Upah Doa RM1,000 Di Makkah ‘Confirm Cepat Makbul’

SEBUAH laman Facebook yang diwujudkan beberapa hari lalu, Valet_Doa, mencetuskan kontroversi kerana menawarkan perkhidmatan mengambil upah doa, satu qias kepada upah haji.
doa2
Berdasarkan status di akaun Facebook, perkhidmatan itu boleh didapati dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang telah ditawarkan.

Antara pakej tersebut adalah Pakej King Salman dan Pakej VVIP.

Menurut penjelasan pemilik akaun terbabit, Nasrin Harin, atau Haji Arin, perkhidmatan itu diwujudkan untuk memudahkan mereka yang tidak berkemampuan ke Mekah dan berdoa di sana.

doa-1

Susulan sebuah laman Facebook yang tular kerana menyediakan perkhidmatan kiriman doa, beberapa cendekiawan agama mula bersuara untuk memberikan pandangan.

Antaranya seorang penceramah bebas, Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary, yang memuat naik status ke akaun Facebooknya.

Tidak hanya mendengar berita yang ditularkan, sebaliknya Abu Syafiq sendiri menghubungi pengasas Valet Doa, Nasrin Harin.

Menerusi statusnya, Abu Syafiq berkata dia mengesan banyak perkara yang tidak kena dengan pakej perkhidmatan itu.

doa3

Antaranya adalah apabila pakej yang ditawarkan menyebut ‘confirm cepat makbul’, sekali gus bercanggah dengan prinsip akidah.

Doa, kata Abu Syafiq, bukan satu perkara yang boleh dijual beli dan menggalakkan masyarakat ke arah itu adalah bertentangan dengan ajaran agama.

Turut berkongsi pendapat adalah Pencetus Ummah (PU) Rahmat, yang mengingatkan orang ramai bahawa doa tidak memerlukan sebarang perantara.

Semua umat Islam bebas berdoa dan meminta daripada Allah SWT, pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Tambah PU Rahmat, manusia cepat menjatuhkan penilaian doa mereka tidak dimakbulkan atau lambat ditunaikan, sedangkan Allah memberi dan memakbulkan doa pada masa yang tepat.

“Doalah sepenuh hati dengan keyakinan bahawa Allah Maha Memiliki Segalanya akan memakbulkan permintaan kita,” tulisnya. – Astroawani

Sementara itu, Ustaz Syaari Ab Rahman pula memberi tazkirah berikut:

BERDOALAH HANYA KEPADA ALLAH MESKIPUN DOSAMU SETINGGI GUNUNG, BERDOALAH DARI DALAM RUMAHMU, BERDOALAH DARI BENAK HATIMU TANPA PERLU “PAKEJ” PERANTARA

BELAJARLAH DARI NABI ZAKARIYYA

Bertahun-tahun Nabi Zakariyya berharap agar dikurniakan anak, namun baginda sangat memahami Allah ada “cara tersendiri” untuk memustajabkan doa baginda.

Lalu Allah memustajabkan doa baginda tanpa perlu baginda ke Makkah atau menunggu bulan Ramadhan.

Siapa kita untuk menyatakan doa hanya mustajab di Makkah sahaja dan siapa kita untuk menyatakan doa dari Makkah “confirm” mustajab ?

Nabi Zakariyya yang sama melihat keajaiban rezeqi berlaku kepada Maryam, namun adakah baginda memohon Maryam mendoakan ke atas baginda agar dikurniakan anak ?

كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (37) هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ (38) سورة ال عمران

Adakah kita anggap kisah ini ibrah untuk wali-wali seperti nabi sedangkan al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia itu sendiri ?

BUKANKAH ALLAH MEMPERKENALKAN DIRINYA 2 KALI SEBAGAI AL-RAHMAN DAN 2 KALI SEBAGAI AL-RAHIM DALAM SURAH AL-FATIHAH ?

86 surah turun sebelum hijrah terus menerus Allah membuka peluang agar sejahat-jahat Quraisy bertaubat, maka siapa kita untuk menyatakan sifat غفور dan رحيم Allah hanya berlaku di Makkah dan bulan Ramadhan sahaja.

Berkali-kali Allah memperkenalkan dirinya sebagai سميع الدعاء lalu siapa kita untuk menyatakan seolah-olah Allah tidak mendengar doa kita jika dilafazkan dari Malaysia, dari rumah kita sendiri dan dari benak hati kita sendiri ?

MUSIBAH BERLAKU KERANA DOSA KITA

Ya benar, kita banyak dosa. Sebab itu adab berdoa adalah memuji Allah terlebih dahulu, mengakui kita hamba yang penuh noda dan dosa, lalu beristighfarlah.

Maka sebab itulah musibah berlaku kerana peringatan agar kita beristighfar.

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ (30) الشورى

Hanya dengan istighfar Allah mustajabkan doa kita. Musibah yang menimpa jangan ditafsirkan seolah-olah Allah tidak mendengar doa kita. Ia adalah kerana kegagalan kita memahami bahawa musibah itu kaffarah dosa kita dan Allah Maha Penyayang agar kita beringat dan beristighar kerana ajal maut semakin hampir.

KITA LEBIH TAHU DARI ALLAH ?

Kita mahu berdoa agar mendapat kereta besar, lalu kita rasa Allah tidak perkenankan, apakah kita lebih bijak dari Allah untuk mentafsirkan perbuatan Allah Azza wa Jalla jika benar Dia tidak perkenankan ?

Kita mahu berdoa agar dinaikkan pangkat, lalu kita rasa Allah tidak perkenankan, apakah kita lebih bijak dari Allah untuk mentafsirkan perbuatan Allah Azza wa Jalla jika benar Dia tidak perkenankan ?

Kita mahu berdoa agar menjadi milik perempuan atau lelaki pujaan hati kita itu, lalu kita rasa Allah tidak perkenankan, apakah kita lebih bijak dari Allah untuk mentafsirkan perbuatan Allah Azza wa Jalla jika benar Dia tidak perkenankan ?

BELAJARLAH DARI MUSA

Musa tidak pernah tahu adakah Allah sudah menerima permintaannya agar diampunkan kesilapannya meskipun kita diberitahu dari al-Quran bahawa Allah sudah mengampunkannya. Sebab itulah sepanjang melarikan diri dari Mesir ke Madyan, mulut baginda tidak berhenti beristighar dan memohon ampun kerana baginda tidak tahu status doa baginda di sisi Allah. Ingat, ketika ini Musa belum pun seorang Rasul.

قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (16) سورة القصص

وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَاءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّي أَن يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ (22) سورة القصص

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ (24) سورة القصص

Maka siapa kita dengan mudahnya menyatakan “ini cara doa anda mustajab, dan cara selain ini belum tentu terjamin mustajab”.

BELAJARLAH DARI NABI NUH

950 tahun baginda Nabi Nuh berjuang untuk menunjukkan Allah sangat cepat menerima taubat dari hamba-hamba-Nya meskipun hamba-hamba-Nya sudah 950 tahun syirik dan melakukan kemungkaran.

يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ (4) سورة نوح

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ (5) سورة نوح

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) سورة نوح

Dan Allah akan mustajabkan doa kita dengan cara-Nya yang tersendiri, bukan dengan cara yang kita seolah-olah lebih tahu apa yang baik untuk diri kita berbanding yang Menciptakan kita.

kaabah1

TANAH SUCI TANAH PENUH IBRAH SEJARAH, BUKAN HANYA TEMPAT BERDOA SAHAJA

Allah terlalu dekat dengan diri kita, maka mengapa mahu dijauhkan Allah hingga seolah-olah Dia hanya ada di Baitullah, Maqam Ibrahim, Multazam, Hijr Ismail, Hajarul Aswad dan Masjidil Haram sahaja ?

Bacalah surah al-Hajj, kita akan faham mengapa Allah mahu ke tanah suci, ada pendidikan khusus yang tidak boleh diperolehi kecuali ke tempat yang diberkati tersebut. Maka siapa kita hanya mahu melihat tanah suci hanya sekadar tempat berdoa sahaja tanpa mengambil ibrah dari surah al-Hajj dan segala falsafah tarbiyah yang indah dalam pelaksanaan Haji dan Umrah ?

JANGAN JADI BANI ISRAEL

Semoga kita tidak menjadi Bani Israel yang selalu menyatakan “Rabbaka” dan bukannya “Rabbana”, menyatakan Tuhan hanya untuk Musa sahaja kerana asbab Musa lah doa boleh dimustajabkan dan segala keajaiban boleh berlaku, kononnya.

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نَّصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَاحِدٍ فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ مِن بَقْلِهَا وَقِثَّائِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا ۖ – سورة البقرة (61)

Jika kita tahu kita banyak dosa, beristighfarlah dan bertaubatlah. Islam bukan Kristian yang memerlukan lokasi tertentu, individu tertentu, masa tertentu untuk menerima surat pengampunan dosa.

BISIKAN SYAITAN LEBIH BERBAHAYA

Sungguh baginda Nabi Ayyub lebih risau bisikan syaitan dari kembalinya kesihatan tubuh kepada baginda.

وَاذْكُرْ عَبْدَنَا أَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الشَّيْطَانُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ (41) سورة ص

Jangan sampai diri kita diganggu Syaitan yang sering menyerang hamba-hamba al-Rahman dengan menyatakan : “Tuhanmu telah meninggalkanmu. Tuhanmu membencimu. Putus asalah kamu dari Tuhanmu.”

JANGAN PUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH

Janganlah berputus asa dari rahmat Allah meskipun anakmu sudah tidak ditemui sejak 30 tahun yang lepas.

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ (87) سورة يوسف

Allah sendiri mengumumkan diri-Nya terlalu dekat, maka siapa kita yang mahu menjauhkan Allah dari hamba-hamba-Nya yang segunung dosa sekalipun.

ALLAH LEBIH DEKAT DARI URAT LEHERMU

Sungguh Allah mahu mustajabkan doa kita, menyahut permintaan kita, namun sejauh mana kita bersegera untuk menyahut seruan Allah sendiri kepada diri kita.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (186) سورة البقرة

BANGUN MALAM RAHSIA MUSTAJAB DOA

Ingatilah pesan Rasulullah yang sangat memotivasikan wahai teman :

قال الرسول عليه الصلاة والسلام: ((ينزل ربنا تبارك وتعالى إلى السماء الدنيا كل ليلة حين يبقى ثلث الليل الآخر فيقول: من يدعوني فأستجيب له، من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له، حتى ينفجر الفجر))

“Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata: ‘Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Hingga terbit fajar‘ ” (HR. Bukhari 1145, Muslim 758)

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s