Jihad Seorang Wanita – Sebuah Cerpen

Oleh Hasmini Che Will (hasminichewill@gmail.com)
images166
HATI Khadijah terbuku marah dengan tuduhan itu. Dia tidak menyangka setenang wajah itu, semanis bicara itu, terselindungnya hati yang busuk dalam diri itu. Sia-sia sahaja dia berteman dengan gerangan itu. Sia-sia saja dia menumpahkan kasih untuk gadis itu. Akhirnya dia dibalas racun. Azamnya untuk mengembalikan kesantunan gadis bernama Aulia itu bertukar menjadi debu hampa. Tekadnya untuk menyemarakkan semangat kental gadis itu kini sudah hancur. Dia benar-benar kecewa.

Terluka benar hati Khadijah. Aulia, gadis yang dipercayainya selama ini sanggup menikamnya dari belakang. Dia mahu menangis. Dia mahu melepaskan segala rintihannya dan keluhannya. Tetapi pada siapa? Kala itu dia teringat Allah. Allah tidak pernah melupakan hambaNya sedetik pun. Dia selalu ingat hamba-hambaNya. Hanya Dia saja yang mampu menjadi tempat mengadu.

“Ya Allah, kembalikan Aulia yang dulu padaku. Sungguh, aku tak mahu dia kembali ke jalan lama.”

Wanita muda itu memohon sambil menadah tangan. Air matanya semakin laju mengalir membasahi pipi. Mengapa Aulia tergamak membuatnya begitu? Apa salah dirinya di mata gadis muda itu? Dia hanya ingin membantu gadis itu. Kembali ke pangkal jalan. Kembali ke jalan yang diredhai Allah. Dia tidak sanggup lagi melihat pergaulan bebas gadis itu dengan rakan-rakan lelakinya. Cukuplah dia melihat dengan mata kepalanya sendiri kemesraan Aulia dengan bukan mahramnya. Cukuplah. Cukuplah…..Terlalu banyak kemungkaran yang pernah disaksikannya. Gadis semuda Aulia mempunyai masa depan yang cerah jika dirinya tidak terjerumus ke arah jalan yang salah.

Tetapi Aulia tidak pernah kisah. Dia hanya berpura-pura. Dia tidak pernah ingin berubah. Dia sengaja mendekati Khadijah kerana dia bertaruh dengan rakan lelakinya. Dia hanya mahu ‘menghadiahkan’ perempuan muda itu kepada rakannya. Tidak ada niat lain. Rakan lelakinya begitu meminati Khadijah sehingga sanggup membuat taruhan untuk mendapatkannya. Dia mahu berubah? Langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Bodohlah Khadijah kerana mempercayainya. Padahal dia bukannya ikhlas pun. Dia sengaja mengenakan tudung kononnya dia benar-benar ingin berubah. Khadijah suka benar dengan perubahannya yang penuh kepuraan itu. Kasihan perempuan itu. Tertipu dengan lakonannya.

“Sakitnya hati aku. Ya Allah. Apa ubat untuk rasa yang sakit ini?” Khadijah menyentuh dada yang sebak. Sudah tidak tertahan rasa itu. Berapa kali dia cuba mengusir jauh kesedihan itu, kesakitan pula yang datang. Dia teringat kata-kata itu. Kata-kata yang menghiris hatinya sebagai muslimah.

“Kak Khadijah, aku bukannya nak sangat pun berubah. Aku berguru dengan kau pun, kau rasa kau layak ke jadi guru agama aku? Tudung kau labuh tapi hati kau macam mana? Zaman sekarang mana boleh percaya. Kadang-kadang orang macam aku ni lagi mulia dari ustazah macam kau tahu?”

Astaghfirullah. Bagai mahu luruh jantung Khadijah dengan kata-kata berbisa itu. Gadis itu menghinanya. Gadis yang sudah dianggap seperti adik sendiri kini memuntahkan kata-kata yang tidak sepatutnya di depannya. Mulia? Apa kemuliaanmu mampu menandingi Baginda? Sungguh kau silap, Aulia. Kita hanya manusia biasa. Muliakah kita?

“Aulia, kita semua sama. Tak ada yang sempurna kat dunia ni.” Khadijah memujuk hatinya yang terhiris.

Aulia menjeling. Langsung tidak beriak wajahnya. Rasa bersalah? Dia tidak merasai apa-apa. Malah dia seronok melihat wajah Khadijah yang suram itu. Kasihan Khadijah. Dia mengejek di dalam hati.

Ingatan itu hilang tatkala angin menyapa lembut wajahnya. Khadijah tersenyum kecil. Itu satu petanda. Dia tidak mungkin kalah untuk hari ini jika dia mampu bangkit semula. Aulia tidak pernah tahu kecekalan hatinya. Dia tidak akan pernah serik untuk mendekati gadis itu semula. Dia yakin masih ada kelembutan dalam diri Aulia. Dia yakin Aulia mempunyai secebis harapan untuk berubah.

“Jihad bukan hanya untuk melawan musuh di medan perang tapi jihad juga untuk melawan hati kita. Melawan nafsu kita. Jadi janganlah kamu bersedih, Khadijah. Abi yakin hati Aulia masih boleh disucikan.”

Itu kata abi. Abi sentiasa berusaha menyenangkan hatinya. Tetapi bagaimana pula dengan jiwa Aulia? Gadis itu sudah nekad untuk tidak bertemu dengannya lagi. Gadis itu mengambil keputusan dengan menjauhkan diri daripadanya.

“Kenapa dia buat Khadijah ni macam musuh?” Hati kecil Khadijah robek. Berlinang air mata menuruni lekuk pipinya.

“Sudahlah, akak. Aulia tak perlukan orang luar macam akak untuk bagi nasihat. Aulia pandai jaga diri sendiri.”

“Sudahlah, akak. Aulia tak perlukan orang luar macam akak untuk bagi nasihat. Aulia pandai jaga diri sendiri.” Dingin sahaja kata-kata yang terbit dari bibir Aulia. Langsung tidak mempedulikan perasaan Khadijah yang sudah berubah air mukanya.

Tercalar hati Khadijah saat Aulia menolak kehadirannya. Dia sentiasa memujuk hati sendiri untuk tidak lemah di hadapan Aulia. Dia tidak akan menangis lagi untuk gadis seperti itu. Tetapi dia masih mahu mengembalikan Aulia yang dulu. Itu tekadnya. Selagi Aulia tidak berubah, selagi itulah dia mahu terus mendekati. Biarlah Aulia membencinya. Biarlah Aulia mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. Biarlah Aulia menghina usaha murninya. Apa yang pasti selangkah Aulia kembali ke jalan lama, jalan yang boleh merosakkan dirinya, dia harus menarik balik gadis itu ke jalan yang lurus.

“Tak usahlah akak bazirkan masa akak untuk Aulia. Aulia boleh kawal hidup Aulia sendiri tanpa bimbingan akak. Siapa akak nak ajar Aulia? Selama ni pun Aulia yang atur hidup Aulia sendiri.” Aulia masih bernada bongkak. Tidak terkesan langsung dengan kata-kata Khadijah. Dalam masa yang sama air matanya bagai ingin merembes. Orang lain tidak pernah tahu isi hatinya. Keinginaannya. Dia juga mahu hidup seperti orang lain. Tetapi hari demi hari hidupnya semakin kelam. Tanpa pengawasan orang tua menjadikan hidupnya tunggang-langgang.

“Beri alasan pada akak kenapa Aulia nak kembali pada jalan lama. Kenapa selama ini Aulia bersungguh dekati akak kononnya Aulia nak berubah?” Soalan yang dilontarkan oleh Khadijah tetap dalam nada lembut. Mana mungkin dia berbicara kasar dengan gadis itu. Jika ingin melembutkan hati Aulia, dia harus mengawal emosinya. Biarpun adakalanya dia tidak berpuas hati dengan cacian Aulia terhadapnya.

“Berubah? Siapa yang nak berubah? Aulia?” Aulia bersuara dengan angkuh. “Aulia dah janji nak kenalkan akak dengan kawan Aulia. Itu saja. Tak ada maksud Aulia untuk berubah.”

Hati Khadija belum puas dengan penjelasan itu. Tidak mungkin Aulia langsung tidak terdetik untuk berubah. Selama mendampinginya, tidakkah Aulia diusik perasaan ingin berubah?

“Aulia tahu akak banyak bagi nasihat pada Aulia. Akak bagitahu mana yang betul. Mana yang salah. Tapi itu belum cukup untuk Aulia menjadi seperti akak.” Nada suaranya kembali lembut.

“Akak tak minta Aulia jadi seperti akak. Diri akak pun bukannya sempurna. Jadi diri sendiri. Itu saja yang akak minta.”

Aulia tidak bereaksi. Dia berasa kagum akan kekentalan hati Khadijah. Walau dihina, dicaci, ditempelak, Khadijah masih mencarinya. Walau dia pernah meminta Khadijah untuk tidak mengganggunya lagi, Khadijah tetap mendampinginya.

“Maafkan Aulia, akak. Aulia tak akan berubah untuk seseorang. Akak pernah cakap kita berubah demi Allah. Bagi Aulia masa.”

Khadijah bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Matanya melingas ke sekeliling. Bau ubat yang tidak menyenangkan menusuk ke hidungnya. Di manakah dia? Mengapa tempat itu agak asing pada pandangan matanya?

Matanya jatuh pada sekujur tubuh yang terlantar di katil. Baru kini dia sedar. Dia mengerti. Dia hanya bermimpi. Mimpi tentang Aulia mendatangi lenanya. Anehnya dia merasakan ianya benar-benar berlaku. Adakah mimpi itu memberi satu petanda? Petanda baik mungkin? Mungkinkah Aulia akan sedar dari lenanya yang panjang?

“Sudah dekat setahun Aulia koma. Kalau berterusan, keluarganya akan…”

“Tidak, abi. Aulia dah tak ada mak. Dah tak ada ayah. Jadi Aulia tak nak mesin ni dimatikan. Khadijah akan tunggu Aulia sampai dia buka mata.” Khadijah yakin akan naluri wanitanya. Dia yakin pada semangat Aulia. Gadis muda itu pasti mahu bangkit semula.

Jika bukan kerana dia, Aulia tidak akan terlantar begini. Tidak akan koma. Kemalangan itu berpunca darinya. Jika dia lebih berhati-hati, Aulia tidak mungkin menerima nasib begini. Aulia tidak mungkin berkorban untuknya. Disebabkan itu dia berdoa kepada Allah agar keajaiban berlaku. Dia benar-benar ingin melihat Aulia sedar. Jika tidak, dia pasti akan menyalahkan diri sendiri.

Tidak mengapa jika Aulia membencinya. Tidak mengapa jika Aulia tidak mahu memandang wajahnya. Cukuplah gadis muda itu sedar dari lena panjangnya. Dia tidak pernah putus harapan kerana dia yakin pada keajaiban Allah. Jika Allah menginginkan sesuatu berlaku, maka jadilah ia. Kun fayakun.

Tangan pucat itu bergerak sedikit. Khadijah yang setia menanti di sisi tubuh yang terbaring itu mengerdipkan mata berkali-kali. Dia yakin tangan itu bergerak. Itu bukan satu ilusi. Dengan penuh rasa syukur, tangan itu diraih. Kala itu, mata yang telah terpejam dalam tempoh yang lama mula terbuka sedikit demi sedikit.

“Syukran Ya Allah,” ucap Khadijah dalam nada bahagia. Dia mengukir senyuman pada dia yang sedang merenungnya. Sesungguhnya keajaiban itu benar-benar berlaku.

“Akak rindu Aulia.”

Bibir si gadis itu merekah dengan senyuman. Tangan Khadijah digenggam erat. Dia tidak menyangka wajah itu yang menyambutnya saat dia sedar. Seseorang yang sentiasa ada dengannya. Sentiasa mendampinginya walaupun dia pernah memulau.

“Demi Allah, aku nak berubah,” desis hati kecil Aulia. Matanya bersabung dengan sepasang mata redup itu. Kali ini dia sudah yakin dengan hatinya. Dia ingin berubah. Bukan kerana sepasang mata itu yang mengharap padanya, bukan kerana desakannya tetapi kerana Allah. Sepanjang lenanya yang tidak pernah berpenghujung sehinggalah dia kembali ke alam sedar, dia bagaikan mendapat satu hidayah. Hidayah yang datang dari Allah.

“Terima kasih. Kerana jihad akak, Aulia sudah tidak berupaya menolak hidayah-Nya. Bimbinglah Aulia. Jadikan Aulia seperti akak.”

Khadijah mengucap syukur di dalam hati. Ya Allah, sungguh benar kata abi. Hati Aulia masih boleh disinari dengan hidayah-Nya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s