Program Bulan Madu Kali Kedua yang dilaksanakan di Terengganu sejak 2009 berjaya menyelamatkan hampir 99 peratus daripada 1,094 pasangan yang ingin bercerai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata program yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu nyata berkesan dan memberi impak positif terhadap pasangan dan keluarga.
“Sebanyak 1,094 pasangan yang mendaftar penceraian di pejabat agama dibawa mengikuti program tersebut dan hanya 18 pasangan yang gagal diselamatkan.
“Hampir 99 peratus pasangan tidak meneruskan hasrat untuk bercerai setelah melalui program motivasi dan pelbagai aktiviti bersama pasangan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen ‘Power Parenting’ anjuran kerajaan negeri bersama MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, di sini hari ini.
Muhammad Pehimi berkata sebanyak 40 peratus punca penceraian yang dikenal pasti adalah faktor orang ketiga.
“Faktor yang kedua ialah pasangan tidak saling memahami tugas selepas berkahwin dan tiada persefahaman dalam hubungan.
“Kebanyakan pasangan yang bercerai ini baru berkahwin dalam setahun hingga lima tahun dan umur pasangan yang paling ramai ialah antara 30 hingga 35 tahun,” katanya.
Muhammad Pehimi berkata mengikut rekod, 156 pasangan bercerai di seluruh negeri pada tahun lepas.
Sementara itu konvensyen ‘Power Parenting’ yang mengumpulkan lima pakar motivasi berjaya menarik hampir 2,000 ibu bapa di seluruh negeri mengikutinnya.
Antara pakar motivasi yang terlibat ialah Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof Dr Muhaya Mohamad dan Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.
Berita: Bernama
Grafik – Terengganu Times