JOM MEMANFAAT 10 AKHIR RAMADHAN

Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki

ALHAMDULILLAH, ketika menulis artikel minggu ini, penulis berpeluang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah atas undangan menjadi tetamu Diraja Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dalam 10 malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan.

asyraf jamil
Sememangnya pengalaman berpuasa dan beribadah Ramadan terutamanya pada 10 malam terakhir di Makkah merupakan satu nikmat yang besar dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi suasana 10 malam terakhir di sini bagaikan satu pesta malam hari yang cukup meriah dengan jutaan manusia yang teruja menumpukan kepada pelbagai bentuk amal ibadah, sama ada yang bersifat khusus seperti tawaf sunat, tahajud, tadarus sehinggalah kepada kerja-kerja kebajikan terhadap sesama manusia seperti bersedekah.

Fokus masing-masing yang datang dari pelbagai pelosok dunia hanyalah untuk mencari Lailatulqadar, malam yang penuh keberkatan. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir Ramadan.” Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat Bukhari yang lain, Rasulullah SAW bersabda secara lebih terperinci: “Carilah malam Lailatulqadar itu pada malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.”

Apa yang kadangkala menyedihkan penulis apabila mengenangkan suasana masyarakat kita di tanah air yang umumnya berbeza kadar ibadah mereka pada Ramadan. Sudah semacam lumrah apabila datangnya awal Ramadan, masyarakat tampak begitu bersungguh-sungguh memeriahkan Ramadan dengan bersolat tarawih, bertadarus al-Quran, dan pelbagai bentuk ibadah lain. Akan tetapi, apabila masuk 10 hari terakhir, masjid-masjid menjadi semakin kurang jemaah, saf-saf solat tarawih semakin lopong dan halaqah-halaqah tadarus juga semakin susut.

Lebih mengecewakan apabila malam-malam terakhir Ramadan yang dijanjikan 1001 kemuliaan Al-Qadar disia-siakan untuk menyibukkan diri dengan agenda persiapan raya. Biasanya 10 malam terakhir inilah kompleks-kompleks beli-belah lebih agresif mempromosikan pelbagai bentuk jualan murah bagi menambat hati pelanggan.

Masyarakat pula, masa-masa sebeginilah akan sibuk dan galak membuat pelbagai persiapan raya termasuklah perkakas dan hiasan rumah, baju raya, kuih-muih, mempersiapkan duit raya dan sebagainya. Sepuluh malam terakhir ini juga bagaikan pesta membeli belah di seluruh negara. Pasar-pasar aya dan pusat-pusat beli-belah yang menawarkan pelbagai promosi penuh sarat dengan pengunjung.

Hakikat ini berbeza dengan suasana di negara-negara Arab terutamanya di Makkah dan Madinah. Bagi mereka, 10 terakhir Ramadan ini amatlah berharga melebihi 10 terawal Syawal. Malam-malam terakhir Ramadan penuh meriah dengan ibadah. Bahkan mereka yang datang ke Makkah dan Madinah untuk beribadah terutamanya pada 10 terakhir Ramadan teramatlah ramai, sehingga hampir menyamai jumlah mereka yang datang pada musim haji. Apabila berakhir Ramadan dan tiba Syawal, keadaan menjadi seperti biasa sebagaimana bulan-bulan lainnya.
asyraf makkan1
Amatlah rugi bagi mereka yang mensia-siakan malam-malam 10 terakhir Ramadan. Mungkin inilah Ramadan terakhir kita. Hanya ALLAH sahaja yang tahu, sama ada kita masih berpeluang bertemu Ramadan atau tidak pada masa akan datang. Justeru, ambillah peluang dan ruang yang ALLAH berikan ini untuk kita sama-sama meraih kurniaan dan reda-Nya. Sabda Rasulullah SAW: “Telah datang kepada kalian Ramadan yang penuh keberkatan. ALLAH mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa di bulan itu, dibuka padanya pintu-pintu langit, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan. Demi ALLAH, padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang terhalang untuk mendapat kebaikannya, sesungguhnya dia telah terhalang”. Hadis sahih riwayat an-Nasa’i.

Inilah kelebihan dan anugerah yang ALLAH kurniakan kepada umat ini yang rata-ratanya amat singkat usianya berbanding umat-umat terdahulu yang usia mereka mencapai ratusan bahkan ribuan tahun. Sabda Rasulullah SAW: “Umur-umur umatku di antara 60 sehingga 70 tahun, dan amat sedikit mereka yang melebihi usia itu”. Hadith sahih riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Pada baki-baki terakhir Ramadan ini juga, marilah kita memperbanyakkan doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada Aishah RA: “Daripada Aishah RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui salah satu malam-malam itu adalah malam Lailatulqadar, apa yang perlu aku sebut (berdoa) pada malam itu?”. Baginda menjawab: “Sebutlah (berdoalah): Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau sukakan kemaafan, maka maafkanlah aku’”. Hadis sahih riwayat Ibnu Majah, at-Tirmizi dan an-Nasa’i.

Amatlah rugi bagi mereka yang sempat menemui Ramadan, namun dia tidak mendapat apa-apa faedah dari bulan yang penuh keberkatan ini. – Sinar

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s