Pindaan Akta 355 Penting Untuk Penyatuan Islam – Pensyarah

Analisis Berita Oleh Zalina Maizan Ngah dan Mohd Fakri Awang Lah

pas5
Apabila pemimpin PAS tampil berpakaian baju Melayu, lengkap bersamping, bertanjak dan berkeris semasa muktamar tahunan di Kota Baharu baru-baru ini, banyak kalangan tertanya-tanya mengenai perubahan parti Islam itu.

“PAS dah buang tabiat…,” lantas komen dalam satu blog yang melihatnya sebagai suatu yang luar biasa dalam sejarah muktamar PAS, yang lazimnya pemimpin parti tampil dengan imej berkopiah, berjubah dan berserban.

Ketika ditanya pada sidang akhbar, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa ia adalah pendekatan dan idea baharu daripada Dewan Pemuda PAS dan tidak mustahil mereka akan mengenakan pakaian kaum-kaum lain pada tahun depan.

Juga menarik perhatian ialah apabila Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan sebilah keris gergasi untuk memotong pulut kuning. Keris tersebut diarak masuk ke dalam dewan oleh sekumpulan ‘hulubalang’ sehingga ke atas pentas sebelum diserahkan kepada Abdul Hadi.

Satu kelainan yang ketara ialah tiadanya maki hamun atau suara-suara lantang yang biasanya menghangatkan suasana muktamar. Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Dr Hatta Ramli, antaranya kini sudah berada dalam Parti Amanah Negara (Amanah), parti serpihan PAS.

Jemputan khas pula hanya terdiri daripada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir daripada Parti Ikatan dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam, tanpa kelibat pemimpin kanan pakatan pembangkang.

Justeru, PAS kelihatan seolah-olah bersendirian, setelah meminggirkan PKR dan DAP yang menjadi sekutu sejak Pilihan Raya Umum 2008.
abduh jamil
Ucapan dasar Abdul Hadi yang menggariskan pendekatan politik baharu PAS ke arah ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ menarik dianalisis kerana ia bakal mencorak landskap baharu politik tanah air.

Antaranya, kata beliau: “Laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan”.

Menurutnya, blok politik sebelum ini diwarnai secara hitam putih semata-mata iaitu: sama ada ‘kerajaan’ atau ‘pembangkang’. Pembangkang sentiasa membangkang apa sahaja agenda kerajaan yang memerintah walaupun kadangkala ada yang baik dilaksanakan.

“Kami ingin keluar daripada politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat,” katanya dan menjelaskan bahawa Majlis Syura Ulama PAS telah pun bersetuju dengan prinsip ‘meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi memperkukuh Islam dan perjuangannya’.

Abdul Hadi mengajak perwakilan yang hadir agar mengambil pendekatan strategik dengan meramaikan kawan sebanyak mungkin dan bukan mencari musuh sebanyak-banyaknya.

“Atas konsep inilah kami mendekatkan diri dengan parti-parti politik yang mempunyai titik persamaan sebanyak-banyaknya dan memaafkan perbezaan yang boleh dimaafkan,” katanya.

Tetapi sebelum itu, Dewan Pemuda dan Muslimat PAS jelas mahukan kepimpinan parti menjauhi ‘bekas rakan seperjuangan’ yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PAS bertindak memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamarnya tahun lepas.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz terang-terangan memberi isyarat supaya PAS serius bertindak dengan kembali bertanding di kerusi-kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada sekutu pembangkang seperti PKR dan DAP semasa pilihan raya umum yang lepas.

Ucapan Nik Mohamad Abduh pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 itu secara langsung, memberi isyarat jelas kepada anggota parti agar terus menjauhi kedua-dua parti berkenaan.

Nik Mohamad Abduh berkata pengalaman ketika PAS masih bekerjasama dalam pakatan pembangkang harus dijadikan pengajaran agar anggota PAS tidak lagi dijadikan ‘kuda tunggangan’ parti-parti lain.

Sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS pula menggesa PAS mengkaji semula tahalluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR dalam semua pilihan raya akan datang.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Salamiah Mohd Noor yang mengumumkan perkara itu menyatakan usul tersebut akan dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk tindakan susulan.

Keadaan PAS yang bersendirian dan terpinggir kini tergambar semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabila ia bukan sahaja berdepan parti pemerintah Barisan Nasional malah turut bersaing dengan calon Amanah yang ketara didukung parti DAP.

Sekilas, konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dianjurkan oleh Abdul Hadi dilihat sealiran dengan konsep wasatiyyah (sederhana) yang kini didukung UMNO di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Hadi mahukan PAS menjauhi penampilan retorik yang berasaskan emosi kebencian politik kepartian tetapi sebaliknya mengemukakan penyelesaian secara Islam.

PAS, menurutnya, hendaklah sedaya upaya menolak pendekatan negatif, dan tidak membangunkan minda apatah lagi orientasi berteraskan kebencian dan provokasi.

Lantas nada perbahasan semasa muktamar turut berubah. Perwakilan yang diberi peluang untuk berbahas, tampil dengan idea-idea menarik, malah langsung tidak kedengaran caci maki atau sumpah seranah terhadap musuh politik parti itu.

Malah, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut ditegur Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan PAS, Hussin Ismail apabila cuba menghentam UMNO ketika berucap menggulung ucapan Presiden PAS.
tuanibrahim1
Mungkinkah PAS kini sedia bekerjasama dengan UMNO?

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata konsep BPMS itu secara keseluruhannya amat bagus kerana ia dapat mengurangkan suhu perbalahan sesama Melayu, khususnya antara PAS dan UMNO.

“Bagaimanapun, kita saksikan nanti apakah BPMS ini dapat direalisasikan semasa PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana sebelum PRK tercetus, hubungan antara kedua-dua parti dilihat amat baik, cuma dibimbangi ia akan menjarakkan PAS dan UMNO selepas PRK berakhir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Malah, Kamarul Zaman berkata Abdul Hadi mengakui kejayaan beliau membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat 26 Mei lepas, turut mendapat bantuan UMNO selepas kedua-dua parti membuat rundingan menggunakan saluran kerajaan dengan kerajaan.

Katanya secara psikologi, ia menjadi lambang betapa perjuangan memartabatkan Islam kini didukung bersama UMNO.

Menurutnya signifikan rang undang-undang itu ialah terhadap penyatuan Islam dan bukan berkait dengan kandungan rang undang-undang berkenaan semata-mata.

— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s