Salah Guna Adalah Sikap Individu

vapor

MINYAK vape diperbuat daripada bahan yang biasa digunakan dalam produk makanan dan mengandungi nikotin lebih rendah berbanding rokok, kata Naib Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia (Mevta) Rizani Zakaria, ketika peruncit rokok elektronik atau vape bergelut dengan peraturan baharu pihak berkuasa kesihatan yang mengancam perniagaan mereka.

Gliserin sayur (VG) daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit digunakan dalam minyak vape dan membentuk 80% hingga 90% daripada produk itu. Satu lagi bahan ialah propylene glycol (PG), yang digunakan untuk membuat sos dan kicap, serta produk makanan lain.

Baki 10% hingga 20% daripada perasa itu merupakan bahan asas perisa dan pemanis, kata Rizani kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengakui, memang ia turut mengandungi nikotin, tetapi ia tidak lebih daripada 2.4% pada setiap botol, bergantung kepada kepekatan rasa.

Daripada segi beratnya, kandungan nikotin dalam vape antara 6mg dan 12mg berbanding 13mg dan 16mg dalam sebatang rokok, katanya.

Kementerian Kesihatan, bagaimanapun kini mahu vape yang mengandungi nikotin dijual hanya oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Minggu lepas, ia menyerbu lebih 300 kedai vape, kebanyakannya di Selangor, satu langkah yang memaksa ramai peruncit lain menutup kedai kerana takut kehilangan barangan mereka.

Rizani, yang mengaku menutup kedai vapenya untuk mengelakkan diserbu berkata, tindakan itu tidak adil.

“Kandungan bahan asas perasa vape hanyalah bahan membuat kek dan kandungan nikotin vape lebih rendah berbanding rokok.

“Kalau kata nikotin itu bahaya, kenapa tidak melarang penjualan rokok di kedai mamak yang dijual secara terbuka?” soalnya meluahkan kekecewaan terhadap tindakan kementerian sebelum ini.

Rizani mendakwa, cecair perasa vape yang dikeluarkan juga mematuhi piawaian gred makanan Amerika Syarikat (AS).

Media AS bagaimanapun melaporkan dadah turut dicampur ke dalam minyak vape, mewujudkan ketagihan baharu dan membawa kepada penyalahgunaan dadah.

Semalam, bekas timbalan ketua polis negara Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz juga memberi amaran, mencampurkan dadah dalam minyak vape akan menjadikannya sukar dikesan dan boleh membuka jalan kepada penyalahgunaan dadah.

Rizani mengakui, terdapat beberapa individu menggunakan bahan tidak sepatutnya dalam penghasilan cecair perasa vape, atau disebutnya sebagai “ejen asing”.

“Kita bagaimanapun masih tidak mengetahui kesan jangka panjang penggunaan bahan yang tidak sepatutnya dalam perasa vape, namun kita dapat mengesan jika pengguna mengalami iritasi di tekak, seperti batuk-batuk,” katanya.

Tetapi beliau menolak tanggapan yang ganja, contohnya, boleh diproses menjadi bentuk cecair dan ditambah ke minyak vape. Katanya, proses tersebut akan menjadi rumit.

“Sebenarnya, suatu yang mustahil untuk cecair berperisa ganja. Kerana, bagaimana hendak memproses ganja itu menjadi cecair? Dan bagaimana kita hendak mengekstraknya?

“Jadi, saya rasa agak mustahil,” katanya.

Rizani berkata, Mevta sudah mendokumentasikan cadangan dan saranannya kepada kerajaan berhubung penggunaan dan penguatkuasaan vape di dalam negara.

Namun, sehingga hari ini, masih tiada sebarang respons yang diterima persatuan yang mempunyai antara 4,000 dan 5,000 ahli itu, daripada kementerian.

“Mevta sudah lama mengusulkan, perlu ada standard bagi pembuatan cecair perasa yang diiktiraf kementerian atau badan berkenaan, maksudnya ada kawalan bahan dan sebagainya.

“Salah guna adalah sikap individu. Hatta mereka yang merokok juga, boleh meletakkan ganja dalam tembakau,” katanya.

Katanya, Mevta juga mencadangkan seliaan dan garis panduan untuk pembancuh perasa vape mematuhi piawaian dalam meletakkan nikotin ke dalam perasa.

“Melalui seliaan, kita perlu ada garis panduan. Bermaksud, bila ada kawalan, kita hadkan kadar nikotin untuk pembuatan cecair tidak melebihi kadar yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, Mevta juga mempunyai kertas kerja garis panduan untuk rujukan pihak atau badan berkaitan jika kawalan atau seliaan dilaksanakan kerajaan.

Industri rokok elektronik ini kini keliru dengan apa yang kelihatan seperti tiada kesinambungan dalam kedudukan Putrajaya mengenai vape.

Pada 30 Oktober, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan di laman Facebook beliau, Kabinet memutuskan vape tidak akan diharamkan.

Namun, Kementerian Kesihatan membuat serbuan ke atas lebih 300 kedai vape di seluruh negara, majoritinya di Selangor, bagi mencegah penggunaannya di kalangan rakyat Malaysia.

Susulan kekecohan yang timbul, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jawatankuasa ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada isu yang timbul daripada kontroversi vape dan kesannya kepada perokok.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu pendekatan konsisten diambil kerajaan, menulis di akaun Twitter beliau pada Ahad, menyatakan jika vape diharamkan, rokok juga perlu diharamkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, vape dengan kandungan nikotin hanya boleh dijual ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar, kerana penjualan nikotin oleh pihak tidak berautoriti adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952.

Bagaimanapun, Ismail semalam menggesa kerajaan menimbang semula cadangan itu, mengatakan ia akan menjejaskan kehidupan ramai peniaga kecil Melayu.

Rizani berkata, beliau terpaksa menutup kedainya kerana khuatir turut menjadi mangsa kepada tindakan kementerian.

“Siapa yang akan bayar ganti rugi? Itu modal kami, kalau modal kami dirampas macam mana kami nak berniaga,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa bertindak tanpa berdasarkan kajian yang sepatutnya.

“Tanpa sebarang kajian menyeluruh. Kementerian bertindak hanya berdasarkan khabar angin. Kenapa jadikan kami, peniaga vape sebagai mangsa?” soalnya.

Rizani yang memulakan perniagaan menjual vape bermula 2009, dan kini menjadi pembekal kepada bahan asas dalam penghasilan cecair perasa vape mendakwa, penjual kini ditekan tanpa sebarang jalan keluar.

Katanya, kementerian seharusnya mengeluarkan notis pemakluman sebelum menyerbu premis perniagaan vape tersebut.

“Vape sudah bertapak di Malaysia sejak 7 tahun lepas, kenapa baru sekarang kami dikecam?” soalnya.

Sebelum ini, Presiden Mevta Allan Foo dilaporkan berkata, tidak adil cecair vape diklasifikasikan di bawah Akta Racun 1952, yang kali terakhir disemak semula pada 1989, manakala nikotin dalam rokok dibenarkan di bawah Akta Makanan.

sumber: the malaysian insider

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.