PAS Mohon Kerajaan Gerakkan Penerangan Pindaan Akta 355

KOTA BHARU: Pas meminta kerajaan Pusat membantu membuat sesi penerangan mengenai isu usul Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 secara agresif di seluruh negara.

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd. Amar Nik Abdullah

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya selama ini komited mencari jalan bagi menerangkan isu tersebut kepada rakyat termasuk mengadakan pertemuan atau dialog dengan pelbagai pertubuhan dan agensi.

Bagaimanapun, kata­nya, bagi memastikan rak­yat, terutama masyarakat bukan Islam memahami isu tersebut dengan lebih mendalam, jentera pe­ne­rangan kerajaan dilihat mam­pu memainkan pera­nan yang lebih berkesan.

“Mekanisme yang digunakan kerajaan untuk membuat penerangan selama ini cukup mantap dan efektif. Hal ini kerana kerajaan mengawal semua radio, televisyen dan akhbar di negara ini.

“Kalau buat pendekatan seperti dia (kerajaan) terangkan GST (cukai barang dan perkhidmatan) dalam radio, televisyen dan akhbar, saya rasa orang akan faham mengenai pindaan Akta 355 ini dalam masa tiga atau empat bulan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen.

Bagaimanapun, usul tersebut tersebut dibantah oleh DAP dan beberapa parti bukan Islam kerana beranggapan rang undang-undang tersebut adalah hukum hudud sehingga menimbulkan polemik yang berpanjangan.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, kerajaan Pusat tidak perlu bimbang kerana pihak te­levisyen, radio atau akhbar tidak semestinya menjemput beliau atau pemimpin Pas lain untuk memberi penerangan.

“Televisyen contohnya, boleh buat wacana atau forum. Ambil golongan profesional, pensyarah atau ahli akademik dan minta mereka beri pandangan tepat mengenai usaha ini.

“Kalau kerajaan Pusat bantu, Pas pun mainkan peranan, saya yakin kita mempunyai masa cukup untuk membuatkan semua orang faham dan sokong usaha memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah ketika sesi Parlimen Oktober nanti,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memuji inisiatif Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm yang sudah mula memberi penerangan berkaitan Akta 355 baru-baru ini. – Utusan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s