Sekolah Berasas Kaum Bahaya – Bakri Musa

bakrimusa13

SISTEM pendidikan kita sekarang (khasnya di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi) diterajui oleh mereka yang berjaya melalui sistem yang sedia ada. Tidak mungkin mereka akan mengakui kelemahan sistem sekarang sebab itu akan mencerminkan kelemahan diri mereka sendiri. Itu sebabnya mereka tidak memberatkan B.I.

Suaris  Berkenaan masih wujudnya sistem persekolahan vernakular di Malaysia, adakah dasar ini patut diteruskan? Kerana berdasarkan realiti sekarang, mana-mana kerajaan pun yang akan menjadi pemerintah (samada BN atau PR) selepas PRU 13 tidak mungkin berjaya mengatasi masalah ini?
Dr Bakri  Semua sekolah di Malaysia, sama ada aliran kebangsaan, jenis kebangsaan (vernacular), atau agama (sistem sekolah agama rakyat/SAR dan sekolah agama negeri/SAN-ed) berasaskan bangsa dan kaum. Itu amalan yang amat bahaya untuk Malaysia. Hanya sekolah antarabangsa sahaja yang mempunyai penuntut berbagai kaum, agama dan budaya.
Tetapi oleh sebab yuran mereka mahal, sekolah antarabangsa mengasingkan murid mengikut kekayaan, atau taraf sosial (social class). Itu pun bahaya. Sekolah swasta di Amerika dimestikan memberi beberapa biasiswa penuh kepada murid miskin.
Saya tidak ada masaalah dengan sekolah vernakular, sekolah agama dan antarabangsa atas (sebab) bahasa pengantar. Masalah terbesar ialah murid mereka terhad kepada atau kebanyakannya dari satu kaum sahaja. Sekolah kebangsaan pun sekarang sudah jadi begitu.
Kita mesti asingkan bangsa dari bahasa, atau lebih tepat lagi, bahasa pengantar. Maknanya, Sekolah Cina bukan dimaksud sebagai sekolah khas untuk kaum Cina, seperti apa yang berlaku dan kita fahamkan sekarang, tetapi hanya sekolah yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Kalau disifatkan begitu, muridnya tidak akan terhad kepada satu bangsa.
Kita patut menggalakkan murid bukan Cina (khasnya Melayu) di Sekolah Jenis Kebangsaan Mandarin (saya enggan mengunakan perkataan Cina sebab kaitannya dengan kaum atau bangsa) dengan mengadakan kantin halal serta mengajar mata pelajaran Islam dalam bahasa Mandarin, saperti apa dibuat di negeri Cina.
Saya tidak kira apa bahasa pengantar asalkan murid sekolah itu mencerminkan masyarakat negara, maknanya lebih kurang 40-50 peratus Melayu, dan sebagainya untuk bangsa lain. Kita mesti beri kelegaan (kelonggaran) supaya sekolah di Ulu Kelantan semestinya lebih banyak lagi peratus murid Melayu, dan sekolah di Pulau Pinang lebih banyak lagi murid Cina.
Saya tidak setuju langsung dengan hanya ada satu sistem pendidikan seperti apa yang didesakkan oleh beberapa pihak. Kalau sistem itu merosot, jahanamlah masa depan bangsa dan negara; kita semua sama merosot. Dengan ada berjenis aliran, kita menjauhkan negara dari petaka itu. Tak mungkin semua aliran jahanam. Kalau ada satu dua aliran yang remeh, ibu bapa tidak akan memilih atau melanggan dan dengan sendirinya aliran itu akan tutup sebab tidak ada sambutan. Sebaliknya, kalau ada satu dua sekolah atau aliran yang cemerlang, ibu bapa akan memilihnya dan sistem itu akan berkembang.
Saya puji kerajaan kerana membebaskan sekolah antarabangsa. Betul, sekarang yuran mereka mahal, tetapi bila lebih banyak sekolah tersebut ditubuhkan, maka turunlah harga mereka dan mungkin ramai lagi murid dari keluarga menengah khasnya Melayu di sekolah tersebut. Juga bila ramai murid di sekolah swasta dan antarabangsa, itu akan meringankan beban kerajaan supaya usaha dan duit awam boleh ditumpukan kepada sekolah kebangsaan.
Sistem pendidikan kita sekarang (khasnya di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi) diterajui oleh mereka yang berjaya melalui sistem yang sedia ada. Tidak mungkin mereka akan mengakui kelemahan sistem sekarang sebab itu akan mencerminkan kelemahan diri mereka sendiri. Itu sebabnya mereka tidak memberatkan B.I. Mereka fikir oleh sebab mereka berjaya dan mencapai jawatan tinggi dengan fasih hanya dalam B.M, apa mustahaknya belajar bahasa lain terutamanya B. I?
Itulah ranjau terbesar yang menghalang upaya membaiki atau “mereformasikan” sistem yang sedia ada. Kalau kita betul ingin mengubah, kita mesti ambil orang luar atau mereka yang tidak terikat atas kesetiaan pada sistem sekarang.
Pemimpin Negara Thai sedar dengan masalah ini. Mereka mengambil langkah atau cara lain untuk mengatasinya. Mereka bukan sahaja membebaskan sekolah antarabangsa bahkan memberi dorongan seperti mengecualikan mereka dari cukai dan menyenangkan mendapat visa untuk guru antarabangsa. Akibatnya sekolah antarabangsa bertumbuh macam cendawan di sana dan yuran mereka ikut turun. Sekarang sekolah tersebut ada di bandar kecil dan tidak lagi terhad kepada mereka yang kaya; kelas menengah pun sanggup menghantar anak mereka.
Bila murid mereka masuk universiti dan kemudian menjadi pemimpin dan pegawai tinggi, dengan senang mereka akan melakukan perubahan yang bermakna yang patut dilakukan sebab mereka tidak terikat pada sistem yang sedia ada. Oleh sebab mereka anak-anak orang kaya dan berpengaruh (mereka sahaja sekarang yang sanggup membayar yuran yang tinggi di sekolah antarabangsa), mereka akan cepat sampai ke atas. Saya anggap dalam tempoh satu atau dua dekad (mungkin cepat lagi), sistem pendidikan Thai akan dihormati di rantau ini.
Sekarang kita (terutama mereka yang dipengaruhi oleh ungkapan ‘Ketuanan Melayu’) menyifatkan sekolah vernakular, antarabangsa dan swasta sebagai masalah sebab kita keliru antara bahasa pengantar dengan bangsa dan kaum. Tambahan pula pelanggan sekolah swasta kebanyakannya bukan Melayu.
Kalau kita pisahkan prasangka kaum dan bangsa, atau disebut dengan perkatan lain, jika aliran swasta lebih banyak murid Melayu, sekolah tersebut boleh mengkayakan dan memberi sumbangan istimewa kepada sistem pendidikan negara. Kita mesti singkirkan perasaan dengki dan cemburu; sebaliknya kita mesti meniru kejayaan sekolah swasta supaya lebih ramai lagi murid Melayu boleh menikmatinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.