Kajian Tokoh: Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh

Oleh Nurul Syukriah

imagesE189
PENDAHULUAN

Dewasa kini pelbagai pekerjaan yang ditawarkan kepada warganegara Malaysia dari serendah-rendah gaji hinggalah ke puluhan ribu ringgit sebulan. Oleh itu, siapa kata negara kita kekurangan peluang pekerjaan sehingga graduan juga perlu menganggur? Banyak bidang kerjaya yang ada sebenarnya, tinggal kita sahaja perlu bijak dalam merebut serta mengambil peluang yang ada. Kita sedia maklum adakalanya kerja yang ada di pasaran tidak selaras dengan minat dan keinginan kita, tetapi ianya tidak mustahil untuk menjadi penyebab kita berjaya.

“Only those who dare to fail greatly can ever achieve greatly,” begitulah kata-kata Robert F. Kennedy, ahli politik yang berasal dari Massachusetts berkaitan kejayaan yang dimilikinya. Bukan itu sahaja, malah falsafah tokoh-tokoh hebat ini biasanya hampir sama iaitu mereka sentiasa menganggap bahawa risiko yang ditempuhi itu adalah peluang besar untuk mereka lebih berjaya. Hal ini kerana bagi mencapai satu tahap yang tertinggi dalam sesuatu bidang yang diceburi memerlukan mereka berkorban dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

pawanteh1
KAJIAN KES

Tokoh yang telah saya temui pada kali ini ialah seorang ahli politik yang terkenal. Beliau yang dimaksudkan ialah Yang Dipertua Dewan Negara Malaysia ke-14 merangkap Pro Canselor UUM, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh. Tan Sri dilahirkan pada 27 Julai 1944 di Georgetown, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik dan kesemuanya adalah lelaki.

Tan Sri Abdul Hamid telah mendapatkan pendidikan sepenuhnya di Pulau Pinang walaupun keluarganya telah berpindah ke Perlis pada tahun 1947. Keluarga beliau telah berhijrah ke Perlis kerana mengikut bapa mereka yang bertugas sebagai kerani ketika itu. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Medical College, Universiti Dow, Karachi. Pada ketika itu Karachi masih di dalam negara India, tetapi kini ia adalah sebuah bandar besar di Pakistan.

Sehubungan dengan itu, belajar di dalam bidang perubatan sebenarnya bukanlah minat beliau, dan ia juga tidaklah bidang yang dipilih oleh keluarganya. Keinginan Tan Sri adalah untuk menyambung pelajarannya dalam bidang undang-undang, tetapi oleh kerana tiada biasiswa yang ditawarkan pada saat itu jadi beliau memutuskan untuk memilih bidang perubatan yang lebih rendah kos pembelajarannya ketika itu. Hal ini kerana pada masa tersebut mereka yang ingin menjadi peguam perlu menyambung pelajaran di UK dan perbelanjaannya jauh lebih tinggi.

Justeru, pelajaran Tan Sri di Karachi telah ditanggung sepenuhnya oleh ayahnya kerana biasiswa yang ditawarkan pada waktu itu hanyalah Colombo Plan, dan beliau tidak layak mendapatkannya. Hanya di saat akhir belajar baru beliau berjaya mendapat biasiswa dari kerajaan Perlis. Walaupun bidang perubatan bukanlah cabang yang diidamkannya, tetapi ia tidak menghalang beliau untuk belajar dengan baik kerana kelebihannya belajar di Penang Free School yang telah menyediakan para pelajarnya untuk memasuki pelbagai bidang.

Bercerita mengenai perjalanan kerjaya Tan Sri, beliau mula bekerja sebagai doktor perubatan di dalam kerajaan setelah bergelar graduan. Beliau memulakan kerjayanya di Hospital Kuala Lumpur. Setelah itu beliau minta untuk ditukarkan balik ke Perlis. Kemudian beliau telah menyambung tugasnya sebagai pegawai perubatan di hospital besar Perlis atau lebih dikenali sebagai Hospital Kangar ketika itu.

Kemudian Tan Sri Abdul Hamid menjadi doktor swasta kerana tidak berjaya mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Beliau bercita-cita untuk menyambung pelajaran kerana dengan itu barulah beliau boleh menjadi pakar bedah. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian dan beliau telah memutuskan untuk keluar dari kerajaan dan membuka klinik sendiri bersama-sama temannya.

Klinik yang dibukanya itu telah dikongsi dengan rakan berbangsa Cina. Perkongsian itu menyebabkan mereka membahagikan tugas di mana Tan Sri merawat pesakit Melayu manakala rakannya merawat pesakit Cina. Bagaimanapun, ia tidak menghalang mereka melangkaui pembahagian tersebut seandainya salah seorang dari mereka tidak ada di klinik. Pembahagian pesakit mengikut bangsa itu bukanlah kerana mereka racism, tetapi bagi memberi keselesaan kepada para pesakit.

Seterusnya Tan Sri menyeberangi masuk politik, bermula dengan menjadi ahli parlimen. Pada tahun 1981 Dr Mahathir telah mengambil alih kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO. Seterusnya pada tahun 1982 Dr Mahathir telah isytiharkan pilihan raya dan bubarkan dewan. Pada tahun itulah Tan Sri telah dipilih untuk menjadi calon dewan rakyat, calon parlimen bagi kawasan Arau. Beliau pun masuklah bertanding pada peringkat parlimen dan menang. Ketika bekerja di parlimen, beliau masih bertugas di kliniknya pada hujung minggu.

Bukan itu sahaja, malah semasa Tan Sri memegang jawatan sebagai ahli parlimen Arau, beliau turut menjaga kilang simen di sana sekaligus telah menjadi pembekal simen kepada pihak kerajaan, bermakna beliau berniaga pada kerajaan. Oleh kerana beliau selalu menyeberangi dua tiga kali antara sektor awam dengan sektor swasta di dalam kerjayanya, beliau telah digelar sebagai makhluk dua alam oleh teman-temannya. Apa yang dilakukan ini bukanlah kerana ingin mengejar wang ringgit, tetapi kerana sikapnya yang tidak mahu terikat dengan mana-mana satu sektor.

Keadaan seperti itu berlangsung selama setahun setengah sebelum beliau dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah melarangnya untuk bertugas sebagai seorang doktor perubatan sekaligus kendalikan kliniknya dalam masa yang sama. Ini kerana beliau perlu fokus pada kerjanya dengan kerajaan. Maka berakhirlah praktisnya sebagai ahli perubatan dan bermulalah kerjayanya sebagai ahli politik.

Walaupun terdapat sedikit keralatan dalam dirinya kerana terpaksa meninggalkan dunia perubatan, tetapi beliau tetap teruja melaksanakan tugasnya dalam bidang politik ini kerana sikapnya yang sentiasa mencuba perkara baru. Seterusnya ketika pilihan raya pada tahun 1986, beliau diarah balik ke Perlis dan menjadi Menteri Besar di sana. Tan Sri terus bekerja sebagai Menteri Besar (MB) Perlis selama sembilan tahun sehingga beliau sendiri tidak berhenti melibatkan diri dalam bidang ini.

Sehubungan dengan itu, Tan Sri telah berkhidmat sebagai MB Perlis selama dua penggal. Segala kerja-kerja yang menjadi tugas dan amanah beliau telah diselesaikan dengan baik. Bagaimanapun, beliau bercita-cita untuk naik pangkat, tetapi telah dihalang oleh Dr Mahathir. Hal ini kerana Dr Mahathir meminta beliau agar terus kekal menjadi MB di Perlis. Oleh kerana niat beliau yang ingin naik ke tahap yang lebih tinggi telah disekat, Tan Sri tmemutuskan untuk berhenti dari menjadi MB Perlis dan menubuhkan Stesen Janakuasa di Sungai Baru.

Disangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari, begitulah keadaan Tan Sri apabila beliau diikat menjadi Pro Canselor UUM sejak 1996 hingga kini. Bagaimanapun ia bukanlah satu beban yang berat kerana memegang gelaran sebagai Pro Canselor UUM tidak memberikannya tugas yang berat. Walau bagaimanapun, pada tahun 1995 hinggalah 2003, Tan Sri telah dilantik menjadi pengerusi HICOM, yang mana anak syarikatnya ialah Proton, PERWAJA dan Air Asia. HICOM juga turut memiliki hartanah pada ketika itu. Pada masa yang sama, Tan Sri turut dipilih untuk menyandang jawatan pengerusi di Institut Jantung Negara (IJN).

Tambah Tan Sri lagi, walaupun beliau dibebaskan dari memegang jawatan dalam kerajaan secara rasmi, tetapi beliau dilantik supaya menjaga perniagaan-perniagaan milik kerajaan, contohnya IJN. IJN merupakan badan separuh swasta, corporatize bukan lagi privatize. Sebelum sesebuah perniaagaan menjadi privatize, mereka perlu menjadi corporatize terlebih dahulu, jadi beliau kena jaga organisasi sedemikian. Ini bermakna sebelah kakinya berada di dalam sektor kerajaan dan sebelah lagi di dalam sektor swasta dalam masa yang sama.

Oleh kerana minat dalam bidang perniagaan serta ingin mencuba bidang baru yang menebal dalam diri Tan Sri Abdul Hamid, beliau telah ambil risiko untuk ceburkan diri dalam bidang keluli. Pada ketika itu beliau menjadi ahli parlimen Kangar. Bagaimanapun beliau telah ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab apabila terjun ke dalam bidang tersebut. Ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Tan Sri untuk kekal berada dalam dunia perniagaan. Pada tahun 2003, Tan Sri Abdul Hamid telah dilantik untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia yang ke-14 sehingga tahun 2009.

Menyentuh mengenai perniagaan memajukan rumah dan kedai yang diusahakann oleh Tan Sri sejak tahun 2009 hingga kini, beliau menyatakan bahawa minatnya dalam bidang hartanah ini wujud kerana beliau dikelilingi oleh rakan-rakan yang terlibat dalam memajukan perumahan. Bukan itu sahaja, malah Tan Sri juga mengakui bahawa diawal penglibatannya dalam bidang ini beliau telah mendapatkan bantuan daripada adik rakannya dalam menguruskan bahagian kewangan.

Seterusnya bertanya mengenai syarikat logistik yang terletak di Padang Besar iaitu Syarikat Globonus Sdn. Bhd., beliau menyatakan bahawa ia merupakan satu kebetulan dalam penglibatannya itu. Bagaimanapun, Globonus ini ditubuh khas untuk anak-anaknya bagi membolehkan mereka belajar mengenai selok-belok perniagaan. Syarikat tersebut telah dibina pada tahun 1997 dan Tan Sri hanya bertindak sebagai penasihat di situ. Oleh sebab itulah beliau memiliki pelbagai jenis perniagaan, kerana tertarik untuk mengetahui bagaimana sesuatu itu dilaksanakan.

Tan Sri menggambarkan sikap ingin tahu yang tinggi dalam dirinya dengan menceritakan mengenai pengalamannya pagi itu yang terdengar berita dari BBC berkaitan Jane Eyre, sebuah karya yang termashur dalam sastera English hasil tulisan Charlotte Brontë. Tan Sri mendengar komen dari dua tiga wanita melalui BBC mengenai karya tersebut, dan ianya membuatkan beliau ingin tahu tentang apa yang telah diperkatakan oleh mereka. Lantas beliau mencari naskhah Jane Eyre dalam audible, sebuah aplikasi audio book yang membolehkan kita dengar tanpa perlu membacanya. Lalu beliau mendengar cerita klasik itu sepanjang pagi.

Justeru, Tan Sri berkongsi lagi mengenai pengalamannya ditampar oleh ayahnya kerana sikapnya yang terlalu ingin tahu. Menurut Tan Sri, ketika beliau berumur tujuh tahun, sebagai anak sulung beliau selalu mengikuti bapanya bermain wau. Mereka biasanya bermain di bendang yang telah kering jika kemarau tiba. Ketika Tan Sri berlari-lari di tengah bendang, beliau akan tanya bermacam-macam soalan, “Bapak, bapak, macam mana wau naik ha?” Ayahnya menjawab, anginlah. Kemudian beliau bertanya lagi, “Bapak, bapak, macam mana mai angin?” Lalu ayahnya membalas, Tuhanlah buat. Masih tidak berpuas hati dengan jawapan itu, beliau bertanya pula, “Bapak, bapak, sapa buat Tuhan?” Lantas beliau ditampar oleh bapanya setelah mendengar soalan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Tan Sri memperkenalkan satu istilah baru bagi saya iaitu ‘dokma’. Menurut Tan Sri Abdul Hamid, dokma ialah satu set kepercayaan atau pegangan. Oleh itu, beliau menegaskan bahawa prinsip hidupnya adalah tidak suka terikat dengan dokma, beliau tidak mahu terikat kepada hanya satu kepercayaan dalam hidupnya. Kemudian beliau memberikan contoh kepercayaan dalam ekonomi, di mana dalam ekonomi terbahagi kepada tiga kategori iaitu capitalism, communism atau socialism.

Walaupun keterbukaan pemikirannya itu selalu membuatkan beliau selisih faham dengan orang dan ditohmah, tetapi ia tidak melunturkan semangatnya untuk mempertahankan prinsip yang dipegang. Tambah Tan Sri lagi, beliau mengganggap sikap keterbukaan dan tidak terikat kepada satu-satu pemikiran itu merupakan satu nikmat yang membuatkan beliau mampu melangkah maju ke hadapan apabila disertai dengan kesungguhan. Begitu jugalah yang telah dipraktikkan kepada anak-anaknya agar mereka memilih jalan hidup masing-masing supaya mereka boleh berkembang dan berdiri sendiri.

Oleh yang demikian, apabila ditanya mengenai penglibatan Tan Sri di dalam dunia politik dan respon orang di sekelilingnya terutama isteri dan ibu bapa, beliau menyatakan bahawa pada awalnya mereka tidak setuju dengan pilihannya itu untuk beralih bidang dari perubatan ke politik. Hal ini kerana isteri Tan Sri merupakan orang Pakistan. Beliau telah berkahwin dengan isterinya ketika belajar perubatan di sana dan dia menganggap politik ini adalah satu bidang yang berisiko tinggi berdasarkan pengalamannya sebagai warganegara Pakistan sebelum ini.

Manakala ibu bapa Tan Sri juga tidak gembira di awal penglibatannya dalam bidang politik kerana mereka menganggap kerjaya sebagai seorang doktor sudah cukup baik untuk masa depannya. Bagaimanapun beliau tekad untuk menceburkan diri di dalam bidang politik dan lama-kelamaan ibu bapanya belajar untuk terima keputusan beliau itu. Bukan itu sahaja, malah hanya Tan Sri seorang yang melibatkan diri dalam bidang politik ini diantara mereka enam beradik.

Seterusnya, sebelum menutup sesi temubual saya dengan Tan Sri pada hari itu, saya mencungkil mengenai cara yang dilakukannnya ketika dilanda stress. Tan Sri menyatakan bahawa sebelum ini beliau gemar mencuri masa dengan bermain tenis, tetapi kini tidak lagi berpeluang melakukan sedemikian. Tan Sri memilih untuk berada di rumah jika ada masa senggang dengan mendengar muzik dan main komputer.

PERBINCANGAN

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Begitulah perumpamaan yang dapat mencerminkan diri Tan Sri Dato’ Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajatkan. Menyentuh isu suasana yang dialaminya ketika menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Karachi, Tan Sri menyatakan bahawa ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat dirinya. Hal ini kerana ketika beliau menghabiskan sisa-sia waktu belajar di sana, Bangladesh sedang menuntut kemerdekaan daripada Pakistan dan berlakulah perang saudara di antara mereka. Keadaan di sana sangat tidak aman dan beliau perlu berdepan dengan kejadian tembak-menembak.

Pemisahan Bangladesh daripada Pakistan berlaku ketika beliau belajar di Karachi dan hal ini memberinya peluang untuk belajar secara tidak formal berkaitan kemasyarakatan dan politik. Oleh itu, situasi yang mempengaruhi kerjaya Tan Sri ini bertepatan dengan faktor pengalaman pembelajaran yang ada dalam proses pemilihan kerjaya yang disebutkan dalam Teori Pembelajaran Sosial Krumboltz. Faktor pengalaman pembelajaran merupakan hasil pengalaman yang dialami oleh individu ketika mereka menimba ilmu dan ianya mempengaruhi kerjaya yang dipilih (Sapora Sipon, 2015). Oleh sebab itulah adanya perumpamaan yang berbunyi, pengalaman adalah guru yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, kejayaan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh ini boleh juga dilihat melalui kaca mata Teori Tret dan Faktor yang telah diperkenalkan oleh Frank Parson. Hal ini kerana konsep asas yang dipegang oleh Parson ialah individu hendaklah membina tret diri sendiri yang terdiri daripada minat, nilai, personaliti dan sikap (Sapora Sipon, 2015). Ianya sangat jelas bahawa tokoh yang ditemui ini tahu apa kelebihan yang dimiliknya dan dipadankan dengan perkara yang ingin dilakukan.

Bukan itu sahaja, malah personalitinya yang tegas telah membuatkan beliau tidak gentar dengan pandangan dan komen negatif yang diterimanya. Keberanian Tan Sri untuk menceburkan diri dalam pelbagai bidang tidak dinafikan lagi apabila melihat kepada perjalanan kerjaya yang dilaluinya. Teori ini selari dengan proses pemilihan kerjaya yang dilakukan oleh seseorang berdasarkan peribadi mereka (Duggen & Jurgens, 2007).

Selain itu, kita sedia maklum bahawa sebagai seorang ahli politik dan bekas doktor perubatan, pastinya Tan Sri perlu ada kemahiran untuk mendekati penduduk dan menyakin mereka dengan apa yang disampaikan. Justeru, Holland (1997) menyatakan bahawa mereka yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti memanipulasikan orang mempunyai personaliti sosial. Teori Pemilihan Kerjaya Holland menekankan bahawa individu yang dominan dalam sosial tidak suka terikat dengan sesuatu perkara seperti prinsip yang dipegang oleh Tan Sri sendiri.

Tugas yang digalas oleh Tan Sri memerlukannya untuk bertemu dan berurusan dengan individu yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat bagi menjual produknya apabila memakai topi sebagai ahli perniagaan, dan mendekatkan dirinya dengan masyarakat apabila terlibat dalam bidang politik. Secara tidak langsung, kedua-dua bidang ini memerlukan Tan Sri untuk memiliki tingkah laku enterprising, iaitu pandai dalam memujuk orang dan berkeyakinan dalam melakukan sesuatu. Mereka ini sangat yakin dan percaya dengan kebolehan diri (Sapora Sipon, 2015).

Selain itu, Tan Sri mengakui bahawa banyak bakat dan kebolehan yang dimilikinya telah diwarisi oleh bapanya. Berdasarkan Teori Pemilihan Kerjaya Anne Roe, kehidupan awal kanak-kanak yang dilalui bersama-sama ibu bapa di rumah mempengaruhi personaliti serta sikap individu termasuklah dalam pemilihan kerjaya (Sidek Mohd Noah, 2002). Hal ini kerana beliau memiliki bakat dalam bahagian teknikal seperti membaiki komputer dan apa jua yang berkaitan dengannya sehingga menjadi rujukan kepada kawan-kawan.

Tambah Tan Sri lagi, komputer yang dibelinya dulu hanya menggunakan Windows XP, tetapi kini beliau telah menaik taraf komputer tersebut dan memakai Windows 10. Bukan itu sahaja, malah Tan Sri mampu menukar komponen dan perbaiki sendiri seandainya komputer beliau mempunyai masalah. Minat untuk membuat kerja pertukangan atau teknikal ini timbul apabila beliau melihat bapanya dulu cukup minat dengan radio dan berupaya membaiki radionya sendiri.

imagesE147
KESIMPULAN

Kejayaan yang dikecapi oleh Tan Sri Dr Abdul Hamid kini bukanlah sesuatu yang datang bergolek di depan mata, melainkan diperoleh melalui usaha dan kesungguhannya dalam mengerjakan sesuatu. Kitab suci Al-Quran juga berkali-kali mengingatkan kita agar berusaha antaranya ialah, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka” (Ar Ra’d: 11) serta “Dan barangsiapa berusaha, maka sesungguhnya usahanya itu untuk dirinya sendiri” (Al-Ankabut: 6).

Justeru, walau apa jua bidang yang kita ceburi hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu. Bukan itu sahaja, malah individu yang berikap yakin diri dan asertif ini sering dikaitkan dengan kejayaan kerana mereka tegas dan tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain. Apa yang penting ialah kita perlu mengenali minat dan bakat yang dimiliki agar apa yang dilaksanakan menjadi mudah dan kita gembira melakukannya.

RUJUKAN

Duggen, M.H & Jurgens, J.C (2007). Career Interventions and Techniques: A Complete Guide For Human Service Professionals. Boston: Pearson Allyn & Bacon.

Holland, J. L. (1997). Making Vocational Choices: A Theory of Vocational Personalities and Work Environments. (3rd ed). Odessa FL: Psychological Assessment Resources.

Sapora Sipon. (2015). Aplikasi Teori: Perkembangan Kerjaya. Nilai: Penerbit USIM.

Sidek Mohd Noah. (2002). Perkembangan Kerjaya: Teori Dan Praktis. Serdang: Penerbit UPM.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s