Seni…oh seni….oh seni…oh

BERMULA pada 1950-an lagi di Malaya, kemudian jadi Malaysia, pelajar-pelajar di sekolah ‘dikempenkan’ kepentingan pelajaran sains untuk diri, bangsa dan negara. Namun apa itu sains tidak pernah diterangkan dengan jelas, jauh sekali daripada dikempenkan.

Sehingga yang lahir daripada kempen itu banyak orang bekerja dalam pekerjaan alat-alat sains, sedangkan pekerja itu tidak pun pernah berfikiran saintifik. Kepercayaan, gaya hidup dan cara fikir tahyul yang jauh dari cara saintifik masih subur dalam dunia Revolusi Industri Ke-4 sekarang.

Jika sains yang dikempenkan berdekad-dekad masih tidak membentuk cara fikir manusia yang ingin dilahirkan itu, betapa pula dunia seni seperti sastera, muzik, visual dan seni pergerakan yang tidak pernah dikempenkan, bahkan ada unsur menegatifkannya?

Saya memasuki sekolah menengah pada saat awal kempen sains digemakan. Sekolah saya, sekolah baharu di Teluk Intan, Perak. Semasa tingkatan satu, sekolah saya mengadakan hari terbuka yang kira-kira besar juga. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran karya pelajar-pelajar. Saya mencuba nasib, sebagai pelajar baharu tingkatan satu, mengemukakan lukisan pensel wajah pengetua kami, Allahyarham Cikgu Zainal Adnan Yang Yahaya, lulusan Universiti Malaya, yang pernah menjadi Presiden Kebangsaan GPMS. Lukisan saya terpilih untuk dipamerkan. Kesannya saya menjadi sedikit dikenali pelajar lebih dewasa, terutamanya wanita, yang datang kepada saya menyatakan mereka mahu saya jadi adik angkat mereka. Begitu budaya di sekolah pada masa itu. Tiba-tiba saya jadi bahagia di sekolah hanya kerana lukisan itu.

Namun, sekolah terus berkempen kepentingan sains dan pada masa sama melambakkan cerita lukisan tiada gunanya dan tidak akan membawa saya ke mana-mana. Perlahan-lahan saya melupakan lukisan dan tiga tahun kemudian, untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) lukisan tidak disenaraikan dalam senarai mata pelajaran Tingkatan Tiga A, yang saya ada di dalamnya. Demikianlah seni lukisan berkubur dalam diri saya. Pelajaran seni, termasuk sastera, walaupun saya ambil, saya jauhi sehingga ke universiti.

Saya percaya banyak lagi orang dalam generasi saya dan selanjutnya melalui cara fikir yang telah mengasuh saya.

Penulis-penulis dunia tidak mengatakan hanya orang sains yang genius. Bahkan  banyak karya sains dan teknologi terdahulu didahului seniman-seniman seni lukisan, sastera dan seniman pergerakan. Mereka berfikir dan berimaginasi melampaui zaman mereka sehingga misalnya tercipta keluli yang berat boleh terbang di angkasa seperti kapas diterbangkan angin dan keluli berat juga boleh terapung dengan gagah, pada hal dahulunya hanya kayu dipercayai boleh terapung di samudera luas.

Pelbagai institusi menyuburkan alat sains diwujudkan di negara namun tidak sebegitu agresifnya kerja-kerja untuk seni. Pelbagai dasar dan biaya dikeluarkan untuk kerja-kerja dan alat sains berbanding sepinya dunia seni membentuk para genius dalam bidang seni. Geran-geran penyelidikan untuk orang universiti sangat mewah bagi alatan sains dan tidak untuk seni.

Dalam dunia falsafah, pekerjaan sains bukan berada pada lapisan tertinggi. Pemikiran sains tinggi termasuk dalam dunia seni. Tentu banyak orang akan tertawa jika saya katakan ada dunia perubatan yang telah banyak menyelamatkan nyawa manusia berada dalam dunia seni. Pembedahan bukan suatu sains, sebaliknya suatu seni. Tanyakanlah soalan ini kepada pakar bedah yang faham falsafah, pasti mereka akan bersetuju dengan saya.

Dalam falsafah pemikiran lapisan tertinggi antaranya adalah etika. Orang yang hidup beretika tidak memerlukan hukuman atau ganjaran daripada sesiapa. Moral dan aturan ada dalam dirinya. Di atas puncak moral ialah estetika. Estetika itu adalah seni yang paling halus dan kemuncak. Siapa mengajar saya dan generasi saya tentang seni seperti ini dalam dunia yang orang sains boleh hidup selesa sedangkan orang seni tinggi hidup melata dan terlonta-lonta? Orang teater berlari tidak tentu arah ke sana ke mari mengemis tajaan sedangkan pekerja sains jelas tempat tuju mereka mengemukakan kertas cadangan.

Untuk para pekerja sains, dikempenkan supaya ditentukan bidang keutamaan atau preferred area kata mereka. Apa preferred area untuk orang seni? Orang sains digesa dan dibiayai untuk mencipta breakthrough dalam bidang-bidang pilihan mereka. Sekali lagi orang akan tertawa jika saya kata dalam seni juga ada istilah breakthrough, semata-mata kerana mereka tidak pernah mendengar atau buta huruf dalam bidang seni. Jika ada pekerja sains dijulang sebagai genius, dunia seni juga telah melahirkan genius seperti DaVinci dan yang lainnya mendahului pekerja sains sehingga dunia sains pun sibuk memasukkan nama-nama seniman itu ke dalam senarai saintis yang genius.

Seni, oh seni, oh seni, oh seni. Riuh rendahlah engkau sendirian. – Sinar Harian

* Pak Din Ghetto Academy

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.