Melayu Mesti Berkeriskan Ilmu – Prof Hashim Yaacob

Oleh Hashim Yaacob

RENCANA ini sengaja disulami dengan puisi untuk menyampaikan hasrat pengarang, dengan harapan pembaca dapat menghayati betapa indahnya ba­hasa Melayu yang kita pusakai. Kalau orang Melayu mahu mengubah nasib dan menjadi maju, maka mereka hendaklah sedar dan menerima apa sahaja kelemahan yang ada pada mereka, dan kemudiannya mengambil tindakan yang tegas untuk memperbaiki kelemahan itu.

Sekiranya bangsa Melayu hanya mahu mendengar te­ntang kegemilangannya di zaman dulu, dan bermegah-me­gah dengan kejayaan itu, tanpa mengambil kira langsung tentang kepincangan yang ada pada masa kini, maka bangsa Melayu tidak akan bergerak ke hadapan.

Bangsa Roma, Greece dan Italia pernah menguasai dunia pada zaman kegemilangan mereka tetapi pada waktu ini tidak lagi gah. Sesetengah daripada negara itu sudah pun berada dalam keadaan bankrap. Jika mahu bangkit kembali, mereka tahu bahawa mereka terpaksa mengubah sikap.

Oleh yang demikian, sukalah saya menyebut beberapa perkara yang boleh diperbaiki mengenai sikap bangsa Melayu. Melayu hendaklah jangan mengambil mudah dalam apa pun perlakuan.

Satu contoh yang boleh saya kemukakan ialah betapa negatifnya sikap pelajar universiti sewaktu saya mengajar di beberapa universiti dahulu. Saya lihat pelajar Melayu kerap ponteng kelas dan duduk di belakang.

Apabila disuruh untuk melantik Ketua Kelas, pelajar Melayu sendiri yang mencadangkan nama pelajar bukan Me­layu. Saya pun tulis puisi ini:

KERUSI KOSONG SIAPA PUNYA

Maka masuklah Maharisi Kala Api

yang tua dalam bertapa, ke dalam

Wat Gedi Tujuh Beremas

menurun ilmu dari dalam dada

pada muridnya yang tiga puluh:

Sembilan belas Melayu

sebelas lain-lain.

Dari sudut kedut mata tua

tujuh murid tiada.

Dihisab dihitung, nyata

kerusi kosong milik siapa:

Yang pertama Melayu yang punya.

Yang kedua Melayu yang punya.

Yang ketiga Melayu yang punya.

Yang keempat Melayu yang punya.

Yang kelima Melayu yang punya.

Yang keenam Melayu yang punya.

Yang ketujuh Melayu yang punya.

Maharisi kesalnya hati, mesti terus mengajar.

Kuliah tidak boleh batal.

Murid yang tiada mesti tertinggal.

Esok jika pun datang

dadamu tak mungkin terisi

sepenuh dada yang lain.

Kau akan tinggal di belakang

mengutip sisa-sisa tak termakan.

Bangsa Melayu kita ini sering bersandarkan jaminan yang mungkin tidak dapat membantu kerana jaminan sebegini tidak akan dapat mengubah sikap dan membina semangat kental untuk capai kemajuan.

TAK MELAYU HILANG DI DUNIA

Dalam gema laung Laksamana Tun Tuah

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA,

kita sangkut pada leher kata hikmatnya

bagaikan tangkal keramat.

Dibuai jaminan lalu kita terus terlena.

Dalam tidur, musuh merapi diri

dengan senjata api. Corongnya terhala

pada kita yang dilamun mimpi.

Dalam pikuk kokok ayam

waktu dinihari, kita pun terbangun

melihat kota dikepung.

Keris lembing entah di mana, kita tempiar

lari,

ke Johor, Pahang, Perak ke mana saja.

Melaka pun jatuh ke tangan pendatang.

Melayu hilang ketuanan.

Aku lihat katamu itu Laksamana

bukan sebagai jaminan,

tapi bagai satu bimbang rasa sendirimu

yang zahir pada mata

sirat pada hati

sikap kurang sungguh anak bangsamu.

Ke hari ini walau dalam jaga

kita sering ngantuk.

Pada leher sebilang kita,

masih tersangkut

tangkal keramat, konon

pelindung kesinambungan bangsa.

Kini kita mestilah segera bangun

berkeriskan ilmu

berlembingkan tekad.

Sekiranya kita tidak dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain, maka kita akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir. Pendeta Za’ba sudah lama mengetahui hal ini dan pernah menulis bahawa perangai seseorang insan bergantung di atas dirinya sendiri.

Sekiranya bangsa Melayu ingin terus berkuasa di negaranya sendiri, buku ini hendaklah dijadikan satu panduan. Hidup kita akan menjadi malap tanpa usaha dan sikap yang proaktif.

BANGSAKU

Mega mendung di langit tinggi,

Bumi dipijak rekah tanahnya.

Ombak mengganas di laut luas,

Di timur matahri tidak bersinar.

Di barat cepat terbenam.

Di utara tengkujuh melanda.

Di selatan api terpadam.

Kita pun memakai kelubang suram.

Siapa berani meniup angin,mengalihkan mendung,

mematikan hujan taufan, dan tengkujuh dibendung,

menenangkan ombak, meminta matahari kembali bercahaya,

menyuburkan bumi,menyalakan api pelita?

Kalau nanti orang bertanya,

mengapa begini kita?

Katakan itulah bangsa kita,

mengambil mudah dan pelupa.

Bangsa Melayu tidak boleh semata-mata menjadi Ali Baba, melepaskan keuntungan kepada orang lain semata-mata kerana malas untuk mengendalikan harta bendanya sendiri. Yang akan dapat keuntungan besar lagi berlipat ganda ialah orang yang bekerja di bawah Ali Baba itu.

Bangsa Melayu hendaklah bijak dalam menangani harta bendanya. Sekiranya kita sudah sedar akan kemunduran kita disebabkan oleh pengurusan yang buruk, kita hendaklah berusaha untuk membina memperbaikinya.

– Utusan, tersiar pada 20 Julai 2017

PROFESOR EMERITUS DATUK HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s