Berbaloikan Syarikat Gergasi Bumiputera Beli Plat Kenderaan PNB1 RM173,800?


Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada tampalan blog Datuk A Kadir Jasin 8 Julai 2017 berkenaan pembidaan nombor pendaftaran kenderaan siri PNB. Izinkan saya memberikan pencerahan berkenaan isu yang disebutkan.

1. Sebagai seorang ahli korporat, saya percaya bahawa penjenamaan korporat itu adalah penting untuk memperkukuhkan penambahbaikan secara fundamental sesebuah organisasi.

Ini berdasarkan prinsip atau falsafah “Form without substance will not get you anywhere. But when you combine form with substance, you will go a long way”. Falsafah korporat ini telah saya laksanakan dengan jayanya semasa menerajui Kumpulan UEM-Renong (2001-2004), Telekom Malaysia (2004-2008) dan Maybank (2008-2013).

2. Saya berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk menerajui Kumpulan PNB sebagai Pengerusi Kumpulan pada 1 Ogos 2016. Saya dan Dato’ Abdul Rahman Ahmad yang telah dilantik sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan telah membentangkan Pelan Strategik PNB 2017-2022 pada 26 November 2016.

Pelan ini mensasarkan PNB menjadi sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia dengan 3 teras strategi utama iaitu i. Meningkatkan Pulangan Secara Mapan; ii. Memacu Kecemerlangan Operasi dan iii. Pengurusan Pelaburan Berkesan . Pasukan PNB sedang giat melaksanakan Pelan Strategik ini dan Alhamdulillah, reaksi awal pasaran amat memberangsangkan dimana nilai pasaran 6 syarikat-syarikat strategik PNB telah meningkat sebanyak RM31 bilion untuk 6 bulan pertama 2017.

Pasukan PNB juga telah berjaya melaksanakan migrasi sistem teknologi maklumat (IT) semasa cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang membolehkan transaksi unit saham amanah ASB/ASN, dll dilakukan tanpa menggunakan buku simpanan lagi. Ini telah memudahkan lagi pelabur untuk berurusan dengan ASNB.

3. PNB telah ditubuhkan pada tahun 1978 dan bakal menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun hadapan 2018. Kami sedang dalam perancangan untuk memperkukuhkan jenama PNB. Kebetulan siri nombor kenderaan “PNB” ditawarkan oleh JPJ untuk bidaan pada bulan April 2017.

Kami telah memohon daripada Menteri Pengangkutan supaya 25 siri nombor PNB(1,2,3,8,10,11,18,20,30,50,60,70,80,90,100,111,118,200,300,400,500,600,700, 800 & 900) dikhususkan kepada PNB tanpa pembidaan. .

Walaubagaimanapun kami telah diminta oleh JPJ untuk membida nombor-nombor tersebut seperti umum. Jumlah bidaan adalah RM336,059 berdasarkan purata bidaan nombor siri PMY,PMX dan PMW. Ia telah ditingkatkan kepada RM419,006 untuk memastikan PNB mendapat kesemua 25 siri nombor tersebut (purata RM16,760 untuk satu nombor). Nombor-nombor tersebut adalah untuk kegunaan kenderaan-kenderaan rasmi Kumpulan PNB termasuk cawangan ASNB bergerak, kenderaan Hotel-hotel PNB Perdana, PNB Merdeka 118, dll.

4. Kami membuat keputusan berdasarkan apa yang kami fikir terbaik untuk PNB dalam jangkamasa panjang. Nombor-nombor tersebut bakal menjadi aset jenama PNB dan pembayarannya dibuat secara langsung kepada JPJ tanpa melalui mana-mana agen atau pihak ketiga.

Untuk makluman, dana RM419,006 datangnya dari dana milik PNB yang berjumlah RM40 bilion bukan dari dana milik pelabur-pelabur ASNB yang berjumlah RM226 bilion. Jadi, pembelian nombor-nombor tersebut tidak akan menjejaskan pulangan kepada pelabur-pelabur sama sekali.

5. Untuk pengetahuan, Alhamdulillah saya selesa menggunakan kereta nasional Proton Perdana sebagai kereta rasmi dengan nombor pendaftaran W8D. Nombor tersebut adalah satu manfaat yang saya perolehi semasa berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2013-2016).

Sebagai seorang daripada keluarga miskin yang telah diberikan pendidikan dan biasiswa di bawah Dasar Ekonomi Baru, saya amat terhutang budi kepada Kerajaan dan Negara Malaysia. Sebab itulah saya bersedia berkhidmat selama satu penggal dan membuat yang terbaik mengikut kemampuan saya.

6. Saya bersama-sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB, Dato’ Rahman dan barisan pengurusan PNB akan terus menjalankan amanah yang telah diberikan kepada kami demi kepentingan PNB, 13 juta pelabur-pelabur ASNB dan negara kita Malaysia. Sokongan berterusan rakan-rakan semua amat kami hargai.

Terima kasih & salam hormat.
AWO. 08.07.17.

Berikut disertakan pula tulisan Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

MOHON maaf kerana lama tidak membuat tampalan baru. Suasana mental dan fizikal kurang mengizinkan. Terlalu banyak bala bencana melanda tanah air kita sehingga, tidak dapat tidak, kita yang peduli akan terganggu kerananya.

Dalam menulis tampalan ini pun saya berasa bebanan mental yang berat kerana ia menyentuh orang dan pihak yang sentiasa dekat di hati saya – yang secara langsung dan tidak langsung menyentuh hati sanubari serta jasad saya.

Oleh kerana itu, saya memerlukan para pelawat dan pembahas menolong saya untuk meringankan beban tersebut. Saya mohon anda sekalian menjawab soalan berikut:

Adakah patut Permodalan Nasional Berhad (PNB) membelanjakan RM173,800 bagi membeli nombor plat kenderaan “PNB1” kononnya untuk tujuan “branding”?

Kepada yang belum tahu cerita ini, kisahnya secara ringkas adalah seperti berikut:

Media sosial menularkan satu dokumen bocor daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai hasil pembidaan nombor plat istimewa dalam siri “PNB” iaitu nombor plat negeri Pulau Pinang.

Dalam senarai yang ditularkan itu, nama Permodalan Nasional Berhad muncul tujuh kali kerana berjaya dalam proses pembidaan.

Saya membuat congak jumlah yang dibayar oleh PNB untuk tujuh nombor yang terbit dalam senarai tular itu. Jumlah yang saya peroleh ialah RM387,835. Saya tidak pasti kalau ada nombor lain yang dilanggan oleh PNB.

Apa Perlunya Nombor Istimewa?

Saya ulangi, adakah patut duit PNB digunakan untuk membeli nombor-nombor tersebut memandangkan PNB adalah agensi amanah dan pegawainya adalah pemakan gaji? Mereka bukan pemilik PNB yang boleh bermewah-mewah dengan duit PNB.

Senarai bocor dan tular JPJ itu adalah sah. Pengerusi PNB sendiri, (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar mengesahkan kepada saya dalam bertukaran WhatsApp. (WhatsApp bukan whatsup).

Saya pergi terus kepada Abdul Wahid (yang pernah saya kagumi dan menaruh harapan tinggi) setelah dua hari gagal mendapat sebarang respons daripada bahagian perhubungan awam PNB.

Saya menghantar pesanan WhatsApp berikut kepada Abdul Wahid: “Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Saya cuba beberapa kali hubungi Jabatan Perhubungan Awam PNB (Encik Khamis Omar) tetapi tidak ada respons. Boleh bercakap dengan kerani saja. Saya hendak pengesahan mengenai dokumen yang tular di media sosial, termasuk hasil posting (mengenai) Rumah Terbuka PNB beberapa hari lalu, iaitu kononnya PNB membelanjakan wang yang banyak membida nombor plat khas Pulau Pinang PNB. Pengesahan ini untuk tulisan saya. Terima kasih.”.

Dalam responsnya Abdul Wahid berkata: “Penempahan nombor pendaftaran kenderaan siri PNB adakah untuk kegunaan kenderaan-kenderaan PNB. Ini termasuk cawangan ASB bergerak, MPV Hotel PNB Perdana, dll dalam usaha mempertingkatkan penjenamaan PNB.”

Saya membalas: “Terima kasih. I’ll duly reflect your argument in my writing. But you may want to search your conscience whether spending RM173,800 for PNB1 is worth the publicty drive and the penjenamaan.”

(Terima kasih. Saya akan paparkan hujah saudara dalam tulisan saya. Tetapi saudara mungkin ingin bertanya hati kecil saudara sama ada membelanjakan RM173,800 untuk PNB1 itu berbaloi untuk tujuan diayah dan penjenamaan.)

Jadi selepas kita dedahkan pemborosan ini, kita tengok siapa akan guna nombor PNB1 atau PNB11 itu – sang dewa atau dewi penghuni kamar eksekutif atau cawangan ASB bergerak?

Para pembahas dan pengunjung juga boleh tentukan yang mana lebih penting — kenderaan rasmi bernombor plat istimewa untuk eksekutif PNB atau pulangan pelaburan yang baik untuk pemegang unit?

…dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun ini adalah antara yang terendah dalam sejarah

Saya segarkan ingatan para pembahas dan pengunjung bahawa dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun ini adalah antara yang terendah dalam sejarah. Begitu juga dengan pulangan kebanyakan saham unit lain yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad.

Masih segar di ingatan saya bagaimana ketika pelancaran ASN pada tahun 1981 saya membuat liputan peristiwa bersejarah itu di Batu Pahat dan Pontian, Johor. Saya menolong beberapa orang kampung mengisi borang langganan dan ada yang menawarkan bayaran kerana menyangka saya penulis petisyen.

Dalam dialog WhatsApp yang lebih awal dengan saya, Abdul Wahid berhujah: “….I have been entrusted to lead PNB, this very important national institution. Brought in Rahman as CEO in October 2016. Unveiled our PNB Strategic Plan 2017-2022. Now focussed on execution. Alhamdulillah initial outcome has been encouraging with market capitalisation of our strategic companies increasing by RM25 billion in the first 5 months of 2017.  Indeed RM226b of our RM266b funds under management come from 13 million unitholders. Will do my best for PNB & the country.”

(….Saya diamanahkan bagi memimpin PNB, institusi negara yang sangat penting. (Saya) membawa masuk Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam bulan Oktober 2016. Memperkenalkan Pelan Strategik PNB 2017-2022. Tumpuan sekarang kepada pelaksanaan. Alhamdulillah hasil awal menggalakkan dengan modal pasaran syarikat-syarikat strategik kita naik RM25 bilion dalam masa 5 bulan pertama tahun 2017.  Sebanyak RM226 bilion daripada RM266 bilion tabungan di bawah pengurusan kita datangnya daripada 13 juta pemegang unit. Akan lakukan yang terbaik untuk PNB dan negara.)

Jawapan saya: “Thank you. Your reputation has been tainted by your membership of the cabinet. So it’s hard for me to accept at face value that you’ll go back to become a fine manager thay you once were. I hope and pray that you can. Wallahuaklam.”

(Terima kasih. Nama baik saudara telah tercemar apabila menjadi anggota kabinet. Jadi adalah sukar bagi saya menerima secara lahiriah hakikat bahawa saudara akan kembali menjadi seorang pengurus yang baik seperti dahulu. Namun saya berharap dan berdoa saudara mampu. Wallahuaklam.)

Abdul Wahid membalas: “Aamin. As a beneficiary of the DEB, I accepted (the) invite to do true national service. I believe I have done my utmost for the country within the one senatorship term with full integrity and to the best of my ability. I believe I am more optimal in the corporate sector. Will do my best as the third Chairman of PNB.”

(Aamin. Sebagai seorang yang mendapat faedah daripada DEB, saya menerima jemputan (menyertai kabinet) bagi menunaikan perkhidmatan negara tulen. Saya percaya saya telah melakukan yang terbaik untuk negara dalam tempoh satu penggal sebagai Senator dengan penuh kewibawaan dan sebaik yang terdaya. Saya yakin saya lebih cemerlang di dalam sektor swasta. Saya akan lakukan yang terbaik sebagai Pengerusi ketiga PNB.)

Pengaruh Ketua

Boleh jadi ada orang tidak setuju atau curiga kalau saya kata, saya melihat Abdul Wahid sebagai seorang pengurus perniagaan yang pintar, tekun dan boleh dipercayai.

Tetapi itu adalah sebelum dia digoda oleh kuasa dan kedudukan dengan menerima jemputan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, untuk menjadi anggota kabinet pada tahun 2013.

Bagi saya, seorang pengurus atasan seperti Abdul Wahid mungkin baik di bawah kepemimpinan yang berwibawa dan cekap tetapi tidak optimum, malah mungkin menyeleweng, di bawah kepemimpinan kleptokratik.

Abdul Wahid adalah antara “budak cerdik” yang dibawa masuk dan diberikan tugas berat ketika zaman Tun Dr Mahathir iaitu berikutan Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Pada dasarnya mereka ini diberikan tanggungjawab untuk menyusun semula dan memajukan syarikat-syarikat Bumiputera yang diambil alih (diambil balik) oleh kerajaan berikutan krisis itu.

Saya juga mengenali Rahman (Datuk Abdul Rahman Ahmad), Presiden dan Pegawai Eksekutif PNB. Dia pun seorang eksekutif yang bagus.

Saya akui dan yakini kebolehan mereka cuma saya bimbang mereka akan tergoda oleh kefoya-foyaan dan terbawa-bawa oleh sikap tidak bertanggungjawab seperti yang melanda 1MDB.

Untuk itu, saya memberi kata dua berikut kepada Abdul Wahid dalam perbualan WhatsApp 19 Jun: “I am really worried about PNB. Sorry to say this. You shall have me as your worse nightmare if things start to go wrong with PNB. So many lives depend on PNB doing well.”

(Saya amat bimbang mengenai PNB. Maaf saya terpaksa katakan. Saya akan menjadi igauan saudara yang paling menakutkan sekiranya perkara buruk mula berlaku kepada PNB. Banyak nyawa bergantung kepada kecemerlangan PNB.)

Dengan itu saya serahkan Abdul Wahid, PNB dan nombor plat istimewa yang berharga ratusan ribu ringgit kepada pembahas dan pembaca sekalian untuk menilainya pula.

Wallahuaklam. – Blog A Kadir Jasin

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s