Bukan Semua Kebakaran Tahfiz Bersifat Suci

GESAAN KEPADA MASYARAKAT MELAYU SUPAYA BERTINDAK BIJAK ATAS NAMA KEBENARAN

(Susulan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah)

By Dean Kadeer

Saya menulis pada hari ini dengan satu tujuan,iaitu agar kita orang Melayu tidak hidup dalam kepalsuan dan sifat apologetik yang memakan diri sendiri hanya kerana dibuai oleh terma-terma agama seperti redha,pasrah,takdir,tahfiz dan mati syahid.

Saya percaya seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan ugama telah melahirkan seluruh simpati mereka kepada kesemua 23 mangsa-mangsa kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat pada 14 September baru-baru ini.Ini adalah tragedi yang boleh dielakkan jika kesemua aspek-aspek keselamatan dipatuhi semenjak dari awal lagi.

Saya bukan ingin menulis tentang mati syahid,kerana apa yang kita semua maklum ialah kesemua mangsa telah mati dalam keadaan menjerit-jerit.Ini adalah realiti sebenar yang amat pahit yang melangkaui terma suci “mati syahid”. Saya percaya,kesemua kanak-kanak dan remaja yang terkorban pada hari tersebut telah berada ditempat yang lebih baik sekarang kerana saya yakin tuhan saya iaitu Allah adalah tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Kita semua tidak mampu mengembalikan mereka ke dunia ini lagi walau mengalir air mata darah sekalipun.Biarlah mereka aman di sana,tetapi kita yang masih tinggal didunia ini harus bangkit dan melakukan sesuatu supaya mati “menjerit” bukanlah suatu jalan untuk mati syahid.

Bermula dari saat ini,kita semua harus sedar dengan sepenuh-penuh keyakinan dan kesedaran bahawa “KEMALANGAN” bukanlah datang dari tuhan.Dalam sesuatu “kemalangan”,menyalahkan tuhan adalah alasan yang paling jijik,keji dan hina.

Tuhan berkata di dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 195,”Janganlah sesekali kamu mencampakkan diri kamu didalam kebinasaan” . Ini adalah penegasan tuhan supaya manusia sentiasa berfikir dan berhati-hati dalam kesemua lapangan hidup mereka.Peringatan umum ini nampaknya tidak pernah dijadikan panduan kepada begitu banyak sekolah-sekolah “agama” atau “tahfiz” yang wujud diseluruh Malaysia.Sebab itulah dalam tempoh 2 tahun iaitu dari tahun 2015 hingga 2017,telah berlaku 211 kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz diseluruh Malaysia.

Kelalaian atau kecuaian sepatutnya tidak boleh diberikan tolak ansur langsung.Lebih-lebih lagi dalam soal nyawa manusia.Kenapa mereka yang “berugama” nampaknya begitu lalai dan cuai dalam aspek-aspek keselamatan?Melihat kepada statistik kebakaran yang terlalu banyak ini,saya mampu menyimpulkan bahawa sekolah-sekolah seperti ini sepatutnya dibekukan untuk beroperasi.Dan tidak perlu lagi diwujudkan sekolah-sekolah tahfiz atau agama yang baru jika beginilah tahap keselamatan dan disiplin yang diapplikasikan oleh para pengendali sekolah tersebut.Pemeriksaan menyeluruh dari pihak berkuasa harus dijalankan segera bagi mengelakkan satu lagi kemalangan ngeri yang bakal berlaku.Tidak cukupkah 211 kebakaran dalam masa 2 tahun?Adakah kita mahu melihat satu lagi “genocide” berlaku selepas ini?

Reaksi orang-orang Melayu tentang sesuatu insiden lebih-lebih lagi yang melibatkan sekolah “agama” sangat membingungkan.Jika disko yang terbakar,cepat betul mereka menghukum bahawa itu adalah “hukuman tuhan” yang sesuai bagi spesis “syaitan” yang mabuk dan terkinja-kinja didalamnya.Apabila sekolah “agama” yang terbakar,mereka tiba-tiba menjadi begitu syahdu dan “submissive” sehingga sanggup menyumbangkan derma ratusan ribu ringgit kepada pihak yang menyediakan sebuah sekolah tanpa mempedulikan soal-soal keselamatan yang akhirnya menjadi lapangan pembunuhan beramai-ramai.Atas nama “agama”,mereka tiba-tiba menjadi apologetik dan menganggap bahawa ini semua adalah takdir tuhan.Seolah-olah kebakaran ini telah ditentukan tuhan dan janganlah menyalahkan pihak sekolah yang dikendalikan oleh orang-orang yang “beragama”.Yang peliknya,kisah-kisah “kesyahidan” mangsa-mangsa yang terkorban pula dijadikan “highlight” untuk menutup isu kelalaian dan kecuaian pihak sekolah. Adakah menggelarkan mereka “syuhada” boleh dijadikan helah dan penawar untuk keluarga mereka melupakan peristiwa pahit ini?

Data yang dikeluarkan oleh pihak Bomba baru-baru ini membuktikan bahawa semenjak tahun 2015-2017 sahaja,telah berlaku 211 kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz diseluruh Malaysia(The Star,7 Ogos 2017).Adakah statistik ini tidak membimbangkan dan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan “sekolah agama dan orang-orang agama”?

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini cukup jelas menunjukkan bahawa kematian 21 pelajar dan 2 orang warden Pusat Tahfiz tersebut adalah datangnya dari kesalahan manusia,bukan tuhan.Asrama mereka tidak mempunyai “exit/emergency door” dan dimanakah letaknya “fire extinguisher” mereka?Kenapa pula tingkap di penuhi dengan jeriji besi yang memerangkap mereka sehingga hangus terbakar?Samada sekolah ini terbakar kerana perbuatan khianat bukanlah isu utama.Isu utamanya adalah 21 pelajar telah terkorban akibat terperangkap didalam asrama mereka sendiri.Persoalan ini tidak boleh ditutup hanya dengan jawapan “ajal mereka sudah sampai” atau “kematian mereka adalah syahid”.

Harus diingat,ini adalah soal nyawa manusia.Kematian satu nyawa adalah bebanan sepanjang hayat kepada keluarga mangsa.Berapa ramai ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesedihan melampau dan kemurungan yang berpanjangan akibat daripada kesalahan manusia yang mengendalikan sekolah tersebut.Bayangkan ibu bapa yang harus mengenang nasib anak kesayangan mereka mati dijilat api.Adakah anda rasa ini semua bukan suatu penderitaan sepanjang hayat kepada mereka semua?Cuba letakkan diri anda di dalam posisi dimana kejadian ini berlaku kpd anak-anak anda sendiri.Adakah dengan menganggap bahawa mereka “mati syahid” mampu menghapuskan mimpi buruk apabila anda menutup mata pada waktu malam?

Saya menulis pada hari ini atas rasa simpati berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.Walaupun saya telah lama tidak bersetuju dengan kewujudan sekolah-sekolah persendirian (spt sekolah tahfiz sebegini)kerana banyak sekali kekangan kewangan dalam menyediakan infrastruktur asas,tetapi atas rasa perikemanusiaan yang tinggi,saya mahu sampaikan tulisan sebegini agar ibu bapa pelajar-pelajar yang terkorban mendapat pembelaan sewajarnya.

Saya tidak bercakap atas dasar emosi dan khayalan,tetapi atas statistik dan fakta.Di bawah ini saya kutip senarai sekolah-sekolah agama yang telah mengalami kebakaran pada beberapa tahun yang lampau dan telah disiarkan didalam media.(ehsan dari website myblog.mazliza.othman)

Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, Guar Chempedak, 1989. Kebakaran asrama perempuan madrasah mengakibatkan 27 orang pelajar maut. Punca kebakaran adalah api dari lilin yang dipasang untuk menerangi bilik asrama.

Sumber: Astro Awani

Sekolah Menengah Agama Darul Makmur, Pekan, 2007. Kebakaran itu mengakibatkan empat buat kelas, sebuah bilik komputer, bilik guru dan bilik pengetua termasuk wang tunai RM8,500 hangus.

Sumber: Bernama

Sekolah Pondok Bandar Hilir, Sik, 2007. Kebakaran memusnahkan 40 pondok. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku pada musim cuti persekolahan.

Sumber: Bernama

Sekolah Nurul Hidayah Al-Quran Maahad Tahfiz, Pasir Putih, 2007. Sebuah blok asrama hangus. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar-pelajar sedang menghadiri kelas.

Sumber: Bernama

Sekolah Madrasah Darul Hikmah, Kota Kinabalu, 2009. Kebakaran berlaku di sebuah bangunan dua tingkat menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber: Bernama

Sekolah Pondok Lubuk Tapah, 2010. Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Pusat Pengajian Hayatul Ulum, Hulu Langat, 2010. Seorang pelajar berusia lapan tahun rentung setelah terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah bangunan.

Sumber: Bernama

Sekolah Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah, Alor Setar, 2011. Tingkat atas bangunan sekolah musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Assyifa, Kuala Terengganu, 2012. Tingkat dua sebuah bangunan asrama terbakar ketika pelajar solat zuhur di surau.

Sumber: Bernama

Sekolah Menengah Agama Nadzah, Yan, 2012. Sebuah asrama pelajar lelaki hangus dalam kebakaran akibat litar pintas sebelum merebak ke seluruh bilik dan memusnahkan katil, tilam dan segala kelengkapan pelajar. Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran pada tahun 1996 dan 2005.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Al-Barakah, 2012. Seorang pelajar maut dan dua cedera dalam kebakaran di asrama sekolah.

Sumber: Bernama

Sekolah Menengah Agama Kunak, 2013. 81 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Al Barakah, Tikam Batu, 2013. Kejadian berlaku dipercayai akibat litar pintas. Pelajar pintar, Aiman Nurhakim Yahya, 13, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku di salah sebuah asrama. Dua lagi pelajar cedera.

Sumber: Astro Awani

Maahad Tahfiz Muhammadiah, Kuantan, 2014. 17 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie, Dungun, 2015. Sebuah premis yang menempatkan barang keperluan pelajar musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Tahfiz Khairul Kalam, Shah Alam, 2015. Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang pelajar terbakar.

Sumber: Bernama

Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz, Guar Cempedak, 2015, Tiga pelajar melecur dalam kebakaran bangunan asrama mereka.

Sumber: Bernama

Madrasah Tahfiz Al-Zahra, Gelang Patah, 2015. Sebuah asrama terbakar.

Sumber: Bernama

Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran, Labuan. 2015. Kebakaran memusnahkan 70 peratus sekolah. Semua pelajar dan gurunya selamat.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Jamiul Hasanah, Tanjong Karang, 2015. Kebakaran disebabkan litar pintas. Tiada kemalangan jiwa kerana kesemua pelajar menghadiri majlis jamuan hari raya.

Sumber: Astro Awani

Madrasah Tahfiz Al Redzuan, Dengkil, 2016. Asrama dua tingkat dan terbakar. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar berada di masjid.

Sumber: Astro Awani, Bernama

Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah, Padang Kerasah, 2016. Blok asrama lelaki dan perempuan musnah. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar-pelajar berada di surau.

Sumber: Berita Harian

Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Sabak Bernam, 2016. Asrama musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz at-Tijarah, Selayang, 2016. Asrama pelajar musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Sumber: Bernama

Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Butterworth, 2016. Sebuah bangunan dua tingkat asrama musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, 2016. Asrama yang menempatkan lebih 50 penghuni hangus dalam kebakaran. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan melaporkan ini kebakaran kedua di lokasi sama selepas yang pertama pada Julai 2016.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Daril Naim, Kota Bharu, 2016. Sebuah pondok lama musnah terbakar.

Sumber: Bernama

Pondok Nurul Iman, Pekan, 2017. Seorang murid cedera dalam kebakaran asrama.

Sumber: Bernama

Pusat Pendidikan Islam an-Nuur, Kuantan, 2017. Asrama mereka musnah terbakar. Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama pada tahun 2006.

Sumber: Bernama

Sekolah Agama Maran, Maran, 2017. Seramai 73 pelajar perempuan tinggal sehelai sepinggang setelah asrama kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Pondok Al-Baghdadi, Tumpat, 2017. Sebanyak 40 pondok kediaman yang menempatkan 100 pelajar berumur antara 15 dan 30 tahun hangus terbakar.

Sumber: Bernama

Pusat Pengajian Pondok Seri Permai, Pasir Puteh, 2017. Sebanyak 10 pondok kediaman pelajar musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah Mukim Lalang, Pasir Mas, 2017. 30 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila asrama penginapan mereka musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Sekolah Agama Maahad Al-Islah, Teluk Intan, 2017. Bilik stor di bawah tingkat asrama yang didiami 68 pelajar perempuan musnah dijilat api.

Sumber: Bernama

Madrasah Addiniah Al-Latifiah, Pengkalan Hulu, 2017. 18 pondok penginapan yang menempatkan 66 penuntut musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Maahad Tahfiz Al-Barakah, Sepang, 2017. Dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki musnah dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 2017. Seramai 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran.

Sumber: Bernama

Bayangkan berapa ribu pelajar berpotensi untuk terkorban jika semasa kebakaran tersebut semua pelajar berada di tempat kejadian atau terperangkap didalam asrama?Kenapakah perkara sebegini sentiasa berulang-ulang?Adakah kematian-kematian sebegini tidak pernah menginsafkan orang-orang Melayu?

Marilah kita akui kebodohan dan kelemahan kita sendiri dalam bertindak.Akuilah bahawa kesemua kebakaran yang wujud selama ini,tidak pernah agaknya ada pihak yang dibawa kemuka pengadilan.Kesemuanya dianggap sebagai TAKDIR TUHAN.Lalu apabila kebakaran demi kebakaran berlaku,ianya telah menjadi suatu perkara yang normal.Sebab itulah tidak pelik apabila dalam tempoh 2 tahun sahaja,sebanyak 211 kebakaran telah berlaku disekolah-sekolah tahfiz diseluruh negara.Bayangkan semenjak 20 tahun dahulu,berapa ribu kes kebakaran telah berlaku agaknya?

Pada hari ini saya menyeru agar kesemua 21 keluarga kepada pelajar-pelajar yang telah terkorban untuk bersatu dan bangkit untuk menubuhkan suatu jawatankuasa untuk menyaman pihak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan membawa mereka ke muka pengadilan.Jangan sesekali memaafkan pihak-pihak sebegini atas sentimen “takdir”. Saya mohon juga agar aktiviti dan tindakan jawatankuasa ini diberi liputan meluas dikesemua akhbar utama dan media sosial.

Ini bukanlah tindakan balas dendam,tetapi sebagai suatu tindakan untuk menyelamatkan beribu-ribu lagi pelajar yang sekarang masih tinggal disekolah-sekolah tahfiz atau sekolah-sekolah agama diseluruh negara yang saya pasti kebanyakkannya masih tidak selamat untuk didiami.Saman anda terhadap pihak sekolah tersebut dan hukuman kepada pengetua nya diharap mampu dijadikan pengajaran dan peringatan kepada beratus-ratus lagi pengendali sekolah-sekolah tahfiz atau sekolah-sekolah agama yang sedang wujud diseluruh Malaysia agar melihat semula aspek-aspek keselamatan di premis mereka.

Saya percaya kes kebakaran seperti ini akan berlaku lagi dalam masa yang terdekat.Ini kerana kita semua tidak pernah belajar dari kesilapan.Tapi cukuplah kita jadikan kes kematian 21 pelajar baru-baru ini sebagai kes yang terakhir.

Saya juga memohon agar simpati dan sumbangan tidak lagi diberikan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah,sebaliknya kesemua sumbangan anda dalam bentuk kewangan haruslah di tujukan kepada kesemua 21 keluarga pelajar yang telah terkorban.Mereka ini layak dibantu dan diberikan simpati,bukan pihak sekolah yang cuai dan lalai dalam menyediakan keselamatan yang sepatutnya kpd pelajar-pelajar mereka.

Bangunlah wahai ibu bapa yang sekarang ini mempunyai anak-anak di sekolah-sekolah agama atau tahfiz atau sekolah-sekolah persendirian yang didirikan atas sumbangan orang ramai.Saya percaya sekolah-sekolah sebegini wujud hanya kerana permintaan massa,lalu hal-hal keselamatan yang maha penting telah diabaikan.Tolong lakukan pemeriksaan dan teliti bagaimana hidup anak-anak anda di sekolah tersebut.Jika anda lihat sesuatu yang tidak kena dan mampu mengundang kecelakaan,bertindaklah segera.Jangan terlalu apologetik atas nama agama.

Saya mohon tulisan ini di “share” sebanyak mungkin agar ianya sampai kepada kesemua 21 keluarga pelajar-pelajar yang telah terkorban di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan juga kepada seluruh ibubapa yang sekarang ini mempunyai anak-anak yang sedang belajar disekolah-sekolah agama atau tahfiz atau sekolah-sekolah persendirian diseluruh Malaysia.

Kata orang Melayu,sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya.

One thought on “Bukan Semua Kebakaran Tahfiz Bersifat Suci

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.