Tiada Harum Manis Dijual RM10 Sekilo, Kecuali Harum Tidak Manis

Laporan mendakwa harga harumanis merudum berlipat kali ganda sehingga hanya RM10 sekilogram ternyata menggemparkan peminat buah-buahan tempatan.

Ramai tertanya-tanya dan tercari-cari buah yang sinonim dengan negeri Perlis itu untuk mendapatkan harga terbaik.

Di waktu biasa harga ‘raja mangga’ boleh mencecah melebihi RM50 sekilogram.

Bagaimanapun, di mana mangga jenis itu dijual dengan RM10 sekilogram, seperti didakwa?

Persoalan itu turut menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak di negeri utara semenanjung itu, termasuk bagi pekebun sendiri.

Seorang pekebun yang mempunyai 12 tahun pengalaman Mohd Zulfazli Ishak mengakui harga jualan memang menurun, tetapi tidak sampai ke tahap RM10 sekilogram.

Katanya, harga runcit terlalu murah itu tidak munasabah kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri membeli buah itu dari pekebun dengan harga RM15 sekilogram.

“Sebenarnya permintaan OK, tapi perlahan.

“Harga sekilo RM10 adalah mustahil sebab FAMA pun beli (dari peladang) RM15. Jadi biasanya orang akan ikut harga yang FAMA beli,” kata Mohd Zulfazli, 28.

“Yang kata rugi ini rekaan sahaja. Dalam bulan puasa memang (jualan) perlahan tapi masih berjalan.”

Laporan: Merosot 70 peratus

Kosmo! Ahad lalu melaporkan, petani harumanis Perlis kerugian besar berjuta-juta ringgit tahun ini kerana berlaku lambakan buah dan penurunan mendadak harga yang menyebabkan ada peladang membakar hasil mereka.

Laporan bertajuk “Petani Perlis bakar harumanis, harga jatuh mendadak” itu menyebut, harga buah itu terpaksa dijual pada paras RM10 sekilogram kerana lambakan pasaran pada bulan puasa serta kelemahan pemasaran.

Seorang pekebun Musa Darus, 75, dilaporkan mendakwa permintaan merosot teruk lebih 70 peratus hingga menyebabkan banyak buah terbiar busuk di pokok.

Musa berkata, 133 pokok mempelam harumanisnya mengeluarkan hasil kira-kira lima tan (5,000 kilogram) tahun ini, namun malangnya 2.5 tan terpaksa dibiarkan busuk di pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelakkan penyakit merebak.

Kerosakan buah didakwa bukan disebabkan faktor semula jadi semata-mata tetapi ia boleh terjadi apabila buah yang tidak matang dipetik.

Kualiti buah

Sementara itu, Mohd Zulfazli juga berkata, permintaan terhadap buah mangga berkenaan tetap ada terutamanya daripada bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa peniaga masih mampu untung. Beliau mendedahkan seorang rakannya untung kira-kira RM60,000 hasil jualan buah berkenaan pada musim ini.

Ditanya berkaitan laporan bahawa petani rugi besar sehingga terpaksa membakar hasil ladang hanya rekaan.

Beliau mengesyaki tindakan itu lebih kepada kualiti buah yang dijual.

“Kes bakar itu, sebab buah dia rosak, lepas itu terlalu banyak (buah rosak).

“Tapi tindakan pak cik itu betul sebab buah yang rosak tak boleh bagi orang, jadi lebih baik bakar kalau tak serangga akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.

Zulfazli juga berkata buah yang dipetik terlalu awal juga berpotensi menjadi masam dan tidak boleh dijual.

55 hari balut

Sementara itu, bagi penggemar harumanis dan anak jati Perlis, Ridzuan Kamis, juga mengesyaki buah yang dibakar itu mempunyai masalah kualiti.

Beliau yang juga seorang guru dan penulis terkenal berkata tindakan membakar buah bagi menyelakkan terbiar dan busuk di pokok tidak logik dan tidak wajar.

“Kalau buah tak laku, contohnya orang akan buat jus. Buah yang dibakar biasanya buah yang busuk kerana dipetik awal.

:Jadi sebab dibakar itu bukan kerana tiada permintaan tetapi dipetik awal.

“Jika dipetik selepas 55 hari dibalut, sepatutnya tak jadi masam,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan pula memberitahu, dakwaan para petani mengalami kerugian adalah tidak benar.

Menurutnya, beliau yang berada di ladang harumanis melihat permintaan terhadap buah berkenaan tidak putus-putus.

“Saya duduk di ladang di Perlis, satu hari peraih akan keluar (harumanis) kadang-kadang sampai 500 kilogram, hari kedua pula ada sampai 200 kilogram.

“Malah, ada juga peniaga atas talian yang datang dan dia ambil buah depan saya,” kata peniaga berkenaan. – Malaysiakini

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s