CEO FGV Dakwa Digantung Tugas Kerana Halang Pelaburan Tak Masuk Akal RM551 Juta

KETUA Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad yang digantung hari ini, berkata beliau cuba menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.

Antara pelaburan itu, katanya, adalah rancangan bernilai 100 juta pound sterling (kira-kira RM551 juta) untuk pengembangan Felda Cambridge Nanosystems Ltd , sebuah syarikat nano karbon, yang kerugian RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas.

“Sekarang mereka (lembaga FGV) mahu mengembangkannya, mereka memerlukan 100 juta pound lagi. Bagi saya ini adalah tidak masuk akal, kami sebuah syarikat perladangan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Pelaburan lain, kata Zakaria, adalah rancangan untuk menghabiskan RM300 juta bagi membeli 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer, yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan bukan teras.

Zakaria juga melahirkan rasa tidak puas hati mengenai amalan rundingan terus.

“Terdapat contoh-contoh lain, rundingan langsung, kontrak langsung … Saya telah diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat tetapi apabila saya mahu menguatkuasakan dengan tegas, maka ini apa yang berlaku,” katanya.

Penggantungan Zakaria dibuat selepas beliau dilaporkan menolak permintaan Pengerusi FGV Tan Sri Isa Abdul Samad untuk meletakkan jawatan berhubung dakwaan salah laku yang berkaitan dengan pembayaran kepada sebuah syarikat Afghan.

Zakaria, dalam surat kepada Isa, menafikan beliau telah melanggar kod tadbir urus korporat dan berkata pembayaran itu telah diluluskan oleh pendahulunya.-Malaysiakini

Sementara itu, menurut laporan Bernama pula, Zakaria menyifatkan peristiwa yang berlaku sekarang sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan syarikat itu.

“Berita hari ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Felda dan FGV. Kebenaran akan menjelma akhirnya.

“Kepada rakan sekerja FGV dan warga Felda, Saya mohon maaf kerana terpaksa meninggalkan pejabat secara tiba-tiba, saya tidak berkesempatan bertemu anda semua,” katanya dalam catatan beliau di laman Twitter.

Zakaria dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 April tahun lepas.

 FGV telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain daripada Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar juga diminta bercuti.

Semasa dihubungi stesen televisyen tempatan dalam segmen temu bual sebelumnya, Zakaria berkata beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga yang melibatkan unit FGV, Delima Oil Products.

“Malahan, semasa ditanya sebelum ini, saya meminta SPRM supaya datang ke FGV dan menyiasat keseluruhan FGV, termasuk kes ini (Delima Oil) bagi membolehkan kami bagi menghapuskan segala keraguan,” katanya.

Zakaria juga berkata beliau ada menjangkakan kemungkinan lembaga meminta beliau bercuti, tetapi tidak menjangka sampai seperti ini kerana ia adalah isu kecil.

“Saya perlu mendepani perkara ini dengan terbuka dan mempertahankan diri saya sendiri,” katanya

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s