KAJIAN TOKOH, DATO’ DR ABD HALIM MOHD HUSSIN, PENGARAH PSIKOLOGI JPA

Beliau  kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya.

Seorang personaliti yang ramah, suka menolong, ‘sporting’, dan tidak sombong walaupun berjawatan tinggi menyebabkan saya semakin menghormati beliau sebagai bekas pensyarah saya di USIM semasa saya melanjutkan pelajaran ke peciality Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA). Dalam penulisan ini, saya akan mengaitkan tokoh saya dengan teori Krumboltz dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi beliau berjaya ke peringkat sekarang.

Oleh Maznita Mokhtar

(maznitanbc869@gmail.com)

PENGENALAN

halim.hussin

Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin dilahirkan di Raub, Pahang pada 12 Ogos 1958. Merupakan anak kedua daripada 6 orang adik beradik. Beliau telah berkahwin dengan Prof. Madya Datin Dr. Mardziah Hayati Binti Abdullah yang sekarang bertugas di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan sepasang cahaya mata, dan sekarang mempunyai cucu seramai 4 orang.

Menyusuri hidup kehidupan beliau sejak kecil, beliau dibesarkan dalam suasana kampung di Raub, Pahang. Ayahnya seorang guru agama yang mengajar bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa manakala ibunya surirumah sepenuh masa. Bagi memenuhi keperluan hidup ayahnya melakukan dua kerja dalam sehari. Selepas pulang dari mengajar dia akan ke kebun untuk menorah getah. Keadaan hidup beliau yang sederhana ini menyebabkan beliau tidak pernah terfikir atau berangan-angan untuk sampai ke tahap ini. Malahan beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang dunia kaunseling. Keinginan beliau hanyalah tamat tingkatan 5 dan bekerja sebagaimana rakan-rakan yang lain. Tetapi ayahnya pada masa itu sudah ada pengetahuan tentang belajar tinggi sehingga Phd. Ini mungkin kerana pengaruh daripada anak saudaranya yang telah melanjutkan pelajaran ke England. Pengetahuan ayah beliau inilah mungkin salah satu faktor mengapa ayah beliau mengharapkan beliau menjadi guru selain kerjayanya sebagai ustaz.

Di Raub pada masa itu, ramai kanak-kanak dihantar ke sekolah Inggeris sejak kecil. Begitu juga beliau dan abangnya telah berkesempatan belajar di sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun. abangnya tidaklah sangat bernasib baik dan sekarang bekerja sebagai ketua kerani di Pejabat Daerah manakala adik beradiknya yang lain hanya bekerja biasa.. Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin meletakkan dirinya sebagai seorang yang sentiasa bernasib baik. Selepas lulus LCE beliau telah meyambung pelajaran ke aliran sains. Tamat belajar beliau pernah mengikut kawan untuk bekerja kapal tetapi ayah beliau tidak mengizinkan dan telah membawa beliau balik semula. Pada masa inilah beliau dapat tahu tentang maktab dan telah cuba mengisi permohonan. Selepas itu, beliau telah ke Kluang untuk bekerja. Pada awalnya, beliau bekerja di kilang papan tepai tidak tahan kerana habuk seterusnya bekerja di kilanh batu marmar. Dalam masa bekerja ini, beliau rasanya sangat rendah diri. Dengan pendapatan yang kecil, kerja yang teruk dan tidak ‘glamour’ sehingga beliau rasa malu untuk berkenalan dengan perempuan.

Alhamdulillah, rezeki beliau akhirnya pada tahun 1980, beliau diterima belajar di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Sebagai anak yang baik beliau menurut permintaan ayahnya supaya beliau belajar di maktab dan pada masa itu umur beliau 19 tahun, beliau mendapat elaun sebanyak RM 150 sebulan. Kursus yang diikuti ialah Pendidikan Awal Kanak-kanak. Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin semasa remajanya sangat meminati muzik sehingga kini. Beliau pandai bermain alat muzik terutama gitar base. Semasa di maktab beliau telah mengikuti band muzik, dan masa inilah beliau bertemu dengan isteri beliau sekarang yang juga merupakan salah sorang ahli pasukan band ini tetapi bermain piano. Isterinya seorang berketurunan cina dan berasal dari keluarga yang berada. Berasal dari bandar serta sangat mahir bermain piano sehingga pernah melatih pengajar maktab pada masa itu.

Selepas maktab posting ke Kuala Lipis manakala isteri beliau di Kluang. Selepas setahun isteri beliau bertukar ke Kuala Lipis. Inilah dikatakan jodoh yang kuat mereka tetap berkahwin walaupun peringkat awal mendapat bantahan dari keluarga. Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin telah mengambil SC melalui swasta dan berjaya mendapat gred 1. Bermula dari sinilah beliau mula sedar potensi dirinya.

Bagaimana Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin boleh tertarik belajar dalam jurusan kaunseling? Ini berpunca dari seorang rakannya yang belajar di UPM dan dipostingkan ke sekolah yang beliau mengajar. Guru tersebuat ialah guru bimbingan dan telah menggalakkan beliau mencuba nasib memohon belajar kaunseling di UPM. Alhmadulillah, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dalam kaunseling. Semasa di UPM beliau sangat aktif dan masa ini sudah terserlah sifat kepimpinan beliau.

Tamat belajar di UPM, Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin telah dihantar mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai Kampung Kerinci Kuala Lumpur pada tahun 1992-1994 sebagai kaunselor. Bakat kepimpinan beliau banyak dicungkil oleh Pengetua beliau. Projek pertama yang beliau laksanakan ialah apabila Pengetua beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri. Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin telah dicabar untuk membuat persembahan sehingga penonton tersentuh melihat persembahan itu. Beliau telah membuat ‘recall’ dan akhirnya mencapai matlamat yang diingini. Bermula daripada itulah Pengetuanya menaruh kepercayaan tinggi kepada beliau untuk melaksanakan program di sekolah itu.

Rezeki bertambah apabila isteri beliau telah dilantik sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia. Isterinya juga telah menerima tawaran belajar ke USA. Sebagai suami, Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin telah mengambil keputusan untuk cuti tanpa gaji mengikut isterinya ke USA. Di sana beliau, bekerja sendiri dan dalam masa yang sama sempat menyambung pelajaran dalam master kaunseling di Indiana  University dengan perbelanjaan sendiri pada tahun 1992. Balik dari USA beliau telah dihantar mengajar ke Victoria Institution Kuala Lumpur (2000-2001) sebagai kaunselor. Walaupun ada master kaunseling (pakar dalam kaunseling) dan cemerlang dalam kerjayanya, gaji beliau masih kecil kerana telah hilang senioriti selama 5 tahun lebih. Beliau telah memohon ke UITM sebagai Pensyarah, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (2001-2004).

Sejarah bermulanya kerjaya di USIM ialah apabila Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim telah memanggil beliau untuk membuka program SPADA di bawah USIM pada tahun 2005. Di sinilah Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin mula mengenali, mempelajari dan bergiat aktif dalam usaha memerangi dan menyelidik tentang penyalahgunaan dadah. Beliau banyak merujuk kepada National Institute on Drug Abuse (NIDA) dalam memahami dan mendalami perkaitan dengan penyalahgunaan dadah. Banyak seminar-seminar luar Negara turut disertai bagi meningkatkan pengetahuan beliau. Pengalaman rakan-rakan sekampung yang terlibat dengan dadah juga memberi satu inspirasi kepada beliau untuk membantu menangani masalah penagihan dadah di Malaysia sehingga tertubuhnya Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Asian Center for Research in Drug Abuse -ACREDA) yang telah ditubuhkan pada 1 Januari 2010 dan Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin menjadi pengarahnya.

Pengalaman beliau bekerja di kapal, bekerja di USA dan ada saudara mara yang terlibat dengan dadah menjadi sumber maklumat asas kepada beliau tentang penyalahgunaan dadah. Sepanjang beliau mengetuai SPADA dan ACREDA banyak kajian, penulisan tesis, buku, bahan ilmiah, program, seminar dan jawatan yang dipegang oleh beliau sehinggakan beliau menjadi salah seorang sumber rujukan utama tentang penyalahgunaan dadah Di Malaysia. Penglibatan beliau itu saya lampiran di bahagian lampiran untuk rujukan. Komitmen dan kecintaan beliau dalam isu penyalahgunaan dadah ini masih lagi kukuh sehingga sekarang walaupun telah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam. Ini terbukti apabila beliau masih lagi mencurahkan ilmunya kepada pelajar master dan phd SPADA di USIM.

Sebagai seorang yang banyak pengalaman pahit manis sebelum sampai ke tahap sekarang, Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin bangga dengan dirinya sendiri kerana beliau mendapat master dan PHD hanya dengan duit sendiri tanpa pinjaman dari mana-mana pihak. Selain itu, sikapnya yang mudah mesra, bergaul dan pandai menyesuaikan diri menjadikan beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang terdiri daripada ahli politik sehinggalah di peringkat bawahan. Bagi beliau untuk sampai ke tahap sekarang banyak bergantung kepada rezeki. Walaupun pada awalnya tidak bersetuju untuk menerima jawatan Timbalan Pengarah  Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2012 tetapi atas nasihat rakan-rakan beliau menerima jawatan tersebut sehinggalah ada pula kekosongan di tempat Pengarah sehingga beliau memegang jawatan tersebut. Dalam tempoh 13 tahun perkhidmatannya beliau telah sampai ke tahap ini iaitu JUSA B. Pengalaman-pengalaman beliau selama ini juga memberi kelebihan kepadanya untuk memberi pendapat, berani bersuara dan bercakap sehingga ke peringkat dasar. 6 Jun 2014 beliau telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.

Apabila ditanya apakah lagi impian beliau yang masih belum dicapai, beliau mahu membuktikan bahawa agama merupakan satu model rawatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah. Sehingga kini belum ada yang berjaya membuktikannya lagi tetapi rawatan berbentuk keagamaan ini sudah bersifat komersial. Beliau juga mengimpikan satu kawasan yang menjadi tapak rawatan penyalahgunaan dadah dan di sini juga boleg diadakan penyelidikan tentang kaitan agama sebagai satu metode untuk penyembuhan penyalahgunaan dadah.

Sebelum berakhirnya temubual ini, apabila ditanya tentang falsafah hidup beliau, katanya: “Berbanggalah dengan apa yang kita ada, kalau kita tengok orang lain jangan kita rasa kenapa kita tidak seperti dia. Tidak boleh kalau kita pilih kaunseling tapi tidak percaya dengan bidang yang kita pilih. Jangan kerana tiada kerja kita memilah bidang kaunseling kerana ianya lebih mudah”.

 

KONSEP PEMILIHAN KERJA BERDASARKAN TEORI PEMILIHAN KERJAYA KRUMBOLTZ

 

Dikaitkan dengan teori pemilihan kerjaya Krumboltz dengan kejayaan Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin, banyak andaian Krumboltz yang dapat dibuktikan dan selari dengan apa yang berlaku kepada tokoh. Mengikut teori ini keperibadian dan perilaku yang dimiliki oleh seseorang timbul daripada pengalaman belajar yang unik. Pengalaman belajar ini terdiri daripada konteks antara analisis kognitif yang positif dan peristiwa-peristiwa yang menguatkan secara negatif (Mitchell & Krumboltz, 1983). Jika dilihat pada rentetan perjalanan hidup Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin, pengalaman-pengalamn beliau semasa proses membina kerjaya sangat berkait rapat dengan keperibadian beliau.

 

Sifat kepimpinan beliau telah mula dicungkil sejak di maktab lagi. Kesungguhan beliau dalam menimba ilmu menggunakan perbelanjaan sendiri menambahkan lagi pengukuhan keperibadian beliau sehingga mewujudkan sifat kecekalan dan ketekalan dalam diri beliau sehingga ketokohannya dapat dilihat apabila diberi kepercayaan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, JPA dalam tempoh yang singkat iaitu 13 tahun.

Menurut Tang Chee Yee, Krumboltz juga mengandaikan bahawa, kerjaya seseorang terbentuk berdasarkan faktor persekitaran termasuklah pengaruh sosial, budaya dan politik, peluang-peluang pekerjaan, peluang-peluang menerima latihan, perubahan teknologi, sistem pembelajaran, kuasa-kuasa ekonomi, kuasa semula jadi & sumber semula jadi. Faktor-faktor ini secara langsung akan memberi kesan kepada seseorang individu memilih apa yang dia ingin bekerja. Contohnya. semasa ekonomi gawat, pemilihan kerjaya tidak sangat bergantung kepada kebolehan, akademik dan minat sendiri tetapi lebih kepada mana-mana pekerjaan yang ditawarkan dan memberi pulangan yang memuaskan akan menjadi pilihan.

 

Dikaitkan dengan sejarah hidup Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin, faktor persekitaran memang banyak mempengaruhi beliau sehingga sampai ke tahap sekarang. Pada awal kerjaya, beliau memilih kerja di pelabuhan. Walaupun hampir belayar, namun arahan bapanya supaya balik semula ke kampung menyebabkan beliau tidak meneruskan kerjaya tersebut. Ini kerana, budaya masyarakat Islam di kampung, masih lagi menganggap bekerja sebagai pelayar sebagai satu kerjaya yang terlalu sosial. Mereka banyak terlibat dengan minum arak, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Pilihan memilih maktab juga adalah atas dorongan bapanya yang mahukan Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin menjadi seorang guru. Di samping itu, beliau juga telah terlibat dalam dunia kaunseling bermula ijazah lagi hasil datipada dorongan rakan sekerjanya. Semasa master pula, peluang berada di USA kerana mengikut isteri sambung belajar tidak disia-siakan oleh beliau dengan belajar dalam Educational Psychology & Counseling di Universiti Indiana.

Krumboltz (2009) juga mengandaikan bahawa pengalaman pembelajaran instrumental juga memainkan peranan yang penting terhadap pengukuhan kerjaya individu. Contoh yang diberi oleh beliau ialah bagaimana tindakan seseorang individu itu apabila dia melakukan sesuatu tugasan dalam kerjaya dan dia mendapat pujian yang positif atau teguran yang negatif daripada orang di persekitarannya. Pujian atau teguran ini mungkin akan memberi kesan kepadanya untuk melakukan lebih baik, sekadar puas hati, mengambil teguran negatif sebagai satu cabaran atau tidak melakukan tugas itu lagi pada masa akan datang. Pengukuhan yang positif memungkinkan seseorang individu itu semakin bersemangat untuk melaksanakan tugasannya malahan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran yang bakal diterima. Pengalaman pembelajaran instrumental yang terdiri daripada pengaruh kognitif yang positif dimaksudkan adalah faktor-faktor berikut:

 

1)  Sifat pembawaan, seperti bangsa, jantina serta kemampuan bawaan seperti keterampilan, keintelektualan serta perilaku.

2)    Keadaan lingkungan sosial, seperti kehidupan sosial, pengalaman individu dalam kerja, latihan, kebijakan sosial serta pengalaman kerja dari orang lain yang mempengaruhi pemilihan kerja.

3)     Pengalaman belajar di masa lalu, dibahagi kepada 2 jenis iaitu pengalaman belajar asosiasi yang mana individu mengamati perkaitan antara kejadian dan mampu untuk meramalkan segala kemungkinan. Pengalaman belajar secara aplikasi akan menyebabkan individu mampu mengaplikasikan di lingkungan secara langsung dengan hasil yang dapat diperhatikan.

4)     Kemahiran dalam pendekatan tugas, berkaitan kemahiran individu dalam melaksanakan tugas baru melalui pengalaman bahawa seperti penyelesaian masalah, kemahiran, kebiasaan kerja, mental set, respon emosional serta proses kognitif.

Bila dibandingkan sejarah kerjaya tokoh, memang unsur pujian menambahkan lagi minat beliau dalam bidang kaunseling ini. Sebagai contohnya, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai Kampung Kerinci telah mula memberi kepercayaan kepada beliau untuk meningkatkan kerjaya beliau di bidang kaunseling setelah berjaya membuat persembahan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri. Bermula dari situlah bakatnya telah dicungkil dan ketokohan beliau mula menyerlah. Begitu juga kepercayaan Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim kepada beliau untuk mengasaskan penubuhan SPADA di USIM kerana percaya beliau mempunyai ketokohan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Atas kepercayaan yang diberi inilah maka Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin telah berjaya menjadikan SPADA sebagai satu tapak awal pendidikan penyalahgunaan dadah di USIM sehingga tertubuh pula ACREDA yang menjadi pusat penyelidikan tentang penyalahgunaan dadah di Asia.               Perlantikan tokoh sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam sekarang adalah berasas dan tepat kerana bermula dari ijazah sehinggalah ke peringkat PHD, beliau memang terlibat secara langsung dalam bidang kaunseling. Karier beliau yang bermula daripada kaunselor sekolah kemudian dilantik sebagai pensyarah di bidang kaunseling sehinggalah khidmat bakti beliau yang banyak melibatkan kaunseling sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa menjadikan beliau insan yang dipilih bagi menerima jawatan Pengarah.

            Jenny Bimrose dalam penulisannya yang dihantar dalam National Guidance Research Forum menyatakan Krumboltz meletakkan pengalaman pembelajaran merupakan salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya seseorang. Setiap orang mempunyai sejarah unik dalam kehidupan peribadi masing-masing. Pengalaman-pengalaman ini akan membentuk karektor penting seseorang. Contohnya seseorang yang dilahirkan dalam persekitaran yang penuh dengan binatang peliharaan  mungkin akan membentuk karektor yang cintakan binatang.

       Begitulah yang terjadi kepada Dato’ Dr. Abd. Halim Bin Mohd Hussin. Pengalaman beliau sepanjang membentuk kerjayanya, ramai yang beliau temui terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah. Pemuda-pemuda di kampung, rakan setugas di pelabuhan dan ada juga saudara mara malahan adik beradiknya ada yang terlibat dengan dadah telah menjadi satu semangat kepada beliau untuk mencari jalan penyelesaian ke arah pembasmian penyalahgunaan dadah. Ia memberi kesan kepada impian beliau untuk menghasilkan satu metod perubatan berasaskan Islam sebagai satu penyelesaian isu-isu penyalahgunaan dadah ini.

 

 PENUTUP

Daripada perbincangan di atas jelaslah kepada kita, teori-teori kaunseling yang ada sangat membantu seorang kaunselor bagi memahami keadaaan kliennya. Pemilihan kerjaya seseorang bergantung kepada pelbagai sebab. Adalah penting untuk kaunselor memahami pengaruh persekitaran klien sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini penting agar keputusan yang dibuat benar-benar menepati kehendak dan keperluan klien itu sendiri.

 

RUJUKAN

Krumboltz (2009), The Happenstance Learning Theory. Journal of Career Assessment.             Volume 17, 135-154

Nora Gikopoulou (2008). Report On Effective Career Guidance. Epinoia S.A

Tang Chee Yee (1989), Bimbingan dan Kaunseling: Perkhidmatan, Prosedur dan Kemahiran,   Kumpulan Budiman, Kuala Lumpur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.