Kaya & Khayal

kaya3
MESKIPUN ada perkaitan intim antara satu sama lain, kemewahan dan kekayaan adalah dua perkara berbeza. Kemewahan hidup tidak muncul tanpa kekayaan. Manakala orang yang memiliki kekayaan boleh saja memilih meneruskan hidup tanpa perlu meletakkan diri dalam lubang kemewahan.
Bagaimana hendak mentafsir kemewahan? Mungkin kita boleh bermula dengan membuka pintu almari pakaian sendiri. Adakah kita mengambil masa yang lama memilih pakaian untuk dipakai kerana kita seorang berpersonaliti tidak tegas, sentiasa teragak-agak membuat pilihan? Atau kita mengambil masa yang lama disebabkan stok pakaian kita terlampau banyak dan hampir semuanya memenuhi citarasa terkini?
Dengan kekayaan kita miliki, paling-paling seminggu sekali kita tidak akan ketinggalan bershopping di butik-butik pilihan; kita juga bershopping online kerana ia mudah dilakukan sambil santai-santai minum di bangku petang; kita juga akan melancong paling-paling tidak pun dua tiga bulan sekali ke destinasi luar dan tidak sesekali akan buat-buat lupa untuk bershopping.
Jadi bayangkan, bagaimana stok pakaian dalam almari? Berapa buah almari kita ada yang ditempatkan dalam bilik khas ibarat sudah menjadi sebuah butik mewah?
Ya, itu ialah contoh orang kaya yang meletakkan dirinya dalam lubang kemewahan. Dan kita juga boleh menyoal lagi. Adakah gaya hidup ini betul-betul asli untuk memenuhi kepuasan peribadi sendiri, atau hanya hidup dalam khayalan? – yang mungkin berkait dengan penjagaan status, meletakkan diri mesti dipandang istimewa oleh orang lain, mentafsir memakai pakaian yang sudah dipakai sesuatu yang teruk atau lain-lain yang membawa maksud sama.
Dua kemungkinan itu boleh berlaku. Yang pertama, memang ia semata-mata untuk kepuasan peribadi. Tiada lain selainnya. Kedua, ia hanya untuk memenuhi khayalan yang sudah menguasai diri.
Jika untuk memenuhi kepuasan peribadi – ya, jika hidup itu yang dipilih – itu ialah hal peribadi. Hal peribadi tetap hal peribadi, tidak ada kena mengena dengan orang lain. Mungkin ada yang akan mendakwa kita berlebih-lebih dan membazir dengan pakaian. Namun mungkin peribadi yang mendakwa tadi tidak sedar mereka juga ada membazir sesuatu yang lain, dan pembaziran itu walaupun tidak mencapai saiz pembaziran kita, tapi bila dinisbah pada tahap pendapatannya ia mungkin melibatkan peratusan yang sama.
Kemungkinan yang kedua di atas menjadi bab istimewa untuk disorot. Iaitu mereka yang meletakkan hidup dalam lubang kemewahan untuk memenuhi khayalan.
Di sini, di Malaysia, negara ini bermula sebagai sebuah negara miskin. Hasil majoriti orang Melayu misalnya hanyalah dari sumber pertanian yang tidak terancang. Mereka bertani dan bernelayan untuk keperluan makanan dan sebahagiannya ditukar untuk keperluan asas lain. Pakaian? Mereka hanya akan bertukar pakaian baru hanya bila tiba musim perayaan saja.
Bila menuju ke dekad 90-an setelah lebih kurang 30 tahun merdeka, muncul petunjuk-petunjuk perubahan yang jelas menampakkan orang semakin kaya. Mereka sudah mampu memiliki kereta. Mungkin pemilikan kereta ada hubungan dengan kereta nasional yang relatif murah harganya, namun kereta tetap kereta. Satu jurang yang besar antara seorang yang memiliki motosikal berbanding kereta.
Dari situ tingkat kehidupan terus menunjukkan peningkatan kekayaan. Hari ini sudah wujud satu kelas menengah yang bila saja mata kita berkelip ia ada di sekeliling kita.
Himpunan kelas menengah yang ada hari ini yang dalam usia 30-an, 40-an ialah mereka yang umumnya pernah melalui fasa hidup yang tidak kaya (boleh hidup), malah sebahagiannya ada berlatarbelakangkan kehidupan susah. Dengan kata lain, kekayaan semasa yang mereka miliki ialah suatu perkara baru dalam hidup mereka.
Jadi, unsur-unsur terkejut boleh wujud di sini. Mereka seperti baru menemui suatu mimpi yang pernah mereka bayangkan di masa susah (silam). Kekayaan yang dimiliki sekarang mereka akan dambakan pada kehidupan mewah untuk mengisi mimpi-mimpi mereka dulu.
Kita akan dapat menyaksikan beberapa pemandangan: Pasaraya sentiasa sesak. Pada hari minggu pasaraya moden dibuka sampai jam satu pagi. Pemandangan di butik meriah. Berkumpul melepak di coffee house dengan segak. Di jalan raya berderet-deret dengan himpunan kereta mewah dan sebagainya.
Paling menjolok ialah sebelum tiba hari gaji, mereka sudah siap dengan pelbagai perancangan untuk membelanjakan wang tersebut meskipun mereka sudah kecukupan semua perkara yang mereka hasrat untuk berbelanja itu. Ia hanyalah persoalan update, untuk memiliki sesuatu yang lebih terkini dari sebelumnya.
Bentuk kehidupan seperti ini boleh – jika ingin ditafsirkan sebagai khayalan. Dengan berbelanja melebihi kecukupan, dengan mengejar kehidupan yang dipandu oleh trend dan iklan, dengan psikologi yang ingin dipandang istimewa oleh sekeliling dan lain-lain yang sepertinya, ini semua ialah himpunan bentuk khayalan.
Bila berkumpul, mereka akan bercakap tentang kebendaan untuk memenuhi khayalan sesama mereka. Adalah suatu perkara pelik, suatu perkara luar biasa misalnya jika mereka bercakap tentang tajuk novel yang baru memenangi hadiah Nobel. Kerana perkara ini berada di luar khayalan. Ia perlukan pemikiran.
Untuk orang yang berkecuali, ada sebahagiannya merasa lemas dengan pemandangan ini. Mereka tidak ada idea, apakah bentuk hidup yang boleh dikongsi dengan golongan yang sedang dalam khayalan.
Oh ya! Mereka yang sedang dalam khayalan ini bukan pemakai marijuana. Mereka tidak perlu sebalut marijuana. Meskipun begitu, mereka tetap juga hidup dalam khayalan mereka sendiri cipta.