Gol Faiz Subri Layak Menang Anugerah Lagenda Puskas

Oleh Thivyamalini Ramalu dan Vikneswaran Raman (Bernama)
faizsubrigol1
PEMAIN skuad Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menjadi pemain pertama dari Malaysia untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang merupakan anugerah bagi menghargai pemain bola sepak yang menjaringkan gol tercantik secara tahunan.

Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila pemain skuad Harimau Kumbang itu berjaya menjaringkan gol ‘luar biasa’ menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter yang melencong masuk ke gawang pasukan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang 16 Feb lepas.

Video jaringan itu menjadi viral dalam kalangan netizen yang menyifatkan ia seakan-akan gol jaringan pemain bek kiri Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis dalam Kejohanan Persahabatan Antarabangsa, Tournoi de France di Perancis pada 1997.

Pada 22 Feb lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada FIFA bagi mencadangkan gol jaringan Mohd Faiz dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

Terbaharu dilaporkan, FAM telah menerima surat maklum balas daripada FIFA berhubung pencalonan gol pemain itu untuk anugerah tersebut.
faizsubri2
Namun, Mohd Faiz dan juga peminat-peminat bola sepak perlu menunggu sehingga awal tahun depan untuk mendapat keputusan undian yang akan diadakan secara dalam talian di laman web rasmi FIFA, http://www.fifa.com.

Sebanyak 10 video ‘gol tercantik’ sepanjang tahun akan disenaraikan oleh FIFA, sebelum orang ramai mengundi gol pilihan mereka untuk menentukan pemenang, yang akan diumumkan pada pentas yang sama bersama-sama anugerah Ballon d’Or FIFA dan ‘World Player of the Year’ setiap tahun.

Anugerah ini mencakupi kriteria-kriteria seperti kepentingan perlawanan, matlamat gol, gol yang tidak terhasil daripada nasib atau kesilapan oleh pasukan lain dan juga disiplin serta etika pemain sepanjang perlawanan itu.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa anugerah ini dinamakan untuk memperingati seorang daripada lagenda bola sepak dunia, Ferenc Puskas yang bermain pada era 1950-an hingga 1960-an.

Puskas merupakan bekas pemain Hungary yang pernah mencipta rekod dunia selepas menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan antarabangsa, selain membantu pasukan kebangsaannya muncul naib juara Piala Dunia 1954 di Switzerland dan juara Sukan Olimpik 1952 di Helsinki, Finland.

Beliau merupakan seorang daripada segelintir pemain yang pernah mewakili dua negara, iaitu bermain untuk Sepanyol pada 1961 dan 1962 selepas keluar dari Hungary berikutan Revolusi Hungary pada 1956.

Puskas yang telah menjaringkan lebih daripada 600 gol sepanjang kariernya, telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bagi abad ke-20 pada 1995 sebelum meninggal dunia pada 17 Nov 2006.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pemenang pertama apabila Anugerah Puskas itu diperkenalkan pada 2009 di Switzerland, untuk jaringan yang membantu pasukan Manchester United menewaskan Porto pada suku akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Anugerah itu kemudian dimenangi oleh pemain Turki, Hamit Altintop (2010), Neymar dari Brazil (2011), seorang lagi pemain Turki, Miroslav Stoch (2012), diikuti pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez dari Colombia (2014).

Pada tahun lalu, seorang pemain yang kurang dikenali dari Brazil, Wendell Lira, yang bermain untuk kelab Goianesia merangkul anugerah tersebut selepas mengatasi bintang-bintang terkemuka dunia seperti Lionel Messi dan Carlos Tevez dari Argentina.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.