh dicontohkan kepada sekurang-kurangnya dua peristiwa yang cukup saya ingati; satunya selepas program di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di mana seorang pegawai jabatan tinggi menegur kerana dinyanyikan lagu itu dalam program besar tersebut. Satu lagi kenangan di sebuah majlis di bangunan Parlimen, di mana seorang pemimpin meminta supaya lagu itu digantikan dengan lagu yang ‘lebih sesuai’.
Sudah pasti saya, sebagai peminat lagu itu tidak menyalahkan kedua-dua peristiwa tadi, ataupun kepada pemimpin-pemimpin yang menegur, kerana cukup difahami situasi politik sewaktu ‘arahan’ itu berlaku. Mungkin mereka (pemimpin berkenaan) merasakan kesukaran menebak tafsiran sebenar lagu itu akan mengundang salah tafsir kerana orang awam menerima tafsiran luaran yang senang dimanipulasi pihak lain.
Susunan liriknya memang memerlukan tafsiran yang cukup teliti. Saya yakin jika ditanyakan pengarangnya sekalipun, kita tidak akan diberitahu banyak, melainkan akan dimaklumkan bahawa hak mentafsir terletak kepada pendengar lagu, bukan pencipta atau penulis liriknya.
Dari sudut yang lain, begitulah sifatnya mana-mana karya besar. Ia tidak akan terlalu jelas, amat terbuka kepada tafsiran mengikut kesesuaian zaman dan tak akan luput ditelan hal-hal yang trendy.
Setelah saya bermenung panjang, saya berfikir semula, alangkah benarnya sms teman saya itu, lagu  Anak Kecil Main Api memang berhantu!
Warisan
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara (3X)
Penulis lirik: Dr. Nordin Kardi
* Nota— lirik sebenar lagu Warisan di atas disiarkan semula bagi tujuan dokumentasi Media Suaris. Pengubahsuaian lirik tersebut adalah tidak beretika sama sekali walau dibuat dengan apa tujuan sekalipun melainkan mendapat kebenaran penulisnya.

9 thoughts on “Berhantunya Lagu Anak Kecil Main Api

      • Arwah pon dah tak ada.. Saya pun tak ada bukti. Semoga roh arwah ditempatkan bersama org2 yg beriman.. InsyaAllah Aaminn.
        Yg penting saya stuju dgn penulisan tuan. Jiwanya.
        Tanah Tumpah Darah Ku.

        Like

    • Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

      Lagu Anak Kecil Main Api ini pernah dinyanyikan ketika menghadiri Kem Bina Semangat di pulau Langkawi, Kedah pada 1996.[perlu rujukan] Penganjur program ini ialah Pergerakan Pemuda UMNO Hulu Langat, Selangor . Ketika itu ahpi parlimen Hulu Langat ialah Dr Zainal Abidin Ahmad.

      Penulis senikata dan lirik lagu Warisan ini ialah Tan Sri Nordin Kardi, Pensyarah UPSI

      Like

  1. Bangkitlah wahai Bangsa Melayu…bangkit dari lenamu…bangkitlah pertahankan sejarahmu yang gemilang…sedarlah bangsaku, jatidiriku, amokku hanya untuk menegakkan kalam ALLAH dibumi yang dijanjikan…..insyaalah

    Like

  2. secara harfiahnya lagu ni dari zaman penglipur lara yang ingin menyatakan perihal bangsa melayu harus maju dan mempertahankan hak melayu akan tetapi kita tidak mempelajari peristiwa silam sehinggakan kita bergaduh antara satu sama lain yang menyebababkan bangsa lain mengambil kesempatan terhadap kita dan tiada apa yang tinggal melainkan 13 % rizab melayu yang bakal diambil kaum lain untuk tempoh masa mendatang

    Like

  3. saya amat bersetuju lirik lagu ini tidak boleh ditukar sama sekali atau diubah untuk tujuan apa-apa sekali pun…. perubahan pada lirik tersebut telah menunjukkan kita tidak serius dengan kepunyaan kita terhadap Tanah Melayu hak milik kita yang perlu dipertahankan walau apa sekali pun….sedih dengan keadaan sekarang….

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.