Bentuk Persaudaraan Islam Dalam Al-Quran

Oleh Nik Mohd Salleh Hj Wan Musa (Kelantan, 1970)

idris
Nabi Muhammad s.a.w. menyeru semua ahli millah supaya bersatu berdasarkan asas-asas kebenaran yang sama pada pengajaran nabi mereka masing-masing.

Kebenaran yang sama inilah dijadikan asas untuk membentuk satu kesatuan persaudaraan Islam yang diperintahkan oleh Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Pada hakikatnya semua ahli millah adalah satu dalam agama.

Ulama Islam kini telah tersalah faham dan terpesong tentang persaudaraan Islam. Mereka menyangka persaudaraan Islam hanya untuk masyarakat dalam millah Muhammadiah. Ahli-ahli millah lain tidak termasuk dalam kesatuan ini kerana mereka disifatkan bukan Islam.

Para ulama Islam kini seolah-olah terlupa pada rukun-rukun iman sebagai asas pengajaran Al-Quran bahawa mereka wajib beriman kepada malaikat, semua kitab, semua rasul, baik dan buruk daripada Allah. Al-Quran menerangkan bahawa agama yang diwahyukan kepada para nabi bermula dari Adam a.s. hingga Nabi Muhammad s.a.w. hanya Islam.

Agama Islam menggambarkan hakikat fitrah manusia yang diredai Allah. Syariat yang berbeza pada millah Yahudi, Nasara, Hindu, Majusi hanya untuk menyenang pelaksanaan kehendak agama.

(Nota: Agama atau Din ialah fitrah ialah Islam. Millah atau syariat ialah rupa pelaksanaan kepada agama, rupa kepada fitrah atau rupa kepada syariat. Inilah sebab syariat berbeza-beza. Di bawah pelaksanaan syariat, ada pula dinamakan manahij atau mazhab. Yang juga sedikit perbezaan di antara kumpulan mazhab. Din atau agama boleh didapati dalam al-Quran. Syariat boleh didapati dalam hadis manakala mazhab pula banyak terdapat dalam buku feqah. Lebih jelas dilihat pada solat atau sembahyang. Al-Quran tidak memberi rupa. Hanya dinyatakan wajib solat. Rasulullah memberi rupa solat. Untuk perincian lagi, mazhab menjelaskan lagi rukun, syarat dan perkara sunat dalam solat berpandukan sumber asal – al-Quran, Hadis dan cara amalan sahabat Rasulullah.)

Sebelum Perang Dunia Pertama terdapat sebuah persatuan bernama Al-Ittihad Al-Islami yang dipimpin oleh Al-Marhum Syed Jamaluddin Al-Afghani dan ulama-ulama yang masyhur dari Mesir, India dan lain-lain.

Pada zahirnya ikatan persatuan mereka amat luas di seluruh dunia tetapi mereka gagal menyumbang sebarang kebaikan kepada umat Islam sama ada daripada sudut pendidikan, ekonomi dan politik. Persatuan ini telah diperalatkan dan lenyap dalam arus pergolakan politik penjajah Barat yang sentiasa berazam menghancur Kerajaan Othmaniah di negara Turki.

Persatuan ini lemah dan hancur kerana penubuhannya tidak mengikut asas-asas pengajaran Al-Quran.

Al-Quran menyeru supaya membentuk persaudaraan Islam terdiri daripada semua umat yang berlainan millah berasaskan kepercayaan mereka kepada kitab mereka masing-masing. Maka persaudaraan Islam itu merangkumi umat Yahudi, Kristian, Majusi, Yunani, Hindu dan lain-lain

Allah berfirman:

“Sesungguhnya mereka yang beriman kepada Nabi s.a.w. dan mereka yang beriman kepada Musa menjadi Yahudi, dan mereka yang beriman kepada Isa menjadi Nasara dan mereka yang beriman kepada nabi-nabi Saabiin yang dahulu, sesiapa yang benar-benar beriman dengan Allah serta berbuat amalan baik, maka tiada kebimbangan ke atas mereka itu dan tidak pula mereka merasa dukacita.”

Dengan ayat ini Allah menyifatkan setiap umat yang yakin kepada mana-mana nabi yang diutus kepada mereka dan kitab atau suhuf yang diturunkan kepada nabi-nabi tersebut, mereka semua juga orang beriman.

Iman berlebih kurang pada diri seseorang. Nabi s.a.w. menyifatkan iman seperti sepohon pokok dengan dahannya yang bercabang, bukan sesuatu yang bulat dan dapat dilengkapi seseorang sekali gus. Imam Muslim Ibn Al-Hijaj meriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya:

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang lebih dan sifat malu juga satu cabang dari iman.

Umat dari millah lain juga mukmin, cuma darjah iman mereka tidak memadai untuk zaman tamadun yang berkembang pesat. Maka mereka perlu diseru menerusi asas-asas iman mereka supaya menyempurnakan iman mereka berdasarkan pengetahuan yang khusus pada zaman nabi-nabi mereka dibangkitkan dengan cara mengakui beriman kepada semua rasul dan kitab dengan pimpinan Nabi s.a.w. berpandukan Al-Quran. Allah taala berfirman:

Katakanlah (ikrarkanlah) kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub dan anak-anaknya dan apa yang dikurniakan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa dan yang dikurniakan kepada semua nabi (yang diutus) daripada Tuhan mereka (sesungguhnya) kami tidak akan membezakan antara seorang mereka (sebagaimana dilakukan oleh golongan fanatik terhadap nabi-nabi mereka masing-masing) dan kami semua tegak di atas perintah Allah dengan semangat Islam.

Allah taala berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): Kami beriman kepada Allah dan apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim dan Ismail dan Ishak dan Yaakub dan apa yang dikurniakan kepada Musa dan Isa dan semua nabi daripada Tuhan mereka, kami tidak membezakan seorang pun antara mereka dan kami semua tegak di atas perintah Tuhan dengan semangat Islam. (Quran: 3: 84).
jerusalem
Allah taala berfirman:

Dan sesiapa yang mencari selain daripada Islam itu agamanya (jalan hidupnya) maka tidak akan diterima daripadanya. Ia pada akhirnya kelak dari orang yang rugi. Bagaimana Allah akan memberi hidayah kepada suatu kaum yang ingkar, sesudah mereka beriman dan sesudah mereka itu menyaksi bahawa Nabi s.a..w. itu (membawa pengajaran yang benar) dan telah datang kepada mereka kenyataan-kenyataan yang jelas, (dengan sebab itu) Allah tidak akan memberi hidayah-Nya kepada kaum yang zalim (taksub dan bersemangat feudal).

Allah taala berfirman:

Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan kitab yang telah diturunkan kepada rasul-Nya dan kepada kitab-kitab suci yang diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya dan Hari Akhirat; maka sesungguhnya ia telah tersesat ke jalan yang amat jauh.

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa beriman kepada semua rasul yang sama tujuan dan dasar seruan mereka.

Penyatuan semua pengajaran yang diturunkan dalam kitab-kitab mereka, membolehkan manusia yang menganut pelbagai akidah melahirkan kebenaran yang sama untuk membentuk perasaan kasih sayang dan ihsan dalam kalangan mereka.

Pada masa itu akan wujud kerjasama berasaskan keadilan untuk menegakkan sebuah masyarakat yang merdeka dan bahagia.

Tindakan yang tercetus dari iman seperti di atas membuktikan bahawa seseorang itu benar-benar Islam mengikut istilah Al-Quran.

Islam tidak boleh diwarisi oleh seseorang, tetapi boleh dilengkapkan apabila iman seseorang itu sempurna mengikut pengajaran Allah s.w.t. sahaja. Maka kita dikehendaki mengenal hakikat Islam dari pengajaran Al-Quran.

Seorang Islam sepatutnya memiliki satu akidah dan falsafah hidup Al-Quran dan bertindak mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan khalifah-khalifah Al-Rasyidin pada zaman keemasan Islam.

Ciri-ciri umat Islam pada zaman keemasan Islam:

1. Bercita-cita tinggi
2. Berperasaan mulia
3. Sabar
4. Peka terhadap hak-hak kemanusiaan dan kewatanan
5. Cintakan keadilan
6. Bersifat ihsan kepada semua makhluk Tuhan
7. Saling menghormati keistimewaan untuk menggambarkan akidah dan kebudayaan
8. Berkorban jiwa dan harta untuk menegakkan hak-hak dan kebahagiaan hidup semua manusia, berasaskan kebenaran Al-Quran dan disiplin yang disemai oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Dengan ciri-ciri di atas Allah mewariskan pemerintahan kepada keturunan Nabi Ismail yang pelaksanaannya disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

Nabi s.a.w. wafat setelah berjaya menzahirkan kebenaran Islam dalam semua syariat.

Golongan Syiah berpendapat tugas menzahirkan kebenaran Islam akan diselesaikan oleh seorang dari kalangan keturunan Siti Fatimah Al-Zahra bernama Imam Mahadi yang akan dibangkit pada akhir zaman.

Para ulama yang muhakik Ahli Sunah Wal-Jamaah berpendapat, pendapat golongan Syiah di atas adalah mengelirukan kerana dengan dakwaan itu bermakna Nabi Muhammad s.a.w. telah cuai dalam pelaksanaan tugasnya sebagai seorang nabi yang agung dan bercanggah dengan nas Al-Quran yang menyaksi bahawa tugas baginda telah dilaksanakan dengan sempurnanya sebelum baginda wafat.

Demikian juga tentang akidah Nabi Isa a.s. akan turun dari langit apabila dunia hampir kiamat untuk menegakkan sebuah kerajaan yang kuat dan menyempurnakan tugas yang belum selesai oleh Nabi Muhammad s.a.w. Akidah ini bersumberkan hadis-hadis yang tidak sahih, misalnya hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah di mana Rasulullah s.a.w. bersabda:

‘Demi Tuhan yang nyawaku dalam tangan-Nya, hampir-hampir akan turun dalam kalangan kamu Isa Ibn Maryam sebagai seorang pemerintah yang adil, maka ia akan menghancurkan salib dan membunuh khinzir dan membuangkan bayaran jizyah dan melimpahkan harta hingga tidak diingini oleh seorang pun menerimanya dan adalah sekali sujud kepada Allah pada hari itu lebih baik daripada dunia dan segala apa yang ada di dalamnya.’

(Nota: Pengarang memilih perkataan hadis ini tidak sahih walaupun terdapat dalam Sahih Bukhari)

Hadis ini tidak masyhur sebelum zaman fitnah Saidina Uthman Ibn Affan r.a. Maka hadis ini telah ditolak oleh imam dan pakar hadis yang masyhur seperti Al-Imam Dar Qutni dan lain-lain.

Hadis ini tidak diriwayat oleh Imam Malik Ibn Anas dalam kitab Al-Muwatta’ yang diijmak oleh seluruh ulama Islam dan Al-Syafie r.a. menyifatkan Kitab Al-Muwatta’ sebagai kitab yang paling sahih selepas Al-Quran. Maka sejauhmanakah hadis ini sah dijadikan hujah walaupun diriwayatkan oleh Imam Bukhari sedangkan Sahih Bukhari ditulis berdasarkan Al-Muwatta yang tidak meriwayatkannya?

Al-Imam Ibn Taimiah rahimallahu taala menerangkan dalam kitabnya Minhaju Sunnatu Nabawiah bahawa akidah kedatangan Imam Mahadi berasal dari politik golongan Syiah yang mahu mengekalkan penyokong-penyokongnya supaya tidak terpengaruh dengan seruan musuh mereka iaitu golongan Bani Umaiyah.

Akidah ini tidak berasaskan hadis Nabi s.a.w. atau kata-kata sahabat yang masyhur sebagai hujah.

Akidah kedatangan Nabi Isa a.s. pula berpunca dari fahaman golongan Kristian yang mahu mengekalkan pengikut-pengikutnya supaya tidak mempercayai kenabian Nabi Muhammad s.a.w. dengan alasan nabi mereka Isa a.s. akan kembali ke bumi.

Apabila berlaku pertelagahan politik antara golongan Bani Hasyim dengan Bani Umaiyah setelah wafat Saidina Uthman dan Saidina Ali, golongan Nasara dan golongan Syiah mengambil kesempatan menabur fitnah untuk menghancurkan politik pengikut Saidina Muawiyah dan pendirian Ahli Sunah Wal-Jamaah.

Sekarang kita dapati pemikiran politik mereka telah tertanam sebagai akidah dalam kalangan umat Islam iaitu Imam Mahadi dan Nabi Isa akan turun pada akhir zaman nanti.

Akidah ini bertentangan dengan sunnah Allah taala, kerana jika dakwaan itu benar, maka hanya Nabi Muhammad s.a.w. yang dapat berbuat demikian.

Sedangkan Nabi Isa a.s. sudah lama diutus tetapi sejauh manakah beliau berjaya menyebarkan syariat Kristian dalam kalangan umat Yahudi?
10-hukum
Perbezaan dalam kebolehan antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Isa a.s. amat jauh.

Jika Nabi s.a.w. sebagai nabi terakhir dan agung gagal menyempurnakan kehendak Allah iaitu melahirkan kebenaran Islam, maka siapa lagi yang dapat menandingi beliau?

Sebenarnya, golongan Ahli Sunah Wal-Jamaah dan semua ulama Islam yang masyhur berpendapat bahawa janji Allah taala seperti tersebut dalam ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. telah sempurna semasa baginda masih hidup. Kemudian tugas itu disambung oleh para sahabat baginda. Demikian juga pendapat Imam Syafie dalam kitab Oum dan ulama lain.

Maka setiap orang Islam wajib mengembangkan semula roh pimpinan Al-Quran dan menegakkan Dinul-hak dengan mencontohi amalan nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat yang berjaya.

Inilah tanggungjawab setiap orang Islam yang beriman penuh kepada malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat, qada dan qadar, supaya berjihad seperti orang dahulu.

(Nota: Tulisan ini menjadi satu tajuk kepada buku beliau Muqaddimah Takwil al-Quranul Hakem yang ditulis tahun akhir 60-an. Beliau sempat berguru dengan Ubaidillah As-Sindhi di Baitul Hikmah Jamiah Milliyah New Delhi, pada tahun 1939.)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s