Soal Jawab Bersama Nordin Kardi tentang Za’ba

zaaba6
Suaris  Pada pandangan tuan sejauh mana masyarakat hari ini menghargai sumbangan Za’ba?
Nordin Kardi  Dalam masyarakat Malaysia penghargaan terhadap seseorang tokoh nampaknya tidak sempurna jika dia tidak dilakukan oleh pemerintah. Berlawanan dengan masyarakat sivil yang menghargai tokoh mereka melalui inisiatif badan-badan sivil. Dalam hal ini (hal ini sahaja sekurang-kurangnya) masyarakat Malaysia seperti lebih mundur berbanding semasa api dan semarak kemerdekaan baharu dicapai. Za’ba dikurniakan dengan gelaran ‘pendeta’ bukan oleh kerajaan sebaliknya oleh organisasi sivil. Penganugerahan ini diiktiraf oleh masyarakat dengan begitu selesa sekali dan panggilan berdasarkan gelaran itu kekal hingga ke hari ini. Sedangkan, pada hari ini jika penghargaan atau pengiktirafan itu tidak datang daripada kerajaan, penghargaan itu akan tenggelam sebaik berakhirnya majlis-majlis yang dianjurkan itu. Hal seperti ini nampaknya sudah sampai ke kemuncak paling tinggi dalam dunia pengajian tinggi juga. Contohnya, anugerah Profesor Negara mesti dilaksanakan oleh kementerian, disertai dengan skim gaji dan mesti disampaikan oleh Perdana Menteri. Apa-apa bentuk yang lain yang dilaksanakan oleh organisasi sivil yang tidak melibatkan perdana menteri seperti tidak akan dapat diterima sebagai bertaraf negara. Jika dilakukan juga orang pengajian tinggi sendiri tidak akan mengiktirafnya dan perdebatan panjang akan mengiringinya selepas itu. Perkataan negara atau perdana telah berubah tafsirannya menjadi eksklusif yang melibatkan perdana menteri sahaja. Yang lainnya tidak akan bertaraf perdana. Ahli masyarakat yang nampaknya memilih kehidupan dan cara berfikir feudal yang benar-benar tunduk dan patuh  (istilah Za’ba ‘bertaklid’) tanpa perlu mencari maklumat dan berfikir sendiri. Mereka menjadi ‘intelektual hamba’ yang berpegang penuh yakin kepada perkara-perkara ‘separa-benar’ atau hanya ‘kelihatan benar’.
Berbalik kepada soal penghargaan kepada sumbangan Za’ba, saya berpendapat penghargaan itu hanya setakat perbualan atau seminar-seminar yang timbul sekali sekala sahaja. Ini terjadi kerana tidak banyak orang yang berminat untuk menelaah tulisan-tulisan Za’ba. Tambahan pula di universiti juga sudah tercipta kotak-kotak beku yang memenjarakan ahli-ahlinya daripada keluar daripada kotak-kotak yang telah mereka cipta sendiri. Mereka akan berani bercakap di dalam kotak itu sahaja. Jika mereka bercakap di luar kotak mereka atau menyeberangi kotak-kotak lain, maka orang di kotak yang lain akan mempersoalkan apa kelayakan mereka bercakap dalam kotak orang lain. Kerana itu ada pemimpin universiti yang mengingatkan anak buahnya supaya duduk sahaja dalam kotak masing-masing dan jika menulis hanya menulis dalam ruang lingkup kotak mereka yang mereka jenamakan sebagai ‘jurnal’. Tulisan di dalam akhbar misalnya, yang keluar ke tengah-tengah masyarakat akan dipandang sinis dan diletakkan tanda harga ‘tidak akademik’. Ini berlawanan dengan tradisi ilmu asal usul universiti atau ‘studia generale’ yang mewajibkan seseorang calon ijazah menghadapi masyarakat terbuka dalam suatu ujian yang jawapannya hendaklah difahami oleh orang tepi jalan. Maksudnya orang itu dapat memudahkan dapatannya yang begitu kompleks melalui pengembaraan akademiknya yang panjang dan tekun sehingga dia benar-benar menguasainya dan dapat memudahkan huraiannya kepada orang biasa yang mundar-mandir di jalanan. Jika Za’ba hidup sekarang dia juga tidak akan dianggap pendeta kerana dia sangat banyak menulis di akhbar-akhbar dengan penuh keberanian menghadapi ahli masyarakat yang sangat pelbagai dalam segala segi, bukan anggota kepada sesuatu disiplin yang hidup dalam sesebuah kotak yang terjaga dan terpelihara. Maksudnya, Za’ba berani memasuki belukar dan mandi di dalam tasik-tasiknya yang dalam berbanding ahli akademik zaman sekarang yang selesa mempamerkan otot masing-masing di kolam-kolam renang yang airnya jernih dan lantai dasarnya ada jubin bukan seperti dasar tasik yang mungkin ada haiwan pemangsa dan tunggul-tungul yang tajam dan boleh mencederakan.
Daripada suasana masyarakat yang saya persembahkan ini, maka saya lihat ahli masyarakat tidak tahu apa yang telah disumbang oleh Za’ba. Terkecuali beberapa orang yang benar-benar mengetahui, jika mereka menghargainya ia hanya ikut-ikutan daripada orang terdahulu yang telah melakukannya. Mereka hanya ingin menggambarkan bahawa mereka tidak ketinggalan daripada turut berbual mengenai Za’ba.

•  Soal jawab ini berbentuk siri. Kandungan baru akan menyusul dari masa ke semasa (editor).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.