Masyarakat Cemerlang – Nordin Kardi

Saya mentafsir masyarakat cemerlang sebagai sebuah institusi yang berkesan bagi membolehkan ahlinya tumbuh dan berkembang dengan sempurna. Ia juga adalah sistem yang membolehkan setiap individu mencapai kehendaknya semaksimum mungkin. Ahli masyarakat menikmati kegembiraan hidup berada di dalamnya.

Anggota masyarakat cemerlang mempunyai visi dan misi yang mengutamakan hasil pencapaian. Kejayaan individu bukan kerana kebetulan menimpa individu itu, sebaliknya kerana adanya sistem di dalam masyarakat tersebut.

Kepemimpinan di dalam masyarakat itu sentiasa menitikberatkan budaya kualiti dan kejayaan. Perkembangan individu berlaku secara sistematik, sambil setiap individu boleh membuat keputusan sendiri untuk dirinya. Keputusan-keputusan itu pula dibuat berdasarkan prinsip fakta dan proses saintifik, bukan berdasarkan kepada tahyul.

Saudara-saudari di UUM tentu sudah terlatih untuk berfikir secara sistematik, saintifik, berdasarkan bukti, bukan percaya kepada khabar angin mahupun tahyul.

Masyarakat yang cemerlang ialah masyarakat yang bebas dan merdeka menentukan pilihan-pilihan kehidupan sambil mengiktiraf adanya pelbagai tekanan dan cabaran luar serta dalam yang perlu dihadapi. Oleh itu, masyarakat itu tidak takut untuk membuat hubungan atau kolaborasi dengan sistem-sistem lain dan sentiasa merancang untuk berubah ke arah yang lebih baik serta mampu mengurus perubahan itu apabila ianya terjadi.

Masyarakat cemerlang sangat dinamik, berkemampuan bertindak balas terhadap perubahan dalaman dan luaran. Sekali lagi ditekankan, ianya bukan melalui inisiatif individu ahli tetapi kerana adanya mekanisme peraturan atau sistem yang terbina dalam masyarakat itu.

Dinamika sosial adalah konsep yang berinspirasikan matematikal dan saintifik semasa menganalisis sesuatu fenomena yang terdapat dalam masyarakat itu, bukannya tahyul.

Budaya dalam masyarakat itu mempunyai ikatan emosi yang tidak mempunyai alternatif lain bagi memenuhi keperluan-keperluan subjektif ahli-ahlinya. Ada kompromi terhadap kepelbagaian di dalam masyarakat kerana adanya persetujuan yang tidak disedari mengenai satu-satu denominator yang dikongsi bersama.

Untuk mencapai kecemerlangan seperti yang ditafsirkan, masyarakat itu, Malaysia misalnya, perlu melakukan revolusi kebudayaan. Revolusi kebudayaan memerlukan perubahan struktur sesebuah masyarakat serta perubahan nilai-nilai dalam sesuatu tempoh tertentu.
graf jaya
Manusia dikatakan sememangnya mempunyai tendensi semulajadi sosial untuk berubah dan ini menyamai kecenderungan dinamika biologi organisma.

Masyarakat wujud dalam bentuk dua alam – sosial dan biologikal. Seperti tumbuhan yang berinteraksi dengan sumber (seperti baja) dan tekanan. Pohon berbuah atau berbunga apabila menerima tekanan (orang tua Melayu, misalnya, percaya dengan mengelar batang pohon yang sudah terlalu lama tidak berbuah, pohon itu akan berbuah setelah dikelar. Secara saintifik huraiannya ialah orang itu telah mengenakan tekanan kepada struktur biologi pohon tersebut). Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh pakar pertanian kalau pokok lama tidak berbuah kenakan pressure, insya-Allah pokok itu berbuah. Orang tua dahulu pun telah melakukannya.

Oleh itu revolusi budaya akan berlaku apabila struktur masyarakat itu diganggu. Seperti dunia biologi, masyarakat berubah, apabila strukturnya diganggu. Ini terjadi untuk memastikan kelangsungan kewujudannya.

Teori ini berhujah bahawa masyarakat berubah secara yang ditetapkan untuk berperanan dalam ekologi biosfera mereka, jika tidak, masyarakat itu akan mati daripada kegagalan bersaing dengan masyarakat yang lebih cekap mengeksploitasikan alam semulajadinya.

Untuk bersaing, sejarah manusia menunjukkan masyarakat yang berupaya mencipta alat yang boleh menguasai alam akan lebih lama boleh bertahan daripada dilenyapkan. Ini selalu dinamakan sebagai aktiviti teknologi.

Pada ketika ini pun, masyarakat yang dinamik tidak dapat lari daripada menguasai teknologi. Kebijaksanaan silam yang menyatakan bahawa kerajinan mencari ilmu dalam sesuatu masyarakat itu akan menentukan sama ada masyarakat itu menguasai teknologi.

Dahulu individu manusia mencipta teknologi. Keadaan ini tidak lagi dapat terpakai sepenuhnya sekarang kerana realiti baru menunjukkan masyarakat bergantung kepada “teknologi untuk mencipta dan menjana teknologi.” Teknologi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat itu bakal menentukan jumlah ilmu yang dikuasainya, berbanding masyarakat lain.

Dalam masyarakat moden, pembahagian kerja/peranan yang kompleks melahirkan apa yang disebut “kesepaduan organik”. Ahli-ahli saling bergantungan sehingga tiada siapa yang boleh berdiri sendiri untuk memenuhi setiap keperluan hidupnya, berbanding “masyarakat mekanikal” yang boleh hidup sendiri seperti “petani subsistence” pada masa silam yang setiap daripada mereka mempunyai pekerjaan yang hampir serupa.

Dalam kesepaduan organik, kerap terjadi konflik antara “bisikan hati individu” dengan “bisikan hati kolektif”. Untuk mengawal kepelbagaian “bisikan hati” inilah undang-undang diadakan dan selalunya, pada kaca mata individu, undang-undang itu dilihat represif.

Pembahagian kerja yang kompleks juga menyebabkan wujudnya kekeliruan dalam masyarakat mengenai apakah norma dalam sesuatu kehidupan masyarakat. Norma sosial yang selama ini mengaturkan tingkah laku ahli-ahli masyarakat akan dipecahkan, pada peringkat awalnya akan dinamakan sebagai tingkah laku menyimpang atau devian. Tapi kadang-kadang yang menyimpang, devian, lambat laun akan berubah menjadi norma.

Oleh sebab budaya juga dipelajari maka manusia yang tinggal di tempat yang berbeza mempunyai budaya yang berbeza. Melalui budaya manusia menyesuaikan diri mereka dengan alam sekeliling secara bukan genetik.

Selalunya ada ketegangan antara budaya tempatan dengan budaya global atau universal. Sosiobiologis percaya bahawa manusia adalah produk evolusi biologi dan evolusi budaya. Kedua-duanya melalui proses yang diistilahkan oleh Darwin sebagai mekanisme selektif.

Psikologis biasanya percaya bahawa cara seseorang bertingkah laku berkaitan dengan proses pemikirannya, ciri-ciri personaliti dan perubahan-perubahan sepanjang kitaran hidupnya. Psikologis sosial pula berpendapat dinamika sosial tidak boleh dilihat semata-mata dari perspektif keindividuan.
group discussion
Masyarakat menyediakan peraturan, peranan, tradisi, kelajuan perubahan seumpama suatu permainan sukan yang menyediakan gelanggang dan peraturan permainan di dalamnya dan bermainlah pemain-pemain di dalam gelanggang itu. Gelanggang dan peraturan permainan itu akan menentukan tingkah laku pemain. Berubah peraturan permainan maka gaya berfikir, bahasa, motivasi, gerak-geri dan identiti pemain-pemain tersebut juga akan berubah dan perubahan ini berlaku dengan pantas. Kalau sebentar tadi satu kumpulan bermain bola kemudian dia berubah pula untuk bermain badminton, tiba-tiba tingkahlakunya berubah di antara bermain bola kepada badminton.

Proses perubahan itu melibatkan kesediaan melepaskan sebahagian besar daripada apa yang telah dimiliki pada masa lalu – bersedia untuk mencipta masa hadapan tidak semata-mata berdasarkan sejarah. Keadaan tidak pasti atau “uncertainty” adalah perkara semulajadi yang timbul dalam proses itu.

Individu mungkin terpaksa mengorbankan tingkah laku yang disenanginya selama ini. Kata-kata seperti “biasanya kita buat macam ini”, telah tidak terpakai lagi mungkin perlu disingkirkan. Demikian juga dengan kata-kata “itu tak mungkin terjadi”.

Komitmen kepada perubahan hendaklah dijadikan prioriti dalam masyarakat. Setiap orang mesti terlibat dan bersedia melabur masa dan sumber. Ia hendaklah menjadi budaya yang meliputi kepercayaan dan amalan dalam segenap aspek kehidupan dalam masyarakat.

Rumusan ucapan saya ialah UUM mesti menjadi sebuah agensi transformasi. Sesiapa sahaja baik pelajar, pensyarah, staf sokongan setelah berada di UUM harus mengalami transformasi. Pembuat dasar, pengurusan dan pelaksana harus berusaha agar pihak UUM menyediakan alam sekeliling untuk sesiapa sahaja yang singgah sebentar di UUM akan mengalami transformasi.

Selepas keluar daripada masyarakat Sintok ini, saudara-saudari akan berada bersama-sama masyarakat besar dan sekali lagi saudara-saudari perlu melakukan transformasi. Untuk melahirkan masyarakat cemerlang, diri sendiri mestilah cemerlang. Individu yang cemerlang akan melahirkan masyarakat cemerlang, walaupun dalam masyarakat cemerlang bukan semua individunya cemerlang.

(Teks ini pernah diucapkan di dalam majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika Tan Sri Dr Nordin Kardi sebagai Naib Canselor UUM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.