Fauzi Nasi Kerabu Terengganu Cipta Sejarah Makanan Tersedap Dunia

KUALA TERENGGANU: Tiada siapa menyangka, kedai makan Fauzi Nasi Kerabu tanpa sebarang dekorasi menarik yang terletak di tepi jalan di Jalan Sultan Sulaiman telah berjaya ke persada dunia dengan mencipta kejutan apabila termasuk antara 50 restoran terbaik di dunia dalam The World Street Food Congress 2017.

Pemilik Fauzi Nasi Kerabu, Mohd Fauzi Mat Salleh, 49, berkata, bukan calang-calang pencapaian diraihnya itu sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan makanan nasi kerabu yang hanya dianggap menu lokal yang popular dalam kalangan penduduk Terengganu dan Kelantan yang tidak mungkin digemari lidah masyarakat antarabangsa.

Disebabkan itulah Mohd Fauzi memberitahu beliau dan isteri, Sumaiyah Mustapha, 44, sehingga kini seakan-akan masih lagi tidak percaya dengan pengiktirafan besar diterima mereka namun bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang turut disifatkan sebagai hadiah hari raya paling berharga tahun ini.

“Saya tidak pernah masuk apa-apa pertandingan dan tidak tahu langsung mengenai perkara tersebut sehinggalah dihubungi wartawan yang mahu menemu ramah. Apabila diberitahu mengenai perkara itu, saya masih tidak percaya sehinggalah lihat sendiri dalam internet dan ternyata perkara itu benar. Masa itu, barulah saya percaya,” katanya.

Nasi kerabu Mohd Fauzi yang diiktiraf paling sedap di dunia.

Fauzi Nasi Kerabu menduduki tempat ke-23 merupakan antara enam restoran di Malaysia dan satu-satunya dari Terengganu yang tersenarai dalam 50 terbaik carta pengiktirafan makanan paling sedap sebagaimana diumum The World Street Food Congress 2017 yang berlangsung pada 31 Mei hingga 4 Jun lalu di Manila, Filipina.

Lima restoran lain yang mendapat pengiktirafan sama adalah Nasi Kandar Line Clear di Pulau Pinang yang menduduki tempat kesembilan; Siam St Cha Kway Teow, Pulau Pinang (14); Donald&Lily, Melaka (34), Guan Heong Biscuit Shop, Perak (36) dan Jalan Kuli Sate, Melaka (43), manakala beberapa restoran dari negara China, India, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan Mexico turut tersenarai.

Sentiasa tingkat kualiti  

Mengulas lanjut katanya, pengiktirafan itu memberi kesan positif untuknya dan isteri yang telah mengusahakan kedai makan Fauzi Nasi Kerabu sejak 13 tahun lalu untuk terus memajukan perniagaan.

Jelasnya, usaha memastikan nasi kerabunya digemari semua orang sentiasa dilakukan setiap masa terutama dari segi kualiti, penyediaan dan kebersihan dalam memastikan Fauzi Nasi Kerabu terus dipercayai dan mendapat sokongan orang ramai khususnya penggemar nasi kerabu.

“Pelancong luar negara juga ada yang suka nasi kerabu seperti Jepun, orang Inggeris, Brunei, Singapura dan Thailand. Ini menunjukkan nasi kerabu boleh diterima ramai, bukan orang Melayu sahaja.

“Apabila diiktiraf sebegini, saya rasa seolah-olah kedai kita diperhatikan. Jadi, saya rasa memang kita akan buat perubahan ke arah yang lebih baik dari aspek lokasi, kedai dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.

Fauzi menjelaskan, nasi kerabu yang diusahakan juga bukanlah mengambil resipi turun temurun dari keluarga sebaliknya resipi yang sentiasa dikembangkan dari semasa ke semasa bersama isterinya untuk memastikan kesedapannya dapat memenuhi cita rasa ramai pihak.

“Saya bukan dari keluarga yang berniaga nasi kerabu tetapi kita mulakan resipi sendiri dengan sentiasa memastikan kualitinya terjaga. Saya sendiri akan mencuba nasi kerabu untuk menguji supaya ramuan memuaskan bagi memastikan pelanggan puas hati. Sebagai peniaga, kita mahu makanan dijual berbaloi dengan harga dibayar. Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, saya tetap tidak kurangkan ramuan,” katanya.

Bagi Sumaiyah, beliau menganggap ia adalah rezeki untuk terus menggalakkan beliau dan suami terus memajukan perniagaan makanan nasi kerabu mereka.

Beliau turut bersetuju bahawa kualiti makanan adalah antara perkara penting yang perlu diberi perhatian supaya pelanggan tidak ‘lari’ terutamanya sos dan kelapa parut sambil memberitahu pihaknya tidak akan menaikkan harga walaupun semakin popular selepas mendapat pengiktirafan tersebut.

Apa yang penting, beliau turut menasihatkan mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan tidak mengamalkan sikap dengki atau berfikiran negatif terhadap orang sekeliling serta tidak menyekat rezeki orang lain atau melakukan cara tidak sepatutnya.

“Sebagai contoh, walaupun kami tinggal di Gong Badak, Kuala Nerus, tetapi kami buka kedai makan nasi kerabu di kawasan Kuala Terengganu bagi memastikan kami tidak menyekat rezeki peniaga nasi kerabu lain di sekitar itu.

“Kalau perniagaan kita tidak laku atau sebagainya, jangan mudah terpengaruh dengan berfikir dan menuduh orang lain buat sihir. Apa yang penting kita sentiasa ikhlas, jujur, tidak iri hati dan tingkatkan kualiti produk ,” katanya. – Sinar

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s