Kes di Orlando tiada kaitan Islam – Asyraf Wajdi

drasyraf4
DUNIA sekali lagi digegarkan dengan berita keganasan yang melibatkan orang awam. Terbaharu kejadian pembunuhan beramai-ramai di sebuah kelab malam yang melibatkan golongan LGBT khususnya Gay di Orlando, Amerika Syarikat telah mengakibatkan kematian 50 orang awam dan 53 orang lagi tercedera.

Sekali lagi media antarabangsa pantas mengaitkan dengan Islam kerana pelaku jenayah tersebut didakwa melibatkan seorang pemuda kelahiran Afghanistan yang dikenali sebagai Omar. Ini secara tidak langsung memburukkan lagi imej Islam yang kini sudah pun disalah anggap sebagai agama yang menyeru keganasan.

Apa yang pasti, kejadian yang berlaku kalau benar pun dilakukan oleh seorang beragama Islam, tidak sesekali mewakili agama yang dianutinya apatah lagi umat Islam yang majoritinya pencinta keamanan dan kedamaian.

Hakikatnya, Islam adalah agama yang amat mementingkan keamanan, kesejahteraan dan kedamaian. Nama Islam itu sendiri dalam bahasa Arab berasal dari kata nama “selamat” atau “sejahtera”. Justeru, perbuatan membunuh mereka yang bukan Muslim yang tidak bersalah atas nama Islam atau atas nama jihad adalah perbuatan yang terkutuk.

Malah al-Quran secara jelas melarang umat Islam untuk membunuh seseorang termasuklah mereka yang bukan Islam yang tidak bersalah dengan jalan yang tidak benar, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Isra’, ayat 33 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh seseorang manusia yang diharamkan oleh ALLAH untuk membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar”.
lgbt
Bahkan Rasulullah SAW sendiri memberi ancaman kepada sesiapa yang membunuh dengan jalan yang tidak benar walaupun terhadap kafir zimmi yang tidak memerangi Islam. Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang membunuh seorang lelaki zimmi, dia tidak akan mencium bau syurga, sedangkan baunya boleh dicium dari sejauh 70 tahun perjalanan”. Hadith sahih riwayat Abu Daud.

Justeru, apa yang penulis dapat katakan, perbuatan sebegini adalah perbuatan terkutuk dan melampau yang jauh menyimpang dari ajaran dan nilai agama Islam yang sebenar.

Walau apa pun alasan seperti dengan niat melawan kemungkaran tidak sesekali menghalalkan perbuatan terkutuk yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam. Ini kerana Islam tidak sesekali menghalalkan cara walau sekudus mana pun matlamat yang disasarkan.

Seorang ulama besar Mesir, Sheikh Mutawalli Sya’rawi dalam satu dialog dengan salah seorang pemuda yang berjiwa radikal dan cenderung kepada keganasan bertanya: “Adakah perbuatan meletupkan kelab malam di salah sebuah negara Islam perbuatan halal atau haram?”. Pemuda itu menjawab: “Sudah tentu halal dan perbuatan itu harus”.

Maka Sheikh bertanya kepadanya: “Jika kamu membunuh mereka dalam keadaan mereka melakukan maksiat kepada ALLAH, di manakah kesudahan mereka?”. Pemuda itu menjawab: “Di neraka, sudah tentu”. Sheikh bertanya lagi: “Ke mana syaitan ingin membawa mereka?”. Pemuda itu terus menjawab: “Ke neraka, sudah tentu”. Maka Sheikh berkata: “Justeru, kamu dan syaitan berkongsi matlamat yang sama iaitu memasukkan manusia ke dalam neraka”.

Kemudian Sheikh menyebut kepada pemuda itu sebuah hadis yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW menangis apabila diusung berdekatan baginda jenazah seorang Yahudi. Para sahabat bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu menangis wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Seseorang yang terlepas dariku (dan kesudahannya) ke neraka”.

Kemudian Sheikh berkata kepada pemuda itu: “Lihatlah perbezaan di antara kamu dan Rasulullah SAW yang berusaha untuk memberi hidayah kepada manusia dan menyelamatkan mereka dari neraka. Kamu berada di suatu lembah dan Rasulullah SAW berada di lembah yang lain”. Maksudnya cara yang kamu bawa adalah berlainan dan bertentangan dengan cara yang dibawa dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
orlando
Mereka yang menggunakan kekerasan dan keganasan sebenarnya hanya mengikut hawa nafsu mereka dan bukan berdasarkan suluhan ilmu yang betul, sebagaimana yang difahami oleh para ulama Islam yang muktabar seperti Sheikh Mutawalli Sya’rawi.

Firman ALLAH dalam Surah al-Mukminun ayat 71: “Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada pada keduanya..”.

Jelaslah bahawa sebarang bentuk keganasan yang dilakukan atas nama Islam merupakan satu bentuk penyelewengan agama yang besar. Jalan keluar kepada kesesatan hanyalah dengan memastikan setiap umat Islam benar-benar memahami dan menghayati Islam berteraskan ilmu dan bukannya sentimen dan semangat retorik semata-mata.

-Sinar Harian

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s