Naratif DAP Malaysia Mesti Kekal Sekular

SETIAP kali hampir pilihan raya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang akan membangkitkan isu betapa negara ini sebagai engara sekular, dan mesti diteruskan kesekularan ini. Mungkin sahaja naratif ini menyumbang kepada kebaikan politik DAP khususnya di kawasan bandar yang terdiri dari kaum Cina. Selepas bermain isu agama, akan berkemundang pula isu kaum menjadikan setiap kali pilihan raya, dua hantu ini akan menjadi hidup. Ikuti tulisan seorang peguam muslim, DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR mengenai identiti negara.

SEJAK kebelakangan ini timbul persoalan apa yang akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam?

Ini disebabkan ada golongan mendakwa negara kita dilahirkan dengan mempertahankan ciri sekular. Soalan tersebut sebenarnya bersifat semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri.

Sebahagian ulama Islam sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian yang lain mengatakan tidak dan belum sampai tahap untuk menjadi sebuah negara Islam. Namun yang pasti Malaysia bukan negara sekular.

Sekularisme adalah prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang-orang yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan daripada institusi agama dan pengamalan agama.

Dalam sebuah negara sekular, agama tidak mempunyai peranan dalam pentadbiran negara dan juga tidak ada sebarang keutamaan atau prasangka dilakukan terhadap mana-mana agama.

Sebaliknya di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

Islam tidak disebut sebagai agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan. Malah, tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, begitu juga perkataan ‘sekular’.

Apatah lagi, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika Suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun telah dicadangkan oleh Parti Perikatan bahawa Perlembagaan harus mengandungi peruntukan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negeri, mengesyorkan perlu dijelaskan dalam peruntukan yang perisytiharan itu tidak akan mengenakan apa-apa hilang upaya kepada rakyat bukan Islam dalam menganut, menyebarkan dan mengamalkan agama mereka dan ia tidak akan menghalang negeri ini daripada menjadi negara sekular.

Cadangan tersebut telah diterima pakai keseluruhannya dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan kecuali satu. Tidak ada susunan kata yang nyata menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular.

Perkara 3 (1) berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh itu, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan institusi lain seperti mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Malaysia tidak pernah memisahkan negeri dan agama. Begitu juga, Malaysia hakikatnya telah memilih Islam secara terang-terangan dengan mewujud dan mengiktiraf institusi agama yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat.

BUKAN NEGARA SEKULAR

Sudah sampai masanya kita berhenti menakutkan dan melakukan kepungan minda dengan menyalah arah diri menyatakan Malaysia akan berubah dari negara sekular kepada negara Islam kerana Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular.

Kebanyakan undang-undang kita sudah Islam tanpa ia dinamakan Islam kerana prinsip tidak bertentangan dengan Islam itu.

Ramai orang tidak faham apa yang dimaksudkan dengan undang-undang jenayah Islam. Terdapat salah faham bahawa undang-undang jenayah Islam adalah hudud sahaja, sedangkan undang-undang jenayah Islam sebenarnya merangkumi qisas dan juga taazir.

Qisas ialah suatu kesalahan yang hukumannya adalah berdasarkan timbal balik. Manakala, taazir pula merupakan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kesalahan trafik, kesalahan-kesalahan terhadap tidak bermoral dan kesalahan lain yang tidak termasuk di bawah hudud atau qisas.

Kebanyakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang jenayah yang lain merupakan kesalahan taazir.

Di samping itu, undang-undang Syariah bukan hanya undang-undang jenayah sahaja tetapi meliputi sistem lain seperti perbankan dan kewangan, undang-undang keterangan, hisbah, pentadbiran keadilan, kepimpinan, hubungan antara manusia dan makhluk dan hubungan antara manusia dan Allah.

Kita perlu melihat mereka dari lensa yang lebih makro, tidak hanya terhad kepada undang-undang jenayah. Dalam sistem perundangan selari yang telah pun wujud sejak sebelum merdeka lagi, tidak banyak pertentangan antara sistem syariah dan sivil ini melainkan dapat aspek-aspek yang begitu kecil.

SALAH FAHAM NEGARA ISLAM

Apa yang wujud hanyalah prejudis dan salah faham terhadap sebuah negara Islam. Persoalan ini timbul lazimnya kerana salah tanggapan bahawa Malaysia adalah negara sekular, justeru tidak boleh menjadi negara Islam kecuali dengan mengubah perlembagaan.

Sesungguhnya perlembagaan bukan sahaja bercampur perkara-perkara negeri dan agama, ia telah menyatakan peruntukan lebih cenderung kepada Islam dan umat Islam. Tiada pun masalah besar timbul sejak merdeka lagi dan fakta ini jelas menafikan sifat sekular tersebut.

Apa yang diperjuang umat Islam sekarang ialah mengekalkan perlembagaan dan menyulamkan pelaksanaan hukum hudud mengikut peruntukan perlembagaan.

Malaysia sudah menjadi negara Islam yang dihormati dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan saya percaya dengan pengenalan hudud, reputasi Malaysia sebagai negara utama OIC bukan sahaja akan berkurangan tetapi dipertingkatkan dalam kalangan negara-negara Islam.

Masyarakat antarabangsa tidak pernah menganggap Malaysia sebagai negara sekular, malah Malaysia mempunyai peruntukan jelas dalam perlembagaan mengiktiraf pihak berkuasa Islam, mahkamah dan institusi Islam dengan kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat Malaysia.

Perlu juga diperhatikan, ketika Yang di-Pertuan Agong menaiki takhta baginda bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ‘Wallahi wabillahi watallahi’ dan selepas itu dia bersumpah untuk memelihara Islam pada setiap masa. – Utusan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s