Mungkinkah Ada Wang Kita Tak Dituntut

Tuntutlah Wang Anda.

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui rupa-rupanya ada sejumlah wang milik kita di dalam bank, firma atau syarikat yang tidak dituntut sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, kita sendiri sebenarnya lupa atau tidak tahu tentang kewujudan wang tersebut.

Ramai juga yang tidak tahu semakan Wang Tak Dituntut (WTD) boleh dibuat di Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara.

Manakan tidak, kini terdapat sebanyak RM5.6 bilion jumlah terkumpul WTD dilaporkan masih gagal diserahkan kepada empunya kerana tiada tuntutan dibuat.

Bahkan, penulis sendiri mengalami keadaan ini – tidak tahu yang diri sendiri sebenarnya mempunyai sejumlah wang daripada akaun sebuah bank yang tidak aktif lebih tujuh tahun lalu.

Hanya mengetahui mengenainya selepas membuat semakan di kaunter Pendaftar WTD yang kini dibuka di lokasi awam.

Itu pun selepas mengetahui tentang kewujudan WTD ini setelah menemubual Pengarah Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara, Datuk Zamimi Awang baru-baru ini.

Cara membuat semakan cukup mudah, hanya serahkan MyKad di kaunter atau hadir sendiri di mana-mana Jabatan Akauntan Negara di seluruh negeri.

Pegawai bertugas akan semak melalui sistem dan tidak sampai lima minit kita akan dapat tahu jika mempunyai WTD.

Tiada bayaran atau caj perkhidmatan dikenakan.

Penulis agak teruja selepas diberitahu mempunyai wang RM150 iaitu daripada akaun simpanan CIMB yang tidak aktif selepas tujuh tahun.

Cuba mengingatkan kembali tentang akaun tersebut, kemudiannya baharulah menyedari yang pernah membuka akaun bank itu semasa belajar dahulu, iaitu sekitar tahun 2001 untuk kemasukan wang biasiswa.

Selepas menukar akaun bank lain kerana tamat belajar, sudah tidak peduli dengan akaun lama sedangkan masih berbaki duit simpanan walaupun kecil jumlahnya.

Anda mungkin mempunyai pengalaman serupa. Wang tak dituntut bukan hanya terhad daripada akaun-akaun bank yang tidak aktif, tetapi berkemungkinan bayaran rebat insurans, bayaran elaun atau bonus daripada syarikat tempat lama bekerja atau mana-mana firma yang mempunyai kaitan dengan kita.

Syarikat-syarikat berkenaan mungkin gagal menyerahkan sendiri wang hak kita itu kerana pertukaran alamat dan maklumat peribadi yang tidak lengkap.

Maka, pihak terbabit akan menyerahkan wang itu kepada Pendaftar WTD yang bertanggungjawab membayar balik WTD kepada empunya wang itu.

Sebenarnya, hebahan mengenai WTD kepada orang ramai telah pun dibuat melalui pewartaan kerajaan yang disimpan di Perpustakaan Negara.

Apa pun yang dikesali ada dalam kalangan kita menimbulkan persepsi negatif dengan membuat tuduhan tidak berasas bahawa wang itu akan digunakan kerajaan sebagai ‘wang kecemasan’ untuk tujuan pembangunan kerana kekurangan hebahan dibuat.

Tuduhan tersebut tidak benar sama sekali kerana kerajaan akan membayar semua wang kepada empunya yang diterima daripada syarikat dan firma tanpa dikurangkan walau satu sen pun kerana Bahagian WTD hanya bertindak sebagai pemegang amanah untuk membantu menyerahkan wang kepada yang berhak.

Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD), Jabatan Akauntan Negara pernah membuat bayaran balik tuntutan tertinggi seorang individu berjumlah RM1 juta.

Pengarah Bahagiannya, Datuk Zamimi Awang berkata, ini membuktikan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk melunaskan hak empunya wang tersebut walau sebanyak mana jumlah yang dimiliki sekalipun serendah 10 sen jika mereka mempunyai bukti dan sokongan lengkap.

Katanya, setakat 31 Disember tahun lalu, pihaknya telah membuat bayaran balik tuntutan WTD berjumlah RM1.5 bilion kepada pemilik yang berhak.

Menurut beliau, wang yang disimpan di Pendaftar WTD tidak akan luput sehinggalah ia dituntut sekalipun pemilik wang berkenaan telah meninggal dunia kerana wang berkenaan boleh dituntut oleh pihak pewaris pula.

“Hebahan mengenai WTD kepada orang ramai dibuat melalui pewartaan kerajaan yang disimpan di Perpustakaan Negara. Maklumat WTD diwartakan dalam Warta Kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 13, Akta Wang Tak Dituntut 1965.

“Namun, adalah lebih mudah orang awam membuat semakan sendiri tanpa mewakilkan kepada ora­ng lain dengan menghadirkan diri ke kaunter Pejabat Pendaftar WTD di Tingkat 42, Menara Maybank Kuala Lumpur atau pejabat Jabatan Akauntan Negara ne­geri di seluruh negara tanpa dikenakan sebarang bayaran atau­ caj perkhidmatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Zamimi berkata, pihaknya akan melaksanakan program Beneficial Owner Outreach untuk menjejaki empunya melalui notis pemakluman milikan WTD kepada empunya yang dikenal pasti.

Katanya, program tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial korporat pihaknya yang dijangka dilancarkan pada April tahun depan.

Beliau menjelaskan, pada ma­sa ini, BWTD sentiasa menjalankan program kesedaran kepada masyarakat untuk membuat se­ma­kan wang mereka, selain mem­buka kaunter-kaunter semen­tara di lokasi tertentu.

Di samping itu katanya, Unit Penguatkuasaan BWTD pula akan membuat pemeriksaan ke atas setiap syarikat dan firma yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan sama ada mereka mempunyai WTD yang perlu diserahkan.

“Syarikat dan fir­ma bertanggungja­wab akan mengenal pasti WTD yang ada dan menyerahkan ke­pada Pendaftar me­ngikut tempoh ya­ng ditetapkan.

“Syarikat diberi tem­poh sehingga 31 Mac setiap tahun untuk menyerahkan WTD. Mana-mana sya­rikat dan firma yang gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan akan dikenakan denda sehingga RM20,000 mengikut akta berkenaan. Mereka yang menghalang tugas penguat kuasa untuk membuat semakan juga akan dikenakan denda sehingga RM5,000 atau tiga bulan penjara di bawah akta sama,” katanya.

Jelasnya, syarikat dan firma yang perlu mematuhi Akta WTD ialah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 seperti bank dan insurans, lembaga yang menguruskan kumpulan wang berkaitan faedah persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pertubuhan dan koperasi yang didaftarkan.

Selain itu menurutnya, mana-mana perbadanan, pihak berkuasa awam dan kesatuan sekerja se­perti badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta firma-firma yang menjalankan perniagaan seperti firma guaman atau firma audit juga tertakluk kepada Akta WTD 1965.

Sumber: Utusan

Advertisements

2 thoughts on “Mungkinkah Ada Wang Kita Tak Dituntut

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: