Persamaan Isu-isu PRU2004 dan PRU2013

[Zainudin Omar]  SETELAH perjalanan kempen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini kelihatan tersusun dengan  baik, PAS secara tiba-tiba menggugurkan ‘bom pemusnah pakatan’ melalui isu Hudud. Kenyataan Dr Harun Din,  calon Pas Parlimen Arau itu memperlihatkan PAS masih tidak berubah. Apabila mula merasakan sokongan kepada mereka terjejas, PAS akan cepat-cepat mengeluarkan senjata sulit  Hudud sekalipun mereka tahu bahawa senjata itu akan memusnahkan kesepakatan dalam Pakatan.
Dalam hal ini, Pas dilihat amat mementingkan diri. Namun, itu adalah perspektif kumpulan yang  gagal melihat PAS dari dalam diri pemimpin dan pengikut PAS.  Ahli PAS sejati tidak menganggap tindakan mereka adalah silap atau tidak menghormati kompromi dengan parti-parti lain dalam Pakatan.  Kepada mereka, itu adalah siasah dan strategi memenangi perang yang dibenarkan dalam Islam sekalipun menyakitkan hati rakan-rakan dalam Pakatan.
Isu Hudud kali ini telah mengharu birukan DAP. Kesan pertamanya di  Johor, dengan tekanan disiplin ke atas Norman Fernandez selaku orang nombor dua DAP yang mengeluarkan kenyataan anti-PAS.  Adakah PAS melupakan sejarah PRU2004 di mana BN hampir menyapu bersih kerusi-kerusi utama Parlimen dan DUN akibat isu-isu yang dimainkan dalam pusingan akhir berkempen.
Beberapa isu menarik perhatian dalam PRU kali ini kerana persamaannya dengan isu yang dimainkan dalam PRU 2004. Pada masa itu, Hadi Awang  pernah menyindir bekas Perdana Menteri Pak Lah. Pak Lah dituduh berdoa dan menjadi imam tetapi tidak ikhlas tapi untuk menunjuk-nunjuk.
 Ini ekoran foto-foto Pak Lah mengimamkan sembahyang beredar di akhbar-akhbar utama. Manakala Nik Aziz dalam PRU 13 ini menyatakan ‘sembahyang orang UMNO tidak berpahala’.
Dalam pertentangan pendapat yang mengiringi PRU2004, Hadi menuduh Karpal sebagai ‘ubat tamat tempoh’. Manakala dalam PRU kali ini foto-foto Nik Aziz diusung menjadi bahan menarik untuk media seakan-akan membalas semula tuduhan Hadi ke atas Karpal.
Dari segi tuduhan berasaskan ideology pula, berlaku beberapa versi  yang sebenarnya hanyalah babak ulang tayang dalam pilihan raya 2004. Pada masa itu, Nik Aziz menuduh perjuangan sosialis Parti Rakyat yang diketuai oleh Dr Syed Husin Ali sebagai  ‘adik kepada komunis’.  Tuduhan ini timbul apabila nama Syed Husin dicalonkan PKR untuk kerusi Parlimen Kota Bharu. Sudah pasti tuduhan ini amat melukakan Syed Husin dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah.
Belum lagi luka 2004 sembuh sepenuhnya, maka PAS melalui Haji Hadi sekali lagi mengingatkan para pengundi tentang calon –calon PKR yang  ‘menjual pil kuda dan menjunjung ideologi  komunis’.  Dari segi perancangan dan masa,  tuduhan dilontarkan itu hampir benar dengan waktu tuduhan dibuat semasa PRU2004, iaitu apabila PAS inginkan calon mereka diletak di kawasan-kawasan yang dianggap telah diganggu oleh PKR.
Dengan keadaan tidak bersepakat dan tidak tersusun itu, parti-parti dalam Barisan Alternatif pada masa itu telah mengalami kekalahan yang teruk.  Adakah keputusan yang sama akan berulang dalam PRU13 ini?
Dalam hal ini, beberapa pandangan boleh dikemukakan untuk menyokong  jangkaan kemenangan BN. Berlawanan dengan kajian UMCEDEL, yang meletakkan Anwar lebih popular dari Najib, persepsi  di lapangan  nampaknya sangat berbeza.
Mengambil contoh pergerakan tokoh yang masih berpengaruh dalam BN sudah menunjukkan perbezaan yang ketara ke arah kemenangan BN yang lebih besar. Antara yang sangat jelas kehadiran  Tun Daim Zainudin yang memberikan  sokongan kepada UMNO dan BN.  Malah beliau sendiri dilihat  telah turun padang berkempen di kawasan Parlimen Merbuk, yang pernah diwakilinya.
Tun Daim, sekalipun seorang tokoh perniagaan Melayu dan Bumiputera ternama  bukan lah simbol untuk pengundi Melayu sebaliknya sering dirujuk sebagai petanda kembalinya sokongan kaum perniagaan dan korporat Cina di Malaysia.
Kepada pemerhati yang cekap mereka akan menganggap turunnya Tun Daim berkempen sebagai kembalinya sokongan kumpulan perniagaan berpengaruh dalam kalangan kaum Cina. Sekiranya fakta saya tidak silap, Tun Daim tidak berkempen sewaktu PRU12,  2008.
Pulangnya Tun Mahathir dengan menjadi sebahagian tulang belakang utama kempen Datuk Sri Najib juga menandakan sokongan tokoh politik Melayu yang menjauhi kepimpinan Negara  semasa PRU 2008. Seringkali disebutkan bahawa Anwar Ibrahim akan sanggup berdebat di televisyen dengan sesiapa sahaja di Malaysia ini, melainkan Tun Mahathir. Sebab itu tidak pernah dilaporkan cadangan perdebatan antara Anwar dan Tun di media-media pembangkang.  Begitu lah besarnya pengaruh Tun Mahathir, yang masih dikagumi dan digeruni oleh Pakatan Rakyat.
Dengan tanda-tanda yang jelas, beserta dengan persamaan isu yang membelit dan mengusut- masaikan Pakatan Rakyat, maka adalah diyakini bahawa BN akan memenangi malah mungkin mampu menikmati kemenangan dua pertiga dalam PRU kali ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.