Najib akan luluskan UEC, Sekolah Menengah Cina Baru?

dong1
AHAD INI, Najib Razak buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia Perdana Menteri bersetuju menghadiri majlis Dong Zong (Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) di markaz utamanya di Jalan Bukit, Kajang sempena rumah terbuka persatuan yang sangat berpengaruh kepada etnik Cina.
Dong Zong atau gabungannya Dong Jia Zong (Persatuan Lembaga Pengurus dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina) merupakan persatuan yang sangat aktif memperjuangkan sekolah dan budaya Cina, dan seringkali menjadi katalis kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di kawasamn majoriti Cina dalam setiap pilihan raya.
Najib yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dalam tahun 1980 dan 1981, dan Menteri Pendidikan dari tahun 1995-1999 sangat mengerti peranan Dong Zong atau DJZ ini dalam politik Malaysia, dan sejarah penentangan persatuan ini kepada Laporan Razak, Laporan Rahman Talib, Laporan Aziz, Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan (Pindaan 1971).
Malah, ketika menjadi Menteri Pendidikan juga Najib telah berjaya meminda sekali lagi Akta Pendidikan pada 1996 dan beliau juga yang mencabut fasal yang mengizinkan seseorang Menteri menutup sekolah Cina, dan inipun masih tidak mengembirakan DJZ.
Walaupun dalam keadaan genting untuk mendapatkan sokongan kaum Cina dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Najib mempunyai pilihan mahu dianggap sebagai seseorang yang sentiasa berkompromi dengan menunaikan setiap permintaan DJZ atau sebagai seorang yang mampu menarik rambut di dalam tepung.
Dr Mahathir ketika tahun-tahun terakhir sebagai Perdana Menteri menyifatkan kumpulan DJZ in sebagai ekstremis yang tidak jauh daripada komunis, dan kenyataan itu telah dikatakan menyebabkan BN kalah di pilihan raya kecil Lunas pada tahun 2000.
Tunku Abdul Rahman ketika menjadi Perdana Menteri dianggap sebagai seorang yang terlalu berkompromi dengan pendesak-pendesak DJZ dan tidak sedikit orang UMNO menyimpan perasaan marah keepadanya.
Tun Razak yang begitu memahami bara panas yang sentiasa dinyalakan DJZ tidak berkompromi dengan kumpulan berkenaan, sebaliknya begitu bersunggu-sungguh untuk mewujudkan satu dasar pendidikan yang mampu menyatukan semua anak-anak kecil dalam satu sistem persekolahan – sekolah kebangsaan.
Tun Razak dapat menyakinkan MCA pada tahun 1969, 1970 sehingga 1974 untuk MCA bersama-sama membangunkan negara bangsa yang beridentiti Malaysia, bukan lagi berkiblat kepada Taiwan atau tanah besar Cina dan ketika itu MCA menjadi pembela suara pembentukan negara bangsa.
Ujian Litmus kali ini diberikan kepada Najib sama ada akan membuat pengumuman pada Ahad ini atau hari-hari berikutnya sebelum PR-13 yang menggunakan model Tunku Abdul Rahman, ayahnya Tun Razak atau Dr Mahathir dalam berhadapan dengan tuntutan DJZ (DJZ melembutkan istilah tuntutan dengan perkataan rayuan atau cadangan)
Setiap waktu pilihan raya umum kumpulan DJZ akan mengemukakan memorandum yang mengandungi beberapa permintaan dan untuk kali ini dua permintaan utama dikemukakan:
• Mengiktiraf peperiksaan yang menggunakan bahasa Mandarin yang dibuat sendiri oleh DJZ yang dinamakan United Examination Certificate (UEC) di Sekolah Menengah Persendirian Cina untuk membolehkan bekas pelajar UEC memasuki Universiti Awam dan menerima pinjaman PTPTN. UEC bagi DJZ setaraf dengan STPM. Sedangkan STPM dikelolakan kerajaan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Sebelum ini DJZ mendesak kerajaan mengiktiraf UEC untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat tertiari. Dan permintaan mereka telah dipenuhi. Sebelum diiktiraf, lepasan UEC banyak ke universiti di Taiwan dan Cina. Sekarang banyak universiti dan kolej swasta telah menerima lepasan UEC.
Atas alasan kekurangan guru di sekolah Cina, mereka mendesak kerajaan membenarkan lepasan UEC mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan ini juga telah diluluskan kerajaan.
Adakah Najib akan membuat pengumuman baru ini?
• Kedua, meluluskan empat Sekolah Cina Persendirian yang baru. Jika Najib meluluskan ini, satu lembaran baru dibuka, dan kemungkinan tak dapat dielak, Sekolah Persendirian Cina akan tumbuh seperti cendawan.
Semangat Penyata Razak dan Rahman Talib mahukan anak-anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama sejak dari kecil akan bersama-sama dalam satu sekolah, bermain bersama yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Malaysia. Tiada segragasi. Bukan asimilasi tetapi integrasi.
Atas kompromi terhadap desakan DJZ, Sekolah Rendah Cina bersetuju untuk menggunakan kurikulum kebangsaan, tetapi menggunakan bahasa Cina.
Bagi peringkat menengah pula, sebelum pelaksanaan Akta Pelajaran 1961, sekolah menengah Cina diminta menukar kepada bahasa pengantar Inggeris, yang menjadi bahasa pengantar kebangsaan waktu itu. Selepas Akta, sekolah berkenaan diberi dua pilihan iaitu menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris yang menjadi sekolah kerajaan, ditaja kerajaan atau menjadi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Yang memilih menjadi SMPC atau sekolah swasta yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina akan kekal selama-lamanya.
Kebanyakan sekolah Cina menerima menjadi sekolah menengah kebangsaan. Sebanyajk 60 buah sekolah kekal sebagai SMPC. Ianya terjadi pada era merdeka sehingga sekarang.
Sesiapa yang mengikuti pendidikan SRCKC dan meneruskan dengan SMPC, maknanya mereka menggunakan bahasa pengantar Cina di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kolej New Era tajaan DJZ dan Hang Jiang College sebelum ini menjadi penerima utama lepasan UEC dari SMPC.
Untuk pilihan raya kali ini, mereka mahukan tambahan empat buah.
Mungkinkah Najib akan membuat keputusan untuk merombak kembali semangat dan mengusik roh Penyata Razak?
Dilema yang dihadapi Najib apabila berhadapan dengan Barisan Pakatan (BP) yang menjanjikan syurga kepada semua permintaan dan desakan DJZ, jika mereka memenangi pilihan raya.
Anwar yang dulunya pernah memimpin Persatuan Bahasa Melayu di Universiti Malaya (UM) dan beberapa pejuang bahasa dan sastera seperti A Samad Said sudah berada dalam pentas yang sama dengan DJZ dan Dewan Perhimpunan Cina selalunya menjadi pentas bersama mereka.
PAS juga kerana menjalin hubungan intim dengan PKR dan DAP terus-terusan menghalalkan segala permintaan dan desakan DJZ.
Jika dulu ketika era Akta Bahasa Kebangsaan pada 1967 pejuang-pejuang bahasa bersama kerajaan bagi mendaulatkan bahasa teras di negara ini termasuk di sekolah-sekolah dan universiti, kini hampr tiada pejuang bahasa.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini hanya menjadi badan kerajaan yang tiada lagi roh perjuangan Syed Nasir Ismail ketika menjadi Pengarah DBP pada 1957-1968.
DJZ menjadi kompas kepada komuniti Cina dalam memberi undi secara blok selain Dewan Perniagaan dan Industri Cina, yang menjadi selari dan mendapat sokongan padu DAP dan banyak juga akar umbi MCA dan Gerakan.
Adakah jika Najib membuat pengumuman keramat itu akan disambut gembira oleh semua komuniti Cina, lalu memberi undi padu kepada BN bagi memungkinkan Najib mendapat mandat dua pertiga?
Dalam sejarah pilihan raya kecil dan pilihan raya di Sarawak lalu, sokongan komuniti Cina tidak lagi dilihat berpihak kepada BN, walaupun pelbagai peruntukan diluluskan untuk komuniti Cina setempat.
Atau, kali ini Najib akan memberi kelulusan bersyarat – memberi tugas kepada DJZ untuk memastikan kemenangan calon BN untuk mendapat dua pertiga dalam PRU-13, baru kelulusan ini dimuktamadkan?
Lebih malang kepada Najib dan BN jika dalam usaha memupuk, memujuk dan merayu sokongan undi Cina, undi Melayu juga terbang melayang seperti mana marahnya orang Melayu kepada Tunku Abdul Rahman yang kelihatan terlalu berkompromi dengan komuniti Cina pada era 1969.
Ujian litmus kini ditangan Najib, adakah warna kertas itu akan bertukar ke warna biru, merah atau hijau?

4 thoughts on “Najib akan luluskan UEC, Sekolah Menengah Cina Baru?

  1. PUTRAJAYA 1 April – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat usul serta mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima semua pihak mengenai pengiktirafan Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC).

    Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong hari ini dan masing-masing bertukar-tukar pandangan mengenai usaha menambah baik pendidikan Cina di negara ini.

    ”Perjumpaan hari ini antaranya menyentuh tentang isu pengiktirafan UEC, yakni berkait dengan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

    ”Perbincangan dibuat mengenai pelajar dari sekolah Cina perlu memiliki sekurang-kurangnya kredit mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.

    ”Terdapat juga perbincangan mengenai isu akreditasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Dong Zhong yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Pengerusi Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian berkata, pertemuan kira-kira sejam dengan Perdana Menteri hari ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat julung kalinya kenyataan bersama telah dikeluarkan.

    ”Pengeluaran kenyataan bersama adalah bertujuan mengelakkan kenyataan yang berbeza-beza,” katanya.

    Sin Tian berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mengumumkan hasil yang muktamad mengenai pengiktirafan UEC kerana masih terdapat isu teknikal khususnya membabitkan akreditasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC yang perlu diselesaikan.

    ”Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau akan bermesyuarat dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi secepat mungkin.

    ”Kalau peranan Dong Zhong diperlukan, maka kita juga bersedia untuk menghantar wakil ke mesyuarat berkenaan,” katanya.

    Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130402/dn_01/Penyelesaian-pengiktirafan-UEC##ixzz2PGciiAe2
    © Utusan Melayu (M) Bhd

    Like

  2. PM jumpa Dong Zong, bincang masa depan UEC
    Nigel Aw | 6:49PM Apr 1 2013
    Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) berharap pertemuan pertama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, akan membawa kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

    Pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian berkata delegasi beliau mengharapkan pengumuman besar dari Najib hari ini, tetapi jawapan yang tegas, jika ada, mungkin mengambil sedikit masa.

    Yap (kiri) berkata demikian selepas pertemuan selama sejam dengan Najib di pejabat perdana menteri di Putrajaya.

    “Kami mengharapkan satu pengumuman – berita baik dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini – tetapi kerana wujud isu-isu teknikal, maka lebih banyak perbincangan diperlukan.

    “Kami mengharapkan pengumuman untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam boleh dibuat sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada wartawan selepas pertemuan tersebut di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

    Yap menambah, disebabkan kekangan masa, maka Dong Zong telah membincangkan secara eksklusif tentang pengiktirafan UEC – sijil bagi sekolah menengah persendirian Cina.

    Menurutnya lagi, terdapat perbincangan mengenai syarat pelajar dari sekolah pengantar Cina untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu kredit dalam SPM bersama-sama dengan UEC sebagai syarat untuk memohon memasuki universiti awam.

    “Terdapat juga perbincangan mengenai isu akreditasi subjek bahasa Melayu dalam UEC,” katanya.

    Malaysiakini, 1 april 2013

    Like

  3. Dong Zong tak bimbang dilihat jadi alat p’raya Najib

    Lee Long Hui
    4:04PM Feb 15 2013

    Persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) Ahad ini, tidak membimbangkan persatuan itu akan dilihat menjadi alat untuk menarik pengundi Cina.

    Presidennya, Dr Yap Sin Tian (kiri) berkata, selain Najib, Dong Zong turut menjemput ahli politik dari kedua-dua belah pihak untuk menghadiri majlis tersebut, dengan harapan mereka akan memahaminya, dan dengan itu menyelesaikan masalah asas yang dihadapi oleh sekolah Cina.

    “Kami tidak bimbang (akan dilihat sebagai alat bagi perdana menteri berkempen untuk undi).

    “Ramai pertubuhan Cina, seperti Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, juga mengadakan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina dan parti-parti politik dari kedua-dua belah pihak, turut menghadirinya.

    “Prinsip Dong Zong melampaui parti politik, jadi kami juga menjemput semua parti (untuk hadir),” kata Yap dalam satu sidang akhbar hari ini.

    Katanya, pada jam 4 petang semalam, Dong Zong menerima pengesahan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri bahawa Najib akan menghadiri majlis tersebut di ibupejabatnya di Kajang, Selangor, dari jam 10 pagi Ahad ini.

    Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
    mengumumkan melalui Facebook hari ini bahawa beliau akan menghadiri majlis itu pada pukul 11 ​​pagi, yang dijadualkan sejam selepas ketibaan Najib.

    Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin lain Pakatan Rakyat dijangka turut menghadiri majlis tersebut.

    Bagaimanapun, ketika ditemui kemudiannya, Dr Yap tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana beliau tidak menerima sebarang maklumat dari pakatan pembangkang itu.

    Ini adalah kali pertama sejak lebih 50 tahun di mana perdana menteri telah bersetuju untuk menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Dong Zong.

    Lagi banyak ‘hadiah’ dari Najib, lagi bagus

    Dalam surat jemputan yang dihantar persatuan itu kepada perdana menteri sebelum ini, ia telah mengemukakan tiga permintaan utama mengenai pembangunan pendidikan Cina di negara ini.

    Antaranya ialah menggesa kerajaan mengiktiraf sepenuhnya Unified
    Examination Certificate (UEC), meluluskan lebih banyak sekolah tinggi Cina persendirian dan menyemak semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia.

    Oleh itu, Dr Yap berkata, beliau tidak akan mengambil peluang untuk menyampaikan sebarang memorandum kepada Najib semasa majlis tersebut, sambil menambah bahawa adalah mustahil untuk “memaksa” Najib membuat sebarang pengumuman.

    “Prinsip kami ialah tidak memaksa tetamu khas untuk memberikan kita apa-apa, tetapi perdana menteri kita sepatutnya tahu apa yang masyarakat Cina mahu.

    “(Tetapi) jika beliau membawa apa-apa ‘hadiah’, sudah tentulah lagi banyak, lagi bagus,” katanya.

    Like

  4. elok jika kita renungkan dengan detail mengenai kelulusan kepada UEC tu. Nampak mcm Najib tidak ada pilihan selain dari memberi pengiktirafan. Demo kompromi kepada Melayu, bukan sahaja kepada Cina, Najib diminta supaya memberi pengiktirafan bersyarat, pastikan perkara berikut berlaku baru UEC diiktiraf:
    a. Sepertimana saranan penulis artikel, DJZ khususnya lembaga pengarahnya dengan pengaruhnya di kalangan semua parti Cina mestilah bekerja, dalam ertikata memenangkan BN dalam PRU13.
    b. Reach out kepada Cina itu maksudnya bukan berasaskan parti, tetapi berasaskan kaum. DJZ tak boleh hanya seru MCA atau Gerakan, atau DAP tetapi seluruh komuniti Cina.
    c. Kemenangan BN itu mestilah beserta bukti adanya sokongan dari komuniti Cina di daerah-daerah mengundi/peti undi yang mana kaum Cina menjadi penentunya.

    Jika DJZ boleh berkorban dengan bekerja seperti di atas, maka pengorbanan orang Melayu, UMNO dan Kerajaan akan ada nilainya.

    Jika kali ini pun mereka masih dengan sikap lama, iaitu kerajaan bagi ambil tetapi tetap sokong DAP, maka kita menyeru kepada kerajaan, cukup lah. Tumpukan sahaja kepada kumpulan yang setia mendokong mereka selama ini.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.