Hoong Ling — Calon MCA PJ Utara

slidee32
DI KALANGAN NGO di negara kita, terutama NGO yang berkaitan pendermaan organ, nama Chew Hoong Ling tidak perlu diperkenalkan lagi. Pada tahun 2009 beliau menggemparkan media-media Malaysia, terutamanya dalam akhbar-akhbar berbahasa Mandarin apabila mendermakan 60 peratus hatinya kepada seorang kanak-kanak yang mengidap kanser hati. Manakala pada Mei 2011 Hoong Ling telah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Belia Perdana Negara dalam satu majlis yang diadakan di Putrajaya, sempena Himpunan Sejuta Belia. Manakala pada tahun ini, beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada 14 Ikon Belia Negara. Selain mengisi masa beliau dengan menulis buku, Hoong Ling juga merupakan pengacara majlis profesional selain terlibat dalam keusahawanan sosial (social entrepreneur).
Dengan latar belakang sedemikian, populariti Hoong Ling segera mendapat perhatian banyak pihak, termasuklah parti-parti politik. Laporan berita Malaysiakini menyebut beliau adalah salah seorang dari calon-calon muda MCA yang bakal diketengahkan oleh parti itu menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti untuk diletakkan di kawasan-kawasan ‘panas’ di mana calon-calon muda ini dikatakan akan melawan calon-calon favourite pembangkang.
Suaris mengambil kesempatan ini untuk cuba melihat idea-idea dan pemikiran Hoong Ling, di sebalik semua cerita-cerita yang tersebar dalam laman maya tersebut. Ikuti temubual berkenaan:
Suaris  Boleh anda ceritakan sedikit latar belakang anda – kalau boleh selain dari yang telah disiarkan dalam mana-mana media atau blog?
Hoong Ling  Saya seorang yang simple saja, jadi dari mana-mana media yang pernah bercerita tentang saya, itulah saya. Takde versi lain dah selain daripada seorang perempuan berumur 31 berasal daripada sebuah keluarga yang sederhana dan suka memberikan khidmat sosial.
Suaris  Anda terkenal di kalangan NGO Malaysia selaku seorang yang memperjuangkan pendermaan organ secara konsisten sejak berumur 13 tahun. Tidakkah hasrat untuk menceburi politik mengundang tanggapan tertentu dari NGO tertentu atau masyarakat.
Hoong Ling  Bagi saya, politik masih merupakan kerja sosial, cuma dalam konteks yang lebih luas dan besar. Saya hormat kepada wakil-wakil rakyat yang cukup konsisten memberi khidmat sosial dan bantuan kepada pengundi-pengundi mereka, bukan sahaja bersuara di Parlimen atau dalam Dewan Undangan Negeri. Suara lantang tetapi kebajikan pengundi tidak dipedulikan, apa gunanya menjadi wakil rakyat? Oleh itu, untuk saya, jika berpeluang dipilih sebagai wakil rakyat – saya akan mengimbang kedua-dua tugas di (peringat) akar umbi rakyat dan juga di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Sebagai seorang aktivis sosial, sudah pasti saya sudah banyak bersuara mengenai isu-isu semasa yang kadangkala memerlukan kesungguhan dalam politik untuk menjadi realiti. Contohnya, saya cukup lantang bersuara mengenai isu-isu pendermaan organ dan perusahaan sosial (social enterprise) tetapi jika tiada ahli politik yang memahami isu-isu ini, mustahil untuk mendapat keputusan yang diingini. Jadi jika saya berkecimpung dalam politik dan mengundang tanggapan negatif, mungkin mereka belum memahami tujuan saya lagi. Negara ini juga negara demokrasi, jadi tidak menjadi masalah jika setiap orang mempunyai tanggapan tersendiri. Kebebasan berfikir dan bersuara memang sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Suaris  Sejak bila anda berjinak-jinak dalam politik. Adakah anda mendapat jemputan dari mana-mana pihak atau parti tertentu?
Hoong Ling  Sebenarnya saya adalah ahli parti politik sejak umur 18 tahun lagi cuma tidak aktif. Beberapa tahun yang lepas, saya juga merupakan Setiausaha kepada Ahli Parlimen Pandan. Saya pernah juga membantu dalam tiga pilihanraya umum dan beberapa pilihanraya kecil bersama calon-calon Barisan Nasional. Jadi, tidak hairanlah ada juga jemputan parti dalam Barisan Nasional.
Suaris  Pada pandangan anda, adakah wajar NGO meneruskan langkah mereka ke dalam kegiatan politik? Apakah tujuannya untuk meneruskan servis mereka atau untuk tujuan lain?
Hoong Ling  Pihak NGO banyak dan sentiasa memperjuangkan sesuatu isu atau topik yang kebanyakannya membawa penambahbaikan kepada polisi-polisi negara yang sedia ada. Ada juga sesetengah NGO, termasuk saya sendiri, yang sentiasa memperjuangkan hak wanita atau hak orang muda untuk diberi lebih peluang bertanding dalam pilihanraya kerana suara wanita dan belia kurang kedengaran di peringkat Parlimen. Oleh itu, jika saya membuat keputusan untuk bertanding, keputusan ini adalah untuk suara wanita dan belia.
Suaris  Sebuah portal berita berita, malaysiakini dan freemalaysiakini menulis mengenai kemungkinan anda akan bertanding di Petaling Jaya Utara, sebuah kawasan yang kini disandang oleh Tony Pua, orang kuat DAP. Sejauh mana kebenaran berita ini atau sekadar rumours saja?
Hoong Ling  Ini masih sensitif… (tersenyum).
Suaris  Apa pandangan anda mengenai kaedah meletakkan calon-calon muda bagi mewakili sesebuah kawasan? Adakah ini sesuatu yang positif kepada politik Malaysia secara keseluruhannya?
Hoong Ling  Saya amat mengalu-alukan calon-calon muda kerana beberapa sebab. Pertama, kepimpinan dalam politik kini dikuasai oleh orang yang berumur dan peluang untuk orang muda tidak kedengaran. Kedua, orang muda tidak diberi peluang mengecapi kejayaan dalam politik, bahkan tiada peluang untuk bertanding kerusi sebenar dalam pilihanraya. Namun, jika dibandingkan, orang muda merupakan lebih daripada 50 peratus populasi negara kita. Bukan sahaja calon muda perlu diberi peluang tetapi lebih ramai wanita perlu diberi peluang. Namun, kerap kali kita melihat ramai orang muda dan golongan wanita sentiasa mengetepikan peluang sebegini apabila ditawarkan. Saya sendiri pernah menolak beberapa undangan sebelum ini dan merasakan diri saya tidak serasi dengan laungan saya selama ini. Maka, jika diundang sekali lagi, saya akan bersetuju untuk menerajui bidang ini untuk wanita, untuk belia.
Suaris  Komen sebuah blog menulis bahawa meletakkan calon-calon muda dan cantik tidak lebih sebagai penarik kepada pengundi sahaja, bukannya mementingkan isi perjuangan sesebuah parti. Apa komen anda?
Hoong Ling  Saya melihat wanita di Malaysia kini lebih matang, lebih bijak bersuara dan mampu menjadi ketua yang berketrampilan dalam sesebuah organisasi. Sudah tentu wanita mempunyai paras rupa dan kecantikan mereka tersendiri. Namun, kecantikan sebenarnya bermula dari dalaman iaitu personaliti dan integriti yang dibawa, bukan setakat wajah sahaja. Jika setakat wajah sahaja cukup menangkap hati pengundi, rasanya semua model terunggul negara boleh menjadi calon dalam pilihanraya nanti (tersenyum) .
Suaris  Sekiranya berita tersebuat menjadi kenyataan (iaitu dipilih menjadi calon pilihan raya), apakah visi atau teras perjuangan anda? Adakah anda akan meneruskan peranan anda sebagaimana dalam NGO sekarang ini?
Hoong Ling  Visi sebagai seorang calon dan visi dalam NGO cukup berbeza. Dalam NGO, saya merasakan sesuatu isu itu perlu diketengahkan maka saya akan bersuara. Dalam sesuatu kawasan, visi calon itu seharusnya selari dengan visi yang diingini oleh rakyat atau pengundi beliau. Malaysia bukan lagi sebuah negara di mana ketua negara meletakkan visi tertentu dan rakyat mengikut perkembangan semasa sahaja. Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya cukup matang dan setiap rakyat dapat membantu merealisasikan visi negara. Oleh itu, jika terpilih sebagai calon, saya harus bertanya, “Apakah yang dikehendaki oleh rakyat di kawasan saya?” bukannya “apakah visi saya untuk kawasan tersebut”. Jika seseorang calon gagal mendengar kehendak rakyat, visi yang dibawa nanti tidak akan menjadi visi bersama. Kadangkala saya melihat papan tanda “Satu lagi projek kerajaan untuk rakyat”, padahal kerajaan itu dipilih oleh rakyat. Sepatutnya “Satu lagi projek rakyat oleh kerajaan”.
Suaris  Selain dari mempromosi pendermaan organ, Hoong Ling juga terlibat (sebagai Presiden) sebuah NGO lain, Voice for Women. Apakah objektif NGO berkenaan?
Hoong Ling  Persatuan Suara Wanita menyediakan platform untuk wanita muda bersuara dalam isu-isu yang difikirkan perlu dan memberi peluang kepada wanita muda untuk mengembelengkan tenaga untuk pembangunan negara.
Suaris  Sekiranya dipilih sebagai calon, bagaimana anda hendak menafikan pandangan pengundi bahawa pemilihan ini bukan disebabkan soal fizikal, bukannya sebab anda berkualiti dan layak dipilih?
Hoong Ling  Rakyat sudah bijak menilai dan tidak perlu banyak penafian atau seribu dalih. Masa akan membuktikan bahawa wanita muda, jika diberi peluang, turut dapat menggegarkan pentas politik dan cukup bertenaga berkhidmat untuk rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.