Penggunaan Dron Untuk Meracun Sawah: Perbezaan Pandangan MADA dan CAP

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah keputusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mahu pesawah di kawasan itu menggunakan dron untuk meracun sawah mereka dalam usaha mengawal makhluk perosak.
dron
Tindakan tersebut bukan saja boleh menimbulkan masalah pencemaran udara yang lebih serius malah kaedah ini akan mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar dengan begitu mudah serta meluas.

Mengulas kenyataan Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali mengenai perkara itu baru-baru ini, CAP menegaskan kaedah itu hanya akan memberikan kesan buruk, berdasarkan beberapa kejadian yang menimpa komuniti di Kasaragod, Kerala (India) dan tempat-tempat lain ekoran amalan penyemburan racun melalui udara.

Fouzi dalam kenyataannya itu berkata, penggunaan dron adalah lebih efektif serta menjimatkan masa dan pihak MADA kini giat mempromosikan penggunaan pesawat itu yang diimport dari China. Buat permulaan sebanyak lapan dron akan digunakan pada musim pertama tahun ini yang dijangka bermula April akan datang.

Tidak dinafikan penggunaan dron adalah lebih pantas dan mengambil masa hanya 15 minit untuk satu hektar sawah tetapi kedudukannya yang tinggi boleh membuatkan racun berkenaan tersebar dengan lebih luas lebih-lebih lagi dengan adanya faktor tiupan angin.

Kesan pencemaran udara beracun itu akan lebih ketara terhadap kanak-kanak dan ibu mengandung. Meskipun kandungan sisa racun adalah rendah, keadaan tersebut tetap membahayakan kesihatan dan alam sekitar.

Dron sembur racun juga tidak sesuai digunakan di kawasan MADA kerana banyak penempatan di kawasan berkenaan. Justeru jika MADA tetap dengan rancangan itu, CAP bimbang ramai dalam kalangan penduduk kampung akan menjadi mangsa akibat terhidu bahan kimia tersebut.

Begitu juga dengan tanam-tanaman lain, binatang ternakan, hidupan akuatik serta sistem pengairan. Semuanya akan turut terjejas ekoran pencemaran udara disebabkan oleh dron sembur racun tersebut.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu membatalkan cadangan penggunaan dron untuk meracun sawah. Selain itu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga perlu memberi perhatian serius agar teknologi yang berbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan awam seperti ini tidak digunakan di negara kita.

MADA seharusnya bergerak ke arah sistem pertanian asli tanpa menggunakan bahan kimia untuk menjamin keselamatan makanan, memperbanyakkan kepelbagaian pertanian sekali gus melindungi alam sekitar. Penggunaan dron untuk meracun sawah adalah kaedah yang tidak rasional dan cadangan ini perlu dihentikan segera.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s