Murid bukan tong kosong – Bakri Musa

bakrimusa13

 TANDA jelas pendidikan awam kita tidak mengagumkan ialah pertumbuhan cergas sekolah antarabangsa dan kolej serta universiti swasta. Di Alberta, Canada, sekolah dan universiti awam mereka handal. Oleh sebab itu saluran pendidikan swasta tidak laku. Begitu juga di Singapura. 

Suaris  Dr banyak menulis dan membentangkan kertas kerja mengenai pendidikan yang sebaiknya untuk Malaysia. Adakah dasar dan sistem hari ini mampu membawa orang Melayu mengharungi gelombang masa depan? Apakah yang perlu diperbaiki, diatasi atau diganti?
Dr Bakri  Ternyata dasar dan sistem pendidikan sekarang tidak mampu membawa anak-anak, khasnya anak Melayu, menghadapi masa depan. Rakyat tidak puas hati walaupun berkali-kali kerajaan buat kertas putih dan cetak biru (“blueprint”) untuk “mentransformasikan” sekolah dan universiti kita. Semuanya tidak berkesan. Di sini saya maksudkan aliran awam; pihak swasta cemerlang, tetapi tidak ramai penuntut Melayu di antaranya.
Tanda jelas pendidikan awam kita tidak mengagumkan ialah pertumbuhan cergas sekolah antarabangsa dan kolej serta universiti swasta. Di Alberta, Canada, sekolah dan universiti awam mereka handal. Oleh sebab itu saluran pendidikan swasta tidak laku. Begitu juga di Singapura. Pertumbuhan sekolah dan universiti swasta yang rancak di Malaysia bukan tanda sektor pendidikan kita beres dan subur, tetapi sebaliknya.
Pramoedya Ananta Toer menulis dalam novelnya Bumi Manusia, “seorang terpelajar harus sudah berbuat adil sejak dalam fikiran apalagi dalam perbuatan.” Itulah tujuan pelajaran, untuk mendidik rakyat yang adil. Pendidikan Islam bertujuan membina makhluk yang soleh. Istilah “soleh” saya ertikan “berguna atau memberi manfaat kepada masyarakat.” Rakyat yang adil dan soleh, itu tujuan pendidikan.
Bagi masyarakat berbagai kaum dan budaya seperti Malaysia, saya tambah atau beratkan satu lagi tujuan, iaitu meningkatkan persefahaman antara kaum supaya kita lebih berfikir sebagai satu dan tidak lagi terikat kepada prasangka kaum kita. Tanpa tujuan ini, kita mungkin menjadi saperti penduduk Northern Ireland, berpendidikan tinggi tetapi bermusuhan antara satu dengan lain. Di sana kaum Katholik dan Protestan tidak habis-habis bermusuhan.
Betul pada intinya seorang yang “adil dan soleh” tidak akan membuat demikian, jadi tujuan kedua ini mungkin berulang atau termasuk dalam kandungan “adil dan soleh.” Walaubagaimanapun kita mesti beratkan sudut ini.
Falsafah pendidikan mesti menyifatkan murid sebagai pisau untuk diasah atau tajamkan. Tetapi sekarang kita sifatkan mereka sebagai tong kosong yang mesti disumbat dengan fakta, maklumat, dan propoganda.
Fikirkan, di tangan pakar bedah, pisau tajam ialah alat memyembuh barah; di tangan ahli seni pahat, (untuk) mereka patung kayu yang indah. Sebaliknya, di tangan penyangak pisau menjadi senjata membunuh. Itu mustahaknya tujuan adil dan soleh dalam pendidikan.
Dengan tong yang diisi, apa yang mungkin kita dapatkan balik hanya apa yang telah disumbat. Itu sahaja! Itu pun bukan semuanya sebab banyak yang terlekat atau bocor keluar di bawah.
Munshi Abdullah menulis, di antara mereka yang berguru dan mereka yang meniru, jauh bezanya. Seorang yang berguru, dan berguru cemerlang, tidak terhad pencapaiannya. Mereka yang pandai meniru terhad hanya kepada menghafizkan apa yang diberi atau diajar. Itu sahaja, seumpama burung nuri.
Pendidikan tidak menjamin kita semua menjadi pemimpin, hanya mengajar pemimpin mana yang patut diikuti (education can’t make us all leaders, but it can teach us which leader to follow). Itu (yang disebut) Horace Mann, pendidik Amerika terkemuka. Dia menambah, tidak ada ciptaan insan yang lebih hebat lagi untuk menyamakan keadaan manusia (education … beyond all other devices of human origin, is a great equalizer of the conditions of men ..)
Di dunia ini, yang paling bertuah atau beruntung ialah mereka yang fasih dalam dua (atau lebih) bahasa, dan satu daripadanya ialah Bahasa Inggeris (BI). Itu sebabnya Negara China, Jepun dan Korea Selatan berlumba mengajar penuntut mereka B.I. Yang paling rugi atau lemah ialah mereka yang hanya tahu satu bahasa sahaja, dan bahasa itu lain daripada B.I. (manakala berada) di tengah-tengah terletak mereka yang fasih hanya dalam B.I. Mengapa B.I dan bukan Mandarin atau Swahili yang penting dalam dunia sekarang saya tidak tahu. Sepatutnya Mandarin sebab bahasa itu yang paling ramai pengunanya. Pada satu masa dahulu, bahasa Latin. Mungkin pada masa depan dengan kehandalan kemajuan negara China, Mandarin akan menjadi bahasa pilihan.
Kebanyakan orang Melayu fasih hanya dalam satu bahasa sahaja, dan bahasa itu bukan B.I. Kaum bukan Melayu di Malaysia fasih dalam dua atau tiga bahasa: B.I, B.M, dan bahasa ibunda. Itu sebabnya mereka maju, dan bukan atas alasan keistemewaan budaya atau bangsa mereka. Cina yang fasih dengan Hakka atau Hokkien sahaja terhad ke pasar minggu dan gerai atau kedai. Dengan cara pendidikan yang bijak, murid Melayu pun boleh juga fasih dalam tiga bahasa, BI, B.M, dan Bahasa Arab.
Mengikut kajian neuroscience, banyak tambahan keistimewaan otak kepada mereka yang fasih dalam berbagai bahasa, antaranya kebolehan berfikir “luar kotak” dan dari berbagai sudut. Itu sebabnya universiti terkemuka Amerika memestikan mahasiswa mereka fasih dalam dua bahasa.
Selain daripada bertujuan berkebolehan dua (atau tiga) bahasa, sistem pendidikan kita mestilah beralasan kukuh atas sains dan ilmu hisab, serta mengalakkan murid berfikir. Sains membolehkan kita memahami alam di sekitar serta di dalam (diri) kita. Sains ialah kajian “Quran Kedua” yang dimaksudkan oleh Hamka. Ilmu hisab pula, tanpa kemahiran dalam mata pelajaran itu, kita tidak boleh berfikir dengan tepat, hanya agak- agak sahaja. Dan tanpa berkebolehan berfikir sendiri, rakyat akan jadi Pak Turut dan senang dipengaruhi.
Had sekolah patut dipanjangkan selama 13 tahun untuk semua, dengan empat mata pelajaran asas – BI, BM, Sains, dan Ilmu Hisab – dimestikan setiap hari dan setiap tahun. Mata pelajaran lain dipilih oleh sekolah dan pelajar. Saya tidak kira apa bahasa pengantar, sama ada B.M, Swahili, atau Mandarin. Di Amerika sekarang sudah jadi kebiasaan untuk semua bersekolah 15 tahun, prasekolah ke darjah 12 (13 tahun) dan dua tahun kolej.
Saya mencadangkan pada tahun 10 hingga 13 (sekolah tinggi) penuntut disalurkan kepada tiga jurusan –akademik (untuk bakal mahasiswa), biasa (untuk bakal askar, kerani dan jururawat), dan vokasional, untuk melatih pembuat perabut, juru mekanik, dan tukang jahit. Murid boleh menukar saluran hanya semasa Tahun 10 dan 11. Ini cara Jerman, tetapi di sana saluran itu dimulai lebih awal lagi, pada tahun lima.
Selain daripada itu saya (cadangkan supaya) tambahkan peruntukan kepada sekolah yang mempunyai (komposisi) murid yang mencerminkan masyarakat Malaysia. Saya tidak memaksa tiap- tiap sekolah mengambil beberapa peratus murid Melayu, Cina dan sebagainya, tetapi sekolah yang berjaya mendapat murid berbilang kaum akan dihadiahkan dengan meningkatkan peruntukan wang, guru dan kelebihan lain, tidak kira apa bahasa pengantarnya. Begitu juga, saya akan melebihkan peruntukan untuk sekolah di mana muridnya terkumpul daripada keluarga miskin, seperti di luar bandar.
Saya tidak hapuskan sekolah terhad kepada satu kaum. Jauh sekali! Hanya sekolah tersebut jangan harap mendapat bantuan satu sen pun dari kerajaan. Tentang agama, itu patut di ajar hanya sebagai satu mata pelajaran sahaja dan bukan memenuhi seluruh masa atau sukatan pelajaran. Sekolah agama mesti mengajar empat mata pelajaran asas yang saya sebutkan dahulu (BI, BM, Sains, dan Ilmu Hisab). Saya tidak kira apa bahasa pengantar sekolah agama, samada Arab, BM, Mandarin (seperti di Negara China), atau B.I (seperti di Amerika). Sekolah agama Kristian di Amerika ramai penuntut bukan Kristian termasuk Islam oleh sebab mutu akademiknya tinggi.
Kalau sekolah agama Malaysia tinggi tarafnya, mungkin ibu bapa bukan Islam akan menghantar anak mereka. Tengoklah dahulu, Tun Razak dan Hussein Onn hantar anak mereka ke sekolah “mission” (satu jenis sekolah agama) Kristian!
Kelemahan yang nyata di antara murid Melayu ialah kemorosotan taraf B.I. Saya anak kampung, ibu bapa saya tidak tahu langsung B.I, dan bahasa itu jarang digunakan di sekitar alam saya semasa kecil. Tambahan pula saya bersekolah semasa negeri dijajah. Tetapi saya fasih dalam B.I. Sepatutnya sekarang kita sudah merdeka, pimpinan negeri dalam tangan Melayu, kemudahan untuk murid Melayu untuk belajar B.I semestinya lebih senang bila dibandingkan dengan masa dulu. Tetapi sebaliknya yang berlaku!
Apa sebab? Masyarakat dan pemimpin kita tidak memberatkan hal itu. Mereka menyifatkan mengalakkan B.I bermakna kita tidak “memartabatkan” atau cinta bahasa kita. Itu kesilapan terbesar.
Oleh sebab taraf B.I di (kalangan) murid kampung sudah jauh merosot, saya cadangkan mengadakan “immersion schools” mengunakan hanya B.I selama sekurang kurangnya lima tahun dari prasekolah hingga ke darjah empat atau lima. Bahasa lain termasuk B.M tidak diajar. Oleh sebab B.M digunakan di sekitar luar sekolah dan di rumah, tidak mungkin murid akan lupa bertutur dalam itu.
Saya mensyaratkan satu sahaja. Iaitu murid dihadkan kepada mereka yang bahasa ibunda ialah B.M, bahasa itu biasa digunakan di rumah serta sekitar, atau murid itu sudah fasih bertutur dalam B.M.
Kalau seorang murid Cina sudah pandai bertutur dalam B.M (seperti Cina Baba misalnya) mereka boleh masuk sekolah “English immersion.” Kita mesti mengadakan Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris), di mana bahasa penghantar ialah B.I, di kawasan kampung Melayu.
Satu cara lagi untuk meninggikan taraf B.I antara murid Melayu ialah dengan menubuhkan Sekolah Agama yang menggunakan B.I sebagai bahasa pengantar, seperti di Amerika. Sudah tentunya murid di sekolah itu akan fasih dalam B.I, B.M dan Bahasa Arab!
Itu dengan ringkasnya cadangan saya untuk membaiki, mengatasi atau mengganti sistem pendidikan kita. Saya kembangkan dengan lebih mendalam lagi melalui buku saya, An Education System Worthy of Malaysia (2003).
Untuk menutup (wawancara ini), saya bentangkan tiga unsur asas. Pertama, ibu bapa sahaja yang tahu apa yang baik untuk anak mereka. Maknanya, kita tidak boleh paksa ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah ini atau itu. Pilihan itu semestinya terletak di tangan ibu bapa, dan hanya kepada mereka dan bukan pemimpin politik atau pegawai pendidikan.
Kedua, mengikut kebijakan bekas Canselor German Willy Brandt, hanya satu sahaja bahasa rasmi di dunia ini, iaitu bahasa pelanggan kita. Kata Brandt, kalau saya ingin menjual, saya mesti menggunakan bahasa bakal pembeli. Kalau saya membeli dari kau, kau mesti gunakan bahasa saya (Jerman)! Kalau kita ingin menjual lebih banyak lagi getah dan kelapa sawit kepada negara China dan Amerika, kita patut belajar bahasa mereka!
Ketiga, dan pandangan ini khas untuk orang Melayu sahaja, kita mesti ingat atas perbezaannya penting antara memajukan Bahasa Melayu dan memarakan Bangsa Melayu. B.M boleh maju tetapi itu tidak bermakna Bangsa Melayu akan turut bersama. Tetapi kalau Bangsa Melayu maju, semestinya bahasa kita akan turut bersama. Lebih penting ialah sebaliknya, iaitu jika Bangsa Melayu bangsat, tidak ramai yang ingin belajar B.M. Itu termasuk orang Melayu sendiri. Lima puluh tahun dahulu negara China bangsat; tidak ramai berminat belajar Mandarin. Sekarang Negara China sudah maju, Mandarin ialah bahasa kedua yang sangat diminati oleh pelajar Amerika.
• Akan datang wawancara Bakri Musa (bahagian 9) – Berkenaan masih wujudnya sistem persekolahan vernakular di Malaysia, adakah dasar ini patut diteruskan? Kerana berdasarkan realiti sekarang, mana-mana kerajaan pun yang akan menjadi pemerintah (samada BN atau PR) selepas PRU 13 tidak mungkin berjaya mengatasi masalah ini?

One thought on “Murid bukan tong kosong – Bakri Musa

  1. Saya rasa, lebih baik kalau semua kanak-kanak diberi peluang belajar tiga bahasa di sekolah. BM, BI dan satu lagi bahasa seperti BC, Bahasa Tamil, Iban dan lain-lain. Di negara-negara maju seperti di Eropah atau Amerika Syarikat, pelajar-pelajar di sana boleh belajar pelbagai bahasa. Fahami lebih banyak budaya untuk meluaskan minda

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.