Respons Umar Zain kepada Dr Bakri Musa

20121210-020554-PM.jpg
TERIMA KASIH Dr Bakri atas komen yang diberikan kepada artikel saya sebelumnya dalam Suaris. Kepada pembaca, komen Dr boleh dibaca di bawah artikel ‘Bakri Musa: Antara Nasionalis, Idea dan Pertentangan Ideologi’. Secara peribadi saya melihat buah fikiran Dr amat maju, dinamik dan sedikit agresif. Sepertimana yang ditulis dalam artikel berkenaan, kekuatannya adalah pada aspek pragmatiknya idea-idea berkenaan. Jadi, fikir saya bertepatanlah jika dibandingkan sifat-sifat ini dengan pemikiran Allahyarham Rustam A. Sani. Selain dari itu, Dr juga mewarisi sifat Rustam yang lain iaitu prolifik dalam menulis, berani menyertai forum-forum dan konsisten dengan pandangan yang diberikan.
Mungkin disebabkan perbezaan pemikiran dan percubaan mengoperasikan idea-ideanya ke alam realiti, Rustam telah menyertai politik dan telah diberikan jawatan tertentu. Namun demikian, peranan beliau tidak kelihatan berkesan dan menyerlah berbanding dengan bidang penulisannya. Beliau juga kelihatan sedikit kaku apabila cuba mengaplikasikan idea-idea khususnya berkaitan sosiologi politik dalam penulisannya pasca penyertaannya dalam Pakatan Rakyat.
Kelihatannya identiti Rustam yang dahulu hilang di mana kebebasan mengkritik yang leluasa dilakukannya akan dibayangi kritikan terhadap pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat. Hal ini tidak menghairankan memandangkan Rustam dalam tulisan-tulisannya selama ini secara sinikal mengkritik dasar-dasar dan kepimpinan parti tertentu, khasnya PAS selain dari dasar-dasar kerajaan yang memerintah.
Begitu juga dengan Dr Bakri Musa. Fikrahnya dianggap condong kepada pembangkang. Sepertimana intelektual sejati lain sepertinya, sekalipun beliau menyokong pembangkang, namun tidak semua idea yang diutarakan pembangkang disokongnya. Dasar dan idea PPSMI disokongnya dengan hujah-hujah yang hampir-hampir tidak dapat dipatahkan sekalipun oleh kumpulan penentang dasar tersebut yang terdiri dari cerdik pandai bahasa dan professor sains/matematik. Hujah beliau bersandarkan kajian dan bacaan yang luas. Emosi dan nostalgia hampir tiada dalam buah fikirannya.
Begit juga dengan komentarnya kepada PAS. PAS nampaknya seakan tiada dalam penulisannya. PAS bukan apa yang diminatinya. Namun demikian, seperti juga Rustam, Dr Bakri akan sedikit tergagap apabila menyentuh soal real politik. PAS tidak mungkin disingkirkan dari Pakatan Rakyat walau sekuno manapun idea yang dibawanya. Malah PAS adalah tonggak. PAS, mahu tidak mahu adalah kingmaker dalam Pakatan tersebut. Munculnya Anwar kembali dalam peta politik Malaysia disebabkan PAS dengan segala tradisi gerakannya yang hebat, bersungguh-sungguh, komited dan mempercayai gerakan mereka berasaskan ganjaran pahala bukannya duniawi.
Mungkin Dr Bakri tidak akan berubah dari sentimen fikrahnya iaitu akan tetap menulis dengan meletakkan harapan kepada pembangkang sekalipun realiti yang berada di hadapan sukar ditebak. Pandangan intekletual dan penganalisis politik semasa malah di peringkat antarabangsa sekalipun meletakkan era politik dunia Islam di ambang perubahan. Mereka mengambil contoh Turki dan terbaru Mesir.
Paling hampir dengan Malaysia ialah Mesir. Sementara Ikhwan Muslimin membentuk sayap politiknya dengan meletakkan Morsi sebagai calon, mereka telah berjaya membentuk perikatan dengan parti-parti lain termasuk parti sekular dan liberal di Mesir. Kini kesemua parti-parti ini menjadi seteru Morsi, tidak sampai seratus hari pentadbirannya. Sama lah dengan PAS membentuk perikatan dengan DAP yang sekular dan PKR yang liberal di negara kita. Elok sesekali kita tanyakan diri sendiri, bukan saja saya, dan juga Dr Bakri, malah orang-orang lain yang mampu berfikir tanpa dipengaruhi sentimen akan beberapa soalan di bawah;
  1. apakah tidak mungkin dengan sokongan yang diberikan pembangkang, termasuklah undi dari masyarakat Cina kepada kawasan bandar sebagai kesan kesepakatan PAS-DAP akan memungkinkan PAS mendapat undi terbanyak Parlimen.
  2. Sekalipun DAP boleh mendakwa mereka akan tetap memenangi kerusi Parlimen terbanyak di kalangan pembangkang, apakah dengan situasi semasa termasuk trend sokongan kaum India akan mengurangkan undi kepada mereka (DAP) seterusnya menyebabkan PAS mendapat undi tertinggi?
  3. Andaikan situasi ersebut berlaku, iaitu PAS mendapat undi tertinggi/ kerusi terbanyak Parlimen, maka PAS akan menjadi Perdana Menteri. Apakah cara Morsi mendapat kuasa mutlak tidak akan dilaksanakan Pas di Negara ini.
  4. PAS akan menjanjikan kompromi sebelum memenangi undi. Namun seperti Ikhwan Muslimin yang sekian lama berjuang, tidakkan penyokong PAS akan mendesak perkara sama, iaitu diubah Perlembagaan Negara kepada Perlembagaan Islam ala PAS.
  5. Adakah tidak mustahil seluruh struktur budaya akan diubah oleh PAS andainya ini semua berlaku.
Dengan mengemukakan soalan-soalan demikian kepada kita semua, termasulah kepada diri saya sendiri, kepada para pengundi Cina, kepada pengundi muda, kepada pengundi sekular, pengundi liberal dan lain-lainnya; sanggupkah anda semua memberikan negara ini kepada PAS untuk diubahnya sesuka hati. Hal ini tidak mustahil berlaku dengan dokongan pemikir besar seperti Dr Bakri, yang dianggap ikon Melayu.
Sebelum terlajak lebih jauh, biarlah saya memberikan kefahaman saya kepada Dr Bakri supaya beliau pula tidak cepat menuduh saya juru kempen UMNO. Stand saya mengenai politik negara amat simple, jelas dan berterus terang. Matematik dan pengiraannya amat senang: Buat masa ini kita memerlukan sebuah parti atau gabungan yang kuat dan parti yang rasional, sederhana pendekatannya dalam meneruskan agenda pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan. Sebuah parti yang boleh mengawal kedaulatan Negara tanpa menyerahkannya dengan mudah kepada penguasaan asing.
Jika parti lain, atau gabungan parti lain boleh berbuat demikian, saya akan undi parti tersebut hampir serta merta. Mudahnya, parti-parti politik hanya lah vehicle untuk kita mencapai tujuan yang digariskan. Adakah PAS contohnya boleh memenuhi visi saya sebagai pengundi sepertimana keinginan saya di atas?
Dr Bakri menggumam apabila saya menyebut pemikiran beliau ada kesamaan dengan Dr Nordin Kardi. Ianya boleh difahami. Cumanya, saya sedikit ragu-ragu adakah Dr Bakri membaca pemikiran Dr Nordin sebelum membuat komen berkenaan. Untuk berlaku adil kepada guru-guru saya ini (seorang guru fizikal manakala seorang lagi guru online) saya memohon Dr Bakri luangkan masa sedikit untuk membaca buah fikirannya, selepas itu buatlah kesimpulan.
Saya sertakan laman web (blog) Dr Nordin di sini supaya Dr Bakri tidak cepat menghukum hanya kerana kerja Dr Nordin sebagai bekas Ketua Pengarah agensi berkaitan kenegaraan. Lihatlah betapa selarinya idea Dr berdua, di mana jika digrafkan akan menjadi garis yang mendaki secara selari dan berpecah di hujungnya. Pecahan kecil itu disebabkan perbezaan kaedah mencapai matlamat sahaja di mana (pada pengamatan saya) seorang meletakkan keyakinannya kepada mengubah secara dalaman manakala seorang lagi terdorong mengubah secara luaran.
Seorang percaya bahawa UMNO akan berubah dengan sendirinya apabila terdapatnya dorongan luar untuk parti itu beradaptasi, manakala seorang lagi percaya UMNO perlu dirobohkan dan dibina asas lain di atas robohannya dengan semua sekali baru. (Bukti kepada kenyataan saya ini boleh dilihat dalam artikel-artikel Dr Nordin dan Dr Bakri Musa di laman mereka www.nordinkardi.wordpress.com dan www.bakrimusa.com ).
Dengan itu, sebagai seorang yang meminati hal-hal pragmatik bukan sekadar dalam bentuk idea tetapi juga tindakan, maka dalam artikel saya yang lalu saya ‘menjemput’ Dr Bakri bersama-sama dalam fikrah sedia ada tanpa meruntuhkan asas yang telah sedia elok. Bukan asas yang perlu diubah tetapi beberapa jalan pelaksanaannya. Jalan ke hadapan begitu panjang dan membimbangkan, mengapakah perlu dibuat unjuran yang tidak bertapak pada mana-mana hujah yang tidak kukuh. Mesir telah mengajar dan menunjuk jalannya untuk kita pelajari.
Mengakhiri komen ini, saya harap saya berlaku adil dengan pandangan-pandangan di atas. Siapalah saya untuk memahami apa yang sebenarnya berada dalam kepala guru-guru orang Melayu ini, khasnya Dr Bakri Musa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.