Sejarah Membentuk Jati Diri Bangsa

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PATRIOTISME
SEJAK kebelakangan ini nilai-nilai sejarah sering kali dipermainkan dan kadang-kadang diketepikan oleh banyak pihak untuk pelbagai matlamat dan tujuan.

Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku. Pernah suatu ketika dahulu mata pelajaran Sejarah pun tidak dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah.

Pernah dahulu Sultan Perak (ketika itu Raja Muda), Sultan Dr Nazrin Shah menzahirkan teguran Raja-Raja Melayu terhadap rancangan penempatan semula Kampong Baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak kepunyaan Melayu. Baginda menegaskan bahawa penempatan semula melalui Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney itu telah menimbulkan rasa kurang senang Raja-Raja Melayu.

Kewujudan sesebuah negara tidak boleh tidak didasari oleh hakikat sejarah. Malah dalam konteks negara Malaysia sejarah itu tidaklah bermakna sejarah yang bermula pada tahun 1957 tatkala negara mencapai kemerdekaan tetapi menjangkaui sehingga sebelum zaman penjajahan Portugis lagi.

Ramai yang tersilap kerana hanya merujuk kepada sejarah setakat tarikh kemerdekaan negara sahaja dan sudah tentu jawapan yang tepat tidak dapat dicari sekiranya pencarian itu terhenti setakat 31 Ogos 1957 sahaja.

Ruangan ini juga akan melihat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan undang-undang negara pun melihat sejarah melangkaui 1957.

Susur galur sejarah ini seharusnya menjadi panduan kepada semua warganegara dan disemat di dalam diri masing-masing. Proses pemerkasaan negara hanya dapat dinobatkan sekiranya sejarah diperkasa, memperkosa sejarah hanya akan meruntuhkan jati diri dan perpaduan negara.

Dari aspek undang-undang pula, khususnya Perlembagaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan sejarah. Tidak dinafikan dalam Laporan Suruhanjaya Reid diketuai oleh Lord Reid, faktor sejarah amat ditekankan. Malah Suruhanjaya Reid dengan tegas enggan mengubah apa yang telah pun dilaksanakan di Tanah Melayu ketika itu.
merdeka
Lantaran itu terguballah suatu Perlembagaan Persekutuan yang membudaya nilai sejarah. Banyak peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut yang mengesahkan elemen-elemen sejarah. Keabsahan sejarah di dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat apabila kedudukan Islam, keistimewaan Raja-raja Melayu dan ketuanan Melayu menjadi teras kepada Perlembagaan Persekutuan. Malah hak Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia kemudiannya terus diabadikan di dalam sejarah dan dihormati sehingga kini.

Undang-undang sering mengambil kira elemen sejarah umpamanya di mahkamah, sejarah sering dirujuk dalam menggarap sesuatu keputusan kes. Mahkamah melihat kes-kes terdahulu sebagai panduan kepada kes semasa di dalam membuat penghakiman. Malah dalam kebanyakan keadaan kes-kes terdahulu mengikat keputusan kes semasa.

Amat jelaslah di sini kita tidak boleh lari dari merujuk aspek sejarah apabila sesuatu perkara berlaku. Sejarah seharusnya menjadi panduan kepada setiap rakyat menangani sebarang persoalan. Mengabaikan sejarah bermakna mengetepikan jati diri dan memberi peluang kepada kegusaran dan kegelisahan di kalangan rakyat. Mengungkit soal sejarah sebenarnya mengingatkan kita kepada yang hak dan menjauhkan kepada kebatilan. Ia tidak akan menjurus rakyat kepada perpecahan sekiranya semua warganegara menghormati sejarah.

Sebenarnya ketegangan kaum dicetuskan akibat kealpaan nilai sejarah bukan oleh orang yang mengabadikan sejarah sebagai panduan. Apakah kita lebih mudah menerima budaya asing dan mengimportnya sebagai amalan negara dan mengesampingkan sejarah negara. Amatlah tidak masuk akal perkara sebegini boleh berlaku di dalam sebuah negara yang memiliki pelbagai warisan sejarah seperti Malaysia.

Hakikat kepentingan sejarah ini perlulah disemai di dalam hati setiap warganegara. Pada masa ini kesedaran tentang kepentingan sejarah ini amat pudar dari sanubari rakyat Malaysia. Kenapakah ia berlaku? Dalam bulan kemerdekaan ini pun sejarah kemerdekaan negara amat sedikit diperkatakan rakyat Malaysia.

Kelangsungan sejarah dalam amalan kehidupan seharian tidak harus terhenti kerana apa yang kita lakukan pada hari ini menjadi sejarah pada esok hari dan hari-hari seterusnya. Tidak mungkin kita boleh mengubah apa yang telah berlaku pada masa lepas. Sejarah yang baik hendaklah menjadi teladan kepada semua manakala sejarah yang tidak baik menjadi sempadan agar tidak diulangi pada masa depan. – Sinar Harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s