Ikan Keli Yang Berkat – Sebuah Cerpen Hasmini

Cerpen oleh Nurhasmini Che Wil

ikan-keli
Keadaan kampung yang kering-kontang akibat musim kemarau yang melanda menyebabkan ramai penduduk yang bergantung rezeki pada tanaman padi dan sayur-sayuran merungut dengan hukum alam itu.

Padahal mereka tahu kejadian kemarau itu adalah satu kuasa dari Sang Pencipta yang mahu menguji kesabaran hamba-hambaNya.

Akibat kemarau yang berterusan, banyak tanaman tidak menjadi dan kolam perternakan ikan keli yang diusahakan oleh beberapa orang anak muda menjadi kering seterusnya membawa kepada kematian kepada anak-anak ikan.

Hussin, Aiman dan Ghazali merupakan tiga orang anak muda yang mengusahakan penternakan ikan keli di dalam kolam secara kecil-kecilan bermodalkan pinjaman dari bank. Walaupun usaha mereka tampak kecil dan hanya mengerah tenaga tulang mereka, ada yang berbangga dengan mereka dan menyifatkan mereka perlu diteladani. Mereka pernah melanjutkan pelajaran di universiti tempatan namun kerana pasaran kerja yang tidak meluas menjadikan tiga anak muda itu mencipta kerjaya sendiri dengan mengusahakan penternakan ikan keli.

Usaha mereka walaubagaimanapun diuji dengan bencana kemarau yang berpanjangan. Hussin berkira-kira hendak melupakan usaha mereka kerana tidak tertahan dengan ujian kemarau. Aiman dan Ghazali tetap mahu meneruskan usaha mereka itu. Pada mulanya, mereka nampak hasil namun kini Hussin merasakan usaha mereka hanya sia-sia.

“Kita tidak boleh hentikan usaha ni. Kalau tidak, macam mana kita nak bayar pinjaman bank? Kita tiada sumber pendapatan yang lain.” Itulah komen yang diberikan oleh Aiman sewaktu Hussin menyatakan hasrat untuk menghentikan usaha penternakan ikan keli mereka.

“Betul cakap Man. Kita kena banyak bersabar. Buat sesuatu benda mesti ada halangan. Ada dugaan. Kalau tidak, macam mana kita hendak rasa semua ini berbaloi?” Ghazali menyokong kata-kata Aiman kerana dia juga berpendapat yang sama dengan rakannya itu. Jika mereka menghentikan penternakan itu, mereka perlu menyediakan wang bagi membayar balik pinjaman dari bank.

“Hari itu kita dapat hasil. Tapi dengan kemarau yang teruk ini mana kita hendak dapat hasil?” Hussin mengeluh mengenangkan usaha mereka yang tidak menjadi gara-gara hukum alam itu.

Aiman dan Ghazali nekad untuk mempertahankan penternakan ikan keli mereka biarpun Hussin sudah tiada hati untuk terlibat sama. Jika Hussin ingin menarik diri dari projek itu, maka Hussin perlu menyediakan sejumlah wang untuk pembayaran modal kepada pihak bank.

“Aku tiada kerja. Macam mana aku hendak sediakan duit yang banyak?” Hussin menggaru tengkuk yang tidak gatal. Dia benar-benar buntu dengan kehidupannya. Dia pernah terfikir bahawa dia akan berjaya sebagai penternak ikan keli muda bersama Aiman dan Ghazali namun nampaknya dia hanya nampak kegagalan.

“Kita sama-sama tiada kerja. Disebabkan itulah kita menjalankan projek ikan keli ini. Inilah usaha kita untuk mengubah kehidupan. Kau tidak boleh berputus asa. Kemarau ini hanyalah satu ujian dari Allah. Kau tidak boleh melawan hukum alam,” ujar Aiman dengan tenang dan berwawasan.

Dia tidak mahu Hussin terus menyalahkan kemarau sebagai punca kegagalan projek ikan keli mereka. Dia yakin kemarau datang kerana Allah ingin menguji sejauh manakah hamba-hambaNya mampu bersabar dengan rintangan itu. Jika mereka mengeluh, bermaksud mereka juga tidak mensyukuri dengan nikmat Allah selama ini.

Projek ini masih boleh diselamatkan, fikir Ghazali.

Dia tidak nampak sebab mengapa mereka perlu menghentikan projek yang sudah berjalan itu. Sayangnya jika ianya dihentikan. Bukan sahaja mereka kehilangan kerja, bahkan mereka juga tiada wang untuk membayar pinjaman balik kepada bank. Mahu dikorek di mana wang yang banyak untuk melangsaikan hutang bank? Meminta dengan emak dan ayah? Sedangkan emak dan ayah ingin melihat mereka berjaya. Tambahan pula mereka juga bukanlah dari golongan orang berada. Hanya penduduk kampung yang memperoleh pendapatan yang cukup-cukup untuk membeli keperluan keluarga.
banjir-ganu
Kampung Serai, kampung yang daif penduduknya.

Kebanyakan penduduk bergantung rezeki pada hasil tanaman. Ramai anak muda yang berhijrah ke ibu kota bagi mencari rezeki dan ada juga yang terus tinggal di kampung, berbakti kepada tanah wasiat. Pemikiran tiga anak muda yang ingin mengubah kehidupan dan nasib memberi teladan yang baik untuk anak-anak muda yang lain. Mereka yang pernah tinggal dan bekerja di ibu kota akhirnya balik ke kampung halaman kerana ingin menolong emak dan ayah mereka di sawah atau di kebun.

Musim kemarau masih lagi berterusan. Hussin menjadi nanar. Dia memerlukan wang bagi menyara keluarga sedangkan hasil penternakan ikan keli masih tiada nampak hasilnya. Malah, kerana kematian anak-anak ikan dia perlu membeli anak-anak ikan yang baru bagi menggantikan yang telah mati.

“Kita kena hentikan projek ini. Kita sudah tiada modal. Mahu dapat dari mana duit yang banyak untuk beli anak-anak ikan? Aku tiada wang! Sekarang ini pun aku sangat terdesak memerlukan wang.” Hussin mengeluh di hadapan Aiman dan Ghazali. Mereka biasanya akan bertemu di wakaf hujung kampung bagi membincangkan projek mereka.

“Usahlah kau bimbang, Hussin. Aku yakin projek kita masih boleh diselamatkan. Kau kena yakin dengan rezeki yang Allah turunkan. Ada masanya Dia nak kita sedar yang kita tidak akan dapat sesuatu dengan mudah.” Seperti biasa, Aiman sentiasa berfikiran jauh dan lebih tenang meskipun dia juga terkesan dengan kemarau yang menyebabkan kegagalan projek yang baru diusahakan empat bulan yang lalu.

“Hussin, kalau kau menyerah sekarang kau tidak akan dapat apa-apa. Kalau kau sudah tidak mahu teruskan projek ini, kau hendak kerja di mana? Kampung kita ini tiada peluang kerja. Jika tidak, kita tidak akan memulakan projek ini.”

Hussin terdiam saat mendengar butir bicara Ghazali yang terkandung kebenarannya. Tetapi dia bukanlah Aiman atau Ghazali yang masih lagi mampu tersenyum dengan semua itu.

Mereka tidak faham dia memerlukan wang untuk mengubati penyakit emaknya yang semakin kronik.

Selama ini kakak sulungnya yang banyak membantu namun sejak dia mengikut suaminya berpindah ke bandar, dia sudah tidak lagi menghulurkan bantuan kewangan. Hanya sesekali mengirimkan wang yang cukup-cukup untuk keperluan dapur. Dia sedar tidak selama-lamanya dia dan keluarga perlu bergantung kepada kakak sulung.

“Aku perlukan wang yang banyak. Aku fikir apabila projek kita berjaya, kita akan dapat hasil yang lumayan. Aku boleh hantar emak aku berubat. Tapi sekarang aku tidak tahu macam mana nak cekau duit yang banyak untuk ubati penyakit emak aku. Kau berdua tidak faham masalah yang aku tanggung,” luah Hussin dengan wajah yang gelisah. Duduknya serba tidak kena. Terlalu banyak masalah yang bertamu di minda. Sehingga sekarang dia hanya menemui jalan buntu, bukan jalan keluar.

“Berapa banyak yang kau perlukan, Hussin?” Aiman yakin jumlah yang diperlukan oleh Hussin adalah jumlah yang melebihi kemampuan mereka. Namun dia tetap mahu membantu walaupun jumlahnya tidak banyak. Hari ini dia menolong dan mungkin esok lusa dia pula yang memerlukan pertolongan Hussin.
“Sepuluh ribu, Man. Aku tidak rasa kau ada duit sebanyak itu.”

“Sepuluh ribu?” Ghazali terperanjat dengan kerut di wajahnya.

Sungguh, jumlah yang melebihi kemampuannya. Jika dia ada pun, dia hanya boleh membantu setakat dua tiga ribu ringgit sahaja. Itu pun jika dengan mengeluarkan wang simpanan.

Aiman tertelan air liur. Jumlah yang banyak dan tidak berkemampuan untuk memberi sepenuhnya.

“Macam inilah, Hussin. Aku cuba minta tolong Wak Leman. Dia mungkin ada…”

“Tidak payahlah, Man. Aku tidak mahu susahkan kau orang semua. Ini masalah aku. Biar aku yang cari jalan keluar.”

Musim kemarau yang disangka berlanjutan sehingga ke penghujung bulan akhirnya berlalu. Hussin kembali bernafas dengan lega apabila projek ikan keli mereka berjaya diselamatkan. Asalnya dia yang berputus asa kini yakin kesabaran telah membuahkan hasil. Sedikit sebanyak dia berjaya mengumpul wang bagi mengubati penyakit emaknya.

“Sekarang aku sedar. Man, Zali, kalau tidak kerana desakan kau semua aku rasa sudah lama aku berputus asa. Tapi kerana sokongan kau semua aku dapat semua ni.” Hussin berkali-kali melafazkan ucapan terima kasih untuk Aiman dan Ghazali. Jika kedua-duanya tidak terus membantah keputusannya, kini dia pasti berada di takuk yang lama.

“Sesungguhnya Allah sudah menentukan setiap rezeki untuk hamba-Nya. Yang penting kita kena berusaha dan banyakkan bersabar. In shaa Allah, sabar itu ada berkatnya,” ujar Ghazali dengan senyuman tidak lekang di bibir.

Kini, ketiga-tiganya merancang untuk memperbesar lagi kolam ikan keli mereka agar dapat menghasilkan pulangan yang lebih baik.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s