Tiada Perhambaan Dalam Islam

Oleh Hj. Nik Muhd. Salleh Musa, Kota Bharu , Kelantan, 1970
slave
Apabila berbicara tentang Islam, orang sering menekankan bahawa tiada perhambaan dalam Islam dan disaksikan sepanjang perkembangan sejarah. Walaupun perhambaan telah menjadi perkara lazim yang amat lama dan sukar dihapuskan di dunia, tetapi Islam muncul untuk menghapuskannya.

Mengapakah kebanyakan ahli tafsir ayat-ayat Al-Quran pada sesuatu hukum selalu menyebut supaya memerdekakan sahaya? Maksud memerdekakan sahaya atau abdi ini menepati satu konsep perhambaan yang masih berlaku dalam Islam; sedangkan dalam sejarah, Islam adalah anti-perhambaan.

Islam membawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia di dunia ini.

Nama Muhammad (S.A.W.) sendiri sebagai al-Muddasthir dan al-Mahi sebagai tenaga yang menghapuskan kekafiran dan perhambaan di bumi.

Banyak ayat Al-Quran yang menyebut abd yang diterjemah oleh kebanyakan ʿulamaʾ kita sebagai sahaya, iaitu orang yang dimiliki untuk kegunaan dalam perusahaan oleh suatu golongan kapitalis.

Adakah pengertian ini menepati dengan konsep sebenar Islam yang bersikap anti perhambaan?

Dalam buku The Reform Of Thought And Religion Of Sayyed Ahmad Khan, halaman 44, disebut bahawa Sir Sayyed Ahmad Khan pernah berpendapat bahawa selepas Rasul Allah (S.A.W.) menawan Makkah, iaitu selepas 8 tahun Hijrah, tidak ada lagi perhambaan dalam Islam dan pendapat beliau disokong dengan keterangan-keterangan Al-Quran sendiri dalam Surah Muhammad, ayat (4).

Keterangan ini tidak dapat menjelaskan perkara yang sebenar mengenai perhambaan yang tersebut dalam Islam.

Keterangan Syed Ahmad Khan, pengasas Universiti ʿAligarh, ʿulamaʾ reformer yang terkenal ini tidak menafikan adanya perhambaan dalam Islam.

Beliau hanya mengatakan perhambaan itu sudah hapus sekarang, selepas tahun 8 Hijrah. Maksudnya, perhambaan itu sebenarnya wujud sebelum itu.

Banyak pendapat ʿulamaʾ kita menyebut istilah “sahaya” sebagai orang yang patut dimerdekakan.

Dalam kebanyakan penterjemahan ayat-ayat Al-Quran istilah “al-abd” atau “al-riqab” diterjemah sebagai “hamba sahaya”.

Kalimah “patut dimerdekakan” atau “hendaklah kamu memerdekakan seorang atau dua orang hamba sahaya” sebagaimana yang banyak termaktub dalam ayat-ayat Al- Qurʾan, bukan ditujukan kepada perhambaan (slavery) sebagaimana kebanyakan penterjemahan yang dibuat; tetapi kalimah ini merupakan tuntutan untuk kebebasan bekerja, kebebasan berfikir, kebebasan mengeluarkan pendapat atau secara lebih luas sebagai saranan untuk membebaskan manusia dari sebarang ancaman bersifat fizikal dan mental.

Kekeliruan ini menimbulkan tuduhan bahawa Islam sebenarnya menggalakkan perhambaan, dan kebanyakan Orientalis Barat sering mengambil kesempatan dari kesilapan kita mentafsirkan ayat-ayat Al- Qurʾan ini untuk menentang dan menjatuhkan Islam.
slave1
Kita pernah menolak dengan tepat berdalilkan perkembangan sejarah dan ayat-ayat Al-Quran itu sendiri.

Sebenarnya, apabila kita mengkaji dengan teliti keterangan dan pernyataan ayat-ayat Al-Quran itu sendiri, jelas seperti matahari, bahawa perhambaan itu tidak pernah sekalipun disebut dalam mana-mana ayat juga.

Malah unsur perhambaan ini tidak terdapat walaupun sebesar kaki semut dalam ayat-ayat Al-Quran.

Demikian juga tidak tersebut sedikitpun dalam mana-mana hadith baik dalam kitab-kitab hadith yang besar dan sahih atau kitab hadith yang diragukan.

Kalau disebut istilah “al-abd” itu bukanlah menerangkan perhambaan, tetapi suatu pernyataan masyarakat yang sebenarnya dari kalangan penduduk dunia ini.

Mengikut keterangan ayat-ayat Al-Quran, bahawa manusia di dunia ini terbahagi kepada tiga jenis.

Pertama, golongan manusia yang digelar al-hur, iaitu golongan yang pintar, merdeka daripada segi fizikal dan mental yang selalu menggunakan kepintaran mereka untuk memimpin masyarakat.

Golongan al-hur ini selalu muncul sebagai pemimpin yang unggul memerdekakan negara dan membina masyarakat. Golongan inilah yang banyak mencorakkan kehidupan masyarakat hingga ke akhir zaman.

Golongan al-hur ini, contohnya para sahabat besar Rasul Allah (S.A.W.) seperti Abu Bakr, Umar al-khatab, ʿUthman bin ʿAffan, ʿAli bin Abi Ṭalib, Saʿad bin Abi Waqas, Talhah, Zubir ibn Awwam, Abu Ubaidah dan banyak lagi.

Pada zaman-zaman kemudian sedikit, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibni Khaldun, al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Majah, Salahuddin al-Ayyubi, Shah Wali Allah al-Dihlawi, Ahmad Khan, Abu al-Kalam Azad, dan banyak lagi.

Dari kalangan bangsa Eropah, seperti Spinoza, Descartes, Rousseau, Napoleon, Hitler, Lenin, Stalin dan banyak lagi dari golongan al-hur ini.

Sebenarnya, mereka adalah pemimpin masyarakat dan negarawan yang terkenal.

Dengan daya berfikir dan kepintaran mereka yang dikurniakan Allah, mereka dapat membentuk masyarakat ke arah suatu konsep hidup yang tertinggi mengikut ijtihad mereka.

Contohnya, Lenin membentuk masyarakat Rusia mengikut konsep sosialis, berbeza daripada bentuk masyarakat Britain di bawah konsep Liberal-Kapitalis.

Golongan ini memimpin dan membina masyarakat dan negara mengikut konsep yang mereka fikirkan.

Daripada segi mentalnya, golongan ini adalah paling tinggi dalam kalangan manusia. Golongan ini melahirkan karya-karya yang agung, pahlawan yang terunggul dan pakar sosiologi yang terkenal. Golongan al-hur ini bekerja dengan tekun untuk kesejahteraan umat manusia. Dari golongan ini juga Tuhan membangkitkan para nabi dan rasulNya.

Kepintaran dan sikap mereka menguasai ilmu adalah kurniaan Allah yang sudah ditentukan untuk golongan ini. Melalui golongan inilah Allah menyampaikan segala sunahNya untuk manusia. Golongan ini juga disebut sebagai al-Rasikhun fi ilm.

Kedua, golongan al-ʿabd iaitu rakyat biasa yang mesti dipimpin, mesti diajar, mesti dikawal. Golongan al-ʿabd ini merupakan bahagian terbesar dari warganegara sesebuah negara.

Mereka memenuhi sesuatu tempat untuk menentukan keramaian penduduk dan bekerja sebagai petani, nelayan, buruh, guru, tukang atau mereka memenuhi keperluan perusahaan sebagai pemandu, pekerja dan sebagainya.

Mereka ini perlukan pimpinan golongan al-hur dari kalangan pakar sosiologi, saintis dan pentadbir yang cekap.

Inilah yang dimaksudkan oleh ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi (S.A.W.) dengan istilah al-abd – bukannya hamba sahaya yang memenuhi konsep perhambaan.

Istilah “al-riqab” dalam pengertiannya yang jelas ialah orang tawanan perang.

Konsep ini jelas dalam surah Muhammad, pada ayat (4). Memerdekakan tawanan perang adalah satu rukun perdamaian yang sangat perlu dihormati.

Sikap ini dilakukan di mana sahaja pada zaman moden sekarang. Hal ini juga dilakukan oleh Rasul Allah (S.A.W.) setelah selesai peperangan, dengan suatu penukaran berupa harta atau pelajaran. Contohnya. Orang tawanan Peperangan Badar dituntut supaya mengajar menulis dan membaca sepuluh orang anak orang Islam sehingga pandai, kemudian orang tawanan perang itu dibebaskan.

Jika ayat-ayat Al-Quran menyebut supaya memerdekakan mereka (al-ʿabd), bukanlah membebaskan mereka dari perhambaan oleh seseorang majikan, tetapi setiap orang dari golongan al-hur membebaskan mereka dari kebodohan, membebaskan mereka dari kemiskinan, mengajar mereka dan memimpin mereka supaya mereka menjalankan kewajipan mereka dengan sempurna

.

Dalam konteks negara kita sekarang, pemimpin kita hendaklah memberi pekerjaan kepada rakyat yang menganggur.

Maka, ertinya tidak bermaksud perhambaan, tetapi ditujukan kepada kewajipan rakyat biasa yang tentu sahaja lebih bodoh, lebih perlu kepada pemimpin dan lebih mudah menerima pengajaran.

Inilah satu tuntutan Al-Quran yang paling mulia terhadap sifat dan peri kemanusiaan supaya setiap orang mendapat pekerjaan.

Memerdekakan al-ʿabd (rakyat) itu dalam konsepnya yang luas supaya mereka dibebaskan daripada buta huruf, dibebaskan dari menganggur, dibebaskan daripada ketakutan, dibebaskan daripada sikap memuja-muja orang perseorangan, dan lebih jauh lagi supaya mereka bebas menjalankan kewajipannya terhadap negara seperti orang lain juga.

Ketiga, golongan al-untha, iaitu golongan perempuan dan golongan kanak-kanak.

Maksud perempuan atau wanita di sini ialah daripada segi umum jenis mereka; kerana daripada segi yang khusus, kadang-kadang mereka juga menjadi golongan al-hur sama dengan golongan al-abd yang melahirkan al-hur.

Golongan wanita ini, pada umumnya perlukan pimpinan sebagaimana golongan rakyat biasa. Wanita dan anak-anak mesti mendapat layanan dan tunjuk-ajar yang selayaknya. Mereka mesti diberi pengertian untuk menjalankan kewajipan mereka terhadap masyarakat, negara dan bangsanya.

Dari kalangan anak-anak, mereka mesti dibesarkan mengikut disiplin dan peraturan yang disusun dengan sebaik-baiknya oleh golongan pertama tadi.

Daripada susunan dan pentadbiran yang baik daripada golongan pertama, menimbulkan kerjasama yang erat dari golongan kedua dan mencerdaskan golongan ketiga.

Kombinasi ketiga-tiga golongan ini dapat melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Pengertian-pengertian inilah sebenarnya dibentangkan oleh Al- Quran dan hadith Rasul Allah (S.A.W.).

Sifat dan unsur perhambaan tidak tertera sedikitpun.

Perhambaan yang di tulis dalam terjemahan-terjemahan ayat itu hanya satu kekeliruan kerana tiada suatu pengkajian sejarah dalam bidangnya yang luas, tidak ada penerokaan dalam ilmu sosiologi manusia pada keseluruhannya.

Besar kemungkinan terjemahan-terjemahan atau pentafsiran-pentafsiran itu dilakukan untuk kepentingan golongan feudal yang masih mengamalkan perhambaan, walaupun mereka Islam.

Golongan ini memperalatkan para ʿulamaʾ yang opportunist.

Maka, nyatalah, tidak ada perhambaan dalam Islam sejak awal lagi. Hanya kesilapan dalam mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran menimbulkan perhambaan dalam teorinya.

(Hj. Nik Muhd. Salleh Musa, Kota Bharu , Kelantan, 1970).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s