DI MANAKAH PAS DALAM PAKATAN PKR-DAP-AMANAH?

BERNAMA: Tidak mahu pisang berbuah dua kali, pakatan pembangkang yang kini dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat lebih berhati-hati dalam mencapai kesepakatan bagi memastikan ketiga-tiga parti itu dapat bekerjasama dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Kegagalan parti pembangkang membentuk gabungan mantap, bermula sebagai Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan pada 1999 hingga 2004 diikuti penubuhan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 dan berakhir pada 2015, dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjadi iktibar kepada pembangkang untuk memperkukuhkan kerjasama politik menerusi platform baharu iaitu Pakatan Harapan.

Pada Sabtu ini, ketiga-tiga parti – PKR, DAP dan Amanah – akan memeterai Perjanjian Pakatan Harapan bagi memastikan ketiga-tiga parti itu dapat bekerjasama dalam sebuah kesatuan politik yang mampan, di samping memastikan perpecahan yang berlaku dalam PR sebelum ini tidak berulang.

Amanah, sebuah parti baharu yang menganggotai Pakatan Harapan, diwujudkan pada 16 Sept lepas oleh sekumpulan bekas pimpinan PAS yang kalah dalam pemilihan parti pada Jun tahun lepas dengan menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978.

Kemampuan Amanah, yang diterajui Mohamad Sabu sebagai presiden, dalam meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu bagaimanapun belum lagi terbukti meskipun parti itu dianggotai tokoh politik yang sudah dikenali umum.

Perpecahan kerjasama politik pembangkang menampakkan perubahan ketara selepas pakatan itu kehilangan dua tokoh besar dan berpengaruh iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjalani hukuman penjara lima tahun bermula Februari tahun lepas kerana kes liwat, serta kematian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Februari tahun sama.

Penganalisis politik berpendapat kemelut antara PAS dan Pakatan Harapan akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

MAMPUKAH PERJANJIAN IKAT KETIGA-TIGA PARTI?

Hakikatnya, Pakatan Harapan bukanlah gabungan parti yang berdaftar sepertimana Barisan Nasional (BN). Ia masih sebuah pakatan yang longgar.

Apakah ketiga-tiga parti mampu mematuhi perjanjian yang ditandatangani kelak dan melupakan ideologi masing-masing demi kepentingan bersama meskipun perkara seumpamanya pernah dilakukan ketika dalam PR menerusi ‘Buku Jingga’, namun gagal?

Mengulas persoalan itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kejayaan perjanjian itu hanya boleh dilihat seandainya ketiga-tiga parti sanggup mengorbankan ideologi parti masing-masing demi kepentingan bersama.

“Sejak PR lagi, dasar bersama ini telah wujud menerusi Buku Jingga yang menggariskan empat perkara asas yang dipersetujui bersama ketiga-tiga parti iaitu PKR, DAP dan PAS.

“Namun, PAS tidak menggugurkan agenda perjuangan mereka iaitu untuk melaksanakan hukum hudud dan ia tidak dimasukkan sebagai dasar bersama dan ini adalah antara sebab mengapa dasar bersama itu gagal,” katanya kepada Bernama.

Yang sedemikian, Pakatan Harapan melihat banyak kelompangan berlaku dalam dasar bersama dan berazam memperbaikinya menerusi perjanjian baharu dengan tujuan memantapkan polisi kerjasama antara ketiga-tiga parti.

Buku Jingga, yang dikeluarkan pada 2010, menggariskan dasar bersama PAS, PKR dan DAP berlandaskan kepada empat kerangka asas iaitu demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat; memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil; keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Pada Sabtu ini, ketiga-tiga parti itu akan mengadakan satu persidangan di Shah Alam, Selangor bagi memeterai Perjanjian Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah.

Intipati perjanjian itu, antara lain menggariskan prinsip dan kaedah dalam membuat sesuatu keputusan; prinsip dan kaedah menyelesaikan pertikaian di antara parti; penentuan kerusi yang ditandingi dalam sesebuah pilihan raya; serta prinsip dan kaedah sekiranya perjanjian dilanggar mana-mana parti.

dap

PERJANJIAN SATU UJIAN

Mengulas lanjut, Mohd Izani menjelaskan bahawa perjanjian berkenaan, sebagaimana yang pernah dimeterai sebelum ini, adalah ujian kepada ketiga-tiga parti dalam usaha mencapai kesatuan politik.

“Apabila perjanjian dimeterai, maka ia akan menguji setiap parti sama ada mampu mengamalkan sikap terbuka dan toleransi sesama mereka. Saya melihat perjanjian ini sebagai percubaan Pakatan Harapan untuk muncul sebagai blok pembangkang yang lebih kukuh.

“Berbeza dengan BN yang menyaksikan UMNO adalah tunjang kepada gabungan itu, Pakatan Harapan pula menampilkan sikap ‘equal partners’ (setara)… bermakna tiada berbeza dengan PR sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata ujian lain yang bakal dihadapi ialah apabila ada antara parti dalam pakatan itu yang mengeluarkan keputusan sendiri tanpa persetujuan rakan sekutu, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Merujuk kerjasama dalam PR, pensyarah UPM itu berkata DAP sebelum ini pernah membelakangkan dasar bersama pakatan antaranya hendak mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) manakala PAS dengan agenda hukum hudud.

“Kejayaan sesuatu kerjasama politik amat bergantung kepada keputusan kolektif yang dicapai antara semua parti terlibat,” katanya.

Untuk melihat pembangkang berdaftar sebagai satu gabungan yang sah daripada segi undang-undang dan menggunakan satu simbol, Mohd Izani berkata ia masih jauh untuk menjadi satu realiti.

HUBUNGAN PKR-DAP TIDAK DIPERTIKAI

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Pahang Che Hamdan Che Mohd Razali berkata kesepaduan antara PKR dan DAP tidak dipertikaikan memandangkan kedua-dua parti berjaya menjalin kerjasama baik dan tidak pernah bertelagah sesama sendiri.

Berbanding Amanah, objektif perjuangan parti itu sehingga kini masih kabur dan agak sukar untuk meramalkan sama ada ia mampu mematuhi perjanjian yang akan ditandatangani kelak.

“Namun begitu, kelebihan yang ada pada Amanah ialah parti itu disokong oleh bekas aktivis PAS dan golongan muda di bandar. Dalam Pakatan Harapan, saya melihat Amanah merupakan parti paling junior dan kebarangkalian ia dibuli itu ada sepertimana yang pernah dilalui PAS yang meskipun bukan junior, tetapi PAS tidak licik bermain politik,” katanya kepada Bernama.

Che Hamdan berpendapat Amanah sekiranya turut lantang memperjuangkan apa yang diperjuangkan PAS iaitu Islam, maka parti itu akan berhadapan dengan apa yang pernah dihadapi PAS iaitu tekanan daripada DAP dan PKR.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.