Forex: Bank Negara Rugi RM35 Bilion dari 1988-1994

PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM34.547 bilion dalam urus niaga mata wang asing di antara tahun 1988 dan 1994.

Bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf, berkata angka kerugian itu dinyatakan dalam laporan bertajuk Accounting Treatment of Losses Arising From Active Reserve Management 1998-1994, bertarikh 18 April 2007 yang disediakannya bersama seorang lagi pegawai.

Abdul Aziz berkata, maklumat dalam laporan itu diambil daripada dokumen Lembaga Pengarah BNM, penyata tahunan, Minit Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Audit dan kenyataan aset serta liabiliti.

“Laporan saya itu adalah ‘after event’ (selepas kejadian), oleh itu saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai sistem dari aspek ‘check and balance’ yang ada di BNM berhubung pelaksanaan urus niaga mata wang asing BNM pada 1980-an hingga 1994.

“Mengikut laporan saya, ada Jawatankuasa Rizab Luaran (mulai 1989) yang dipengerusikan Gabenor BNM dan Jawatankuasa Seliaan bagi mengawal selia dan memantau urus niaga mata wang asing bagi tempoh itu,” katanya.

Abdul Aziz berkata, laporan mengenai kerugian BNM disediakan beliau selepas diarahkan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 2007.

Saksi pertama suruhanjaya siasatan itu berkata, beliau tidak dapat mengingati sama ada arahan untuk menyiapkan laporan berkenaan diterima secara lisan atau melalui surat daripada Zeti.

“Pada waktu itu, Zeti meminta saya mengumpulkan semua maklumat mengenai semua urus niaga mata wang asing BNM pada tempoh itu. Laporan itu saya siapkan pada 18 April 2017 dan diserahkan kepada Zeti.

“Selepas tugas yang diarahkan kepada saya selesai, saya tidak mengetahui apakah tindakan susulan yang diambil oleh Zeti ke atas laporan itu,” katanya.

Abdul Aziz yang membacakan pernyataan saksi pada prosiding berkenaan, berkata beliau tidak mengetahui bahawa bank pusat berkenaan ada mendapatkan pandangan luar sebelum menjalankan urus niaga mata wang asing.

Peguam BNM, Datuk Tan Hock Chuan memberitahu suruhanjaya siasatan, bank pusat itu mendapat khidmat nasihat daripada sebuah firma guaman dan Peguam Diraja British (Queen’s counsel).

Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengetuai Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM berkata, anggota suruhanjaya berasa hairan bagaimana kerugian sebesar RM34.5 bilion boleh berlaku tanpa pengetahuan mana-mana pihak.

“Kami mendapat penemuan hari ini BNM rugi RM34.5 bilion, jumlah itu disembunyikan daripada laporan BNM. Kita kena tahu siapa meminta ia disembunyikan.

“Saya rasa pelik. BNM adalah sebuah institusi yang dihormati. Sudah semestinya ada ‘check and balance’ dan prosedur standard operasi (SOP),” katanya.

Seorang lagi anggota suruhanjaya, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata perlu ada prosedur untuk memaklumkan Gabenor dan Timbalan Gabenor berhubung transaksi itu.

Tajuddin berkata, beliau selaku anggota panel mahu mengetahui isu itu dengan lebih mendalam.

Menjawab soalan itu, Datuk Abdul Murad Khalid, berkata gabenor BNM mengetahui mengenai kerugian tetapi tidak menyedari mengenai tahap kerugian dialami.

Suruhanjaya Siasatan itu ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an yang dikatakan mencecah lebih AS$10 bilion.

Operasi urus niaga mata wang asing itu berlaku pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, saksi kedua, Datuk Ahmad Hizzad Baharudin, memberitahu suruhanjaya, beliau menerima arahan daripada pihak atasan pada April 1993 untuk menyiapkan laporan bagi menyiasat punca kerugian yang dialami BNM.

Ahmad Hizzad yang ketika itu berkhidmat sebagai Juruaudit Dalaman BNM, berkata tujuan laporan berkenaan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya mencari langkah bagi mengatasi masalah terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan audit yang dijalankan, ada polisi bertulis di BNM ketika itu mengenai urus niaga mata wang asing, tetapi tidak mengingati secara terperinci, namun pelaksanaannya dari aspek ‘semak dan imbang’ masih tidak mencukupi.

Katanya, pemerhatian audit terhadap Bahagian Pemprosesan di Jabatan Akaun BNM, antaranya mendapati fungsi pemprosesan yang tidak mencukupi, kemungkinan laporan tidak lengkap mengenai keuntungan dan kerugian berbangkit daripada operasi tukaran mata wang asing dan bank tidak menilai semula urus niaga dari semasa ke semasa.- BH

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s