Pilih Yang Lebih Baik Antara Dua Pakatan – Azam Aziz

azam111

Perlembagaan Persekutuan di rangka dengan semangat untuk mewujudkan negara Malaysia yang rakyatnya bersatu padu dalam kepelbagaian dan mengurus kekayaan negara agar dapat memakmurkan kepelbagaian tersebut…

Baru-baru ini, Aljazeera English (101 EAST) yang diwakili Pembantu Penerbitannya, Parkaran Krishnan Kutty telah mengadakan sesi pra interview dengan beberapa orang yang dipilih mereka mewakili suara-suara warga Malaysia dengan topik Pilihan Raya Umum ke 13. Formatnya ialah mereka (interviewee) boleh mengemukan pertanyaan kepada kedua-dua pihak, iaitu parti pemerintah dan pembangkang. Ikuti pra interview berkenaan yang dilakukan saluran berita berkenaan bersama Presiden Kelab Warisan Malaysia (KERIS), saudara Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkenaan PRU akan datang yang turut dijemput ke sesi berkenaan.
Aljazeera English (AJE) – ceritakan latar belakang saudara secara ringkas.
Azam saya berusia 35 tahun dan merupakan seorang Peguam yang beramal di Tetuan Azam Aziz & Co. Saya merupakan aktivis mahasiswa ketika menuntut di UKM dan meneruskan idealisme itu selepas alam kampus melalui penglibatan aktif di dalam beberapa NGO.
Kecenderungan politik anda?
Saya sebetulnya seorang pelaksana (actual doers), dan bukannya sekadar duduk dan melihat sesuatu perkara berlaku. Saya benar-benar (melalui KERIS-sebuah NGO dan profesion peguam) mewakili kuasa ketiga di Malaysia.
Soalan yang ingin saudara tanyakan kepada pihak kerajaan?

Kerajaan Barisan Nasional telah melakukan banyak program Transformasi sebaik sahaja DS Najib mengangkat sumpah sebagai PM. Terlalu banyak produk 1 Malaysia di perkenalkan kepada hampir semua golongan masyarakat dan banyak wang telah di belanjakan untuk menepati sebuah janji.
Selepas semua itu telah di lakukan, secara jujurnya sejauh manakah keyakinan saudara bahawa Barisan Nasional mampu untuk mengekalkan Pentadbiran Putrajaya pada PRU13 dengan jumlah kerusi yang lebih berbanding PRU12?
 Soalan yang saudara ingin tanyakan kepada pihak pembangkang?
Seramai 13,291,385 orang pengundi dalam PRU-13 telah di sahkan SPR. Menurut statistik PRU-12, hanya 76% Pengundi keluar mengundi dan trend yang hampir sama keluar mengundi dalam PRU sebelumnya.
Pada pandangan saudara, berapa peratus sebenarnya pengundi yang telah di kenalpasti sebagai fix deposit kepada gabungan parti pembangkang kerana kepimpinan Pakatan Rakyat nampak terlalu yakin menawan Putrajaya. Apakah piawaian atau kayu ukur yang digunakan oleh saudara untuk menjelaskan keyakinan tersebut secara empirikal?
Beritahu kami sedikit mengenai latar belakang saudara dan apakah bentuk pilisi atau sikap yang dilakukan oleh kedua-dua parti (BN/Pakatan Rakyat) yang boleh mempengaruhi undi anda?
Dengan latar belakang undang-undang, saya percaya bahawa prinsip-prinsip tunjang yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan terutamanya peruntukan yang berasaskan kontrak sosial yang telah di sepakati oleh pemimpin terdahulu kita. Perlembagaan Persekutuan di rangka dengan semangat untuk mewujudkan negara Malaysia yang rakyatnya bersatu padu dalam kepelbagaian dan mengurus kekayaan negara agar dapat memakmurkan kepelbagaian tersebut.
Perlembagaan tidak boleh ditafsir pada masa kini mengikut selera minoriti walaupun minoriti tersebut memiliki otoriti untuk menafsirkannya. Sebarang perubahan prinsip Perlembagaan pada masa kini tidak boleh dibuat tergesa-gesa tanpa di sokong oleh satu satu jaringan majoriti sosial yang telah benar-benar bersedia untuk mengadaptasikan perubahan tersebut.
Oleh itu saya akan memastikan semua parti politik di Malaysia tidak melacurkan Perlembagaan negara dan saya akan bersuara lantang menentang mereka serta tidak akan teragak-agak mengheret mereka ke mahkamah seandainya mereka berterusan mencabul keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Dengan sistem dual parti di Malaysia, kerana tiadanya kuasa ketiga yang bertindak sebagai fraksi parti politik alternatif di Malaysia, saya tiada pilihan melainkan memilih parti yang baik sedikit di antara dua parti yang kurang baik. Polisi parti yang kurang keburukannya (less evil) akan menjadi pilihan saya dan kayu ukur kepada less evil saya itu adalah semestinya parti yang paling kurang mengganggu Perlembagaan dan undang-undang negara berbanding parti yang gelojoh ingin membuat perubahan tanpa memikirkan samada majoriti rakyat telah bersedia untuk berubah atau tidak.
Adakah anda fikir pilihan raya ini lebih signifikan berbanding pilihanraya-pilihanraya yang lain?
Saya tidak merasakan sedemikian kerana pesta demokrasi ini adalah acara wajib dalam kalendar negara setiap lima tahun. Yang teruja dengan PRU13 berbanding PRU12 pastinya adalah penyokong dan parti -parti politik yang bakal bertanding. Mereka yang berada dalam keadaan tertekan kerana mereka terdesak samada untuk mengekalkan kemenangan atau merebut kejuaraan. Mereka terikat dengan konsep menang semua atau hilang semua.
Saya tidak tergolong di dalam dua kelompok itu kerana di lautan biru yang saya sedang layari sekarang, persaingan politik tidak lagi relevan.
Adakah anda rasa pilihanraya kali ini akan diadakan secara bebas (tidak memihak) dan adil?
Saya merasakan SPR telah mengamalkan standard proses perjalanan pilihanraya yang bebas dan adil kepada semua pihak yang bertanding sejak dahulu hingga kini.
Berkaitan isu tidak bebas dan tidak adil ketika pilihanraya adalah semata-mata persoalan persepsi yang tidak perlu dilayan seolah-olah persepsi telah menjadi realiti. Kesilapan manusia di dalam organisasi seperti SPR mungkin berlaku dalam kes-kes terpencil namun fakta bahawa telah 12 kali pilihanraya negara berjalan sejak tahun 1955 menunjukkan kedua-dua parti bermain di padang yang sama rata dan kedua-duanya berpeluang untuk menang.
Sememangnya pihak pengadil sering dipersalahkan apabila sesebuah pasukan kalah dalam mana-mana pertandingan sukan. Saya tidak pernah mengambil serius tentang rungutan pihak yang gagal menerima hakikat kekalahan sebegini.
Adakah anda fikir kerajaan semasa atau pembangkang sekarang adalah lebih baik utuk Malaysia?
Dalam sistem demokrasi, kita memerlukan pasukan kerajaan dan pembangkang yang terbaik untuk kestabilan negara. Kesilapan kita selama ini adalah kita sering hanya fokus untuk menentukan mana satu merupakan kerajaan terbaik. Sepatutnya, kita juga wajib memikirkan antara dua parti bertanding, siapakah yang akan menjadi pembangkang yang terbaik.
Dengan majoriti mudah yang dimiliki oleh kerajaan BN sekarang, kita dapat melihat dengan jelas bahawa Kerajaan amat berhati-hati dan seboleh mungkin mengelak daripada melakukan kesilapan kerana gerak – geri mereka sentiasa diperhatikan oleh pasukan Pembangkang yang kuat. Saya melihat Pembangkang yang kuat seperti di Malaysia sekarang amat mempengaruhi dasar-dasar negara. Contohnya, tak mungkin rakyat sekarang menikmati BR1M, TR1M, PR1MA dan sebagainya seandainya Pembangkang tidak mencetuskan konsep Negara Berkebajikan pada PRU12 dahulu.
Ini menyebabkan Kerajaan BN terdesak untuk menyaingi kehebatan konsep Negara Berkebajikan oleh Pembangkang dengan menawarkan berbagai produk berkonsepkan kebajikan untuk rakyat. Persaingan yang sihat antara Kerajaan yang kuat dan Pembangkang yang kuat ini melimpahkan keuntungan berganda kepada rakyat kerana Pembangkang yang kuat telah menetapkan satu standard yang tinggi bagi mendesak Kerajaan untuk berubah menjadi lebih menjaga kebajikan rakyat berbanding dahulu kerana jika kerajaan gagal berubah menjadi lebih baik, mereka bimbang kemarahan rakyat akan mengubah posisi mereka sekarang. Situasi ini perlu di teruskan pada PRU13.
Bolehkah anda senaraikan tiga isu yang paling mempengaruhi undi warga Malaysia dalam PRU kali ini?
Pertama, kebajikan rakyat, keduanya keselamatan rakyat dan ketiga kekayaan dan jaminan masa depan rakyat.
Parti manakah pada pendapat anda Berjaya mengendalikan ketiga-tiga isu tersebut dengan paling baik?

Saya merasakan bahawa Barisan Nasional lebih dominan untuk menangani tiga isu berkenaan atas kapasiti mereka sebagai Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
Pakatan Rakyat yang menguasai pentadbiran di empat negeri juga memiliki sumber dan jentera kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai. Kebajikan rakyat kini terjaga dengan baik apabila kedua-dua parti bersaing memberi segala yang percuma kepada rakyat.
Dari segi keselamatan, nampaknya BN lebih dominan kerana polis dan tentera adalah di bawah kawalan dasar oleh BN, manakala unit keselamatan Pakatan Rakyat hanya dilihat dimainkan peranan itu oleh Unit Amal PAS ketika siri-siri demonstrasi dan program-program ceramah PR. Tiada sebarang peranan kawalan keselamatan diri dan harta benda rakyat oleh Unit Amal Pas selain dari kedua acara parti tersebut.
Dari segi kekayaan dan jaminan masa depan rakyat, BN masih lebih dominan dengan berbagai skim perkhidmatan, pendidikan dan peluang perniagaan dan pelaburan jangka panjang untuk rakyat sedangkan tiada sebarang pakej masa depan dilihat disediakan oleh kerajaan-kerajaan negeri PR walaupun mereka memiliki GLC negeri dan IPT Negeri untuk dimanfaatkan sebaiknya dalam pakej kekayaan dan jaminan masa depan rakyat di negeri masing-masing.
Apakah peristiwa atau masalah yang timbul dalam dua tahun terakhir yang boleh mempengaruhi undi anda? Contohnya skandal NFC, PM Najib memakai pakaian tradisional kaum Cina, atau respons kepada demonstrasi Bersih?
Isu moral dan video seks beberapa pemimpin Pakatan Rakyat amat menjengkelkan saya. Di pihak BN, pemimpin yang terbukti terlibat dengan skandal akan didakwa dan dijatuhkan hukuman. Tiada langsung unsur cubaan melindungi (cover-up) di pihak BN dalam isu rasuah Datuk Seri Khir Toyo dan skandal NFC Datuk Seri Shahrizat Jalil tetapi di pihak PR, rakyat melihat mereka saling melindungi kesalahan yang dilakukan termasuk dalam isu video seks melibatkan Anwar Ibrahim.
Sepatutnya PR mendesak agar di lakukan siasatan siapa individu dalam rakaman itu yang dikatakan sangat mirip Anwar Ibrahim? Mereka terus berusaha menutup isu itu manakala kelemahan BN pula ialah BN hanya menuruti rentak perang saraf PR yang berterusan menimbulkan keraguan rakyat tentang video tersebut. Jadi isu-isu ini amat mempengaruhi pilihan saya untuk mengundi nanti.
Apakah yang diperlukan untuk menghapuskan gejala rasuah dan gejala-gejala social lain yang wujud di Malaysia?
Untuk mengatasi rasuah dan gejala sosial lain, pertamanya institusi kekeluargaan itu perlu di perkasakan. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak dan dibantu oleh sistem sokongan sosial yang lain di luar rumah seperti guru, imam, penghulu, ketua jabatan, majikan dan akhir sekali barulah kerajaan. Amat tidak wajar seorang ibu terus menyalahkan kerajaan kerana anaknya menghisap dadah.
Berkaitan rasuah pula, satu kaedah pendidikan terbaik adalah dengan cara menerapkan pemahaman mengharamkan rasuah sebagaimana haramnya memakan daging babi bagi umat Islam. Dalam pemantauan atau tidak, seorang umat Islam walau bagaimana jahat pun beliau tidak akan memakan daging babi.
Dari perspektif politik, adakah anda memikirkan bahawa pilihanraya ini boleh menghapuskan masalah-masalah utama dalam Negara?
Saya tidak fikir begitu. Selagi namanya ahli politik tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal bermusuh. Yang kekal hanyalah kepentingan pihak-pihak berkenaan.
Apakah yang baik dan apakah yang buruk mengenai hala tuju Negara ini?
Yang baik adalah persaingan antara parti-parti politik telah melimpahkan rahmat dan nikmat yang banyak kepada rakyat. Yang buruk adalah ahli politik tidak mengajak rakyat untuk mensyukuri nikmat dan rezeki yang Allah berikan, tiada lagi elemen kasih sayang dalam kehidupan dan ahli-ahli politik. Mereka tidak pernah gagal memburukkan pihak lawan dan ini bukan contoh yang baik untuk anak-anak kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.