LANGIT MASIH BIRU – CERPEN TERBARU HASMINI

LANGIT MASIH BIRU

Oleh: Hasmini

Sejak keluar dari hospital sejak seminggu yang lalu, keadaan Mak Temah bertambah baik dari sehari ke sehari.

Husna memastikan Mak Temah sentiasa menelan ubat yang disarankan oleh doktor malah tidak lupa juga menyediakan makanan yang bersesuaian dengan keadaan Mak Temah. Buat masa ini Mak Temah dinasihatkan agar tidak menelan apa-apa jenis makanan pedas. Dikhuatiri mengganggu sistem pencernaan Mak Temah yang sedikit bermasalah.

Husna yang bertugas di sebuah bank tidak pernah merungut untuk menjaga Mak Temah walhal Mak Temah itu bukanlah ibu kandung apatah lagi seseorang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Dia menolong perempuan separuh abad itu kerana dasar simpati.

Pertama kali bertemu Mak Temah, pertemuan mereka berlangsung di kaki jalan sebuah pasar raya. Dengan rambut yang masai dan baju yang lusuh, Husna dapat meneka bahawa perempuan malang itu terpaksa mengemis untuk menyara kehidupan. Terlintas di hati kecil Husna untuk bertanya mengenai keluarga Mak Temah atau anak-anaknya namun wajah Mak Temah akan berubah mendung apabila matanya terpandangkan mana-mana ibu yang sedang memimpin anaknya.

“Mak Temah, mari makan ubat,” sapa Husna sebaik sahaja menapak masuk ke dalam bilik Mak Temah.

Mak Temah memandang wajah Husna lama. Air jernih yang bertakung di tubir mata mula jatuh setitik demi setitik. Entah apa yang mengganggu emosinya sehingga menyebabkan air mata itu luruh. Apa yang pasti dia kecewa dengan dirinya sendiri. Terpaksa menumpang belas ihsan orang lain.

Husna menyedari air mata yang jatuh itu segera mendekati Mak Temah. Dia melabuhkan duduk di birai katil, mula menyeka air mata itu dengan ibu jari.

Bibirnya cuba mengukir senyuman.

“Kenapa Mak Temah menangis? Mak Temah sedih? Mak Temah nak teman untuk berkongsi? Husna boleh dengar.”

Husna sedaya upaya menyelami perasaan Mak Temah dengan bertanya keadaannya. Dia menghormati keputusan Mak Temah andainya perempuan tua itu tidak mahu menceritakan apa-apa kepadanya. Namun begitu, hatinya tetap terdetik untuk tahu kisah Mak Temah.

Dia perlu tahu supaya dia boleh mencari waris Mak Temah atau sesiapa sahaja yang pernah mengenali Mak Temah. Dia tidak mampu untuk menjaga Mak Temah selama mana yang dia mahu kerana dia pasti seseorang sedang mencari perempuan itu.

“Husna, kenapa Husna baik dengan Mak Temah? Mak Temah ni bukan sesiapa pun. Husna tak kenal pun siapa Mak Temah yang sebenarnya. Kenapa Husna? Kenapa Husna bantu Mak Temah?”

Suara Mak Temah bergetar saat matanya memanah tepat pada wajah Husna. Gadis muda itu menyisipkan senyuman manis.

Jika Mak Temah mahukan jawapan, jawapannya adalah satu sahaja iaitu dia membantu kerana suatu hari nanti dia juga mahu dibantu oleh orang lain.

Husna mengusap lembut bahu Mak Temah yang agak susut.

“Husna pun bukan sesiapa pada Mak Temah. Hanya orang asing yang kenal Mak Temah masa Husna jumpa Mak Temah dekat kaki jalan. Husna boleh saja biarkan Mak Temah, tapi Husna tak sampai hati tengok Mak Temah. Di dunia ni selagi kita boleh tolong orang kita tolong orang tu. Sebab tu kita sendiri tidak tahu apa yang menanti di hadapan kita nanti. Boleh jadi lepas ni Husna pula ditimpa kesusahan dan Mak Temah yang akan bantu Husna pula.”

Hati Mak Temah dipagut rasa terharu dengan setiap bait bicara gadis muda itu. Dia menyapu air mata yang tersisa

Saat hatinya sudah pasrah dengan ketentuan-Nya, dia didatangi gadis muda yang memiliki hati yang suci itu.

Mungkinkah seseorang yang berhati Malaikat itu wujud? Dan gerangan itu adalah Husna, gadis yang sedang duduk di hadapannya ini?

“Husna, Mak Temah tak ada apa-apa untuk tawarkan pada Husna. Tapi Mak Temah doakan Allah sentiasa merahmati hidup Husna,” ucap Mak Temah sambil meraih jari-jemari mulus Husna lalu digenggamnya dengan erat.

Dia tiada harta, tiada kekayaan atau apa-apa sahaja untuk diberikan kepada Husna bagi membalas kebaikan gadis itu namun dia hanya mampu mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t untuk gadis muda itu. Semoga Allah s.w.t senantiasa merahmati dan mengurniakan kebahagiaan buat gadis itu.

Bibir Husna merekah dengan senyuman. Baginya, pertolongan yang diberikan kepada Mak Temah tidak perlu dijanjikan dengan balasan. Dia hanya membantu atas dasar kemanusiaan. Lalu, dia sendiri tidak mengharapkan apa-apa ganjaran daripada pertolongannya itu. Dia mahu Mak Temah gembira. Itu sudah cukup baginya.

Tetapi, dia mulai sedar. Mak Temah pasti mengharungi kesepian sekali lagi setelah dia berjaya menjejaki keluarga perempuan tua itu. Selama ini pun Mak Temah hidup bersendirian tanpa pamitan sesiapa.

Apabila dia menawarkan Mak Temah untuk tinggal bersama dengannya, sudah pasti Mak Temah mula merasakan kesepian yang melilitnya mula hilang.

Husna tiada daya untuk menjaga Mak Temah buat selama-lamanya. Dia tidak mahu memisahkan Mak Temah daripada keluarga sebenar. Sudah pasti ada insan yang merindui Mak Temah dan sedang menjejakinya.

Dia berjaya mendapatkan beberapa maklumat penting mengenai Mak Temah. Berbekalkan pertolongan Suria yang bertugas di sebuah syarikat kewartawanan, dia berhasil menemukan keluarga sebenar Mak Temah. Tetapi buat masa ini dia tidak sanggup memberitahu berita sepenting itu kepada Mak Temah kerana mengikut informasi yang diberikan oleh Suria, Mak Temah sendiri yang lari meninggalkan rumah.

Dia bimbang sekiranya dia mengkhabarkan tentang keluarga Mak Temah, perempuan tua itu tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya.

“Husna, Mak Temah ada sesuatu yang Mak Temah nak cakapkan dengan Husna. Husna jangan marah ya?”

Suara Mak Temah yang serak itu menampan pendengaran Husna menyababkan lamunannya mati dengan serta-merta. Wajahnya dialihkan ke arah Mak Temah. Wajahnya tetap tenang dalam menantikan bicara Mak Temah yang seterusnya.

“Cakaplah, Mak Temah. Kenapa pula Husna nak marah pada Mak temah? Macamlah Mak Temah ada buat salah.” Husna berkata dengan selamba padahal matanya perasan wajah Mak Temah yang kelihatan serba-salah itu.

“Mak Temah sebenarnya… Mak Temah…” Kata-kata Mak Temah tersekat. Dia menarik nafas sedalamnya sebelum menghelanya perlahan.

“Apa dia Mak Temah?” Husna mengasak dengan lembut.

Mak Temah merembeskan air matanya. Lantas Husna menarik tubuh Mak Temah ke dalam pelukannya. Dia mengusap bahu Mak Temah sambil membisikkan kata-kata semangat.

“Mak Temah yang lari dari rumah. Mak Temah masih ada keluarga. Mak Temah minta maaf sebab tipu Husna. Mak Temah minta maaf….”

Husna terpukul dengan kata-kata itu.

Tetapi dia sedikit pun tidak terkejut. Awal-awal dia sudah menjangka yang Mak Temah menyembunyikan sesuatu daripadanya. Dan telahannya benar belaka. Sebelum Mak Temah membongkarkan perkara itu, dia sudah tahu semuanya.

Informasi yang diperoleh daripada Suria adalah seratus peratus benar.

Husna merungkaikan pelukan dan mengukir senyuman di bibir.

“Mak Temah, Husna dah tahu semuanya. Husna dah tahu dari awal lagi. Jadi, Mak Temah tak perlu rasa bersalah. Apa yang penting sekarang ni keluarga Mak Temah sedang tunggu Mak Temah. Mak Temah balik pada mereka ya? Mereka rindukan Mak Temah,” ujar Husna bersama air mata yang tumpah di pipi.

“Husna, Mak Temah rasa bersalah sangat sebab tipu Husna. Maafkan Mak Temah,” rayu Mak Temah bersama tangisan yang mendayu-dayu.

“Husna tak marahkan Mak Temah. Mak Temah tak perlu rasa bersalah sebab Mak Temah tak ada buat salah pun dekat Husna,” kata Husna dalam meredakan perasaan bersalah yang melilit diri Mak Temah.

“Mak Temah balik ke pangkuan keluarga ya?” Sempat dia memujuk Mak Temah.

Mak Temah mengangguk dengan mata yang berkaca. Gara-gara terlalu mengikut perasaan tuanya, dia lari dari rumah. Kini, dia sedar jika dia terus melayan rajuk dia akan menyusahkan orang sekeliling.

Dua hari lalu, Mak Temah akhirnya dihantar ke pangkuan keluarga yang menantikannya. Keluarga Mak Temah bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada Husna. Barulah Husna tahu mengapa Mak Temah meninggalkan rumah.

Rupa-rupanya Mak Temah merajuk dengan anak lelakinya yang berjanji hendak ke Tanah Suci Makkah bersama bagi mengerjakan umrah namun anak lelakinya itu tiba-tiba sahaja membatalkan hasrat suci itu kerana kekangan kerja.

“Saya harap selama dia tinggal dengan awak, dia tak ada menyusahkan awak.”

Anak lelaki Mak Temah yang dikenali dengan nama Rayyan itu menuturkan bicara sebelum Husna bertolak pulang.

“Mak Temah tak menyusahkan saya. Saya gembira selama dia tinggal dengan saya,” ujar Husna senang hati. Syukurlah Mak Temah sudah mampu memaafkan anak lelakinya itu. Harapnya selepas ini tiada lagi kes seorang ibu lari meninggalkan rumah gara-gara merajuk dengan anak sendiri.

“Saya ucapkan terima kasih pada awak sebab jaga mak saya selama ni. Saya tak tahu macam mana nak balas budi awak.”
Husna mengulum senyum.

“Tiada masalah, Encik Rayyan. Saya tak mengharapkan balasan. Cuma lepas ni encik carilah masa untuk mak encik. Jangan lagi biarkan dia merajuk sampai keluar rumah. Dunia hari ni tak selamat tahu?” Dia sempat memberikan pesanan yang dirasakan perlu. Hati seorang tua mudah sensitif. Anak mudalah yang perlu ada rasa sifat toleransi yang tinggi.

Rayyan mengangguk perlahan. Matanya beradu dengan sepasang mata milik Husna sebelum gadis muda itu menapak ke arah keretanya. Dalam hatinya tidak putus-putus mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Sempat dia juga mendoakan kebaikan hati gadis muda itu dibalas dengan ganjaran pahala yang besar daripada Yang Maha Esa.

TAMAT

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s