Mengelak Propaganda

images213
DALAM radio, television, akhbar dan media internet mutakhir ini, propaganda atau perang saraf oleh parti politik pemerintah dan bakal memerintah memainkan peranan yang luar biasa hebatnya demi untuk memenangi hati dan fikiran rakyat agar memilih mereka untuk memimpin negara dalam pilihan raya yang pastinya awal tahun depan.
Dalam politik mahupun kehidupan biasa, persepsi memainkan peranan utama untuk seseorang membuat sesuatu keputusan. Propaganda dan perang saraf menggunakan kepercayaan ini – bahawa persepsi itu boleh menutup kebenaran, seolah-olah itulah kebenaran. Secara umumnya propaganda ialah sejenis komunikasi yang bertujuan untuk mempengaruhi sikap seseorang atau sekelompok dengan memberikan sebahagian maklumat.  Ianya diulang-ulang dan disebarkan ke kumpulan sasar bagi mempengaruhi mereka agar hati dan fikirannya mengikut kehendak propagandis.
Malah tahun lalu pada 15 Ogos 2011 Perdana Menteri Najib Tun Razak ketika berbuka puasa dengan agensi BERNAMA ada berkata ” …. we have to adjust ourselves in this modern era, where perception is bigger than the truth.”  (Dalam zaman ini kita kena ubah diri kita, tatkala persepsi menguasai kebenaran).
Dulupun begitu. Kita mudah terpukau. Sejarah pun banyak kali merakamkan bahawa persepsi biasanya boleh mengelabui kebenaran, meski kebenaran tetap kebenaran, seumpama kebenaran dengan mentari yang tetap mengeluarkan cahaya, meskipun bumi ini kadang-kala cerah, kadang-kala mendung.
Dalam persepsi misalnya ada kepercayaan bahawa tak mungkin seorang yang boleh berkhutbah dan bercakap agama tetapi minat kepada kegiatan homoseksual. Kontradik. Sesuatu yang kontras tak mungkin boleh wujud dalam dunia yang harmoni ini, kata akal kita.  Inilah sebabnya ramai orang politik berminat memakai pakaian agama.
Masih dalam kerangka yang sama, misalnya parti politik dibajukan dengan Islam. Agar persepsi orang Melayu, tidak mungkin parti Islam berbohong. Tidak mungkin parti Islam melakukan perbuatan mungkar. Tidak mungkin parti berkenaan melakukan perbuatan yang salah. Memang betul parti berkenaan tidak berdosa, tidak bersalah, tidak berbohong tetapi manusia di dalamnya melakukan perbuatan yang sama sama ada parti cap ayam, cap itik atau berlambangkan mata jin.
Begitu juga di pihak pemerintah, mereka mendakwa sejak merdeka hingga kini hanya ada satu parti sahaja yang layak dan berkeupayaan memerintah, sedangkan parti lain akan membawa huru-hara atau memufliskan negara.
Media nasional seperti TV3, RTM termasuk berpuluh siaran radionya mengulang-ulang ucapan pemimpin yang menyatakan ayat demikian agar kepercayaan massa bahawa tidak ada parti lain boleh mengetuai Dewan Rakyat.
Seandainya ada pihak lawan yang menyatakan mereka juga berkemampuan, maka dikatakan ‘jangan bermain dengan eksperimen’,  kaedah ini juga pernah digunakan oleh pakar propagandis Joseph Goebbels dengan kata-kata, musuh sedang berusaha menghapuskan rakyat German dalam dunia.
Namun begitu, patutkah kita hanya berpegang pada persepsi yang merupakan ilusi kepada hakikat, seumpama sekumpulan lelaki dalam gua yang hanya melihat pantulan cahaya matahari seperti digambarkan oleh Plato dalam The Allegori of the Cave. Mereka tak pernah melihat dan menikamati secara terus matahari.
Untuk mengelak daripada serangan propagandis khususnya dalam musim yang menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pakatan pembangkang, perlu kita mengenali strategi atau alat yang biasa digunakan, dan dengan demikian kita dapat mengelak dari dipukau oleh angin propaganda tanpa disedari.
  • Ad Hominem.  Teknik ini digunakan oleh ahli politik atau ahli korporat untuk menyerang musuh, bukan menyerang hujah musuh.  Misalnya, apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik mendedahkan sesuatu kepincangan ketua umum PKR, maka gerombolan PKR akan menghentam diri si Rahim, bukan kepada kebenaran yang didedahkan
  • Pengulangan bertubi-tubi sesuatu idea, seolah-olah idea itulah kebenaran.
  • Rujukan kepada hero.  Jika artis tersohor seperti Ebby Abady boleh masuk Pas, orang lain juga seharusnya masuk juga Pas.  Jika ketua polis pun tidak berminat dengan UMNO, maka orang ramai tidak seharusnya memilih parti itu.
  • Ancam dengan ketakutan.  Orang Melayu akan lenyap jika diperintah oleh DAP.
  • Teknik bandwagon.  Orang ramai telah berbondong-bonding masuki UMNO, mengapa anda belum lagi?
  • Menjulingkan maklumat.  Kaedah ini digunakan dengan membekalkan hanya sebagaian maklumat agar kumpulan sasar hanya mempercayaiu maklumat yang diperolehinya.
  • Euphoria.  Teknik ini memberikan kegembiraan yang boleh menaikkan semangat kumpulan sasar, seperti kerajaan memberikan bonus kepada kakitangannya, apa lagi dengan dibahagikan kepada dua bulan agar rasaan terima kasih itu terus tertumpah kepada kertas undi.
  • Pelabelan.  Melabelkan kumpulan musuh dengan ayat yang emotif.
  • Mengkambinghitamkan musuh.
  • Slogan
  • Stereotyping.  Misalnya menyatakan UMNO memang perasuah.  Walaupun jumlah yang rasuah itu memang ada di kalangan ahli-ahli berjuta-juta itu, tetapi meletakkan keseluruhan UMNO sebagai perasuah itu boleh menarik kebencian orang ramai kepada parti berkenaan.
  • Testimonial.  Misalnya, di kulit buku ada diletakkan pujian-pujian pakar-pakar, sedangkan itu diambil sebahagian sahaja.
  • Teknik orang ketiga.  Kaedah ini digunakan untuk memujuk orang ramai menerima sesuatu idea atau produk dengan menggunakan orang ketiga.  Misalnya, iklan ubat gigi Colgate menggunakan doktor untuk memuji ubat gigi berkenaan.
Ada banyak lagi teknik digunakan untuk menjayakan sesuatu propaganda, dengan harapan kumpulan sasar akan mengambil pendirian seperti yang dikehendaki. Apabila mengetahui cara-cara yang biasa digunakan propagandis, maka dengan sendirinya orang ramai dapat mengelak diri.

One thought on “Mengelak Propaganda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.