Menulis Untuk Perbetul Kesesatan – Bakri Musa

bakrimusa13

“FIKIRAN yang salah dan sesat itu merendahkan keadaan serta martabat bangsa kita…”

Suaris  Berbalik kepada pandangan Dr dalam tulisan, selama ini Dr dilihat kritikal kepada kerajaan semasa. Sesetengah pihak melihat alangkah baiknya jika Dr berbaik-baik dengan pemerintah, untuk membolehkan suara Dr lebih didengari dan ada harapan untuk dilaksana. Komen Dr?
Dr Bakri Musa  Kalau tujuan saya hanya untuk mempengaruhi pemimpin UMNO, saya tidak gunakan saluran menulis, saya akan gunakan wang melalui rasuah. Pemimpin UMNO korup; wang lebih berkesan untuk mempengaruhi mereka! Ghafar Baba pernah berkata Majlis Tertinggi UMNO boleh dibeli dengan hanya sebillion ringgit saja. Itu duit Malaysia, nilainya rendah! Tambahan pula pemimpin UMNO bukan yang berminat membaca!
British boleh mempengaruhi raja-raja Melayu, dan dengan itu negara kita, hanya dengan elaun raja yang murah serta memikat dan mengampu mereka dengan gelaran ‘Sir’. Itu juga caranya British dapat Singapura. Lihat betapa senangnya seorang pendatang penjual permaidani boleh mempengaruhi keluarga pemimpin Melayu tertinggi sampai berani memanggil ‘First Lady of Malaysia’ Kak Rose! Amboi!
Saya menulis sejak tahun enam puluhan atas pesanan ibu bapa sebelum saya berangkat ke Kanada. Mereka suruh saya mengkaji dan meneliti bagaimana Kanada boleh memberi biasiswa kepada anak Malaysia dan bukan Malaysia kepada anak muda Kanada. Padat dan mendalam fikiran ibu bapa saya sungguh pun mereka orang kampung.
Pada tiga dekad pertama saya menulis dengan cara (secara) peribadi kepada menteri termasuk Tunku dan Tun Razak (kebelakangan ini juga dengan anaknya), serta KSU dan ketua pejabat. Beratus ratus duit setem saya bayar! Dalam berpuluhan surat itu saya menerima hanya dua atau tiga balasan sahaja, termasuk satu daripada seorang bernama Dr. Mahathir sebelum dia dibuang dari UMNO! Maknanya, tulisan saya secara peribadi dan cara lembut tak ada akibatnya (kesannya). Lepas itu saya menulis di New Straits Times, suara UMNO. Itu pun (kesannya) begitu juga. Sejak 1990 saya menulis hanya di medan internet sahaja dan melalui buku.
Jika tujuan saya menulis ialah untuk mempengaruhi pemimpin, saya sudah lama kecewa dan berhenti menulis! Tujuan saya menulis ialah untuk menyebarkan fikiran saya. Saya sedar pandangan saya berlainanan dan kadang-kadang bertentangan dengan pendapat ramai. Saya rasa fikiran ramai sesat, itu sebabnya saya menulis. Jika saya fikirkan saya yang sesat, saya akan senyap!
Kalau salah dan sesat pandangan sahaja itu perkara akademik, maknanya markah sahaja yang rendah. Tetapi bila fikiran yang salah dan sesat itu mengakibatkan merendahkan keadaan serta martabat bangsa kita, saya terasa wajib membalas dan mendedahkan kekosongan pandangan ramai dan pemimpin.
Dua tiga tahun dahulu didebat antara Astora Jabat dan Datuk Asri (Zainal Abidin, bekas mufti Perlis) mengenai Tajdid dalam Islam, ramai orang marah dengan Astora dan menyuruh dia berhenti menulis sebab ia menggoncang fikiran pembacanya. Pada saya, kalau tulisan saya boleh menggegar dan menggoncang fikiran orang Melayu terutamanya pemimpin kita, alhamdullillah! Itulah tujuan dan niat saya! Itu sahaja! Sama ada karangan saya mengakibatkan evolusi, revolusi, atau tidak ada langsung pertukaran tidak menjadi soalan.
Saya seorang doktor, bukan penulis. Bagi saya, menulis satu cabaran dan beban berat; bakat dan minat saya merawat dan membedah pesakit! Saya akan terus menulis sebab saya masih lagi boleh berfikir.
Mengikut kesimpulan saudara, kalau saya membodek pemimpin Melayu khasnya dalam UMNO, mungkin mereka akan berminat kepada suara dan cadangan saya. Makanya, saya mesti berpura-pura dan berbohong, mengatakan mereka cekap, beramanah, berkebolehan dan tidak korup. Mengikut kitab saya, berpura-pura dan berbohong itu perbuatan salah! Kalau saya buat demikian, tidak ada bezanya antara saya dengan penjual permaidani itu, hanya dia menggunakan wang; saya, karangan.
Saya bertuah sebab ibu bapa saya mempunyai fikiran bebas. Minda mereka merdeka. Ibu bapa saya guru sekolah Melayu, tetapi saya adik beradik dihantarkan ke sekolah Inggeris. Dalam tahun lima puluhan dahulu semasa saya di sekolah, semangat kebangsaan melimpah-limpah terutama di para guru Melayu. Oleh sebab itu ramai murid Melayu, terutama anak guru sekolah Melayu, ditarik keluar daripada sekolah Inggeris dan dimasukkan ke sekolah Melayu. Ibu bapa saya pun kena tekanan masyarakat yang hebat untuk ikut bersama. Kalau guru Melayu sendiri tidak menyokong sekolah aliran Melayu, siapa lagi, unggapan mereka. Tetapi oleh sebab ibu bapa saya merdeka berfikir, dia tetap menempatkan saya di sekolah Inggeris. Tidak terhad rasa syukur saya terhadap mereka dan keputusan mereka.
Ibu bapa saya berfikir, sungguh pun menteri-menteri dan ketua-ketua UMNO menyuruh kita utamakan bahasa dan sekolah Melayu, tetapi Tun Razak sendiri dan menteri-menterinya menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris. Tun Razak dan birasnya Hussein Onn menghantar anak mereka ke England!
Pendek kata, bapa saya mendengar merengik keldai (Tun Razak menghantar anak-anak nya ke England) dan lebih mempercayai binatang itu daripada mulut manis Mullah (unggapan Tun Razak).
Begitu juga, jika masyarakat dan pemimpin Melayu menerima pandangan saya, itu semestinya dilandaskan atas kebenaran dan kebijakan fikiran yang saya bentangkan, dan bukan atas keseringan pujian saya kepada mereka. Betul, manisan lebah lebih senang ditelan daripada masam limau. Tetapi kita mesti ingat mereka yang tak terhingga memuji kita, ada tujuan yang lain. Seperti kata lagu Serampang Laut, “Mulut yang manis ada maksudnya!” British memuji kita sebagai “Nature’s Gentlemen” dan dengan itu depa dapat menjajah kita dengan senang!
Bila saya dengar pakar -pakar luar negeri yang tak terhingga memuji pemerintahan kita, saya ingin bertanya berapa lumayan “consultant fees” mereka? Saya bersyukur kepada Allah sebab saya boleh menulis tanpa bimbang periuk nasi saya akan terancam.
Akan datang: Interview suaris ke-11
( Sekali lagi kita sentuh PRU 13, adakah Dr melihat pembangkang mampu melakukan perubahan pada kali ini? Sekiranya mereka berjaya, apakah mereka mampu mampu melaksanakan agenda untuk Melayu lebih baik dari apa yang dilakukan kerajaan semasa?)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.