Kekalkan Profesor Tua Di Universiti

CADANGAN melanjutkan had umur persaraan bagi profesor di universiti awam (UA) tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perlukan kelulusan kabinet, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Profesor Negara (MPN) semalam bagi mencari penyelesaian jangka pendek berhubung isu berkenaan.

“Kita bincang dengan MPN untuk melihat bagaimana kementerian boleh bantu cari perincian terhadap masalah itu berdasarkan ‘case by case’.

“Dan bagaimana kita dan pihak universiti boleh bantu dalam keadaan kekangan ekonomi hari ini,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
idris
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bermain ‘blind futsal’ bersama pelajar kurang upaya (OKU) dalam program Sehari Bersukan Bersama Menteri di Universiti Malaya di sini.

Minggu lepas MPN dilaporkan berkata seramai 156 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di UA tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka susulan kekangan bajet.

MPN mencadangkan supaya had umur persaraan mereka dilanjutkan ke 65 tahun.

Sementara Itu, Bernama turut menyiarkan artikel Oleh Norshazlina Nor’azmanĀ mengenai isu profesor ini.

Setiap universiti awam (UA) perlu bijak mengenal pasti dan mengekalkan khidmat tenaga akademik bertaraf profesor dalam bidang-bidang kritikal bagi memastikan institusi berkenaan tidak kerugian dalam setiap aspek pembangunan.

Profesor seharusnya diberikan peluang untuk terus mencurahkan ilmu di UA meskipun telah mencecah usia persaraan, memandangkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki golongan ini ‘tidak pernah bersara’, demikian menurut Majlis Profesor Negara (MPN) dan tokoh akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose menegaskan usia persaraan wajib profesor tidak seharusnya disamakan dengan penjawat awam lain kerana mereka masih mampu menyumbang kepada negara selagi sihat.

“Sangat sayang sekiranya profesor yang berusia atas 60 tahun tidak diberikan peluang untuk terus berbakti… ia hanya mensia-siakan ilmu dan kepakaran yang dimilikinya.

“Ramai professor, meskipun sudah berusia tetapi masih aktif, malah ada yang telah menginjak lebih 70 tahun usianya. Sekiranya mereka masih sihat tubuh badan dan fikiran, maka mengapa tidak dibenarkan terus menyumbang ilmu?,” katanya kepada Bernama.

PUTRAJAYA 22 FEBRUARY 2016. Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose ketika sidang media selepas mengadakan perbincangan meja bulat "Profesor kontrak di Universiti Awam Malaysia" di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PINDA USIA PERSARAAN PROFESOR

MPN baru-baru ini mencadangkan umur persaraan profesor di universiti awam dilanjutkan sekurang-kurangnya kepada 65 tahun bagi mengekalkan lebih ramai pakar dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan.

Terdahulu, Raduan mendedahkan seramai 156 profesor berusia antara 61 dan 70 tahun di universiti awam yang perkhidmatan berstatus kontrak tidak dilanjutkan susulan kekangan bajet.

Beliau berkata keputusan itu berbeza dengan amalan antarabangsa di mana karier hayat seorang professor adalah sekurang-kurangnya hingga mereka berusia 65 tahun.

Mengulas perkara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihak universiti awam dan MPN akan membincangkan isu kontrak dan lanjutan umur persaraan bagi perkhidmatan golongan profesor. Pada masa sama, kementerian menjelaskan bahawa kontrak profesor selepas bersara, sama ada disambung ataupun tidak, adalah autonomi universiti, bukannya kerajaan.

Dalam Bajet 2016, Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan RM13.378 bilion berbanding RM15.785 bilion dalam Bajet 2015, yang menyaksikan pengurangan RM2.4 bilion. Ini turut menyebabkan universiti awam mengalami pemotongan peruntukan antara 10 hingga 20 peratus, berbanding peruntukan yang diterima tahun sebelumnya.

Raduan berkata profesion keilmuan mesti dimartabatkan dengan melihatnya sebagai isu strategik negara dan kerajaan perlu cari cara untuk membezakan atau meminda usia persaraan profesor sebagai cara pengiktirafan.

“MPN sendiri memberi pengiktirafan yang tinggi kepada ahlinya, antara buktinya adalah meskipun mereka sudah bersara, mereka tetap kekal sebagai ahli sampai bila-bila kerana gelaran profesor sebenarnya tidak pernah bersara… kerana apabila menjadi profesor, akan kekal sebagai profesor selamanya,” kata beliau.

ALTERNATIF LAIN

Beliau berkata universiti awam seharusnya mencari jalan untuk memastikan kontrak para profesornya dapat diteruskan selepas mencecah usia persaraan, meskipun berhadapan kekangan kewangan.

“Kita sedar institusi pendidikan juga berada dalam dilema berikutan keadaan ekonomi masa kini, ditambah pula peruntukan yang dihadkan… justeru masalah ini timbul dan ia bergantung kepada keadaan kewangan institusi itu… bila ada duit, masalah ini tidak timbul.

“Kita tidak berniat untuk mencampuri urusan universiti namun setiap pihak perlu fikirkan dalam konteks membangunkan negara dan menggunakan keilmuan yang ada sebagai teras pembangunan… jangan jadikan soal kewangan sebagai penghalang,” katanya.

Raduan berkata, kini terdapat 1,895 profesor di IPTA, yang merangkumi hanya tujuh peratus daripada kira-kira 33,000 ahli akademik termasuk profesor di seluruh negara.

“Di negara lain, sekurang-kurang 20 atau 30 peratus profesor berada di institusi awam mereka… negara perlukan ramai lagi profesor yang berhemah dan berilmu tinggi,” katanya.

Beliau mengakui bahawa terdapat sebilangan profesor yang tidak produktif meskipun baru mencecah usia 60.

“Bagi saya, dalam hal ini institusi perlu memainkan peranan, adakan satu sistem agar golongan ini tidak hanya ‘menumpang’ nama tetapi memastikan mereka terus menyumbang dan kekal aktif,” katanya.

KEHILANGAN KEPAKARAN

Dalam pada itu, bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata universiti awam tidak seharusnya mensia-siakan kepakaran seseorang profesor terutamanya dalam bidang-bidang yang kritikal.

Sharifah Hapsah, yang kini merupakan Perunding Kanan kepada Jabatan Perdana Menteri, berkata institusi berkenaan harus mencari jalan untuk meneruskan kontrak seseorang profesor jika dirasakan bahawa ilmuan itu diperlukan meskipun berhadapan dengan bajet terhad.

“Setiap universiti sememangnya mempunyai kriteria ketat dalam membuat keputusan sama ada hendak meneruskan kontrak seseorang profesor itu atau pun tidak… pastinya universiti memilih mereka yang benar-benar aktif dan cemerlang dalam pelbagai segi.

“Maka jika betul universiti itu perlukan dia, mereka akan cari jalan untuk mendapatkan peruntukan, lainlah jika mereka berasakan tidak perlu… ketika saya di UKM juga bajet dipotong tetapi kami berjaya melaluinya, tiada masalah,” katanya.

Sharifah Hapsah berkata sekiranya seseorang profesor itu sangat ‘tinggi pasarannya’ tetapi universiti awam enggan menyambung kontrak, pastinya profesor itu tidak berdepan dengan masalah kerana bakal direbut oleh sektor swasta.

“Cuma bagi saya, memang negara tidak kerugian kerana ada ramai lagi professor dalam negara ini tetapi bagi universiti awam, anda sudah kehilangan kepakaran yang sangat bernilai dan itu pastinya merugikan,” kata beliau.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s