KUN FAYAKUN – Sebuah Cerpen Hasmini

KUN FAYAKUN oleh Hasmini

FATINI mengeluh lagi. Perasaan marah, geram, sedih, semuanya bercampur baur. Entah kepada siapa yang harus dia meluahkan perasaannya tika ini. Sikap tamak haloba manusia hari ini makin menjadi-jadi. Orang miskin ditindas oleh orang kaya tanpa belas ihsan. Bahkan alam khazanah yang dahulunya terpelihara suci oleh nenek moyang kita semakin terhakis. Fatini menghempaskan akhbar ke meja dengan rasa yang membuak menahan marah.

“Fat, kenapa dengan kau ni? Kau okey ke?” Rossa selaku teman serumahnya terus menegur dengan penuh rasa hairan. Wajahnya berkerut seribu.
“Kau dah baca surat khabar hari ni?” soal Fatini sebaliknya. Soalan Rossa dibiarkan tanpa jawapan.

“Belum. Kenapa? Ada tajuk yang menarik ke? Kes buang bayi? Kes bunuh? Kes culik?” asak Rossa dengan soalan yang bertubi-tubi.

“Bukanlah.” Fatini menidakkan seiring dengan gelengan kepalanya.

“Habis tu?”

“Aku sedihlah, Ross. Manusia zaman sekarang ni makin tamak haloba. Mereka hanya fikir nak untung saja tapi langsung tak fikir akibat dan kesan daripada projek mereka. Mana akal mereka?” marah Fatini tanpa hujung pangkal.

Rossa kebingungan. Dahinya berkerut seribu. Apakah yang sedang difikirkan oleh temannya itu sehingga Fatini boleh bersikap panas baran seperti ini? Selalunya teman itu sentiasa dilihat dalam keadaan tenang walaupun ditimpa masalah.

“Fat, bertenanglah. Apa masalah kau ni? Apa yang kau baca tadi sampai macam ni sekali kau marah?” Rossa akhirnya menyoal.

“Pasal apa lagi? Pasal penerokaan hutan yang tengah jadi topik hangat tu lah. Sekarang ni dalam surat khabar heboh bercerita kononnya hutan tu diteroka untuk kebaikan bersama. Lepas tu boleh membangunkan negaralah.

Langsung tak masuk akal! Aku memang benganglah dengan isu ni. Mereka langsung tak fikir kesan daripada penerokaan hutan tu. Padahal mereka semuanya belajar tinggi-tinggi sampai luar negara, tapi hal senang macam ni langsung tak fikir. Aku memang tak puas hatilah, Ross!” cerita Fatini dengan nada marah yang cuba ditahannya.

Rossa menggelengkan kepalanya. Akhirnya terjawab juga persoalannya sebentar tadi. Tidak hairanlah kalau Fatini boleh berubah karakter sekelip mata jika melibatkan masalah alam sekitar memandangkan teman baiknya itu memang sudah sinonim dengan gelaran ‘environmentalist’ sejak dari zaman sekolah lagi.

Sikap temannya yang terlalu mencintai alam sekitar itu memang tidak dapat disangkal lagi. Malah kepetahan berbicara juga mampu membuatkan ramai orang menghormati sikap dan peribadinya.

“Patutlah kau marah sangat. Fat, dunia zaman sekarang ni dah tak macam dulu. Zaman era globalisasi ni, manusia lebih memikirkan untung daripada nilai-nilai murni. Asal dapat untung, manusia tutup mata saja untuk soal-soal macam ni!” pangkah Rossa sengaja mencurah minyak ke dalam bara untuk melihat sejauh mana Fatini berusaha untuk menegakkan kata-katanya. Setahunya, Fatini tidak akan bercakap kosong sebaliknya akan disusuli dengan tindakan yang selanjutnya.

“Ya. Memang betul! Tapi selagi aku ada, aku takkan tutup mata aku, takkan tutup telinga aku dan yang penting sekali aku takkan tutup mata hati aku untuk membiarkan hamba Allah ni bertindak sesuka hati mereka.”

Rossa menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan buah fikiran yang dilontarkan oleh Fatini.

“Aku sokong, Fat. Betapa bersyukurnya aku kerana dianugerahkan oleh Allah seorang sahabat yang baik macam kau ni. Kalau tak ada manusia macam kau yang betul-betul kisah pasal alam sekitar, aku rasa dah lama bumi ni hancur dengan pembangunan yang pesat dan tidak terkawal,” sokong Rossa.

“Tapi Ross, kau jangan salah faham pula. Aku bukan tak sokong pembangunan. Aku sokong sebab mereka nak membangunkan negara kita supaya boleh maju dan mampu bersaing dengan negara jiran. Tapi apa yang aku paling tak setuju sebab tempat tu akan dibangunkan untuk menubuhkan pusat-pusat hiburan.

Pada pandangan aku, pusat-pusat hiburan ni dah berlambak kat KL ni, tapi kenapa mesti ditubuhkan lagi? Apa motif mereka sebenarnya? Sebagai komuniti kita kena bersuara, kita tak boleh diam saja, biarkan orang kaya berbuat sesuka hati mereka. Kita kena bertindak, Ross,” ujar Fatini panjang lebar. Nafasnya ditarik perlahan-lahan.

“Jadi, apa tindakan kau selanjutnya?” tanya Rossa untuk memgetahui tindakan yang akan dilakukan oleh temannya itu selaku presiden Kelab Harmoni Alam yang ditubuhkan lima tahun yang lalu. Kelab ini disertai oleh pelbagai golongan dan lapisan masyarakat baik yang muda mahupun yang tua dengan satu motif yang sama iaitu untuk memelihara khazanah alam agar tak lapuk dihujan tak lekang dek panas.

“Buat masa ni aku tak boleh nak fikir apa-apa lagi. Otak aku ni tepulah. Banyak sangat yang aku nak kena fikir. Tapi aku merancang untuk mengadakan satu mesyuarat bersama AJK Kelab Harmoni Alam. Aku perlu dapatkan pandangan dan cadangan daripada kelab ini. Aku tidak boleh bertindak seorang diri.
Aku juga perlukan tulang belakang yang akan menyokong aku. Insyaallah, mesti akan ada penyelesaiannya nanti.”

“Insyaallah, amin. Kalau kau nak buat demonstrasi jalanan pun aku sokong,”usul Rossa.

“Eh, simpang malaikat empat puluh empat. Aku takkan buat demonstrasi haram macam tu. Negara kita ada undang-undang. Kita perlu ikut undang-undang. Jangan main terjah saja nanti kita juga yang rugi. Bak kata pepatah, yang dipegang tak dapat, yang dikendong keciciran. Jadi, ada baiknya kita bertindak tapi mengikut prosedur undang-undang negara,” balas Fatini bersama senyuman nipis.

“Ya betul tu. Aku setuju.”

“BOS, kita ada masalah untuk teruskan projek kita kat hulu kampung tu,” beritahu Sufian selaku setiausaha kepada pengarah projek, iaitu Adib. Wajahnya sedikit cuak untuk menunggu keputusan selanjutnya daripada bosnya itu.

Adib melemparkan senyuman nipis ke arah Sufian seolah-olah langsung tidak tergugat dengan berita yang disampaikan oleh Sufian.
“Masalah apa, Sufian? Bulan depan projek tu akan dijalankan. Ahli lembaga pengarah pun sudah setuju. Jadi masalah apa lagi yang awak maksudkan?” soal Adib tanpa rasa cuak. Sebagai seorang pengarah projek, dia sentiasa bersikap professional dan tidak cepat melatah untuk memastikan anak-anak buahnya hilang rasa hormat terhadapnya.

“Bos tak tahu lagi ke? Atau bos belum baca paper hari ni?” soal Sufian kehairanan. Kepalanya yang tidak gatal digaru buat sesaat dua bersama senyuman sumbing. Mana mungkin bosnya tidak mengetahui berita mengenai pembantahan terhadap projek mereka oleh sekumpulan manusia melalu media cetak yang semakin mendapat perhatian pada pagi ini. Bahkan kakitangan mereka sudah bising mengenai isu ini. Mustahil jika bosnya belum sempat untuk membaca berita pagi ini.

“Pasal apa ni, Sufian?”

“Pasal Kelab Harmoni Alam yang…”

“Oh pasal tu ke? Saya dah tahulah. Lagipun saya memang dah agak projek ini akan mendapat tentangan daripada segelintir masyarakat. Walaubagaimanapun projek itu tetap akan dijalankan. Kenapa awak cuak sangat?” Adib menyoal dengan selamba seolah-olah langsung tidak terpukul dengan masalah ini. Sebagai ahli perniagaan, dia sudah lali dengan tentangan yang sedemikian bahkan dia tidak cepat melatah malah akan cuba mencari penyelesaiannye dengan secepat mungkin.

“Bos tak takut ke kalau projek tu gagal? Lagipun saya dengar-dengar daripada kawan saya, Kelab Harmoni Alam merupakan satu pertubuhan yang proaktif terhadap alam sekitar. Mereka akan cuba sedaya mungkin untuk mempertahankan hak asasi mereka. Bos tak gerun ke?”

Adib tersenyum nipis. Anak matanya dihala ke luar tingkap. Melihat setiap pelusuk alam yang mula dipenuhi dengan bangunan pencakar langit.

“Apa yang membuat awak rasa takut? Kita ada undang-undang, Sufian. Saya tak salahkan golongan mereka bahkan mereka ada hak untuk menuntut keadilan. Namun begitu, kita perlu bijak bertindak, kita perlu aturkan strategi untuk hentikan provokasi mereka. Saya sedar provokasi mereka boleh menjejaskan perancangan kita terhadap projek itu, tapi awak jangan risau, saya akan cari jalan penyelesaiannya,” putus Adib dengan helaan nafas yang tenang.

“Bos kena bertindak secepat mungkin. Saya risau kalau ahli-ahli lembaga pengarah mula termakan dengan provokasi mereka,” usul Sufian cemas.
“Bertenang, Sufian. Kenapa awak menggelabah sangat ni? Awak jangan risau, sebagai pengarah projek, saya akan cuba berusah untuk meyakinkan ahli lembaga pengarah nanti.”

“Bos nak buat apa nanti? Bos jangan main kotor pula,”nasihat Sufian sekadar mengingatkan bosnya itu walaupun dia yakin bahawa Adib tidak akan melakukan sesuatu yang diluar kotak. Sikap professional yang dimiliki oleh bosnya itu cukup membuatkan dia kagum untuk berkhidmat dibawah syarikat Adib.

“Sufian. Sufian. Awak kenal saya kan? Saya bukan jenis ahli perniagaan yang akan main taktik kotor semata-mata untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Saya akan aturkan strategi macam mana untuk menghentikan provokasi itu,” balas Adib selanjuntanya.

“Lega saya dengar bila bos cakap macam tu,” ujar Sufian menarik nafas lega.

“Sufian, awak tahu ke siapa presiden kelab tu? Lelaki atau perempuan?” soal Adib tiba-tiba dengan penuh perasaan ingin tahu.
“Perempuan, bos. Kalau tak silap saya, nama presiden kelab tu, Fatini Ahmad. Nanti saya pastikan perkara tu dan maklumkan pada bos,” beritahu Sufian bersungguh-sungguh.

Adib menganggukkan kepalanya berkali-kali.

“Baiklah kalau macam tu, saya nak awak aturkan pertemuan saya dengan presiden kelab tu,” putus Adib akhirnya.

“Untuk apa, bos?”

“Awak jangan risaulah Sufian. Saya ni profesional. Kalau boleh saya nak jumpa Cik Fatini dalam masa yang terdekat ini. Kita semakin kesuntukan masa. Saya perlu bertindak segera. Saya harap awak boleh aturkan temujanji ini dengan kadar yang segera,” arah Adib dengan tegas. Hatinya mendesak untuk selesaikan masalah ini dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.

“Baik, bos,” patuh Sufian akhirnya.

FATINI meneliti setiap inci gerak geri lelaki dihadapannya itu tanpa berkelip. Tiba-tiba dia rasa cuak untuk meluahkan segala isi hatinya terhadap bantahan projek itu. Kalau dengan orang lain dia boleh petah berbicara, namun berbeza apabila berhadapan dengan lelaki ini. Lidahnya seakan kelu untuk berbicara bagai tersekat dikerongkong. Dugaan apakah ini?

‘Ya Allah, berilah aku kekuatan.’ Fatini berbisik di dalam hati. Dia melakukannya untuk khazanah Allah, maka dia harus kuat.
Adib berdehem apabila melihat Fatini masih membisu tanpa butir bicara sedari tadi lagi. Fatini sedikit terkejut. Cepat-cepat anak matanya dialihkan daripada memandang wajah redup dihadapannya itu.

“Jadi, Cik Fatini, boleh saya tahu kenapa cik beria-ia sangat untuk membantah projek kami? Kenapa? Cik Fatini tak suka pada pembangunan?” Adib terus mengasak Fatini dengan pelbagai soalan.

Fatini menentang anak mata Adib buat seketika. Nafasnya dihela buat seketika sebelum menjawab soalan yang bertubi-tubi dari Adib.

“Maaf, Encik Adib. Saya bukannya tak suka pada pembangunan cuma saya tak suka apabila hutan-hutan itu diterokai dengan cara yang tidak terkawal. Penerokaan hutan yang tidak terkawal akan memberi banyak kesan buruk dan akibat kepada alam sekitar dan juga manusia itu sendiri. Encik Adib tak sedar ke semua ini?” soal Fatini memulakan bicaranya.

Adib tersenyum sumbing. Penjelasan Fatini dianggap tidak masuk akal.

“Saya tahu semua itu, Cik Fatini. Cik tak perlu nak ajar saya. Saya seorang ahli perniagaan dan semestinya saya tak akan buat keputusan seorang diri. Ini melibatkan banyak pihak dan saya perlu berunding dengan banyak pihak untuk memastikan projek ini terlaksana. Saya bukannya buat projek ini atas dasar tamak atau untuk merosakkan alam sekitar bahkan apa yang kami laksanakan nanti, akan memberi impak yang besar untuk pembangunan negara. Cik Fatini tak sokong apa yang akan kami lakukan?” soal Adib masih tidak berpuas hati.

“Ya, saya faham apa yang Encik Adib cuba sampaikan. Tapi encik tak fikir kalau negara kita dipenuhi dengan pembangunan, bangunan pencakar langit, namun mampukah semua pembangunan itu nanti mengimbangkan ekosistem bumi? Mampukah pembangunan yang pesat mengatasi masalah banjir yang akan berlaku ekoran kurangnya kawasan tadahan hujan. Sanggupkah encik melihat semua itu berlaku kepada negara kita? Sejujurnya saya tak samggup dan disebabkan itulah saya berdiri dihadapan encik pada hari ini. Saya ingin menuntut hak alam semesta,” tegas Fatini bersama nada yang sengaja ditinggikan untuk menyatakan pendiriannya terhadap pencerobohan berleluasa terhadap hutan.

Adib sedikit terkedu. Siapa sangka gadis dihadapannya itu bukan calang-calang orang. Gadis dihadapannya kini adalah seorang hamba Allah yang begitu gigih untuk mempertahankan hak sejagat. Adib berdehem untuk membuktikan yang dia tidak gentar dengan kata-kata Fatini sebentar tadi.

“Okey, saya setuju dengan apa yang cik sampaikan tadi. Tapi apa pulangan yang akan cik dapat jika cik berhabis modal semata-mata untuk mempertahankan hak alam sekitar? Cik Fatini tak rasa ke apa cik lakukan ini bukan sesuatu yang berbaloi, bahkan saya rasa hanya sebahagian kecil sahaja yang akan menghargai tindakan Cik Fatini, sebaliknya sejumlah yang besar akan berpihak kepada kami. Cik tak boleh nilai ke semua itu? Cik Fatini perlu berpijak di bumi yang nyata. Cik Fatini perlu sedar bahawa zaman sekarang ni manusia sudah tidak ambil kisah lagi pasal hak asasi alam sekitar bahkan mereka lebih melihat pada arus kemodenan, pembangunan dan teknologi.”

Adib menarik nafas seketika sebelum menyambung.

“Zaman ero globalisasi ini, masing-masing sibuk mengejar kemewahan dan langsung tidak mempedulikan hak manusia lain. Itu sudah menjadi kebiasaan, Cik Fatini. Suara Cik Fatini dan ahli kelab terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan suara-suara yang akan menyokong di belakang kami. Cik tak rasa ke apa yang cik buat ni sesuatu tindakan yang sia-sia?”

“Tidak!” Laju Fatini menyahut untuk menunjukkan yang dia tidak akan berundur dan tidak gentar dengan momokan lelaki itu. Dia perlu menguatkan mental dan fizikal untuk beradu domba dengan lelaki ini. Dia tahu bukan mudah untuk menundukkan seorang ahli perniagaan yang begitu mahir dengan taktik-taktik kotor manusia di sekelilingnya.

“Kenapa saya perlu rasa sia-sia. Saya tak perlukan sesiapa untuk hargai apa yang saya lakukan tapi saya akan bahagia dan gembira jika saya mampu mengekalkan khazanah yang ada ini untuk generasi akan datang. Semua itu suatu pelaburan yang berbaloi. Saya tak mahu dinilai pada mata manusia tapi saya tahu allah menilai usaha saya. Saya tak akan kisah apa jua pun herdikan dan tohmahan orang sekeliling saya asalkan anak-anak kita nanti mampu mengecapi apa yang kita miliki suatu masa dulu. Pada pandangan saya, jikalau saya mampu mempertahankan apa yang ada ni, saya adalah manusia yang paling gembira dalam dunia ini, Encik Adib. Mungkin bagi Encik Adib suara kami terlalu kecil tetapi jihad dan semangat kami kuat. Kami tak akan beralah,” balas Fatini dengan panjang lebar.

“Awak tak takut ke Cik Fatini? Nyawa awak mungkin akan terancam kalau awak teruskan juga dengan provokasi ini. Ini bukan perkara main-main. Ini melibatkan banyak pihak dan suara komuiniti. Awak boleh kalah dan sebenarnya awak memang dah kalah dari awal lagi sebab tak ada langsung komuniti yang tampil bersuara untuk mempertahankan hak ini.”

Fatini mengeluh lemah. Matanya dipejamkan buat seketika. Ya, dia akui dia memang sudah kalah dari awal lagi apabila pihak media terang-terangan menolak wawancara mereka disiarkan di media cetak. Namun disebabkan kegigihan dia dan ahli kelab, akhirnya wawancara mereka dapat juga disiarkan walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan dan tentangan dari ramai pihak. Apa daya yang mereka ada jika manusia hari ini hanya memandang kedudukan seseorang itu kerana harta dan pangkat sedangkan mereka hanya ada madah dan semangat untuk memepertahankan hak alam sejagat.

“Awak menyesal, Cik Fatini?”

“Saya tak menyesal tapi saya bangga dengan apa yang saya buat sekarang ini,” jawab Fatini tidak mengalah. “Saya akui apa yang encik sampaikan tadi adalah sesuatu yang benar. Kuasa saya terlalu kecil dan saya tahu hanya segelintir kecil sahaja komuniti yang menyokong usaha kami. Tapi apa daya kami, Encik Adib. Hanya itu sahaja yang mampu kami lakukan. Kami bukan macam Encik Adib yang boleh beli kepercayaan orang ramai dengan duit, kami hanya golongan minoriti yang tidak mempunyai kekayaan seperti encik, tapi kami tidak akan mengalah. Itu janji kami,” tekad Fatini.

Adib merenung dalam ke arah Fatini. Wajah gadis dihadapannya itu jelas menunjukkan yang dia tidak akan berundur namun di satu sudut semangat gadis itu boleh goyah jika terus diasak dengan serangan emosi. Adib terdiam seketika. Kejamkah aku jika menafikan hak mereka?
“Cik Fatini dah putus asa?”

Fatini memandang penuh makna ke arah Adib cuba mencari makna di sebalik soalan yang tersirat itu. Putus asakah aku?

“Salahkan kalau kami bersuara? Salahkah kalau kami mempertahankan alam sekitar? Salahkah kami?” Fatini mengasak dengan pelbagai soalan.

“Saya tak cakap pun tindakan cik dan ahli kelab adalah salah. Bahkan saya bangga sebab masih ada golongan muda yang ambil berat pasal alam sekitar dalam era teknologi ini. Orang lain sibuk mengejar kemewahan tapi cik masih lagi dalam sederhana dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata. Saya akui jauh dari sudut hati saya, saya sokong dengan tindakan cik yang agak luar biasa. Cik Fatini mempunyai semangat yang luar biasa. Saya memang kagum dengan usaha cik dan ahli kelab yang lain. Tapi, saya tak boleh mengotakan janji untuk menghentikan projek itu. Itu semua berada di luar kemampuan saya. Saya minta maaf,” ujar Adib selanjutnya.

“Ya, saya tahu. Projek itu tidak boleh dihentikan, by hook or by crook, projek itu tetap akan dilaksanakan juga kan?”

“Ya, Cik Fatini.”

“Tapi Encik Adib, tak boleh ke kalau pembinaan pusat hiburan itu ditukar kepada pembinaan pusat eko pelancongan atau kawasan zoo, hutan simpan ke? Rasanya itu pun satu palaburan berbaloikan? Dalam masa yang sama, kita masih lagi mampu mengekalkan alam semulajadi daripada pupus,” cadang Fatini bersungguh-sungguh. Besar harapannya jika ideanya diterima oleh lelaki dihadapannya itu. Fatini akui Adib bukanlah seorang manusia yang kejam malahan lelaki itu masih memiliki sifat-sifat perikemanusiaan dalam dirinya.

Adib ketawa mendengarkan cadangan Fatini. Terlalu naifnya gadis di hadapannya itu. Namun apakan daya, gadis itu bukan dilahirkan untuk menjadi seorang ahli perniagaan sepertinya yang sentiasa berfikiran matang.

“Kenapa Encik Adib ketawa?” tanya Fatini kehairanan.

“Cik Fatini, awak ingat kami buat bisnes macam kat pasar malam ke? Boleh tukar plan dengan suka hati? Ini projek besar yang melibatkan banyak anak syarikat yang lain. Kami sudah menyiapkan paperwork, dan paperwork itu telah pun diluluskan oleh pihak lembaga pengarah. Insyaallah kalau tiada aral melintang projek itu akan dilaksanakan dalam masa sebulan dua lagi. Kalau kami nak tukarkan projek ini, kami perlukan siapkan paperwork yang baru. Bukan senang untuk menyiapkan sesuatu paperwork itu. Ia memerlukan masa, tenaga dan perhatian yang bukan sedikit bahkan kami terpaksa bersengkang mata untuk siapkan paperwork itu. Saya harap Cik Fatini faham apa yang saya cuba sampaikan,” jelas Adib dengan bersungguh-sungguh.
Fatini mengeluh lagi. Rancangan dan misinya untuk menghalang projek itu semakin tipis dan yang jelasnya dia sudah kalah di tangan lelaki itu saat ini.

“Tapi semuanya bukan mustahilkan? Dengan izin-Nya, macam-macam perkara berlaku. Sebagai manusia kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan-Nya. Saya yakin dan percaya dengan kuasa Allah. Saya hanya mampu bertawakkal dan redha dengan takdir Allah,” balas Fatini nipis bersama senyuman nipis dibibirnya.

‘Ya, aku yakin dengan Allah. Kun fayakun!’ Bisik hati kecil Fatini.
Adib mengangguk tanda setuju dengan kebenaran gadis dihadapannya itu.

“HAI Fat, apasal nampak murang saja ni?” soal Rossa sambil menepuk bahu Fatini yang sedari tadi lagi asyik merenung jauh ke arah kaca televisyen. Fatini sedikit tersentak sebelum membetulkan duduknya. Wajah Rossa dipandang sekilas lalu.

“Aku sedih.” Fatini terjeda.

“Kenapa?”

Fatini mengeluh kehampaan. Wajahnya yang sugul jelas memancarkan kekecewaan yang ditanggungnya saat ini.

“Pasal projek tu,” jawab Fatini ringkas.

“Kau dah habis berikhtiar ke? Takkan kau nak putus asa macam ni saja? Kita masih ada peluang selagi projek itu belum dilaksanakan lagi,” sahut Rossa cuba membakar semangat Fatini yang semakin goyah.

“Aku surrender. Memang takkan mengubah apa-apa lagi. Aku dah berbincang dengan pengarah projek dan dia menafikan. Jadi aku terpaksa berundur.”

“Tapi…”

Kring! Kring! Kring!

Nada panggilan telefon Fatini mengganggu perbualan mereka ketika itu. Fatini melihat nama pemanggil, Hairi, ahli aktif Kelab Harmoni Alam. Tanpa menunggu lama Fatini terus mengangkat panggilan itu. Dia akur jika panggilan daripada ahli kelab itu ingin menarik diri daripada kempen yang sedang mereka lancarkan kini.

“Assalamualaikum. Ya, Hairi? Kenapa?” Fatini menyahut panggilan daripada si pemaggil. Rossa hanya menjadi pemerhati saat itu. Seketika, dia melihat wajah Fatini ynag beriak terkejut dan disusuli dengan senyuman terhias dibibirnya jelas menandakan gadis itu sedang menerima berita gembira daripada pemanggil itu. Kalau tidak masakan Fatini boleh berubah riak serta-merta.

“Alhamdulillah, Ross!” ucap Fatini dengan rasa syukur setelah menamatkan perbualan dengan Hairi seketika tadi. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman manis dibibir.

“Kenapa, Fat?” soal Ross dengan perasaan yang membuak-buak ingin tahu.

“Hairi beritahu aku tadi, dalam surat khabar hari ini, tajuk berita yang paling hangat ialah pengarah projek itu bersetuju untuk menukarkan pembinaan pusat hiburan kepada pusat eko pelancongan. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat. Aku tak sangka lelaki itu terima rancangan aku. Aku dah hampir putus asa.”

“Alhamdulillah, dengan izin-Nya. Tak sia-sia usaha kau dengan ahli kelab.”

“Kau pun. Terima kasih sebab sokong aku,” ucap Fatini dengan rasa syukur kepada Allah dan gembira yang tidak terucap dengan kata-kata. Sesungguhnya Allah mendengar doa hambaNya. Dengan izinNya, kun fayakun.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s