Berikan PAS Menang Untuk Kuala Kangsar dan Sungai Besar

tuanibrahim3
PAS bersetuju dengan cadangan banyak pihak yang mahukan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar nanti menyaksikan hanya satu lawan satu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata demi merealisasikan impian itu, Pakatan Harapan tidak perlu menghantar calon dalam dua PRK tersebut.

“Pas setuju satu lawan satu (tapi) Pakatan Harapan tak perlu masuk bertanding.

“Nak serah kerusi Pas kepada Amanah, tak mungkin. Kalau DAP Sarawak pun tak boleh kompromi dengan PKR masa PRN lalu, tak mungkin nak bagi kerusi kami,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.‎
sabu1
Terdahulu Presiden Amanah, Mohamad Sabu membayangkan Pakatan Harapan bakal bertanding di dua kerusi Parlimen dalam PRK 18 Jun depan sambil menegaskan parti itu bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih sekiranya parti selain BN memutuskan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim sempat mengingatkan pakatan pembangkang, kerusi di dua Parlimen itu secara tradisinya memang milik parti Islam itu.

“Saya harap blok pembangkang sedar kerusi yang dipunyai oleh Pas, mereka tidak perlu ganggu dan perlu sokong demi negara dan rakyat,” katanya.

Bekas calon Pas, Mohamed Salleh M Husin hanya tewas majoriti 399 undi kepada calon BN, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Manakala calon BN ketika itu, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad memperoleh 14,218 undi di kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas.

Calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim memperoleh 447 undi.
tuanibrahim1

Sementara itu, bebrapa akhbar Cina pula berpendapat PRK di Sungai Besar bakal menyaksikan sekurang-kurangnya tiga parti bersaing berebut kerusi parlimen ini. Ramai juga menjangkakan BN pasti akan menang jika berlaku tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan.

Namun, bagaimana pula dengan pertembungan satu lawan satu? Di situlah pengundi Cina yang berjumlah 30.68 peratus yang dianggap cukup penting dalam menentukan keputusan dalam PRK ini.

Melalui analisis Orientaldaily, akhbar ini percaya pengundi Cina di Sungai Besar akan menjadi tumpuan sama ada BN mahupun parti pembangkang sepanjang kempen yang bermula pada 5 Jun depan.

Pada PRU lalu, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon mendapat 18,695 undi dengan majoriti hanya 399 undi mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi. Apa yang mengejutkan, undi rosak ialah sebanyak 690, lebih banyak daripada undi majoriti.

Sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu, pembangkang mempunyai peluang cerah untuk menang di Sungai Besar memandangkan pengundi Cina lebih cenderung menyokong parti pembangkang. Dan ditambahkan lagi sekiranya pembangkang berjaya meraih 40 peratus undi Melayu, kekalahan pastinya akan dialami oleh BN.

Mengikut rekod, Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi dengan pecahan kaum, Melayu seramai 28,776 (67.18 peratus); Cina 13,142(30.68 peratus); India 820 (1.91 peratus) dan lain-lain kaum 98 ( 0.23 peratus).

Berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini, parti ini sudah hampir pasti akan bertanding di Sungai Besar. Begitu juga dengan Pakatan Harapan yang buat pertama kalinya secara rasmi meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Sekiranya ada calon bebas yang turut serta, ia akan mengurangkan lagi peluang untuk pembangkang capai kemenangan.

Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, dua parti pembangkang, iaitu PKR dan DAP berlawan sesama sendiri antara mereka dengan calon BN di enam kawasan, yang akhirnya keenam-enam Dun itu dimiliki BN. Pas dan Pakatan Harapan sebenarnya sedar sekiranya keadaan ini berlaku lagi di Sungai Besar, ia tidak akan menguntungkan mereka.
tuan ibrahim2
Akhbar ini menulis lagi, sekiranya berlaku saingan antara Pas, Pakatan Harapan dan BN, kira-kira 40 peratus undi Melayu dipercayai akan dikongsi bersama calon Pas dan Pakatan Harapan. Manakala dari segi undi Cina, Pakatan Harapan dikatakan berpeluang memperoleh lebih banyak berbanding Pas.

Mengenai Umno pula, walaupun parti Melayu ini tidak akan dapat undi yang banyak daripada pengundi Cina, namun dengan sokongan 60 peratus pengundi Melayu dan ditambahkan lagi sedikit undi Cina, calon BN mampu menang tipis mengalahkan pembangkang yang sudah berpecah kepada dua.

Akhbar ini membuat analisis lagi bahawa BN begitu mengharapkan PRK Sungai Besar tidak akan berlaku pertembungan satu lawan satu, tetapi banyak penjuru. Lebih banyak parti tanding, lebih besarlah peluang untuk BN menang.

Maka itulah terletak pada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pembangkang mengatur strategi agar dapat mencabar BN secara satu lawan satu. Pas dan Pakatan Harapan sepatutnya mengetepikan pertelingkahan mereka dalam usaha merampas kerusi Parlimen ini daripada BN. Sekiranya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat, undi Cinalah yang menjadi penentu segala-galanya.

Dalam pada itu, dalam tinjauan yang dijalankan oleh Sin Chew Jit Poh, rata-rata pengundi Cina di Sungai Besar inginkan seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh berkhidmat kepada masyarakat di situ.

Mereka mengharapkan tidak kira BN ataupun pembangkang, calon yang bakal bertanding kelak adalah seorang pemimpin yang mampu menjalankan tugas dengan baik dan sedia mendengar masalah rakyat.

Selain itu, pengundi Cina di situ juga tidak mahu adanya calon yang bersifat perkauman sehingga merosakkan keharmonian yang diwujudkan di Sungai Besar selama ini. Pengundi-pengundi Cina juga tidak ingin menyokong calon-calon yang mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman tidak kira datang daripada parti mana.

Mereka turut terasa kehilangan bekas wakil rakyat mereka, Datuk Noriah kerana menganggap Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan bertanggungjawab ketika menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s