Benarkah PAS Semakin Terbuka?

harondin
[Zainudin Omar]  SELEPAS Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya ke 12, bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew ditanya mengenai hala tuju UMNO dan PAS. LKY menjawab lebih kurang begini; Dalam usahanya menarik pengundi Melayu Islam, UMNO akan menjadi semakin tertutup, manakala PAS akan menjadi semakin terbuka.
Apakah tindak tanduk kedua parti yang mewakili Melayu itu ada benarnya atau selari dengan pandangan LKY menarik untuk dianalisis.
Setelah hampir lima tahun berlangsung interview tersebut, seorang penulis di media pembangkang merumuskan bahawa PAS semakin terbuka. Serangan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional terhadap PAS sekarang ini, kata penulis yang juga dianggap ulama mewakili PKR itu sering dirujuk kepada dasar dan amalan PAS pada era 80an dan 90an seperti isu kafir mengkafir, Negara Islam dan lain-lain dasar lagi.
Banyak pihak yang bersetuju dengan pandangan PAS semakin terbuka. Melihat tindakan PAS selepas bergabung, memang terdapat ciri-ciri keterbukaan atau sekurang-kurangnya berlakunya perubahan ketara kepada tindak tanduk PAS.
Antaranya selepas pengukuhan penggabungan, atau lebih tepat disebut kerjasama pembangkang PAS telah bersetuju menukarkan slogan utamanya dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. PAS juga dalam beberapa isu di Selangor telah memenangkan kumpulan liberal dalam parti, seperti kes edaran dan jualan arak di premis tertentu di kawasan Melayu di Selangor.
Selain itu, sehingga artikel ini ditulis, PAS nampaknya sehingga hari ini bersetuju dengan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam dalam gabungan, yang dianggap kemuncak kepada perubahan PAS dari konservatif kepada liberalism sepenuhnya kerana PAS telah menerapkan elemen terpenting liberalis, iaitu pluralism dalam agama.
Bagi keadaan yang lebih ekstrim, aliran pluralism yang  berkembang pesat di Indonesia menganggap kesemua agama adalah baik dan benar. Sesetengah pandangan akan meletakkan stage berkenaan akan dilalui oleh PAS selepas ini sekiranya mereka bersama Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13. PRU 12 akan dianggap medan eksperimen yang baik kepada PAS bagi menguji keterbukaan mereka.
Dalam hal ini, pujian perlu diberikan atas keberanian Presiden dan Mursyidul Amnya mengubah PAS dari sebuah parti yang dianggap kolot kepada sebuah parti yang menerajui perubahan pemikiran umat Islam di Malaysia.
Bagaimana pula dengan UMNO? Apakah UMNO sedang menuju ke satu tahap konservatisme yang lebih teruk berbanding dahulu.
Perlu diingatkan kembali bahawa pengalaman UMNO sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Abdullah Badawi dan Najib Razak, UMNO dilihat menerajui perubahan Islam. Sekalipun UMNO pernah dianggap kafir disebabkan bersekutu dengan orang kafir dalam amanat Hadi, namun pemimpin dan pengikut UMNO tidak menghiraukan pandangan sedemikian namun terus memperjuangkan Islam ala UMNO sejak dahulu. Malah UMNO mengukuhkan Islam ala UMNO dengan mengukuhkan Islam ke dalam beberapa bentuk institusi seperti mahkamah syariah, JAKIM dan menginisiatifkan perbankan Islam yang kini idea dan pelaksanaannya telah tersebar sehingga ke seluruh dunia.
Dengan kata lain, dari ukuran ini, UMNO bukannya menuju kemunduran dalam kefahaman dan amalan Islam di peringkat Negara, tetapi berada dalam keadaan konsisten. Dalam garis besar amalan, tidak ada perlakuan di kalangan UMNO mahupun kerajaan yang dilihat terkeluar dari garisan itu menuju kearah ekstrim Islam.
Siapakah yang untung atau rugi dalam perhitungan dalam lingkungan ‘Islam’ ini? Apakah UMNO yang ‘statik’ dalam amalan Islam ataupun PAS yang sangat agresif dan melakukan perubahan yang sangat ekstrim terhadap asset utama mereka iaitu Islam itu sendiri.
Ini pertaruhan PAS yang paling besar. Ramai menjangka bahawa sekiranya keputusan PRU 13 tidak menyebelahi PAS, mereka akan berundur semula ke satu tahap di mana mereka hanya menguasai kawasan utama Melayu (Malay Belt) iaitu negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu sahaja. Pada masa itu mereka akan berbalik kepada islam konservatif semula dengan membesar-besarkan kembali isu Hudud dan perjuangan sebuah Negara Islam yang kini tidak ditimbulkan sangat dalam pakatan.
Dengan kata lain, PAS akan melalui eksperimen demi eksperimen dalam usaha mereka menjadi pemain utama dalam kekuasaan di Negara kita. Dalam hal ini, mereka telah kerugian apabila sejak zaman pasca Asri, PAS semakin jauh dari perjuangan kebangsaan yang dianggap oleh pemimpin kemudian sebagai assabiah.
Sedangkan PAS bermula sebagai parti kebangsaan, bukannya parti yang semata-mata mengasaskan Islam. Kesemua pengasas PAS, termasuk Ahmad Fuad, Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhammad adalah pemimpin yang dibesarkan dalam pengaruh parti kebangsaan iaitu Kesatuan Melayu Muda. Pada masa itu, ceramah-ceramah dan tulisan pemimpin PAS menekankan gabungan kebangsaan dan Islam. Lihat sahaja memoir Burhanudin Helmi, Zulkifli ataupun Asri yang sentiasa menyeru kearah perjuangan bahasa Melayu, pembangunan orang Melayu dan Islam. Pada masa itu, PAS tidak jauh berbeza dengan UMNO.
Sebagai contoh, dalam buku ‘Memoir Politik Asri’ terbitan UKM (1993) dituliskan bahawa tuntutan PAS dalam rombongan kemerdekaan ke London ada tiga iaitu; jangan sekali-kali dilupakan hakikat bahawa negeri ini asalnya kepunyaan orang Melayu, kedua usul bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan ketiganya agama Islam sebagai agama penting persekutuan.
Dengan itu dicadangkan kepada PAS supaya kembali kepada perjuangan asal pemimpin-pemimpin pengasas mereka. Sekalipun PAS lebih dihormati dengan perjuangan agamanya, PAS juga tidak bijak jika meminggirkan perjuangan kebangsaannya.
• Zainudin Omar ialah seorang penganalisis politik

One thought on “Benarkah PAS Semakin Terbuka?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.