Islam cara Ismaili atau Taliban – Bakri Musa

bakrimusa13

“BANDINGKAN mereka dengan Taliban di Afghanistan. Taliban maknanya pelajar tetapi mereka sibuk membakar sekolah dan melempar asid ke muka anak dara yang ingin belajar. Pemuda Taliban sibuk belajar mengunakan letupan C4 dan senapang AK 47, pelajar Ismaili tekun menyelesaikan masalah sains dan ilmu hisab…”

Suaris  Dr dilihat amat sinikal terhadap perkara yang dibalut dengan nama Islam. Ramai yang faham bahawa Dr kurang berminat dengan Islam konservatif sepertimana amalan kebanyakan penduduk Islam hari ini, bukannya
Dr Bakri  Saya dilahirkan dan mengamali Islam. Saya percaya kepada Tuhan dan Muhammad (SAW) Rasul terkemudiannya. Selanjutnya saya percaya atas kelima-lima landasan agama kita. Itu memanglah disetujui oleh semua umat Islam.
Apakah intisari ajaran agama kita mengikut kitab suci dan Nabi Muhammad SAW? Amalkan yang baik, jauhi yang jahat. Ayat itu disebut beberapa kali dalam al-Quran dan hadis. Itu juga tidak jadi soalan antara umat Islam, semua setuju.
Itulah yang saya utamakan dan sifatkan Islam, atau dalam kata lain, ajaran emas atau “golden rule” agama kita. Saya kurang berminat dengan label; itu senang saja dicetak. Isi atau kandungan hal lain. Maknanya, kalau pemerintah atau negeri tidak mengamalkan kebaikan dan menjauhi kejahatan, saya tidak anggap pemerintahan atau negeri itu Islam tidak kira apa labelnya. Mengukir “Allah” dan “Muhammad” di pintu gerbang dan bangunan besar senang saja, begitu juga bagi pemimpin memakai serban dan jubah menjela-jela.
Soalannya, adakah rasuah, makan suap dan menyalahgunakan kuasa amalan menjauhi kejahatan? Begitu juga jika pemimpin tidak membela dan membaiki penderitaan dan kemiskinan rakyat, adakah itu amalan yang baik? Bila saya menimbang keislaman pemimpin atau negara, itulah landasan yang saya kira, bukan berapa kali pemimpinnya ke Mekah atau berapa indah tajwidnya membaca al-Quran.
Seorang rakyat Singapura pernah menganggap negaranya lebih Islam daripada Indonesia. Di Singapura tidak ada rasuah dan penyelewengan kuasa di antara pemimpin. Rakyat pun tidak mengganggur atau bangsat. Kemiskinan mendekati kekufuran, dan kekufuran nanti mendekati kekafiran. Pergilah ke Riau dan kebijakan perpatah itu ternyata. Kita tidak boleh salahkan orang Indonesia. Orang China semasa dulu pun macam itu juga akibat kebangsatan hidup mereka.
Mengikuti asas Islam – amalkan yang baik, jauhkan yang jahat – susah hendak mempertikaikan pandangan orang Singapura itu.
Saya kurang faham dengan erti “konservatif” dan “liberal.” Saya faham maknanya dalam bahasa asal (Inggeris), tetapi bila digunakan dalam bahasa kita, perkataan itu bertukar 180 darjah! Itu sebabnya saya enggan mengunakan kedua-dua label itu.
Lebih bermakna jika diberi contoh umat dan pemimpin Islam yang saya sanjung tinggi dan patut kita contohi, dan bandingkan dengan satu masyarakat dan pemimpin Islam yang enggan saya mencontohi. Bukan tempatnya untuk saya mengatakan yang mana lebih Islam atau puak mana yang akan masuk syurga. Itu Tuhan saja yang tahu, dan Dia tidak memberi tahu saya atau makhlukNya yang lain.
Kaum Islam Ismaili tidak melebehi 15 juta, lebih kurang sama dengan orang Melayu di Malaysia. Mereka tidak ada negeri sendiri pun, tetapi kuasa, sumbangan dan pengaruh mereka serta kebajikan mereka kepada dunia amnya dan masyarakat Islam khasnya beberapa kali ganda melebihi bilangan mereka.
Kaum Ismaili memberatkan zakat, dan duit itu mereka laburkan dalam syarikat membuat ubat dan membina sekolah, universiti dan hospital. The Aga Khan University Hospital di Pakistan hanya dibina pada tahun 1985, tetapi sekarang ia satu pusat terkenal. Kaum Ismaili tidak mengutamakan sama ada perempuan mereka berhijab; mereka pesat dilatih menjadi doktor, jururawat, cikgu dan engineer supaya boleh menjadi makhluk soleh, maknanya, membuat baik untuk masyarakat.
Bandingkan mereka dengan Taliban di Afghanistan. Taliban maknanya pelajar tetapi mereka sibuk membakar sekolah dan melempar asid ke muka anak dara yang ingin belajar. Pemuda Taliban sibuk belajar mengunakan letupan C4 dan senapang AK 47, pelajar Ismaili tekun menyelesaikan masalah sains dan ilmu hisab.
Masyarakat mencerminkan pemimpin. Pemimpin Ismaili ialah Aga Khan. Betul, dia mewah, membela kuda lumba, dan bapanya pernah berkahwin dengan Rita Hayward, pelakon Amerika tercantik. Tetapi dia berkelulusan Harvard dan mengunakan kaitannya dengan cerdik pandai Amerika untuk memikat mereka mengajar di universiti-universiti yang ditubuhkannya di Asia.
Pemimpin disanjung tinggi oleh Taliban ialah Osama. Dia pun mewah, berkelulusan kejuruteraan dari universiti Saudi. Tetapi ia menggunakan kekayaan dan kepandaian dia untuk menjahanamkan bangunan dan membunuh orang.
Siapa yang lebih mengamali baik dan menjauhi buruk, Aga Khan atau Osama? Terpulanglah kepada pembaca untuk memutuskan sama ada kaum Melayu lebih dekat dengan Ismaili atau Taliban. Bersama itu, terpulanglah kepada pembaca sama ada masyarakat Ismaili atau Taliban yang patut kita contohi.
Kita heboh dengan hudud dan hijab sementara masalah dadah dan membuang bayi tidak terhad lagi. Apa sebab beratkan hudud tetapi tidak menghukumkan semua termasuk sultan membayar zakat? Zakat satu daripada lima landasan Islam, hudud tidak.
Kalau semua (kecuali si miskin) membayar zakat mal (2.5 peratus nilai harta) dan kita ambil pakar ekonomi untuk mentadbirkan modal itu, tak terhingga akibat baik yang tercapai. Itu yang diberatkan oleh kaum Ismaili dan membolehkan mereka membina sekolah dan rumah sakit. Apa berkat zakat kaum Taliban? Kalau kita beratkan hudud, banyak yang tidak bertangan. Siapa nak menyuap mereka makan dan bagaimana mereka hendak mencari nafkah untuk keluarga?
Kita lebih membentengkan keislaman kita dengan mengutuk dan tidak bertolak ansur dengan pemimpin yang menipu, tidak adil, pecahkan amanah, dan terang-terangan melakukan rasuah. Itu disyaratkan oleh kitab kita.
Betul, kita mesti ambil Islam dengan sepenuhnya tanpa memilih mana yang kita suka sahaja. Soalannya ialah apa sebab kita beratkan hijab dan memotong tangan tetapi mengabaikan tekun belajar dan menentang rasuah?
Ambil (contoh) tekun belajar. Hamka pernah berkata Tuhan memberi kita dua Quran. Quran pertama kita sedia maklum. Quran kedua ialah alam indah di sekitar dan di dalam kita. Tuhan memberi Nabi Muhammad SAW untuk memimpin kita belajar Quran pertama. Untuk Quran kedua, Dia merestukan umatNya dengan akal supaya kita boleh memilih antara yang benar dan palsu, yang baik dari yang busuk. Kita diwajibkan belajar kedua-dua Quran.
Ahli sains menyelidik virus polio boleh disifatkan mengkaji Quran kedua ini. Akibatnya ialah suntikan yang membasmikan penyakit yang dulu melumpuhkan ribuan kanak kanak. Itu perbuatan baik. Tetapi kaum Taliban menyifatkan suntikan polio sebagai racun rekaan si kafir! Akibatnya, polio masih lagi merajalela di Pakistan! Sekali lagi, berlandaskan ajaran emas agama kita, adakah itu perbuatan baik?
Di permulaan agama kita, ulama tidak membezakan antara apa yang disifatkan sebagai ilmu ain dan ilmu kafiyah. Ilmu itu ilmu, dan berasal dari Tuhan. Ulama dulu juga pakar sains, perubatan, dan ilmu hisab. Mereka tekun belajar Quran kedua itu seperti Quran pertama. Tetapi ulama sekarang tidak memberatkan bahkan mencaci mengaji Quran kedua ini, kononnya itu perusahaan untuk dunia bukan akhirat. Akibatnya kita tidak boleh memberi sumbangan yang sepatutnya untuk membuat kebaikan di dunia.
Itu yang patut kita bincang, bagaimana mendidik anak-anak kita supaya mereka boleh membuat baik di dunia ini. Kalau kita membuat baik di dunia ini mungkin Tuhan tidak akan lupakan kita di kemudian hari.
Fikirkan hadis mengatakan seorang pelacur masuk syurga sebab dia memberi air kepada anjing yang nak mati dahaga. Perempuan seumpama itu pakai hijab ke? Satu lagi hadis mengatakan seorang itu masuk syurga sebab ia membuang duri dari tengah jalan. Kalau membuang duri dari jalan satu perbuatan yang baik, berapa baiknya jika seseorang itu membina jalan?
Kita boleh lebih menunjukkan keislaman kita dengan membina jalan yang tidak bahaya atau jambatan yang tidak senang runtuh. Tidak ada gunanya mengukir ayat-ayat Quran di bumbung kalau jurutera kita lalai atau tidak mahir dan bumbung mereka bina runtuh dalam ribut mencederakan kanak- kanak sekolah.
Beberapa tahun lalu ada perbahasan antara Datuk Asri Zainal Abidin (Dr. Maza) dengan Astora Jabat berkenaan tajdid. Mereka berdua adalah antara pemikir Melayu yang amat saya hormati. Tetapi dalam tiga jam perbahasan itu, mereka bertengkar sama ada rambut perempuan disifatkan aurat dan patut ditutup! Hanya di penghujung ada seorang menyoal apa sebab kita beratkan pasal hijab sementara di negara kita rasuah sudah tidak terbendung lagi.
Soalan asas itu tidak sempat dijawab! Kita mesti buat tajdid Islam supaya kita boleh mengatasi perkara ini serta lain-lain masalah sosial yang pesat dalam masyarakat kita. Jangan heboh pasal hijab.
Bila kita dengar perbincangan agama di radio, masjid atau universiti, haluannya sehala sahaja, dari ulama ke pendengar. Kebanyakan masa ditelan dengan menyebut ayat-ayat Quran dan hadis. Bila sebut saja hadis atau ayat Quran, habislah perbicangan. Sepatutnya ayat-ayat Quran dan hadis semestinya memulakan dan bukan penghabis perbincangan!
Fikirkan hadis yang mengatakan kaum Islam akan berpecah ke 73 puak tetapi hanya satu sahaja yang tulen. Yang 72 lain itu masuk neraka! Tiap-tiap ulama dan orang Islam sangkakan puak mereka sahaja yang tulen. Apa akibatnya dengan sikap itu? Kita terdesak “membaiki” orang Islam lain dengan alasan untuk menolong mereka ke syurga! Itu sebabnya Taliban membakar sekolah dan menyembur asid ke muka perempuan!
Mengikut statistik, kemungkinan kita betul hanya satu daripada 73. Can (peluang) tak sampai 1.5 peratus pun! Kita patut berasa insaf dan rendah hati serta ingin belajar dan faham fikiran, fikih, dan puak Islam yang lain. Mungkin satu di antara mereka yang betul dan tulen!
Saya bermastautin di Amerika. Melalui kebebasan di sini saya boleh baca kitab Shiah atau Ahmaddiyyah dan tidak bimbang diganggu oleh wakil jabatan Islam. Di Malaysia kita sudah diberitahu terus terang oleh ulama kita bahawa ajaran Shiah itu sesat. Baca kitab mereka dan kita akan dipenjarakan tanpa bicara, seumpama seorang komunis! Soalan yang penting, adakah prasangka demikian membawa kedamaian dan keamanan atau pertengkaran dan permusuhan antara umat Islam?
Seperti Astora Jabat, saya tanpa bermazhab. Saya masih belum tahu lagi yang mana di antara 73 puak itu yang tulen. Apa yang saya tahu ialah kealiman, kearifan, dan kebijakan tidak terhad kepada sesuatu bangsa, kaum atau mahzab. Dalam perkataan lain, saya masih lagi boleh belajar dari kaum Shiah, Ismaili, Salafi, dan Wahabi, antara lain tentang kebenaran dan kemuliaan agama suci kita.
Di Hari Kemudian kita akan disoal tentang perbuatan kita di dunia. Kita tidak boleh memberi alasan bahawa perbuatan kita ialah akibat mengikut ajaran ulama itu atau mahzab ini. Agama kita teristimewa sebab tidak mempunyai kelas paderi tertentu. Kita mesti fikir sendiri. Patutkah kita ikut ajaran ulama yang menyuruh kita membencikan orang bukan Islam atau menyifatkan orang Islam yang politiknya kita tidak setujui sebagai kafir?
Balik ke pangkal, fahaman Islam saya ringkas sahaja: amali yang baik, jauhi yang jahat. Yang lain hanya contoh dan hiasan.
• Ikuti wawancara bersama Dr Bakri bahagian keenam.
Sehubungan itu, apa pandangan Dr terhadap parti PAS dan pemimpin-pemimpin mereka? Apakah dasar-dasar parti dan perjuangan PAS boleh dianggap pendorong atau penghalang kepada kemajuan umat Melayu/Islam di negara kita?

One thought on “Islam cara Ismaili atau Taliban – Bakri Musa

  1. Pingback: Warancara dengan Dr Bakri Musa (Bahagian 5) | Din Merican: the Malaysian DJ Blogger

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.