Konflik Dalam Pembangkang – Jika BN Letak Kasut Pun, Kasut Boleh Menang

Ulasan Politik Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
amanahkhalid
BN nampaknya tidak perlu bekerja keras untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar mahupun Kuala Kangsar pada PRK 18 Jun ini.

Meskipun riak di permukaan yang ditunjukkan menerusi respons akar umbi terhadap isu-isu semasa seakan memberi ruang selesa kepada pembangkang untuk melakukan sesuatu kali ini, ironinya konflik dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak dapat diselindungkan lagi. Mereka seperti dalam keadaan yang sangat tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya, apa lagi menumbangkan BN.

Kelmarin, tatkala Amanah mengumumkan senarai pendek calon-calonnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula sibuk menyalahkan Pas sebagai punca mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terpaksa ditangguhkan setelah Pas dikatakan tidak memberi sebarang respons untuk membincangkan isu-isu berkaitan kedua-dua PRK.

Ini menghairankan bahkan boleh dikira melucukan kerana Pas bukanlah komponen Pakatan Harapan malah telah berulang kali pula menegaskan parti itu telah menutup pintu untuk sebarang rundingan berkaitan PRK termasuk dengan PKR pun.

Ini ditambah pula dengan kontroversi berkaitan kedudukan anggota Exco Pas dalam Kerajaan Selangor yang dikatakan telah diberi kata dua oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa mereka akan digugurkan jika parti itu berkeras mahu meletak calon di Sungai Besar. Meskipun Azmin menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan yang dipetik portal Free Malaysia Today sebaliknya menyatakan perkara itu memang benar berlaku.

Itu dalam hal hubungan Pas dengan PKR, satu-satunya parti daripada Pakatan Rakyat yang diperakui masih mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan parti Islam itu.

Dalam rumahtangga PKR sendiri pun, ada riak yang bukan sekadar riak di dalam cawan, malah persis menanti masa sahaja untuk berubah jadi gelombang. Umum sudah mengetahui hal perseteruan antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin yang semakin terselak luas sejak tersebarnya ‘Warkah Dari Penjara’ yang ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Dalam suratnya itu, Anwar menegur pemimpin tertentu dalam pakatan pembangkang terutamanya PKR berkaitan penglibatan mereka dengan kempen Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr. Matahir Mohamad.

rasuahpompuan

Whatsapp

Menurut beliau, kecenderungan mereka menyokong deklarasi itu adalah tidak sejajar dengan agenda reformasi yang diperjuangkan pakatan pembangkang selama ini.

Teguran Anwar itu ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menyasarkan Azmin. Ini kerana Azmin yang dilihat paling terkehadapan menyokong Deklarasi Rakyat berbanding pemimpin PKR yang lain.

Sementelahan pula pada masa yang sama timbul cerita bocornya mesej Whatsapp Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa wujud sogokan wanita dan wang dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

Sama ada benar ataupun tidak dakwaan itu, ini merupakan serangan jelas terhadap kerajaan Azmin. Semalam, Rafizi dilapor mahu menyerahkan bukti dakwaannya itu kepada Wan Azizah.

Hubungan Azmin – Rafizi dikatakan berada pada tahap yang sangat tidak sihat sejak kegagalan projek Langkah Kajang yang diilhamkan oleh Setiausaha Agung PKR itu pada Januari 2014. Mengikut perancangan, projek itu adalah untuk memberi laluan kepada Wan Azizah bertanding PRK Dun Kajang dan seterusnya menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar. Namun ia tidak menjadi.

Ini berikutan keputusan Sultan Selangor menolak pencalonan Wan Azizah sebaliknya memilih Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang ke 15.

Pelantikan Azmin disokong kuat oleh Pas yang pada masa itu turut mempunyai peluang untuk mencalonkan orangnya sendiri sebagai menteri besar jika tidak kerana semangat setiakawan dengan PKR, terutama Azmin.

Atas sebab itulah, Pas mempunyai sebab untuk berasa tersinggung apabila Azmin dikatakan telah memberi kata dua kepada wakilnya dalam kerajaan negeri meskipun beliau menafikan.

Pada hakikatnya, Azmin kini boleh diandaikan berada dalam keadaan sangat tertekan. PRK Sungai Besar menjadi ujian getir baginya untuk membuktikan pengaruh dan kewibawaannya sebagai pemimpin negeri dan juga pemimpin No. 2 dalam parti.

Malang bagi Azmin, tekanan paling hebat sebaliknya datang dari dalam partinya sendiri dan ini tidaklah lebih ringan berbanding tekanan dari luar.

Dalam keadaan beliau diasak begitu hebat terutama berkaitan dengan tuduhan wujudnya sogokan wanita dan wang dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpinnya, Azmin tidak mempunyai pilihan selain memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil ini untuk menutup mulut pengkritiknya, setidak-tidaknya dalam tempoh sementara.

azmin

Malu

Namun apabila serangan yang menjatuhkan itu datang dari dalam parti sendiri, ditambah pula kegagalannya untuk mempengaruhi Pas berkompromi dengan hanya meletak satu sahaja calon daripada blok pembangkang, apa lagi yang boleh diharapkan oleh Azmin untuk membantu kemenangan di pihaknya?

Apa yang tidak kurang menarik untuk diimbas, Azmin juga boleh diandaikan tertekan oleh alasan-alasan yang beliau sendiri gunakan untuk mengkritik Khalid dahulu. Rakyat Selangor sentiasa sedar bahawa pentadbiran Khalid adalah jauh lebih baik berbanding beliau yang setakat ini, setelah lebih dua tahun mengetuai pentadbiran kerajaan, masih gagal untuk membawa apa-apa perubahan yang bermakna.

Apa yang berlaku sememangnya menghairankan kalangan pemerhati yang tertanya-tanya, mengapa Rafizi mengambil tempoh masa ini – menjelang pilihan raya – untuk membongkar skandal yang boleh jadi sebab penolakan yang paling kuat oleh pengundi?

Apakah matlamat politik domestik mengatasi matlamat pilihan raya telah begitu kuat mempengaruhi pertimbangan pemimpin-pemimpin PKR?

Sebagaimana yang telah sedia diketahui, Pas akan meletak calon pada PRK Sungai Besar, juga di Kuala Kangsar.

Amanah juga, kelmarin telah mengumumkan senarai pendek calon-calonnya yang terdiri daripada nama-nama besar iaitu presidennya sendiri, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub (timbalan presiden) dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin.

Nizar hampir pasti akan bertanding di Kuala Kangsar manakala Mat Sabu dan Salahuddin, seorang deripada mereka akan jadi calon di Sungai Besar.

Ini bukanlah kali pertama kedua-dua pemimpin No. 1 dan No. 2 Amanah itu bertanding di luar kawasan masing-masing.
guan eng1
Mat Sabu yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang sejak awal kariernya sebagai wakil rakyat, menang di kerusi Parlimen Nilam Puri, Kelantan pada PRU1990. Beliau kemudian dipilih sekali lagi selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk mewakili Parlimen Kubang Kerian pada PRU1995. Pada PRU1999, Mat Sabu bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kedah, dan menang.

Salahuddin pula pada 2004 dan 2008 mewakili kerusi Parlimen Kubang Kerian tetapi tewas apabila bertanding kerusi Parlimen Pulai, di negeri kelahirannya, Johor pada PRU 2013.

Meskipun Mat Sabu pernah mencatat rekod cemerlang di luar negeri asalnya namun harus diingat beliau ketika itu bertanding di Kelantan, atas tiket Pas. Pada 1999, tatkala beliau menang di Kuala Kedah, PRU pada tahun itu sememangnya mengejutkan apabila pembangkang menang lapan daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah meskipun gagal mengambil alih kerajaan negeri.

Paling akhir, beliau gagal dalam kedua-dua pilihan raya yang disertainya iaitu di Kuala Terengganu pada 2008 dan Pendang pada 2013.

Kali ini, jika Mat Sabu yang dipilih bertanding di Sungai Besar, beliau mungkin akan dapat sebahagian besar undi daripada penyokong DAP di Dun Sekinchan namun agak sukar baginya untuk menguasai pengundi majoriti Melayu di Dun Sungai Panjang. Lebih 67 peratus pengundi Parlimen Sungai Besar adalah terdiri daripada kaum Melayu manakala Cina, hanya sekitar 30 peratus.

Pas yang setakat ini masih belum mengumumkan calon, sebelum ini dijangka akan menamakan semula calonnya pada PRU13, Mohamed Salleh M. Hussin.

Andainya Pas jadi meletak calon lokal ini, ia akan jadi tekanan bagi Mat Sabu untuk memastikan beliau tidak mendapat undi yang lebih rendah daripada bekas guru itu. Ia sudah pasti akan hanya memalukan dirinya sendiri jika Cikgu Mohamed Salleh berjaya ‘menewaskan’ Presiden Amanah itu dari segi pungutan undi.

Soalnya, apakah pengundi Sungai Besar akan bersimpati terhadap Mat Sabu lalu mendorong mereka untuk terima isu-isu nasional yang dibawa dalam kempen pembangkang sedangkan selama ini mereka begitu percayakan calon lokal?

Apa pun, perpecahan undi propembangkang pasti akan berlaku. Ditambah dengan pelbagai isu yang menyelubungi parti-parti pembangkang pada masa ini, BN dijangka akan menang selesa tanpa perlu bekerja keras. Mereka sudah cukup dibantu dengan isu-isu dalaman pembangkang sendiri! – Sinar Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s